Arkib Tag: Civic Type R

Honda Civic Type R FL5 dilancarkan di Malaysia – RM400k, 19 unit sahaja tahun ini

HONDA Malaysia hari ini melancarkan Honda Civic Type R generasi keenam yang juga dikenali dengan kod nama FL5. Ia merupakan jentera Honda yang paling berkuasa pernah dilancarkan di Malaysia dan model Civic Type R ketiga yang tiba di negara ini selepas FD2 pada 2007 dan FK8 pada 2017.

Dari segi penampilan, Civic Type R menggunakan badan Civic hatchback sebagai asas namun ia diberikan elemen-elemen sport dan aerodinamik. Ini termasuk logo ‘H’ merah, logo ‘Type R’, bukaan gril yang lebih luas dan liang-liang udara pada bonet dan sudut bampar.

Rim yang digunakan bersaiz 19 inci berwarna Matte Black dan di belakang, terdapat gabungan spoiler aluminium dan diffuser yang meningkatkan downforce.

Di dalam, semangat Type R diteruskan dengan kerusi semi-bucket dan karpet berwarna merah, tombol gear aluminium dan plak nombor siri pada papan pemuka.

Dari segi kelengkapan, FL5 tampil dengan panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin infohibur sembilan inci. Selain Honda Connect dan Honda Sensing, model ini juga didatangkan dengan sistem Log R yang membolehkan pemandu memantau pelbagai parameter prestasi ketika memandu di litar.

Seperti model generasi terdahulu, Civic Type R dikuasakan oleh enjin 2.0-liter VTEC Turbo empat silinder namun kuasanya lebih tinggi iaitu 319 PS dan 420 Nm.

Peningkatan ini dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo baharu, dan penambahbaikan pada sistem ambilan udara dan ekzos.

Dengan transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda hadapan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.5 saat.

Terdapat empat mod pemanduan yang disediakan iaitu Comfort, Sport, +R dan yang terbaru Individual.

Mod Individual membolehkan pemandu mengubahsuai respon enjin, pendikit, stereng dan suspensi secara berasing mengikut kesesuaian masing-masing.

Harga jualan Civic Type R FL5 bermula dari RM399,900. Penawaran agak terhad iaitu 19 unit sahaja untuk tahun 2023.

Honda Civic Type R kereta FWD terpantas di Nurburgring

HONDA dengan bangganya mengumumkan bahawa Civic Type R FL5 telah muncul sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.

Dengan catatan masa ini, hot hatch generasi baharu itu telah berjaya mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Renault Megane R.S. Trophy R yang merekodkan masa 7 minit 45.39 saat pada 2019.

Anda pasti ingat bahawa Civic Type R FK8 pernah membuat catatan masa 7:43.8 pada 2017, bukan?

Benar, tetapi FL5 masih dianggap lebih pantas kerana pada 2019, litar Nurburgring telah menetapkan peraturan baharu di mana peserta perlu melengkapkan pusingan sejauh 20.832 km berbanding 20.600 km sebelum itu.

Untuk rekod baharu ini, Honda menggunakan versi lebih ringan yang dikenali sebagai Civic Type R S yang akan dijual di pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD) di Eropah.

Bukan itu sahaja, tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang didatangkan standard juga telah digantikan dengan tayar Pilot Sport Cup 2 Connect yang dikatakan mampu meningkatkan prestasi jentera itu dengan tahap cengkaman yang lebih tinggi.

Menurut Honda, tayar Pilot Sport Cup 2 Connect ditawarkan sebagai opsyen dan boleh dipesan menerusi wakil pengedarnya.

Tiada sebarang modifikasi dilakukan pada enjin untuk catatan masa ini. Civic Type R, dengan ‘nadi’ 2.0-liter turbo empat silindernya, mempunyai 330 PS pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi manual enam kelajuan.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model FL5 menikmati peningkatan kuasa sebanyak 10 PS dan 20 Nm. Sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh pengecas turbo yang direka semula, serta intake dan ekzos yang dipertingkatkan.

Ini spesifikasi rasmi enjin Honda Civic Type-R 2023 – 315hp dan 420Nm

HONDA mendedahkan Civic Type-R 2023 generasi baharu pada Julai, tetapi tidak mendedahkan sebarang angka spesifikasi walaupun berkata ianya Civic Type-R paling berkuasa pernah dihasilkan.

