Arkib Tag: CATL

Tak perlu caj, teknologi penukaran bateri CATL hanya ambil masa 100 saat

Pengeluar bateri EV terbesar China, CATL, telah melancarkan teknologi penukaran bateri baharunya yang dinamakan Choco-SEB menerusi kumpulan pertama Changan Oshan 520.

Sebanyak 1,000 unit Oshan 520 telah diserahkan kepada sebuah syarikat teksi di Chongqing, menjadikan sedan elektrik itu kenderaan pertama yang menggunakan sistem penukaran bateri dari CATL ini.

Bateri Choco-SEB (Swapping Electric Block), dinamakan sempena rekaannya yang tidak ubah seperti bar coklat, membolehkan pemandu menukar bateri yang telah habis kepada bateri penuh dalam masa hanya 100 saat.

Teknologi ini direka untuk menjimatkan masa, terutama bagi kenderaan yang digunakan secara intensif seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing. Ia juga berpotensi mengubah cara EV kekal dicas di jalan raya.

Oshan 520, yang dibina berasaskan sedan berkuasa petrol Changan Eado, dilengkapi bateri LFP 56 kWj, motor elektrik 141 hp (105 kW) pada gandar hadapan, dan mampu mencapai jarak sehingga 515 km mengikut piawaian CLTC.

Ia dijual pada harga 166,800 yuan (sekitar RM113,000), menjadikannya pilihan mampu milik bagi EV dengan teknologi penukaran bateri.

Chongqing, iaitu bandar asal Changan, menjadi lokasi utama pelancaran teknologi ini. CATL telah membina 34 stesen penukaran bateri di bandar ini dan merancang untuk menambah 16 lagi menjelang akhir tahun 2025. Setiap stesen boleh menyimpan sehingga 30 bateri dan melakukan lebih daripada 800 penukaran setiap hari.

Dalam usahanya untuk menjadi teknologi ini lebih meluas, CATL merancang untuk membina 30,000 stesen penukaran bateri di seluruh China.

Ia juga bekerjasama dengan pengeluar kenderaan utama seperti GAC, SAIC, BAIC, FAW, Nio dan lain-lain untuk membangunkan lebih banyak EV yang menyokong sistem Choco-SEB. Antara model akan datang yang serasi termasuk GAC Aion S dan Hongqi E-QM5.

Dengan masa penukaran yang jauh lebih pantas berbanding pengecasan pantas biasa, teknologi CATL ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk pemandu EV yang tidak mampu menunggu lama, terutamanya bagi kenderaan komersial.

Jika diperluaskan, pertukaran bateri mungkin menjadi ciri standard dalam pasaran EV yang semakin berkembang di China.

Bateri CATL cas 10 minit mampu dapat 400km, jarak maksima hingga 700km

SYARIKAT gergasi bateri, CATL baru mempersembahkan produk terbaharu mereka, iaitu ShenXing yang dikatakan mampu memperoleh jarak 400km dengan hanya mengecas selama 10 minit.

CATL berkata bateri baharu untuk EV itu akan mampu membekalkan sehingga 700km jarak pemanduan, walaupun mereka tidak mendedahkan jenis kenderaan untuk angka ini (saiz, berat, dan sebagainya).

Tetapi ini tetap suatu angka dan prestasi menarik walaupun jika dipasang pada kenderaan EV saiz sederhana.

Menurut CATL, nama ShenXing diambil dari frasa purba China, yang bermaksud laju atau pantas. Dan ia memang pantas untuk mengecas jika mampu mendapat 400km dalam hanya 10 minit. Ini bersamaan dengan pengecasan dari 20 hingga 80 peratus dalam masa 10 minit.

Pengecasan super pantas ini bukan satu-satunya ciri menarik bateri ShenXing. Ia juga membekalkan sehingga 700km yang menyamai kenderaan ICE biasa. CATL turut berkata pecutannya tetap mantap walaupun pada suhu rendah.

Kebolehan pengecasan pantas bateri ShenXing boleh dibuat pada julat suhu yang luas. Ia dikatakan prestasi mengecasnya pada suhu rendah adalah sama dengan suhu tinggi. Menurut pembentangan CATL, tiada masalah untuk mengecas walaupun pada suhu -10 darjah Celsius.

ShenXing merupakan bateri LFP (lithium ion phosphate) pertama dunia dengan pengecasan pantas 4C. Antara teknologi yang dibawa adalah cathode rangkaian super elektronik, graphite ring ion pantas, elektrolit superkonduktor, filem Solid Electrolyte Interface (SEI) ultra-nipis, dan high porosity separator.

CATL berkata bateri ShenXing ini akan mula didapati pada kereta-kereta EV mewah, tetapi mereka berhasrat menawarkan bateri itu pada lebih banyak jenis kenderaan. Buat masa ini, rakan kongsi CATL termasuklah Chery Automobile, Changan Auto, Neta Auto, Zeekr, dan Great Wall Motor.

https://www.youtube.com/watch?v=XyymechmV2g

Chery, CATL jalin kerjasama bangunkan teknologi tenaga baharu

Chery Group menandatangani perjanjian rangka kerja kerjasama strategik dengan Contemporary Amperex Technology Co., Limited. (CATL), di mana kedua-dua pihak akan menjalankan kerjasama menyeluruh dalam bidang produk, perdagangan, promosi pasaran dan sumber maklumat komersial.

Selain pembekalan bateri dan kerjasama teknikal dalam bidang kenderaan penumpang, kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka bidang pengangkutan awam, integrasi teknologi EIC tenaga baharu dan pertukaran bateri untuk bas, kenderaan logistik, trak berat dan kapal elektrik.

Antara beberapa enjin baharu Chery yang sedang dibangunkan

CATL, pengeluar bateri litium-ion terbesar di dunia untuk EV, menumpukan pada penyelidikan, pembangunan, pengeluaran dan penjualan bateri traction dan sistem penyimpanan tenaga untuk kenderaan tenaga baharu (NEV), dan kekal komited untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh bagi aplikasi tenaga baharu global.

Di peringkat global, syarikat tersebut telah membekalkan bateri traction kepada banyak pengeluar kenderaan terulung, dan telah menduduki tempat pertama selama lima tahun berturut-turut.

Enjin 2.0 TGDI Chery

Chery telah terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tenaga baharu seawal 1999. Sepanjang dua dekad yang lalu, Chery telah membangunkan sistem R&D holistik teknologi tenaga baharu, termasuk integrasi kenderaan, teknologi teras dan keupayaan pembangunan komponen teras.

Syarikat itu telah mencatat kemajuan penting dalam bidang teras seperti teknologi EIC dan teknologi ringan. Ia telah memohon lebih 900 paten tenaga baharu dan memperoleh lebih 600 paten setakat ini, menduduki tempat pertama di kalangan perusahaan kenderaan China, dan ketiga di peringkat global.

Chery telah membentuk pelan pembangunan teknologi ‘457’ yang melibatkan empat platform trenkuasa kenderaan, lima subsistem umum dan tujuh teknologi teras, meliputi sedan dari segmen A hingga C dan SUV dari segmen B hingga D, merangkumi kuasa elektrik, hibrid, extended-range, sel bahan api dan teknologi tenaga baharu yang lain.

Chery Tiggo 8 Pro e+

Dari segi teknologi hibrid, Chery telah berjaya membangunkan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) fungsi penuh pertama di dunia, menerajui pembangunan teknologi hibrid di dunia dengan kelebihan unik ‘3 enjin, 3 gear, 9 mod operasi dan 11 kelajuan’.

Dalam bidang tenaga baharu pula, Chery telah menjual lebih 210,000 kenderaan tenaga baharu (+182% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya) dalam tempoh 10 bulan pertama 2022.