Arkib Tag: ADAS

SuperNice Express terima 2 koc Scania dengan ADAS

SuperNice Express (SuperNice), jenama di bawah Kumpulan Unimax baru-baru ini menerima koc Scania yang dilengkapi dengant Advanced Driver Assistance System (ADAS).

Roy Chew, Pengerusi Kumpulan Unimax menerima kunci kepada dua unit koc Scania K360IB4x2 dengan ADAS daripada Heba El Tarifi, Pengarah Urusan, Scania Asia Tenggara.

Majlis menandatangani MoU turut diadakan untuk tempahan 10 unit lagi, terdiri daripada enam koc dua dek dan empat koc satu dek dengan ADAS.

Majlis penyerahan disaksikan oleh Profesor Dr Wong Shaw Voon, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Robert Lejon, Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Sweden, Joshua Tan, Pengarah Urusan Kumpulan Unimax, K.C. Voo, Pengurus Perniagaan Negara Shell Commercial Fuels dan Loo Kian Keong, Pengarah Terus Maju Service Sdn Bhd.

Heba El Tarifi, Pengarah Urusan, Scania Asia Tenggara

“Ciri-ciri ADAS akan memberikan yang terbaik daripada koc Scania dari segi keselamatan dan keselesaan untuk penumpang dan pemandu, di samping faedah kecekapan bahan api yang sudah terkenal untuk operasi bas ekspres dan pengurangan pelepasan CO2. Oleh itu, keuntungan akan dicapai untuk perniagaan saya,” kata Roy Chew.

Ciri-ciri Keselamatan ADAS standard termasuk Electronic Braking System (EBS), Anti-Lock Braking System (ABS) dan Retarder. Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Electronic Stability Programme (ESP), Lane Departure Warning (LDW) dan Advanced Emergency Braking (AEB) baharu.

AEB merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui brek automatik. Ciri  berteknologi maju ini adalah yang pertama digunakan dalam koc di Malaysia dan akan mengangkat SuperNice ke platform keselamatan tertinggi.

“Scania dengan teknologi ADAS adalah salah satu daripada banyak aspek memerlukan industri pengangkutan terus bergerak ke hadapan untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia. Saya percaya pendirian SuperNice ini akan menggalakkan pengusaha bas ekspres lain untuk turut bersama dalam usaha ini,” kata Profesor Dr Wong.

Koc Scania ini juga termasuk kontrak pembaikan dan penyelenggaraan bagi memastikan bahawa masa beroperasi maksimum tercapai dan ADAS diselenggara oleh Scania untuk memastikan standard keselamatan tertinggi secara konsisten.

Sementara itu, perjanjian sewa beli Scania daripada Scania Credit Malaysia menyokong SuperNice dengan kos yang boleh diramal sepanjang keseluruhan kitaran hayat koc. Fleet Management System Control 10 pula membantu SuperNice mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan CO 2 melalui analisis data.

Ford Everest 2022 bakal tiba di Malaysia, tarikan baharu peminat 4X4!

FORD bukan satu nama yang perlu diperkenalkan lagi di Malaysia.

Mempunyai pelbagai model daripada sedan sehingga pacuan empat roda, jenama ini semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Terbaharu, Ford tampil memperkenalkan model Everest 2022 yang memiliki pelbagai teknologi canggih dengan kuasa memukau!

Walaupun model tersebut belum tiba di Malaysia namun, Engear sempat menghadiri sesi soal jawab Ford bersama media baru-baru ini.

Nak tahu lebih lanjut keistimewaan Ford Everest 2022?

Let’s check it out

Ford Everest 2022

Foto ihsan Ford Malaysia

Model Everest 2022 menggunakan platform Ranger Raptor dengan tiga pilihan enjin serta varian iaitu Sport, Titanium dan Platinum.

Enjin yang digunakan adalah 3.0L V6 turbodiesel, 2.0L turbodiesel dan 2.3L turbo petrol serta transmisi manual (SelectShift automatik).

Foto ihsan Ford Malaysia

Selain itu, pemandu juga disajikan dengan beberapa mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow Haul dan Slippery.

Jika memandu di permukaan offroad, pemandu boleh menggunakan mod Mud & Ruts dan Sand.

Rekaan dan teknologi Ford Everest 2022

Foto ihsan Ford Malaysia

Ford Everest 2022 didatangkan dengan lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) Matrix yang tidak memberi kesan silau kepada pemandu lain.

Ia juga mempunyai lampu yang dapat menerangkan kawasan sekeliling kenderaan yang mana dikawal melalui sistem SYNC 4A atau FordPass.

Mood ‘garang’ jelas kelihatan terutama lampu hadapan LED berbentuk ‘C’ yang disulami juga bahagian gril hadapan yang agresif.

Foto ihsan Ford Malaysia

Model ini mempunyai sistem parkir ActivePark Assist 2.0 yang membantu pemandu memakir kenderaan secara automatik.

Sistem ActivePark Assist 2.0 bertindak mengawal stereng, transmisi, pecutan dan brek untuk masuk ke ruang parkir.

Tidakkah ini suatu yang ‘baharu’ bagi sebuah kenderaan seperti Ford Everest bukan?

Foto ihsan Ford Malaysia

Sementara itu, Ford Everest 2022 juga mempunyai sistem ADAS dengan kawalan jelajah adaptif dan stereng membantu pemandu mengelak objek.

Pada masa sama, ia juga mempunyai sistem kawalan jelajah bijak yang boleh menyesuaikan kelajuan kenderaan mengikut kelajuan dibenarkan.

Kelebihan lain Ford Everest 2022

  • Berikut antara kelebihan lain terdapat pada Ford Everest 2022:-
  • Sembilan beg udara
  • Panel meter digital sebesar 8 atau 12.4 inci
  • Tombol gear E-Shifter dan brek parkir elektrik
  • Skrin off-road
  • Apple CarPlay dan Android Auto
  • Sistem operasi SYNC 4A yang dihubungkan dengan aplikasi FordPass
Foto ihsan Ford Malaysia

Setakat ini, masih menjadi tanda tanya bila model Ford Everest 2022 akan dibawa masuk ke negara ini.

Paling penting, berapakah harga seunit yang bakal didagangkan oleh Ford Malaysia ya?

P.S: Harga Ford Everest model sekarang dijual pada sekitar RM270,000

MCVE 2022: Scania pamer trak dan bas generasi baharu dengan ADAS, Euro 5, B20 hingga B100

Pada ekspo Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2022 yang sedang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Scania telah mendedahkan beberapa kerjasama strategik dalam membangunkan trak generasi terbaharunya.

Trak generasi terbaharu ini lengkap dengan ciri-ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga mematuhi piawaian Euro 5. Dalam masa sama, Scania turut mendedahkan penyelesaian ke arah pengangkutan lestari.

Scania P410A6x2NA milik Chemtrax, lengkap dengan ADAS.

Model P410A6x2NA milik Chemtrax Sdn Bhd merupakan pelanggan Scania pertama menerima trak yang mempunyai teknologi ADAS. Teknologi ini mempunyai fungsi Lane Departure Warning (LDW), Automatic Emergency Braking (AEB) dan juga beg udara tirai di bahagian sisi.

LDW berupaya memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan telah terkeluar melepasi lorong pemanduan tanpa mengaktifkan signal. Sistem ini dapat mengesan garisan pada permukaan jalan secara automatik.

AEB pula merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar bagi memantau serta menilai situasi trafik di hadapan. Sistem ini direka untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui pembrekan secara automatik.

Penggunaan ADAS dalam kenderaan komersial dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan buat pengguna jalan raya lain.

Scania model R620A6x4NZ yang mematuhi piawaian Euro 5.

Selain itu, Scania juga telah bekerjasama dengan Xin Hwa Holdings Berhad dalam membangunkan trak generasi baharunya yang mematuhi piawaian Euro 5. Trak model R620A6x4NZ dibina dengan sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) bagi mengurangkan pelepasan emisi yang menyumbang kepada penghasilan asap dan jerebu.

