Arkib Tag: BRZ

Subaru BRZ turbo AWD akhirnya jadi realiti – tapi hanya untuk rali, bukan untuk dibeli

Selama bertahun-tahun, peminat Subaru mahukan BRZ yang lebih ‘garang’ dengan enjin turbo. Kini, Subaru akhirnya merealisasikan idea itu, tetapi bukan dalam bentuk kereta jalan raya yang boleh dibeli oleh orang awam.

Sebaliknya, BRZ turbo dengan sistem pacuan semua roda (AWD) ini dibangunkan khas sebagai jentera rali untuk All Japan Rally Championship.

Dibangunkan khusus untuk sukan permotoran

Model ini pertama kali diperlihatkan di Mobility Resort Motegi, bersempena pembukaan siri Super Taikyu. Ia merupakan antara projek terawal daripada unit baharu Subaru, iaitu Sports Vehicle Planning Office yang akan ditubuhkan secara rasmi pada 1 April.

Subaru BRZ versi standard

Dari segi rupa, BRZ rally ini tampil lebih ekstrem dengan jarak lega tanah lebih tinggi, fender lebar, serta spoiler belakang yang besar. Ia juga dilengkapi tayar berprestasi tinggi untuk kegunaan permukaan lasak.

Antara perubahan lain termasuk scoop bonet, bampar depan baharu dengan gril lebih besar, bonet berliang, serta rekaan belakang yang dikemas kini.

Enjin turbo, sistem AWD tetapi perincian masih rahsia

Selain enjin turbo dan sistem AWD, spesifikasi terperinci mengenai jentera rali ini masih belum didedahkan.

Subaru HiPerfX2

Besar kemungkinan, trenkuasa dan sistem pacuan berkenaan ini diambil daripada platform WRX rally sedia ada bagi menjimatkan kos pembangunan. Ini merupakan strategi yang sama digunakan pada jentera HiPerfX2.

Akan berlumba tahun ini

Menurut laporan media Jepun, jentera ini dijangka membuat kemunculan dalam All Japan Rally Championship pertengahan musim ini, dengan pelumba berpengalaman, Toshihiro Arai, sebagai pemandu utama.

Versi jalan raya?

Setakat ini, Subaru belum mengesahkan sebarang versi jalan raya. Namun, ramai peminat berharap projek ini menjadi ‘pembuka jalan’ kepada BRZ turbo AWD produksi pada masa depan.

Subaru BRZ Cup dengan rim kompang, sedia masuk litar!

SUBARU BRZ telah berada dalam pasaran Jepun sejak 2013, dengan beberapa versi diperkenalkan seperti RA dan Cup Car Basic.

Untuk 2024, coupe sports untuk peminat tegar pemanduan ini mendapat kemas kini baharu, tetapi masih murah.

Anda masih dapat rim steelies (kompang/besi) 16-inci dengan tayar 205/55 biasa, ini kerana Subaru tahu anda pasti akan tukar sebaik sahaja kereta dibeli.

Yang penting adalah bahagian-bahagian lain, seperti roll-cage enam-poin dan bar sisi yang telah dimodifikasi. BRZ Cupa Car Basic 2024 ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan EyeSight sebagai standard, sesuatu yang tidak disangka untuk kereta kegunaan litar.

Sama seperti sebelum ini, versi hardcore ini tidak dilengkapi dengan beg udara, malah tiada penebat bunyi. Tempat duduk pemandu siap dengan lubang untuk tali pinggang keledar enam-poin manakala karpet juga berbeza.

Subaru juga memasang penyejuk minyak enjin tambahan dan sirip udara untuk mengalirkan udara ke pembeda belakang.

Dari segi berat, BRZ Cup ini tidak banyak berbeza dengan versi biasa kerana ia masih mempunyai pendingin hawa. Beg udara pemandu telah dinyah-aktifkan dan tidak akan meletup jika berlaku perlanggaran kerana bukaannya telah dihalang dengan roll-cage.

Apa pun, Subaru BRZ Cup ini sedia untuk menyertai acara kompetitif seperti track day, perlumbaan one-make, drifting, atau gymkhana sebaik sahaja keluar bilik pameran. Tukar sahaja rim dan tayar, dan anda boleh terus daftarkan nama dalam acara.

