fbpx

Honda BR-V baharu 2022 dilancar di Indonesia, ciri lebih premium, harga bermula RM76k

honda br-v 2022 indo 01

HONDA BR-V 2022 serba baharu telah diperkenalkan untuk pasaran Indonesia menampilkan rekaan lebih segar serta kelengkapan lebih moden dan terkini.

BR-V generasi kedua ini dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific dan sememangnya merupakan versi produksi untuk konsep N7X yang pernah dipertontonkan sebelum ini.

Di Indonesia, Honda BR-V terbaharu ini ditawarkan dalam empat varian iaitu S, E, Prestige, dan Prestige with Honda Sensing. Menurut Honda, model ini mempunyai tahap kelegaan tanah 220mm iaitu 20mm lebih dari BR-V generasi pertama.

Dari segi rupa luaran, crossover tujuh tempat duduk ini diberikan rekaan lebih bersegi dan lebih kemas berbanding sebelumnya. Garisan-garisan juga lebih kemas, seperti bahagian sisi yang tiada lagi garisan tingkap yang ‘bertangga’, sebaliknya hanya satu garisan karakter panjang.

Ia mendapat lampu depan baharu dengan DRL berbentuk-L, lampu kabus, skid plate depan dan belakang, rim 17-inci baharu, dan lampu LED belakang yang menyerupai Honda City.

Enjin juga dikemaskini, dimana BR-V baharu dikuasakan oleh unit 1.5-liter i-VTEC DOHC yang dipertingkat. Output tidak banyak berbeza, iaitu 119hp pada 6,600rpm, cuma tork 145Nm kini hadir pada rpm lebih rendah iaitu 4,300rpm berbanding 4,600 sebelumnya. Transmisi masih kekal CVT Earth Dreams.

Masuk ke bahagian kabin, Honda BR-V baharu menampilkan unit infotainmen yang terbina di dalam papan pemuka, bersaiz tujuh-inci dan menyokong sambungan telefon pintar. Paparan instrumen pula menerima grafik baharu seakan Honda City dengan skrin TFT 4.2-inci di tengah.

Menekankan keselesaan dan praktikaliti, Honda BR-V baharu kini diberikan perehat tangan untuk tempat duduk baris kedua berbanding hanya pada tempat duduk depan sebelum ini.

Ciri lain adalah butang penghidup enjin, kunci pintar dengan ciri penghidup kawalan jauh, soket 12-volt pada tempat duduk baris ketiga dan ruang storan lebih banyak. Honda juga berkata BR-V menawarkan ruang kargo paling besar dalam kelasnya.

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, ciri keselamatan amat dititikberatkan. Honda BR-V menerima kamera Honda LaneWatch serta Honda Sensing yang merangkumi fungsi termaju seperti Lane Keep Assist System (LKAS), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Automatic High Beam (AHB).

Honda juga memperkenalkan satu ciri baharu pada BR-V ini iaitu Lead Car Departure Notification (LCDN) yang memberi amaran apabila kereta hadapan mula bergerak (hampir sama seperti Front Departure Alert pada ASA Perodua).

Menurut AutonetMagz, Honda BR-V ini dilaporkan akan dijual pada harga bermula 260 juta rupiah (RM76,400) dan hanya akan dijual bermula Januari 2022 depan. Rasanya bila pula BR-V ini dilancarkan di Malaysia ya?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved