fbpx

Proton capai jualan eksport tertinggi, mahu kekal kompetetif

Kenderaan jenama negara berjaya menembusi pasaran automotif Kenya pada tahun 2020
Kenderaan jenama negara berjaya menembusi pasaran automotif Kenya pada tahun 2020.

Proton Holdings Bhd (Proton) catat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan dengan penyerahan lebih 669 unit kenderaan kepada pihak pengedar luar.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, kejayaan bulan lalu itu adalah hasil pertumbuhan permintaan di pasaran tertentu termasuk Pakistan dan Brunei.

“Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun, muncul sebagai pasaran ekport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.

“Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini.

“Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pengimport dan pengedar Alpha Ezz El-Arab turut berjaya menjual 350 unit kenderaan Proton di Mesir pada tahun ini.

Perkembangan positif itu menyaksikan Proton akan terus berusaha meningkatkan jualan eksport secara agresif.

“Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat Covid-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran.

“Kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap menjadi kejayaan berterusan,” kata Pengarah Jualan Antarabangsa, Steven Xu.

Selain itu, Xu berkata peningkatan pemasangan model Proton di pasaran eksport juga penting bagi memastikan sasaran jangka panjang dapat dicapai.

Hal ini termasuk permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya dan seterusnya di Pakistan.

Dalam perkembangan sama, Proton juga sedang berusaha untuk kembali semula ke pasaran Thailand pada 2022 dengan matlamat tampil lebih kompetetif di pasaran negara itu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved