Arkib Tag: CFMoto

CFMoto 450MT mendarat di Amerika Syarikat

Amerika Syarikat menjadi pasaran pertama yang menerima CFMoto Ibex 450 (450MT di pasaran global) kurang beberapa bulan selepas model itu didedahkan di EICMA, pada November lalu. 

Motosikal segmen ‘adventure’ itu merupakan model ketiga yang dikuasakan enjin dua silinder 449cc selepas 450NK dan 450SR. 

Bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula untuk tujuan ‘off-road’ dan kini menawarkan 44hp dan 44Nm dengan kuasa hadir lebih awal berbanding 450NK dan 450SR. 

Antara kelengkapan ditawarkan termasuk suspensi KYB depan dan belakang boleh laras masing-masing menawarkan jarak gerak 203mm. Sementara itu, pakej brek terdiri dari kaliper J.Juan 4-piston depan dan 1-piston di belakang. Menariknya, ABS didatangkan secara standard dan boleh dipadamkan ketika tunggangan ‘off-road’. 

Sebagai pelengkap, model ini juga dipasang tayar 21-inci depan dan 18-inci belakang serta panel meter TFT yang boleh disambungkan ke telefon pintar. 

Sementara itu, ciri lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh, penghadang angin boleh laras dan ruang pengecas USB. 

Menurut laporan, CFMOTO Ibex 450 ini dipasarkan di AS dengan harga jualan USD6,499 atau sekitar RM30k. 

Dalam pada itu, kami juga difahamkan model ini akan turut dipasarkan di Malaysia. 

CFMoto 1250 TR-G masuk pasaran Malaysia – RM88,888

PASARAN motosikal grand tourer tempatan kini menerima pesaing baharu dari jenama CFMoto iaitu 1250 TR-G.

Ia ditawarkan pada harga bermula dari RM88,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati di mana-mana pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia bermula minggu depan.

Bakal bersaing dengan model-model seperti BMW 1250 RT dan Benelli 1250 GT, jentera ini dipacu oleh enjin V-twin KTM bersesaran 1,279 cc yang mampu menghasilkan 140 hp pada 8,500 rpm dan 120 Nm pada 7,000 rpm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac slipper dan pacuan akhir jenis rantai. Kapasiti tangki bahan api motosikal ini adalah 22.7 liter manakala beratnya mencecah 304 kg.

1250 TR-G dilengkapi dengan penyerap hentak Marzocchi boleh laras, serta sistem brek dwi-cakera berukuran 320 mm di depan dan cakera tunggal 270 mm di belakang. Kedua-duanya dicengkam oleh angkup Brembo, selain dibantu ABS dwi-saluran.

Senarai kelengkapan yang disertakan pada motosikal berharga di bawah RM90,000 ini boleh tahan panjang. Antaranya termasuklah pendikit elektronik, tiga mod tunggangan (Sport, Comfort dan Rain), Cruise Control, Quickshifter dan Tyre Pressure Monitoring System.

Selain itu, ia juga didatangkan standard dengan lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL), dan skrin sentuh berukuran 12.3 inci dengan sambungan Bluetooth dan Apple CarPlay. Sistem audio JBL turut disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, CFMoto 1250 TR-G boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Nebula White dan Twilight Blue.

Motosikal KTM akan dihasilkan di China dan India sahaja selepas ini 

KTM dalam satu perkembangan terbaru membuat kejutan apabila mengumumkan perancangan untuk memindahkan kilang pembuatan utama dari Austria ke China dan India. 

Keputusan itu dibuat bagi memastikan jenama motosikal dari Austria itu dapat memenuhi permintaan semasa di samping meningkatkan jumlah pengeluaran sedia ada. 

Menurut Pierer Mobility Group (PMG), yang merupakan pemilik kepada KTM, Husqvarna, GasGas dan terbaru MV Agusta, perpindahan kilang pembuatan dan pemasangan itu akan dibantu CFMOTO di China dan Bajaj Auto di India. 

Untuk rekod, CFMOTO telah pun bertanggungjawab menghasilkan model 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global ketika ini sementara Bajaj pula mengendalikan model bawah 390cc. 

