Arkib Tag: br-v

Honda WR-V rasmi tiba di Malaysia, bermula dari RM89,900

SATU model yang ditunggu-tunggu tahun ini dari Honda telah dilancarkan, iaitu WR-V. Ianya sebuah SUV segmen-B dalam kelas yang sama dengan Perodua Ativa.

WR-V juga mengambil tempat BR-V yang generasi baharunya tidak dibawa masuk ke Malaysia, walaupun kedua-dua model ini merupakan kenderaan berbeza (BR-V 7 tempat duduk, WR-V 5 tempat duduk).

Baik, kita terus fokus ke WR-V. Empat varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga seperti berikut:

WR-V 1.5 S: RM89,900
WR-V 1.5 E: RM95,900
WR-V 1.5 V: RM99,900
WR-V 1.5 RS: RM107,900

Dari segi dimensi, ia berukurans 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 207mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter DOHC i-VTEC dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan kamera undur pelbagai paparan, paddle-shifter, dan sistem Honda Connect. Ciri keselamatan pula terdiri dari Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara.

Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl.

Honda recall: 1,527 kenderaan terlibat – City, City Hatchback, HR-V dan BR-V

HONDA Malaysia mengumumkan panggil semula (recall) beberapa produk merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V atas tujuan keselamatan. Sejumlah 1,527 kenderaan terlibat, dengan perincian seperti berikut:

Situasi A

City (2021) dan City Hatchback (2022) – 1,068 unit

Situasi B

HR-V (2020) – 343 unit
BR-V (2021) – 116 unit

Untuk Situasi A, recall melibatkan pemeriksaan nat pada Alternating Current Generator (ACG) pada wayar enjin. Ini mungkin menyebabkan sentuhan kurang baik pada terminal dan bateri yang boleh menjurus kepada enjin tersengguk atau mati semasa memandu, atau enjin tidak boleh dihidupkan selepas berhenti.

Untuk Situasi B pula, pemeriksaan diperlukan untuk memeriksa bolt earth grounding yang boleh menyebabkan kelonggaran wayar enjin. Ini juga boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa semasa memandu atau sukar untuk dihidupkan selepas berhenti.

Honda Malaysia memohon maaf di atas kesulitan dan menegaskan bahawa model yang sedang dijual tidak terlibat dalam recall ini.

Setakat ini juga, tiada kes atau insiden dilaporkan dari isu ini di Malaysia.

Semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui surat. Honda Malaysia memohon mereka yang terlibat untuk membuat temujanji di mana-mana pusat servis sah untuk memeriksa kenderaan mereka dan membaiki jika perlu.

Seperti biasa, semua pemeriksaan, baik pulih dan penggantian komponen untuk recall ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia sepenuhnya.

Honda BR-V terima warna baharu Ignite Red dan Meteoroid Gray, harga kekal dari RM87k

HONDA Malaysia mengumumkan dua warna baharu untuk BR-V, iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic.

Warna-warna ini menggantikan Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic yang kini tidak lagi ditawarkan.

Sementara itu tiga warna lain dikekalkan iaitu Platinum White Pearl, Marine Purple Pearl dan Lunar Silver Metallic.

“Warna baharu ini mendapat maklum balas yang baik dari pasaran (sebelum ini ditawarkan pada model lain seperti Civic dan City), jadi kami tawarkannya kepada crossover tujuh tempat duduk, iaitu BR-V,” kata Hironobu Yoshimura, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia.

Selain dari warna, aspek lain pada BR-V dikekalkan, dimana ia dipacu enjin 1.5-liter SOHC i-VTEC 4-silinder yang menjana 120PS dan 145Nm tork. Output dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT.

Harga juga tidak berubah. Honda BR-V dijual pada harga RM86,726 untuk varian E dan RM93,420.27 untuk V.

Honda Malaysia juga berkongsi bahawa sejak BR-V diberikan facelift pada Jun 2020, mereka telah menjual 5,700 unit sehingga April tahun ini.

Honda BR-V baharu 2022 dilancar di Indonesia, ciri lebih premium, harga bermula RM76k

HONDA BR-V 2022 serba baharu telah diperkenalkan untuk pasaran Indonesia menampilkan rekaan lebih segar serta kelengkapan lebih moden dan terkini.

BR-V generasi kedua ini dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific dan sememangnya merupakan versi produksi untuk konsep N7X yang pernah dipertontonkan sebelum ini.

Di Indonesia, Honda BR-V terbaharu ini ditawarkan dalam empat varian iaitu S, E, Prestige, dan Prestige with Honda Sensing. Menurut Honda, model ini mempunyai tahap kelegaan tanah 220mm iaitu 20mm lebih dari BR-V generasi pertama.

Dari segi rupa luaran, crossover tujuh tempat duduk ini diberikan rekaan lebih bersegi dan lebih kemas berbanding sebelumnya. Garisan-garisan juga lebih kemas, seperti bahagian sisi yang tiada lagi garisan tingkap yang ‘bertangga’, sebaliknya hanya satu garisan karakter panjang.

Ia mendapat lampu depan baharu dengan DRL berbentuk-L, lampu kabus, skid plate depan dan belakang, rim 17-inci baharu, dan lampu LED belakang yang menyerupai Honda City.

Enjin juga dikemaskini, dimana BR-V baharu dikuasakan oleh unit 1.5-liter i-VTEC DOHC yang dipertingkat. Output tidak banyak berbeza, iaitu 119hp pada 6,600rpm, cuma tork 145Nm kini hadir pada rpm lebih rendah iaitu 4,300rpm berbanding 4,600 sebelumnya. Transmisi masih kekal CVT Earth Dreams.

Masuk ke bahagian kabin, Honda BR-V baharu menampilkan unit infotainmen yang terbina di dalam papan pemuka, bersaiz tujuh-inci dan menyokong sambungan telefon pintar. Paparan instrumen pula menerima grafik baharu seakan Honda City dengan skrin TFT 4.2-inci di tengah.

Menekankan keselesaan dan praktikaliti, Honda BR-V baharu kini diberikan perehat tangan untuk tempat duduk baris kedua berbanding hanya pada tempat duduk depan sebelum ini.

Ciri lain adalah butang penghidup enjin, kunci pintar dengan ciri penghidup kawalan jauh, soket 12-volt pada tempat duduk baris ketiga dan ruang storan lebih banyak. Honda juga berkata BR-V menawarkan ruang kargo paling besar dalam kelasnya.

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, ciri keselamatan amat dititikberatkan. Honda BR-V menerima kamera Honda LaneWatch serta Honda Sensing yang merangkumi fungsi termaju seperti Lane Keep Assist System (LKAS), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Automatic High Beam (AHB).

Honda juga memperkenalkan satu ciri baharu pada BR-V ini iaitu Lead Car Departure Notification (LCDN) yang memberi amaran apabila kereta hadapan mula bergerak (hampir sama seperti Front Departure Alert pada ASA Perodua).

Menurut AutonetMagz, Honda BR-V ini dilaporkan akan dijual pada harga bermula 260 juta rupiah (RM76,400) dan hanya akan dijual bermula Januari 2022 depan. Rasanya bila pula BR-V ini dilancarkan di Malaysia ya?