Jentera ini berharga USD24,373 (RM115,812) di Amerika Syarikat, dikira agak murah jika dibandingkan dengan BRZ biasa yang berharga USD30,195 (RM143,476).

Subaru BRZ Touge dapat jajan sporti dan warna ikonik, untuk Itali sahaja

SUBARU BRZ baru tiba untuk pasaran Itali dan untuk mengubati ‘kelewatan’ itu, mereka memberikan kereta sports itu dengan edisi Touge, lengkap dengan beberapa ‘jajan’.

Diilhamkan dari istilah Jepun iaitu pemanduan di pergunungan, BRZ itu dikeluarkan sebanyak 60 unit sahaja, dengan harga 49,500 Euro (RM247,033). Harga ini difahamkan kira-kira dua kali ganda dari harga kereta standard.

Jadi, apa yang anda dapat selain dari status edisi terhad? Pertamanya, ia hadir dengan warna Blue Pearl yang ikonik, disulami dengan rim OZ Racing Ultraleggera Race Gold bersaiz 18-inci. Rim ini dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40.

Pastinya kombinasi rim dan warna ini cukup menyerlah dan cantik. Untuk perbandingan, versi standard hadir dengan rim 18-inci Dark Gray berserta tayar Yokohama BluEarth Winter V905.

BRZ Touge juga dilengkapi kit badan lebih sporti dengan spoiler dan skirting sisi, serta tip ekzos berkembar hasil talaan Supersprint iaitu syarikat Itali. Ekzos ini juga bertulis “Subaru BRZ Touge”.

Nadi kepada BRZ ini masih enjin 2.4-liter dengan output 231hp dan 250Nm tork, tiada perubahan. Tetapi versi Touge hanya hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan, yang juga dipadankan dengan limited-slip differential (LSD).

Subaru BRZ dilancarkan untuk pasaran Malaysia kira-kira setahun lepas sebelum kembarnya, Toyota GR86 tiba pada Februari.

Tiada sebarang edisi khas untuk Malaysia buat masa ini. Tetapi jika dapat versi lebih sporti seperti Touge menarik juga, kan?

Subaru BRZ tS tampil dengan suspensi talaan STI, brek Brembo

ACARA Subiefest California yang berlangsung pada 23 Julai lalu menyaksikan kemunculan Subaru BRZ tS baharu. Menurut syarikat itu, versi ini telah dinaik taraf bagi menawarkan prestasi pengendalian yang lebih baik.

Pertama sekali, BRZ tS didatangkan dengan peredam Hitachi pada bahagian depan dan belakang yang telah ditala khusus oleh STI, sekaligus menjadikan ia lebih fleksibel dan stabil ketika beraksi di selekoh.

Satu lagi penambahbaikan yang terdapat pada versi ini adalah sistem brek Brembo berprestasi tinggi dengan angkup depan dan belakang yang dicat warna kuning seakan emas.

Sistem brek ini merangkumi pad dan cakera yang lebih besar, yang memberikan kuasa membrek yang lebih tinggi, serta ketahanan pudar (fade resistance) dan  feel pedal yang lebih baik. Turut disertakan adalah tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40 R18.

Dari segi penampilan, BRZ tS boleh dibezakan menerusi lencana “tS” yang diletakkan pada gril depan dan bonet, dengan cermin sisi dan antena sirip jerung dalam warna Crystal Black Silica.

Menurut Subaru, versi ini boleh didapati dalam semua warna yang ditawarkan untuk rangkaian BRZ bagi model tahun 2024, semuanya dipadankan dengan rim aluminium aloi berukuran 18 inci dalam kemasan kelabu gelap.

Ruang kabinnya pula menampilkan upholsteri hitam yang dikontraskan dengan jahitan biru yang hanya boleh didapati pada versi tS. Logo STI yang ikonik didapati tertera pada butang penghidup enjin dan kluster instrumen digital tujuh inci.

Sayangnya, tiada sebarang perubahan pada bahagian enjin. Seperti versi standard, BRZ tS dikuasakan oleh enjin boxer 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 228 hp dan 249 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi manual enam kelajuan, melalui limited-slip differential Torsen.

Sebagai sebahagian daripada kemaskini model tahun 2024 yang diumumkan oleh Subaru sebelum ini, BRZ (versi manual sahaja) kini dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu EyeSight.