Arkib Tag: automotif

Tahun 2022 cipta sejarah! Jualan kereta paling tinggi di Malaysia

INDUSTRI automotif tempatan mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan jualan keseluruhan industri (TIV) tertinggi bagi 2022.

Sebanyak 720,658 unit kenderaan terjual dalam negara selepas angka jualan mengalami penurunan dua tahun berturut-turut (2020 dan 2021).

Menurut Harian Metro, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata: “Pencapaian TIV itu adalah rekod tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah industri automotif tempatan.

“Pencapaian bersejarah itu juga mengatasi sasaran MAA iaitu 630,000 unit yang ditetapkan Julai tahun lalu.

“TIV 2022 melepasi paras 700,000 unit buat kali pertama dalam sejarah walaupun dibayangi pelbagai cabaran seperti peralihan ke fasa endemik, dasar sifar Covid-19 China, pergolakan geopolitik Rusia-Ukraine, perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China serta isu rantaian bekalan,” tambahnya.

Menurut Aishah, di peringkat domestik pula, pasaran berdepan cabaran isu bekalan cip dan ketidaktentuan politik yang berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pencapaian TIV tahun lalu mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2015 iaitu sebanyak 666,674 unit.

Aishah berkata, prestasi TIV itu turut didorong oleh keputusan pihak berkuasa memberi lanjutan pengecualian cukai jualan sejak 2021 sehingga 30 Jun 2022 dan kadar faedah yang lebih rendah pada 2021.

Menurutnya, 60 peratus daripada TIV 2022 juga disumbangkan oleh jualan kenderaan nasional, yang didominasi Perodua dan Proton, manakala segmen kenderaan penumpang (641,773 unit) dan komersial (78,885 unit) turut merekodkan jualan tertinggi tahun lalu.

Manakala bagi jumlah pengeluaran insdustri (TPV) pula, beliau berkata, kenderaan baharu pada 2022 meningkat 220,624 unit naik 45.8 peratus kepada 702,275 unit berbanding 481,651 unit pada 2021.

Mengenai unjuran TIV bagi tahun ini, Aishah berkata, MAA menyasarkan TIV sebanyak 650,000 di mana suku pertama ini jualan tidak akan mengalami sebarang isu berikutan pengecualian cukai akan tamat pada Mac 2023, namun ia dijangka akan lebih perlahan berikutan tiada insentif yang akan diberikan untuk industri automotif tahun ini.

Bajet 2023: Ini perkara berkaitan automotif dan pengangkutan yang perlu anda tahu

BAJET 2023 telah pun dibentangkan petang tadi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Berikut adalah antara hal berkaitan sektor automotif dan pengangkutan yang telah diumumkan:

– Geran one-off bernilai RM1,000 untuk semua syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pemandu teksi berdaftar. Bantuan ini dijangka memanfaatkan seramai satu juta penerima.

– Peruntukan hampir RM400 juta untuk menambah baik perkhidmatan bas henti-henti, pengangkutan udara dan feri di beberapa negeri.

– Ini termasuk RM180 juta untuk menambah baik capaian bas awam di Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

– Menggantikan 18 bas henti-henti kendalian MARA di Kedah.

– Peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk baucar perjalanan untuk orang kurang upaya (OKU) melalui perkhidmatan e-hailing.

– Kerajaan akan menanggung kos mendapatkan lesen teksi, bas dan perkhidmatan e-hailing menerusi program MyPSV.

– Kerajaan juga akan menanggung kos bayaran ujian memandu untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2.

– Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan dana RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

– Pengecualian duti import dan eksais untuk kenderaan elektrik (EV) jenis CBU dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.

– Pengecualian fi Approved Permit (AP) untuk pengimportan EV sehingga 31 Disember 2023.

– Pengilang peralatan pengecasan EV diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk pendapatan cukai berkanun tahun taksiran 2023 hingga 2032.

– Elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus untuk pengilang peralatan pengecasan EV.