Akhirnya, kita kini sudah mengetahui bahawa hot hatch dengan nama kod FL5 itu menjana 315hp dan 420Nm tork dari enjin 2.0-liter VTEC Turbo 4-silinder.

Satu risalah dari Jepun telah tersebar di sebuah forum Civic Type R menyatakan kereta itu akan menghasilkan 326hp. Generasi sebelum ini (FK8) menghasilkan kuasa lebih rendah di sesetengah pasaran, jadi mungkin generasi baharu ini juga sama.

326hp untuk Jepun dan pasaran-pasaran yang mempunyai petrol berkualiti tinggi, manakala 315hp untuk pasaran lain.

Risalah spesifikasi itu berkata bahawa tekanan boost untuk Type-R FL5 ini naik hanya 0.1 psi berbanding FK8, kini pada 23.3 psi.

Penambahan kuasa sebenarnya adalah dari turbo yang direka semula, menampilkan turbin baharu, dan perubahan pada sistem kemasukan dan ekzos. Civic Type-R baharu ini juga mendapat gril depan lebih besar, memberikan udara lebih banyak untuk radiator dan kipas yang lebih besar.

Beberapa pemilik Civic Type-R FK8 sebelum ini melaporkan isu panas ini di track day, jadi Honda mahu memastikan ia tidak berlaku pada kereta baharu.

Selain itu, Civic Type-R 2023 juga dilengkapi flywheel baharu, sementara tombol gear pula menurut Honda, “memberikan rasa lebih tegar dan corak lorong gear yang dioptimakan untuk penukaran gear lebih tepat”.

Sukar dibayangkan tombol gear yang lebih sedap digunakan dari Type-R FK8, tetapi ini Honda, jadi mereka memang pandai bab ini. Final drive juga dikatakan lebih pendek, 3.842 berbanding 4.111 untuk kereta sebelum ini.

Sama seperti Civic biasa, Type-R baharu ini mendapat jarak roda lebih panjang dari sebelumnya, dan lebar juga meningkat di kedua-dua gandar. Tayar 245/30/20 pada kereta lama diganti dengan 265/30/19, bermakna ia lebih lebar dan rendah.

Lebih kuasa, tayar lebih kecil, dan final drive lebih pendek, ini secara teori akan memberikan penambahbaikan pada pecutan Type-R. Dan model FK8 sebelum ini juga sudah cukup pantas.

 

Honda Civic Type R FL5 kini boleh didapati dengan spoiler gentian karbon

TIDAK seperti FK8 yang kelihatan seperti robot Gundam, Honda Civic Type R generasi baharu (FL5) hadir dengan reka bentuk yang lebih matang dan bersahaja. Pemilik yang ingin menyerlahkan lagi penampilan jentera mereka tanpa membuatkannya kelihatan terlalu agresif kini boleh mendapatkan kit aksesori oleh Honda Access.

Anda mungkin perlu melihat dengan teliti untuk membezakannya dengan versi standard. Ini kerana, untuk bahagian luaran, perubahannya terhad kepada cermin sisi berwarna merah dan juga spoiler belakang yang diperbuat daripada gentian karbon.

Menurut Honda, spoiler Honda Access ini 1 kg lebih ringan berbanding spoiler standard. Ia dipasang di atas tapak yang sama namun rekaan spoiler ini lebih aerodinamik dengan bahagian tengah yang menjungkit dan panel sisi yang lebih tajam.

Untuk ruang dalaman pula, pelanggan boleh menaikkan seri kabin menerusi aksesori seperti karpet eksklusif berwarna merah, tombol gear dengan balutan kulit dan trim gentian karbon untuk konsol tengah.

Lampu lopak (puddle lamp) yang memancarkan logo Type R, pengecas wayarles, filem perlindungan cat untuk bampar dan skirt sisi, lampu LED but dan luggage tray juga disediakan.

Menurut laporan, kit aksesori Honda Access ini akan ditawarkan untuk model pasaran Jepun sahaja. Harga masih belum diumumkan.

Apa pendapat anda tentang aksesori ini? Adakah anda akan membelinya atau tunggu penawaran yang lebih sporti dan agresif seperti kit Mugen?