Buat masa ini, kilang utama di Austria bertanggungjawab menghasilkan model 890 Duke, 1290 Duke dan 1290 Super Adventure. Namun, perkembangan terbaru ini hampir pasti menyaksikan tanggungjawab itu akan digalas CFMOTO selepas ini. 

CFMOTO 800NK GP lengkap dengan ekzos SC Project SC1-R – 99.2hp

Pelbagai jenama motosikal baharu sudah timbul dari China antaranya Grand River (Haojue), Lifan, Loncin, Zongshen, Jialing, Jianshe, Qianjiang, Haojin, Shineray, Bashan, Jonway, Wuxi Futong dan Cyclone.

Namun, ada beberapa jenama dari China yang semakin mencuri tumpuan antaranya CFMOTO.

 

Pengeluar motosikal itu turut mendapat kepercayaan dari KTM bagi menghasilkan model 790 (Duke dan Adventure) untuk pasaran global. Baru-baru ini, Yamaha turut memilih CFMOTO bagi menghasilkan motosikal mereka untuk pasaran China. 

Selain itu, kerjasama dengan KTM juga menyaksikan CFMOTO memperkenalkan model mereka sendiri untuk pasaran global antaranya 800NK dan 800MT.

Terbaru, CFMOTO telah memperkenalkan keluarga baharu 800NK menerusi varian GP ketika pameran motosikal EICMA 2023 di Milan, Itali, November lalu.

CFMOTO 800NK GP merupakan model yang dibangunkan khas bagi meraikan pencapaian jenama itu di pentas sukan permotoran berprestij dunia. Ketika ini, CFMOTO mempunyai pasukan di Moto3 hasil kerjasama dengan PrustelGP. 

Hasilnya, 800NK GP menampilkan warna livery dan grafik yang diilhamkan dari PrustelGP. Namun, versi GP ini bukan sahaja tampil dengan grafik berbeza malah turut dilengkapi dengan komponen premium. 

Pertamanya, 800NK GP ini dipadankan bersama pakej brek Brembo Stylema serta fork depan boleh laras di bahagian depan. Bahagian belakang pula, CFMOTO menempatkan penyerap hentak jenama Öhlins. 

Aspek ergonomik juga telah dinaik taraf agar kedudukan penunggang lebih agresif antaranya dengan kedudukan ‘handlebar’ yang lebih rendah dan tempat letak kaki (foot rest) yang lebih tinggi. 

Sebagai pelengkap, 800NK GP ini juga telah dipasang dengan ekzos SC Project SC1-R. 

CFMoto tayang rangkaian motosikal baharu 2024 di EICMA

CFMOTO memanfaatkan acara EICMA di Fiera Milano bagi menayangkan rangkaian model-model 2024 mereka.

Syarikat dari Hangzhou, China ini merupakan antara pengeluar paling pesat membangun. Jadi, mari kita lihatkan apa yang bakal dibawa oleh mereka tahun depan.

125NK Concept

Pertama ialah bagi segmen 125cc, dengan 125NK Concept. Ia menggambarkan jentera yang seronok ditunggang dengan rekaan menyerlah.

125NK mendapat lengan ayun tunggal yang dibina bersama penutup gentian karbon di tayar belakang, manakala ekor yang tirus membaluti tempat duduk dan menempatkan ekzos sporti. Lampu depan adalah LED, dengan bahu dan tangki besar diapit oleh panel sisi yang unik.

MT-X Concept

Seterusnya ialah MT-X Concept dengan tema X. Model ini memfokuskan kepada visi berteknologi tinggi, dengan penggayaan unik bersama grafik dan warna oktanium.

Bahagian depan yang besar dan agresif dilengkapi dengan lampu LED. Motosikal ini juga mendapat skrin TFT sesentuh menegak 8-inci, sayap sisi terapung, rim depan 21-inci, jarak kelegaan tanah yang tinggi, dan suspensi tinggi.

Enjin 675

Enjin 675cc ini merupakan unit tiga-silinder pertama dari CFMoto, yang dibangunkan mereka sendiri. Ia menampilkan berat yang rendah, dengan ketahanan tinggi, pecutan pantas, dan penghantaran kuasa lancar.

