Arkib Tag: bola sepak

Tiga unit Kia Carnival 2022 diserah kepada FAM untuk skuad Harimau Malaya

KIA menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 baharu untuk kegunaan barisan jurulatih skuad Harimau Malaya.

Penyerahan itu adalah sebahagian dari kerjasama strategik antara jenama itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MPV-MPV itu akan memudahkan urusan kerja Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan pemerhatian terhadap pemain-pemainnya di seluruh negara selain digunakan untuk melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata: “DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.”

Kia Carnival 2022 merupakan versi CKD yang dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah, dan hadir dengan varian 7 dan 8 tempat duduk. Ia dijual pada harga antara RM231,228.80 hingga RM261,228.90.

Carnival 2022 dipacu oleh enjin 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

Castrol Game Changer tawar hadiah tonton perlawanan EPL di England

CASTROL selaku antara syarikat pelincir terkemuka telah menandatangani penajaan eksklusif dengan English Premier League (EPL) untuk dua tahun setengah, bermula Januari 2022.

Penajaan antarabangsa ini merupakan susulan tajaan sebelumnya seperti FIFA World Cup dan UEFA European Championship. Sebagai liga bola sepak dengan jumlah tontonan tertinggi di dunia, EPL ditayangkan di lebih 643 juta rumah, dengan potensi tontonan sebanyak 4.7 bilion.

Melalui penajaan ini, Castrol berharap dapat menonjolkan perniagaan servis dan penyelenggaraan kepada lebih ramai pelanggan.

Dalam pada itu, Castrol Malaysia akan mengadakan beberapa pertandingan dan aktiviti bagi meraikan perkembangan terbaharu ini.

Untuk pertandingan Castrol EPL Original Moment, anda boleh kongsikan saat-saat bola sepak anda di media sosial sepanjang tempoh pertandingan berlangsung.

Untuk aktiviti pula, setiap dua minggu, anda akan mendapat soalan-soalan dan permainan berkaitan perlawanan bola sepak.

Selain itu, Castrol X EPL Rover juga akan ke beberapa lokasi utama sepanjang Mei hingga September depan bagi mempromosikan pertandingan Castrol Game Changer.

Semasa lawatan-lawatan ini, anda berpeluang memenangi pelbagai barangan Castrol X EPL dengan setiap pembelian minyak enjin Castrol Magnatec dan Castrol Edge.

Paling menarik, Castrol Game Changer ini akan memilih 20 pelanggan bertuah (dengan pasangan masing-masing) untuk bersaing dalam Race Off, dan lapan pasukan akan mara ke acara akhir dengan hadiah utama tiket perlawanan EPL di England pada 2023!

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.castrol.com/en_my/malaysia/home/epl-game-changers.html.

“Tiada di Jepun, rasa macam raja!” Penyokong Kawasaki Frontale teruja bas pemain diiring polis

BANYAK perkara yang telah mencuri perhatian penyokong pasukan Kawasaki Frontale sejak tiba di Malaysia untuk mengharungi saingan kumpulan I, AFC Champions League 2022 di Johor Bahru.

Paling mendapat perhatian mereka adalah ketika pasukan juara J1 League itu dalam perjalanan ke Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, dimana bas yang membawa pemain dan pegawai pasukan diiringi oleh sebuah kereta peronda PDRM bagi melancarkan perjalanan.

Pelbagai reaksi diterima melalui laman sosial kelab. Rata-rata mereka teruja melihat perkara itu berlaku kepada sebuah kelab bola sepak asing di Malaysia.

Antara komen-komen di Twitter adalah, “Rasa macam raja!”, “Layanan VIP yang sangat hebat!”, dan “Tak dapat benda macam ni kalau di Jepun.”

“Orang penting kerajaan pun bukan tapi perkara macam ni berlaku, sungguh menakjubkan! Lebih-lebih lagi bagi sebuah kelab bola sepak,” komen seorang lagi penyokong di Twitter.

Inilah sebahagian reaksi penyokong kelab Kawasaki Frontale melihat bas dinaiki pemain pasukan diiringi kereta peronda Honda Civic PDRM. Bas itu dikatakan sedang melalui jalan yang agak sesak menuju ke stadium.

Mungkin pada kita perkara ini adalah biasa dan tidak menghairankan, tetapi bagi rakyat Jepun ianya sesuatu yang asing.

Iyalah, sedangkan menteri-menteri dan orang tertinggi dalam kerajaan mereka pun tidak dapat ‘layanan istimewa’ iringan sebegini.

Jika ada pun semasa konvoi Maharaja Jepun, setiap kereta pengiring akan mempunyai seorang pegawai yang mengeluarkan badannya di tingkap, memberi isyarat supaya ‘memperlahankan kenderaan’ untuk tempoh ‘sekejap’ sahaja, dan bukan memberhentikan trafik.

Aston Martin dan JDT jalin kerjasama, bakal keluar edisi terhad

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama bersejarah dengan pengeluar kereta sports British, Aston Martin. Dalam majlis ringkasi di ibu pejabat JDT petang tadi, kerjasama itu dikatakan akan mengukuhkan lagi nama Harimau Selatan sebagai peneraju bolasepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Aston Martin mendapat hak untuk mengeluarkan edisi kash JDT dan akan dijual oleh kelab.

“JDT amat berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan ibu pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom (UK) dan pejabat Asia.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

“JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.”

JDT sebelum ini telah menjalin kerjamasa dengan gergasi antarabangsa lain seperti Nike, Hublot, Subway, SWAG EV dan Unicef.

Kerjasama-kerjasama itu menunjukkan peningkatan jenama kelab sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas melakukan transformasi sejak 2013.

Setakat ini kami belum mempunyai sebarang maklumat mengenai model mana yang akan dijadikan edisi terhad JDT itu, tapi kami rasa mungkin DBX atau Vantage. Anda rasa yang mana akan dijadikan edisi terhad itu?

Gambar oleh: JOHOR DARUL TA’ZIM FC