Arkib Tag: 718 boxster

Porsche hentikan jualan 718 Cayman, Boxster di Eropah

SEPERTI Macan, hayat 718 Cayman dan 718 Boxster di Eropah sudah berakhir kerana kedua-duanya tidak dapat mematuhi peraturan keselamatan siber Kesatuan Eropah (EU) yang akan berkuat kuasa Julai ini.

Dalam satu emel yang dihantar ke Motor1, jurucakap Porsche, Oliver Hilger mengesahkan bahawa jualan model-model entry-level itu sudah pun dihentikan di Eropah.

Bagaimanapun, jentera coupe dan convertible itu akan terus ditawarkan di pasaran-pasaran lain di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat.

Varian yang lebih berkuasa iaitu Cayman GT4 RS dan Boxster RS Spyder pula masih boleh dijual di benua itu memandangkan kedua-dua model berkenaan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad.

Senibina elektrikal yang digunakan oleh Boxster dan Cayman generasi keempat yang sudah agak berusia, dengan kedua-duanya diperkenalkan buat pertama kali pada 2016.

Jadi untuk menaik taraf senibina tersebut akan menelan belanja yang besar, dikatakan separuh daripada bajet yang digunakan untuk membangunkan model serba baharu.

Untuk pengetahuan, Porsche kini sedang membangunkan Cayman/Boxster generasi baharu yang akan menggunakan trenkuasa elektrik sepenuhnya, seperti Macan generasi kedua yang diperkenalkan baru-baru ini. Model baharu itu dikatakan akan memasuki pasaran pada 2025.

Penghentian jualan Cayman/Boxster di Eropah tidak akan menjejaskan sangat pendapatan Porsche, memandangkan hanya 20,518 unit model berkenaan terjual di peringkat global pada 2023. Angka ini hampir empat kali ganda lebih rendah berbanding jualan Macan iaitu 87,355 unit.

Porsche 911 akan terus guna enjin petrol selama yang boleh

TERDAPAT beberapa model elektrik sepenuhnya (EV) yang bakal dikeluarkan Porsche selepas ini; 718 Boxster/Cayman, Macan generasi baharu, Cayenne, dan dijangka sebuah lagi model SUV besar tujuh tempat duduk. Semuanya sebelum 2030.

Tetapi ada satu perkara yang membuatkan penulis dan anda para kaki kereta bersyukur – satu model Porsche keberatan untuk menjadikannya elektrik, iaitu 911.

Menurut Reuters, Ketua Projek Senior Porsche untuk eFuel, Karl Dums berkata mereka akan mengelektrifikasikan kebanyakan barisan model mereka tetapi Porsche 911 akan kekal dipacu enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk tempoh yang akan lama.

Walaupun peralihan ke arah elektrifikasi menjadi keutamaan, 911 menjadi pengecualian mereka, katanya: “Kami akan menghasilkan 911 selama yang boleh dengan enjin pembakaran.”

Ini tidak bermakna 911 tidak akan mendapat sebarang elektrifikasi. Porsche telah menyatakan 911 akhirnya tetap akan mendapat enjin hibrid. Walaupun bukan pulg-in hybrid (PHEV), tetapi ia akan mendapat kemampuan memandu dalam mod EV dengan jarak yang agak jauh.

Porsche merupakan antara pembanguna terbesar – jika bukan yang terbesar – untuk e-fuel (petrol sintetik) dalam industri. Pelaburannya dalam syarikat e-fuel Chile iaitu HIF menjadikan Porsche antara pengeluar kereta paling lantang dalam penggunaan bahan api sifar karbon.

E-fuel dijana dari karbon dioksida dan gas-gas rumah hijau lain, jadi apabila ianya dibakar, pelepasan karbonnya diimbang dari pengeluarannya yang dikitar semula, menjadikannya sifar karbon. Walaubagaimanapun menurut Dums, perancangan Porsche untuk e-fuel berbeza dari EV.

Mengekalkan 911 sebagai kereta sports ICE juga membantu membezakannya dari kereta-kereta sports lain. 718 Boxster dan Cayman generasi kini kedua-duanya jentera sports mengagumkan dengan pengendalian mantap, lebih-lebih lagi masing-masing mendapat varian GT4 dan RS.

Tetapi apabila 718 Boxster dan Cayman menjadi model elektrik, 911 akan kekal unik untuk membuatkan pelanggan terus membelinya walaupun Boxster/Cayman akan menjadi lebih mampu milik.

Nampaknya Porsche mempunyai cara untuk memastikan 911 terus dipacu enjin petrol untuk satu dekad lagi. Walaubagaimanapun menjelang 2030, 911 akan menjadi model Porsche yang terakhir dengan ICE.

Berita ini suatu yang positif buat kami yang sentiasa menghargai enjin petrol dan ICE. Diharapkan menjelang 2030 itu, undang-undang global akan ‘longgar’ sedikit dan membenarkan enjin terus dihasilkan tetapi menepati tahap kecekapan tertentu.

Porsche laku keras 6 bulan pertama 2022, Cayenne kekal model paling laris

PORSCHE nampaknya mempunyai prestasi jualan cukup baik untuk separuh masa pertama 2022, walaupun berhadapan beberapa cabaran.

Secara keseluruhan, pengeluar kereta sports itu telah menyerahkan 145,860 kenderaan kepada pelanggan seluruh dunia antara Januari hingga Jun, penurunan lima peratus berbanding tahun lepas.

“Selain dari kesukaran yang dihadapi dari peningkatan Covid-19 di China dan beberapa pasaran lain,  kata Detlev von Platen, ahli lembaga untuk Sales dan Marketing di Porsche AG.

“Pada masa yang sama, daya tarikan jenama dan populariti produk kami tetap kuat. Kami menjangkakan tahun kedua menjadi cukup dinamik,” tambahnya.

Situasi pasaran seluruh dunia di separuh masa pertama berbeza dan angka penyerahan kenderaan juga berbeza di setiap rantau dan pasaran.

Di Eropah, jumlah penyerahan kenderaan meningkat kepada 43,087, peningkatan tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Perkara sama dilaporkan di Jerman, iaitu pasaran tuan rumah. Penyerahan sebanyak 13,785 untuk enam bulan pertama 2022, juga peningkatan lima peratus.

Di China, Porsche berjaya menyerahkan 40,681 kenderaan walaupun berlakunya lockdown beberapa bulan di sesetengah bandaraya.

Secara keseluruhan, Porsche menjual 62,245 unit kenderaan di seluruh rantau Asia Pasifik, Afrika, dan Timur Tengah.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 32,529 kenderaan diserahkan kepada pelanggan walaupun menghadapi beberapa masalah transit dan penghantaran.

Cayenne kekal model paling laris

Permintaan masih tinggi untuk model-model SUV. Sejumlah 41,947 unit Cayenne diserahkan kepada pelanggan sepanjang Januari hingga Jun 2022, menjadikannya model Porsche paling laris.

Ini diikuti dengan Macan di tempat kedua dengan 38,039 penyerahan. Ikon kereta sports iaitu 911, terjual sebanyak 21,616 unit di seluruh dunia.

Sementara itu, Taycan terjual sebanyak 18,877 unit walaupun terhalang oleh masalah-masalah produksi seperti rantaian bekalan.

Jualan untuk Panamera pula ialah sebanyak 15,604 unit, sementara 9,777 unit untuk 718 Boxster dan 718 Cayman.