– Rebat jualan sehingga RM4,000 kepada pengusaha motosikal sewa yang menggantikan motosikal sedia ada kepada motosikal EV di Pulau Tuba, Langkawi.

– Peruntukan sebanyak RM20 juta pembangunan Litar Drag bagi menggalakkan belia menceburi sukan permotoran di platform yang betul.

Laporan pembentangan Bajet 2023 ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Auriga Deluxe 122, Blizzard dijamin bawa muatan kereta lebih selamat

STARRTREK Carriers Sdn Bhd kini menawarkan servis pengangkutan kenderaan baharu yang berkualiti dan canggih.

Buat julung kali, syarikat perkhidmatan pengangkutan ini memperkenalkan semi-trailer tertutup Auriga Deluxe 122 dan Blizzard.

Menariknya, kedua-dua semi-trailer ini mempunyai ruang kargo tertutup sekaligus memberi perlindungan tambahan kepada kenderaan yang dibawa.

Selain itu, Blizzard juga mempunyai ruang lebih luas membawa bebanan tambahan bagi setiap perjalanan berbanding kebanyakan trailer lain di negara ini.

Semi-trailer Auriga Deluxe 122. – Foto oleh Engear

Sementara itu, Pengarah Urusan Starrtrek Carriers berkata, perkhidmatan yang ditawarkan ini memberi satu dimensi baharu buat industri pengangkutan di Malaysia.

“Kami menetapkan tahap baharu bagi servis logistik kenderaan berkualiti tinggi tanpa sebarang kompromi.

“Kami berbangga menjadi pelopor dalam lapangan ini yang mampu menawarkan kualiti servis yang lebih tinggi kepada pelanggan,” kata Datuk Kumar Prabakaran.

Pengarah Urusan Starrtrek Carriers Sdn Bhd Datuk Kumar Prabakaran (tengah) yakin servis ditawarkan memberi kelainan buat industri pengangkutan di Malaysia. – Foto oleh Engear

Auriga Deluxe 122 dan Blizzard dilengkapi dengan sistem hidraulik bagi memudahkan mengangkat serta menurunkan muatan dengan kendalian minimum.

Ia juga mempunyai keluli tahan lasak yang digabungkan dengan teknologi baharu bagi memenuhi keperluan logistik automotif masa kini.

Semi-trailer Auriga Deluxe 122 boleh menampung enam buah kereta penumpang atau empat kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi tiap perjalanan.

Semi-trailer Blizzard. – Foto oleh Engear

Blizzard pula mampu memuatkan 10 buah kenderaan bergantung kepada ukuran dan berat kenderaan.

Maklumat lanjut sila hubungi Starrtrek Carriers di www. Starrtrekcarriers.com.my atau WhatsApp 017-2848120.

MIDF Research ramal sektor automotif kekal positif pada 2022

SEKTOR automotif dijangka kekal positif tahun ini dengan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat 12 sehingga 14 peratus tahun ke tahun.

Menurut MIDF Research, ia berikutan gangguan bekalan akibat banjir pada Januari lalu yang bersifat sementara.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari 2022 telah merosot 38 peratus bulan ke bulan kepada 40,581 unit, lapor Bernama.

MIDF Research meramalkan TIV pada sekitar 570,000 – 580,000 unit tahun ini.

Ini menyebakan ia lebih konservatif berbanding unjuran pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 600,000 unit oleh MAA.

“Ia berada pada penghujung julat TIV tahunan pra-pandemik memandangkan kami masih bimbang dengan kekurangan bekalan cip global.

“Bagaimanapun, sebarang TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan berperanan untuk memperkuat saranan positif kami ke atas sektor ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi saranan positifnya kepada sektor automotif yang berperanan terhadap pemulihan penggunaan domestik.

Situasi didorong tempahan tertunggak kukuh, sokongan pelepasan cukai, kadar faedah rendah dan situasi pekerjaan serta pendapatan isi rumah beransur baik.