Enjin ini mampu menghasilkan lebih 100hp dan 68Nm tork, dan menurut CFMoto, mampu memberikan pecutan ke 100km/j dalam masa hanya 3 saat. Sukar dipercayai?

450MT

Model seterusnya adalah jentera adventure, iaitu 450MT. Dengan enin 449cc parallel-twin yang ditala untuk menghasilkan 44hp pada 8,500rpm dan 44Nm pada 6250rpm, ia juga turut mendapat pengimbang khas untuk kelancaran respon dan mengurangkan gegaran.

Motosikal ini mempunyai berat sekitar 175kg. Ia turut hadir dengan suspensi KYB dengan pergerakan 200mm, pelarasan preload, ia dibina khas untuk ditunggang di jalan off-road. ABS dwi-saluran, Traction Control, dan paparan TFT dengan Bluetooth diberikan secara standard.

800NK GP

Bagi mereka yang berjiwa kelajuan, jangan risau, anda boleh lihat 800NK GP. Ini merupakan model paling berkuasa dalam rangkaian dan telah menjadi tunjang kepada projek Moto3 CFMoto.

Motosikal ini mempunyai posisi tunggangan sporti, dan komponen-komponen berorientasikan perlumbaan seperti suspensi boleh-laras, ekzos slip-on, pemijak kaki tinggi, bar hendal direndahkan, pelindung fork dan lengan ayun, serta konfigurasi satu tempat duduk.

CL-C Low Ride dan CL-X Spirit

Akhir sekali tidak ketinggalan ialah motosikal untuk para peminat kustom, dimana CFMoto mempertaruhkan CL-C Low Ride dan CL-X Spirit.

CL-C Low Ride didatangkan dengan ekor belakang gaya bobber, rim dengan tayar saiz besar, ekzos berkembar, tempat duduk dengan jahitan kontra, bahagian badan krom, dan tangki minyak berbentuk teardrop.

CL-X Spirit pula merupakan jentera scrambler yang dilengkapi ekzos berkembar dengan profil baharu, kemasan kulit premium, tayar off-road dengan rim spoke, suspensi dan brek dikemaskini, dan bingkai tubular.

KL Bike Show 2023: CFMoto 800NK Advanced menerpa pasaran Malaysia – RM38,888

PELANCARAN seterusnya di KL Bike Show 2023 ialah CFMoto 800NK Advanced, sebuah sportbike naked, ditawarkan pada harga RM38,888.

Motosikal ini menjadi penambahan tawaran kepada 800MT yang dilancarkan sebelum ini, berharga RM53,800.

Bagi 800NK, ia dipacu oleh enjin DOHC sejukan cecair dengan konfigurasi parallel-twin, berserta sistem EFI. Enjin ini mengeluarkan 99.2hp pada 9,500rpm dan 81Nm tork pada 8,000rpm.

Ia dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan dan slipper clutch. Dengan bahan api penuh dalam tangki 15 liter padanya, CFMoto 800NK Advanced ini mempunyai berat sekitar 183kg.

Suspensi adalah jenis KYB upside-down di depan, dan jenis monoshock boleh-laras di belakang. Brek pula adalah cakera bersaiz 320mm di depan dengan ABS Bosch sebagai standard, dan cakera 260mm di belakang.

800NK Advanced juga dilengkapi dengan paparan TFT-LCD 8-inci, sambungan telefon pintar, dan sistem Smart Key untuk menghidupkan enjin serta membuka ruang simpanan dan penutup tangki minyak.

CFMoto 700CL-X Adv buat kemunculan global, bakal tiba ke Malaysia, RM36k

CFMOTO telah memperkenalkan 700CL-X Adventure (ADV) di peringkat global di T=Istanbul, Turki semalam, serentak dengan pelancaran 450SR. Motosikal adventure ini akan mula memasuki pasaran Malaysia pada awal bulan April dengan harga jualan asas RM35,888 tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran.

Model ini cuma hadir dengan satu warna pilihan iaitu Aurora Blue. Mereka yang berminat boleh dapatkan di mana-mana pengedar sah CFMOTO seluruh Malaysia.

