Chery Tiggo 8 Pro, bila nilai bertemu persepsi – Pandu uji
SUDAH setahun rupanya Chery Tiggo 8 Pro berada dalam pasaran Malaysia secara rasmi. Walaupun kami baru sahaja ambil unit pandu uji untuk penilaian, SUV segmen-D ini sebenarnya tidak asing buat Engear, kerana kami pernah memandu uji secara ringkas semasa awal kedatangan Chery ke Malaysia pada penghujung 2022.
Antara waktu itu hingga sekarang, entah kenapa kami memfokus kepada Omoda 5 dan Omoda E5. Tetapi sudah tentu belum terlambat untuk menguji Tiggo 8 Pro secara mendalam. Malah hingga kini, kami masih menerima pertanyaan mengenainya sama ada di DM media sosial atau semasa bersembang di kedai kopi.
Pakej cukup menarik, paling berbaloi?
Antara daya tarikan utama yang membuatkan anda memasukkan Tiggo 8 Pro dalam senarai ialah harganya yang cukup menarik. ’Hanya’ RM159,800 untuk sebuah SUV segmen-D tujuh tempat duduk.
Dan ia langsung tak terasa murah. Anda dapat semua kelengkapan bertaraf tinggi seperti enjin 2.0-liter turbo, tiga mod pemanduan, lampu LED penuh depan dan belakang, rim 19-inci, sepasang panel paparan lebar 24.6-inci yang mempunyai dua skrin, kemasan kayu dan krom, tempat duduk kulit, tombol gear elektronik, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dan pakej ADAS penuh.
Bukan itu sahaja, apa yang anda dapat lihat dan sentuh semuanya terasa premium dan lebih pada harganya, sebagai contoh kemasan kayu dan krom pada papan pemuka serta panel pintu, suis dan tombol dengan pergerakan cukup sedap, dan permainan lampu kabin.
Jika anda bawa kenalan membelek secara terperinci Chery Tiggo 8 Pro ini, kemudian beritahu ia berharga RM240,000 pun, rasanya orang masih boleh percaya.
Tidak cukup dengan itu, Tiggo 8 Pro ini boleh dilengkapi dengan pemijak sisi automatik dengan tambahan RM2,999. Ia terbuka secara automatik setiap kali anda membuka pintu, sama seperti Range Rover yang berharga tiga atau empat kali ganda darinya.
Ini ialah sebuah SUV segmen-D bukan-nasional paling murah, malah lebih murah dari sesetengah SUV segmen-C. Ini membuatkan penulis tertanya-tanya bagaimana mereka mampu menjual pada harga ini. Tiada untung langsungkah?
Persepsi jenama
Tetapi, tidak dinafikan ada satu isu besar yang memberi imbangan kepada nilai cukup baik pada pakej yang ditawarkan di atas, iaitu persepsi jenama.
Kita semua tahu Chery dari mana dan bagi anda yang sama umur dengan penulis membesar mendengar lagu Limp Bizkit dan memakai Adidas Superstar di hujung minggu, anda pasti tahu ini bukan kali pertama Chery hadir ke Malaysia.
Walaubagaimanapun, anda harus tahu industrialisasi di China berkembang begitu pesat. Mereka bermula lebih lewat dari kita Malaysia, tetapi lihat sahaja kemajuan teknologi mereka hari ini. Dan perkara ini juga menunjukkan kesan kepada industri permotoran.
Rasanya anda akan bersetuju jika penulis katakan kenderaan-kenderaan dari China bukan lagi boleh kita gelakkan dari dulu. Mereka kini serius dalam industri, berlumba-lumba ingin menjadi terbaik, dan berkembang cukup pesat.
Contoh lain, lihat pada industri telefon bimbit. Selain jenama mereka, terdapat jenama global terkemuka yang membuka kilang pengeluaran di China dan adakah kualitinya berbeza dengan pengeluaran dari negara-negara lain?
Jika anda benar-benar berminat dengan kenderaan seperti Chery Tiggo 8 Pro, bab persepsi jenama memang suatu perkara yang tidak dapat anda elakkan.
Ehem, Proton X90 macam mana?