Di samping itu juga, Scania telah bekerjasama dengan Billion Stars Express Sdn Bhd dalam menghasilkan bas menggunakan biodiesel Fatty Acid Methyl Esters (FAME) bergred B20 hingga B100. Ianya mesra alam serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Bas Scania model K360IB4x2 milik Billion Stars Express yang dikuasakan dengan bahan api biodiesel.

Scania komited untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi mengehadkan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menjelang 2025, Scania akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada operasinya sendiri sebanyak 50 peratus.

Tesla kian tertekan, siasatan sistem ADAS diteruskan

TESLA terus berdepan tekanan berikutan siasatan terhadap fungsi Advanced Driver-Assistance System (ADAS) bagi kenderaannya.

Penguatkuasa California melakukan siasatan sama ada Tesla bersalah atau tidak kerana mengiklankan ADAS sebagai sistem kenderaan pandu sendiri, lapor Market Watch.

Sebelum ini, Tesla dikatakan mendakwa ADAS diklasifikasikan sebagai sistem autopilot.

Ia menyebabkan sebilangan pemilik Tesla berdepan kerugian apabila kenderaan milik mereka mengalami kemalangan akibat kegagalan ADAS.

Terdapat juga kemalangan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian di Amerika Syarikat.

Pada April, satu kemalangan ngeri membabitkan kenderaan Tesla berlaku di Houston.

Kemalangan melibatkan model Tesla S 2019 mengorbankan dua nyawa.

Memetik laporan media antarabangsa, kemalangan berlaku ketika kenderaan itu berada dalam mod tanpa pemandu atau autopilot.

Kedua mangsa maut di tempat kejadian selepas kenderaan itu melanggar sepohon pokok sebelum terbakar.

Pihak berkuasa mengesahkan, tiada individu duduk di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Isuzu D-Max generasi ketiga bakal berada dalam pasaran hujung April ini?

BERITA baik untuk penggemar kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang ternanti-nanti kemunculan Isuzu D-Max generasi ketiga!

Terbaharu, Isuzu Malaysia mengumumkan model terbaharunya itu akan memasuki pasaran tempatan bulan ini, jauh lebih awal seperti yang dijadual.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Dagang Ringan Isuzu Malaysia Masayuki Suzuki berkata, pengenalan lebih awal ini dilakukan hasil kerjasama Isuzu Motors Ltd yang melihat Malaysia sebagai pasaran strategik.

“Kami sangat gembira Isuzu D-Max serba baharu ini dapat diperkenalkan lebih awal daripada jangkaan untuk pasaran Malaysia.

“Sebagai negara kelima di dunia yang melancarkan model ini selepas pengenalan sulungnya di Thailand, ia menjadi bukti komitmen oleh Isuzu Motors untuk memastikan pasaran Malaysia menerima pilihan kenderaan Isuzu yang terkini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Isuzu D-Max generasi ketiga dibangunkan dengan rekaan lebih sporty selain menampilkan imej jalanan lebih kental.

Didatangkan dengan dengan ukuran dimensi keseluruhan lebih besar, ia juga memiliki ruang kabin dan kargo lebih luas.

Selain itu, Isuzu D-Max generasi ketiga juga mempunyai single cab atau double cab serta dua pilihan enjin — RZ-4E 1.9 liter dan 4JJ-3TCX 3 liter.

Memperolehi penarafan maksimum lima bintang bagi Asean NCAP 2020, Isuzu D-Max generasi ketiga menawarkan tahap keselamatan baharu untuk perlindungan lebih baik.

Ia termasuk ciri-ciri Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang ditawarkan bagi varian terpilih.

Memasuki pasaran tempatan pada hujung April, Isuzu D-Max serba baharu dianggarkan dijual pada harga RM89,000 hingga RM145,000 bergantung kepada model selain tertakluk kepada kelulusan kerajaan.