700CL-X ADV ialah model ketiga siri 700CL-X selepas Heritage (2020) dan Sport (2021). Berbeza dengan dua model pertama bagi siri tersebut, model Adventure ini lebih memfokuskan kepada para penunggang yang gemarkan cabaran mengembara.

700CL-X ADV dikuasakan oleh enjin 693cc dengan silinder berkembar sebaris dan teknologi DOHC serta sejukan cecair. Enjin Euro 5 ini mampu menghasilkan 69hp pada 6,500rpm dan 60.9Nm tork pada 6,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda melalui transmisi dengan klac slipper CF-SC dan mempunyai mod tunggangan jalanan serta off-road.

Berdasarkan kedudukan tunggangan 700CL-X Heritage, hendal dianjak ke atas sebanyak 30mm dan ke belakang sebanyak 15mm, dan postur lebih santai dan tenang untuk menangani hentakan luaran dan hayunan sisi ke sisi.

Menunggang sambil berdiri boleh dilakukan, yang mencerminkan gaya Scrambler. Kelegaan tanah adalah lebih tinggi daripada 700CL-X Heritage, dan fender hadapan dinaikkan untuk mengelakkan batu kelikir dan lumpur daripada tersangkut, menjadikannya lebih mudah dilalui di jalan tidak berturap.

Model ini hadir dengan kelebihan off-road lain seperti bingkai aloi aluminium yang kukuh dan kusyen pelana yang ditebalkan dua kali ganda. Suspensi adalah KYB 41mm terbalik boleh-laras di depan, dan KYB kantilever boleh-laras di belakang.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal 300mm dengan angkup Brembo Stylema di depan dan cakera 260mm di belakang, juga dengan angkup Brembo Stylema. Roda pula bersaiz 18-inci dan 17-inci masing-masing di depan dan belakang.

700CL-X juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya untuk depan, belakang dan low beam. Paparan instrumen pula menggunakan mono LCD.

Selain itu juga, 700CL-X ADV dilengkapi dengan T-box (pilihan) yang mempunyai modul 4G terbina dalam dan sensor 6D dan boleh menyemak paparan status kenderaan, kedudukan, jarak, dan sebagainya dalam masa nyata.

Dengan setiap pembelian CFMoto 700CL-X Adv, pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana dahulu).

CFMoto 450SR dah masuk pasaran Malaysia – 49 hp, brek Brembo, ABS, RM28,888

SELEPAS dipertontonkan di MotoGP Malaysia pada Oktober tahun lalu, CFMoto 450SR kini secara rasminya dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga RM28,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Menurut CFMoto Malaysia, model sport ini ditawarkan dalam warna hitam atau putih, dan boleh didapati di semua wakil pengedar bertauliah CFMoto di seluruh negara bermula minggu ini.

Dibangunkan berasaskan prototaip SR-C21, 450SR tampil dengan enjin silinder berkembar selari bersesaran 449 cc yang mampu menghasilkan 49.6hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 39 Nm pada 7,600 rpm.

Enjin itu mempunyai aci imbangan berganda untuk mengurangkan kesan getaran serta diposisikan pada kedudukan penting di pusat graviti motosikal bagi meningkatkan kestabilan tunggangan.

Ukuran dimensi jentera ini adalah 1,990 mm panjang, 735 mm lebar, 1,130 mm tinggi dan 1,370 mm bagi jarak roda. Kapasiti tangki bahan api adalah 14 liter, manakala berat mencecah 168 kg.

Untuk casis, 450SR menggunakan fork terbalik 37 mm dan penyerap hentak tunggal (monoshock), berserta tayar berukuran 110/70-R17 di hadapan dan 150/60-R17 di belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 320 mm dengan angkup Brembo empat omboh di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang. ABS juga tersedia.

Antara kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuklah paparan TFT melengkung berukuran lima inci dengan sistem navigasi dan memori. Turut disertakan adalah sistem T-Box yang mempunyai modul 4G terbina dalam dan sensor 6D.

Sensor tersebut membolehkan sambungan telefon pada kenderaan, di samping menyediakan fungsi seperti naik taraf perisian secara Over-the-Air, unit pengukuran inersia (IMU), rekod prestasi, anti-kecurian dan sebagainya.

Setiap pembelian 450SR didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km.