Sementara itu, Bermaz Auto Bhd (BAuto) dinamakan sebagai pilihan utama berikutan pengembangan jenama itu selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot.

Perkembangan itu sekali gus menyebabkan pengembangan struktur di bahagian pasaran dan pertumbuhan yang mengatasi industri.

Dalam perkembangan sama, Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif.

Jualan pada Februari 2022 dijangka sama seperti Januari 2022 berikutan jumlah hari bekerja lebih singkat dan gangguan rantaian bekalan akibat banjir serta kekurangan cip.

Jualan automotif kumpulan UMW meningkat, percepat hantar kenderaan

PENJUALAN automotif Kumpulan UMW meningkat kepada 22,193 unit pada September berbanding 9,512 unit ketika bulan Ogos.

Senario itu dipercayai berikutan pembukaan semula operasi secara beransur-ansur serta pelonggaran terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan.

Susulan itu, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua terus meningkatkan jumlah pengeluaran untuk mempercepat penghantaran pesanan.

Jualan UMWT meningkat tiga kali ganda kepada 8,033 unit pada bulan September daripada 2,524 unit yang didaftarkan pada Ogos lalu.

Ini menjadikan jumlah penjualan daripada Januari sehingga bulan September 2021 kepada 46,118 unit.

Jumlah itu 23.5% lebih tinggi berbanding 37,339 unit dicatatkan pada tempoh sama tahun 2020.

Toyota Vios terus menjadi model terlaris di pasaran bagi September 2021. Model kedua terlaris adalah Hilux dan diikuti Yaris.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan 14,160 unit pada bulan September iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 6,988 unit bagi Ogos 2021.

Perodua akan meneruskan usaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan 119,093 unit, 17.9% lebih rendah daripada 145,012 unit pada tempoh sama tahun 2020.

Perodua turut memaklumkan berjaya mendapatkan cip semikonduktor mencukupi untuk memastikan tiada gangguan sepanjang proses pengeluaran kenderaan tahun ini.

Penutupan sementara kilang cip di Malaysia jejas industri automotif dunia

KEGAGALAN kilang pembuatan cip semikonduktor beroperasi kerana pandemik Covid-19 di negara ini telah menjejaskan industri pembuatan kenderaan secara global.

Memetik laporan The Edge, antara yang terkesan dengan masalah ini termasuk syarikat Ford di Jerman.

Selain itu, turut menerima tempias adalah syarikat Toyota dan Nissan yang terpaksa memperlahankan pengeluaran kenderaan.

Lebih mengejutkan, syarikat Nio dan Tesla tidak ketinggalan berdepan nasib sama susulan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Cip semikonduktor antara komponen penting dalam pembuatan kereta. – Foto ihsan Unsplash

Terdahulu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai berkata, majoriti pengeluar semi konduktor telah mengecilkan pesanan sejak tahun lalu.

Ini kerana kebanyakan syarikat menjangkakan permintaan lebih rendah dalam kalangan pengeluar kenderaan seterusnya mula memberi fokus kepada industri pembuatan elektronik.

“Kini pemain industri automotif mula ingin mendapatkan semula kapasiti cip semikondutor. Bagaimanapun, sudah tidak ada kapasiti untuk mereka,” katanya.

Isu kekurangan bekalan cip semikonduktor dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2021.

Ia susulan program vaksinasi yang dijalankan secara meluas sekaligus memberi ruang untuk syarikat pengeluar cip semikonduktor beroperasi semula.

“Situasi akan semakin baik. Kekangan dihadapi sejak Jun dan awal Julai mula menurun selain kami dibenarkan beroperasi pada peratusan lebih tinggi,” katanya lagi.

Untuk rekod, terdapat lebih 50 buah syarikat yang berkaitan dengan penghasilan cip semikonduktor di negara ini termasuk STMicroelectronics dan Infineon.

AE 86, GR Yaris antara kereta sport terbaik Toyota

KREDIBILITI Toyota sebagai syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia tidak dapat disangkal lagi.

Syarikat asal “negara matahari terbit” itu bukan sahaja sekadar menempa nama di peringkat global malah, kekal bersaing menghasilkan kenderaan hebat.

Ini terbukti apabila Toyota sebelum ini pernah menghasilkan beberapa model sport yang agak power.

Jadi, kali ini EnGear telah senaraikan lapan model sport Toyota yang pernah ‘menggegar’ pasaran automotif dunia.

Toyota 222D

Ramai yang menganggap model 222D seakan kereta keluaran Ford iaitu RS200.

Model ini terkenal dengan kelajuan yang super hebat terutama dalam sukan rally.

Bagaimanapun, disebabkan kenderaan ini terlalu laju, ia kemudian dihentikan daripada memasuki kejohanan rally.

Toyota Soarer

Syarikat Toyota dikatakan mempunyai niat tersembunyi ketika mengeluarkan model ini.

Khabar angin mengatakan bahawa model Soarer dihasilkan bagi menyaingi kenderaan keluaran syarikat Jerman.

Buat pengetahuan anda, model Soarer adalah asas kepada penghasilan sport car
keluaran Lexus.

Toyota Celica GT Liftback

Sekali pandang model ini persis kereta keluaran Amerika Syarikat (AS), Mustang.

Ia dikeluarkan pada tahun 1977 dan ramai meminati model ini bukan sahaja kerana rekaannya tetapi disebabkan enjin berkuasa tinggi.

Toyota Trueno (AE 86)

AE merupakan antara model yang agak famous bagi peminat kereta.

Hal ini kerana AE 86 pernah muncul dalam sebuah filem yang mengetengahkan aksi perlumbaan drift.

Maklumat yang kami selidiki mendapati model AE 86 sebenarnya adalah berasaskan daripada model Corolla.

Toyota Supra Mark 3

Supra Mark 3 juga salah satu model paling famous bagi kenderaan keluaran Toyota.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa model ini antara yang terbaik pernah dihasilkan Toyota.

Pada masa sama, reka bentuk ini sangat ‘mengancam’ dan sering menjadi ‘buruan’ peminat kereta.

Toyota 2000GT

Pertama kali terpandang model ini, pasti mata kita akan terpanggil untuk melihat rekaan lampu hadapannya.

Kelebihan ada pada kereta ini selain enjin yang mantap adalah detailing yang dihasilkan menghampiri tahap sempurna.

Toyota Supra Mark 4

Supra Mark 4 tidak dinafikan antara kereta pasaran domestic Jepun (JDM) yang masih mahal harganya.

Ini bukan sahaja kerana rupanya yang agresif malah enjin yang digunakan sangat hebat.

Kami yakin, ramai juga meminati model ini kerana rekaan dalaman cockpit yang menarik dan sporty.

Percaya atau tidak, Supra Mark 4 juga boleh mencapai 1000 kuasa kuda walau hanya menggunakan blok asal!

Toyota GR Yaris

Percaya atau tidak GR Yaris pernah menerima pengiktirafan daripada Top Gear sebagai kenderaan perfect 10!

Ini merupakan satu pencapaian membanggakan bagi Toyota.

Walaupun harga model ini mencecah RM300,000 tetapi ia masih berbaloi untuk dibeli bagi mereka yang berkemampuan.

GR Yaris juga adalah satu-satunya kereta sport untuk kegunaan rally yang dijual kepada orang ramai.

Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai artikel ini boleh kongsikan kepada kami.

Informasi lanjut sila layari laman sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram dan Twitter.

Jangan lupa untuk saksikan video menarik mengenai lapan kereta sport keluaran Toyota bersama host kesayangan ramai, Shamsul Yunos!

Chiow!

Proton capai jualan eksport tertinggi, mahu kekal kompetetif

Proton Holdings Bhd (Proton) catat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan dengan penyerahan lebih 669 unit kenderaan kepada pihak pengedar luar.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, kejayaan bulan lalu itu adalah hasil pertumbuhan permintaan di pasaran tertentu termasuk Pakistan dan Brunei.

“Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun, muncul sebagai pasaran ekport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.

“Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini.

“Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengimport dan pengedar Alpha Ezz El-Arab turut berjaya menjual 350 unit kenderaan Proton di Mesir pada tahun ini.

Perkembangan positif itu menyaksikan Proton akan terus berusaha meningkatkan jualan eksport secara agresif.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat Covid-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran.

“Kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap menjadi kejayaan berterusan,” kata Pengarah Jualan Antarabangsa, Steven Xu.

Selain itu, Xu berkata peningkatan pemasangan model Proton di pasaran eksport juga penting bagi memastikan sasaran jangka panjang dapat dicapai.

Hal ini termasuk permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya dan seterusnya di Pakistan.

Dalam perkembangan sama, Proton juga sedang berusaha untuk kembali semula ke pasaran Thailand pada 2022 dengan matlamat tampil lebih kompetetif di pasaran negara itu.

Jurutera AMG Petronas F1 suntik semangat pelajar Kolej Despark

USAHA mengembangkan ilmu kejuruteraan kepada pelajar diteruskan pasukan AMG Petronas Formula One (F1) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terbaharu, pasukan itu menampilkan jurutera bendalir En De Liow bagi berkongsi pengalaman bersama lebih 200 pelajar Kolej Despark, Petaling Jaya.

Menerusi program itu, pelajar didedahkan gambaran menyeluruh mengenai bidang automotif dari perspektif seorang jurutera bendalir.

De Liow merupakan antara sosok penting dalam memastikan aspek teknikal pasukan Mercedes AMG Petronas F1 berada dalam keadaan baik.

Antara peranan utama termasuk menganalisa bahan api Primax, minyak syntium dan bendalir fungsi Tutela yang digunakan dalam F1.

Terdahulu, Petronas Lubricants International berharap dapat terus melakukan program CSR bagi membantu pelajar menguasai bidang kejuruteraan automotif.

Pada masa sama, syarikat itu turut berharap lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan di masa hadapan dalam memastikan kemajuan bidang automotif terus berkembang.

Lancar laman web, EnGear tekad terus penuhi permintaan peminat automotif

PERMINTAAN tinggi terhadap kandungan dunia automotif menyaksikan satu lagi rangkaian Media Works Sdn Bhd iaitu laman web Engear.tv dilancarkan hari ini.

Engear.tv bukan sahaja menyajikan informasi terkini mengenai industri automotif tempatan dan global malah, turut berkongsi pelbagai tips termasuk kewangan, mekanikal serta keselamatan jalan raya.

Pengarah Kreatif Engear.tv Ahmad Amsyar Emir berkata, laman web ini diharap bukan sahaja mampu memenuhi kehendak peminat automotif tempatan tetapi pada masa sama menjadi medium informasi terkini kepada pengguna jalan raya.

Engear.tv terus melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pelancaran laman web ini.

“Saya amat bersyukur kerana laman web ini bukan sahaja memenuhi permintaan peminat automotif tetapi menjadi platform orang ramai mendapat maklumat mengenai kereta dan pelbagai kenderaan lain.

“Saya berharap laman web ini akan terus berkembang dan mampu menjadi rujukan kepada pengguna mengenai hal berkaitan automotif,” katanya.

Engear.tv mula mendapat tempat di hati peminat automotif selepas pertama kali memuatnaik kandungan video di platform media sosial pada 12 Mei 2017.

Antara keunikan kandungan yang disajikan Engear.tv termasuk video automotif bermutu tinggi, menyampaikan informasi pandu uji automotif secara santai dan meningkatkan kesedaran awam mengenai tips keselamatan jalan raya.

Selain itu, Engear.tv juga menjadi platform bagi membahas isu semasa mengenai automatif dengan mengetengahkan konsep penyampaian yang kreatif.