Oh ya, bila bercakap mengenai Tiggo 8 Pro, anda tak boleh elakkan dari berbincang juga mengenai Proton X90. Harga cukup dekat, dari RM123,800 untuk Standard hingga RM152,800 untuk Flagship.
Enjin berbeza, dimana X90 mempunyai powertrain 1.5-liter turbo direct-injection (TGDI) bersama sistem hibrid, manakala Tiggo 8 Pro dengan 2.0-liter turbo. Output sudah tentu berbeza, X90 dengan 177hp dan 255Nm, sementara Tiggo 8 Pro sebanyak 257hp dan 390Nm tork.
Kedua-dua SUV ini dalam segmen yang sama, saiz hampir sama, dan kedua-duanya mampu memuatkan tujuh penumpang.
Yang mana perlu pilih? Sukar untuk beri keputusan kerana penulis sendiri belum pernah memandu X90, tetapi rakan penulis pernah mengujinya beberapa kali, anda boleh baca laporan di sini.
Dari segi reka bentuk, bagi penulis Tiggo 8 Pro lebih segak keseluruhan dan mempunyai perincian lebih cantik. Cuma anda sudah tentu dapat lebih nilai untuk X90, harganya lebih rendah kerana mempunyai kelebihan status kereta nasional (walaupun kedua-dua SUV ini direka dan dibangunkan di China).
Okay, X90 mungkin tidak 100 peratus dibangunkan di China kerana jurutera Proton ada memberikan input mereka untuk talaan suspensi. Sebab itu juga Proton X90 mendapat suspensi belakang multi-link berbanding Geely Haoyue.
X90 juga mempunyai kelebihan harga cukai jalan yang lebih rendah, tetapi jika anda perlukan kuasa dan sering membawa ramai penumpang, mungkin anda sanggup berbelanja lebih dan memilih Tiggo 8 Pro.
Rasa solid dan berkualiti
Lebih menarik lagi, Chery Tiggo 8 Pro terasa sangat solid, kukuh, dan berkualiti. Sama ada semasa membelek perincian di luar badan, duduk sahaja di dalam kabin, atau memandunya, semua aspek ini memberikan anda rasa premium.
Di bahagian luar contohnya, ada logo depan yang menyala, pemijak sisi automatik seperti dinyatakan awal tadi, dan kemasan krom yang cukup-cukup sahaja, tidak melebih. Kabinnya juga lapang, dan tempat duduk depan sangat empuk.
Saat pertama penulis duduk di tempat duduk pemandu semasa mengambil Tiggo 8 Pro ini, terasa seperti berada dalam kereta yang dua kali ganda harganya. Kemudian papan pemuka dan konsol tengahnya tinggi, mengukuhkan rasa premium SUV ini. Dalam pada masa yang sama, segala butang dan suis mudah dicapai.
Untuk pemanduan pula, penulis rasakan ia mempunyai lebih dari cukup kuasa untuk pemanduan harian. Penulis memperoleh keyakinan yang baik untuk mengendalikan Chery Tiggo 8 Pro ini walaupun di selekoh tajam.
Cuma sterengnya sedikit ringan, tetapi pedal minyak dan transmisi semua cukup responsif dan mempunyai talaan yang baik. Dari segi penggunaan bahan api, penulis merekodkan sekitar 9.9km per liter, dikira sangat okey dengan saiz dan gaya pemanduan Tiggo 8 Pro ini.
Sudah tentu penggunaan bahan api sebegini tidak begitu sesuai untuk pemanduan harian dalam bandar, melainkan anda mampu. Tetapi ia sempurna untuk membawa keluarga bersiar-siar hujung minggu keluar dari bandar.
Secara keseluruhan, pakej yang ditawarkan oleh Chery Tiggo 8 Pro cukup menarik dengan padanan saiz, kelengkapan, dan harga. Ini membuatkan penulis tidak sabar melihat model-model Chery yang akan datang. Mungkin kita akan pandu uji pula Tiggo 7 Pro yang dilancarkan baru-baru ini.
Spesifikasi Chery Tiggo 8 Pro
Harga: RM159,800
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 257hp @ 5,500rpm
Tork: 390Nm @ 2,000rpm
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.