Subaru BRZ turbo AWD akhirnya jadi realiti – tapi hanya untuk rali, bukan untuk dibeli

Subaru BRZ AWD rally

Selama bertahun-tahun, peminat Subaru mahukan BRZ yang lebih ‘garang’ dengan enjin turbo. Kini, Subaru akhirnya merealisasikan idea itu, tetapi bukan dalam bentuk kereta jalan raya yang boleh dibeli oleh orang awam.

Sebaliknya, BRZ turbo dengan sistem pacuan semua roda (AWD) ini dibangunkan khas sebagai jentera rali untuk All Japan Rally Championship.

Dibangunkan khusus untuk sukan permotoran

Model ini pertama kali diperlihatkan di Mobility Resort Motegi, bersempena pembukaan siri Super Taikyu. Ia merupakan antara projek terawal daripada unit baharu Subaru, iaitu Sports Vehicle Planning Office yang akan ditubuhkan secara rasmi pada 1 April.

Subaru BRZ exterior
Subaru BRZ versi standard

Dari segi rupa, BRZ rally ini tampil lebih ekstrem dengan jarak lega tanah lebih tinggi, fender lebar, serta spoiler belakang yang besar. Ia juga dilengkapi tayar berprestasi tinggi untuk kegunaan permukaan lasak.

Antara perubahan lain termasuk scoop bonet, bampar depan baharu dengan gril lebih besar, bonet berliang, serta rekaan belakang yang dikemas kini.

Enjin turbo, sistem AWD tetapi perincian masih rahsia

Selain enjin turbo dan sistem AWD, spesifikasi terperinci mengenai jentera rali ini masih belum didedahkan.

Subaru HiPerfX2
Subaru HiPerfX2

Besar kemungkinan, trenkuasa dan sistem pacuan berkenaan ini diambil daripada platform WRX rally sedia ada bagi menjimatkan kos pembangunan. Ini merupakan strategi yang sama digunakan pada jentera HiPerfX2.

Akan berlumba tahun ini

Menurut laporan media Jepun, jentera ini dijangka membuat kemunculan dalam All Japan Rally Championship pertengahan musim ini, dengan pelumba berpengalaman, Toshihiro Arai, sebagai pemandu utama.

Versi jalan raya?

Setakat ini, Subaru belum mengesahkan sebarang versi jalan raya. Namun, ramai peminat berharap projek ini menjadi ‘pembuka jalan’ kepada BRZ turbo AWD produksi pada masa depan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved