Harga Yamaha NVX naik hingga RM600 untuk 2022

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan Yamaha NVX model tahun 2022 yang boleh didapati dalam empat warna baharu yang menarik.

Pilihan warna tersebut adalah Mystique Ruby dan Platinum Navy untuk varian ABS dan Cyan dan Matt Grey untuk varian Standard (tanpa ABS).

Mystique Ruby

Bagaimanapun, untuk 2022, harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) NVX dilihat meningkat kepada RM9,598 untuk varian Standard dan RM11,498 untuk varian ABS. Sebelum ini, skuter itu masing-masing dijual pada harga RM8,998 dan RM10,998.

Selain pilihan warna baharu dan harga jualan yang sedikit lebih tinggi, spesifikasi NVX tidak berubah. Ia masih dikuasakan oleh enjin sejukan cecair silinder tunggal 155 cc yang menjana 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,500 rpm.

Cyan

Ia dibina menggunakan kerangka jenis ‘backbone’ yang dipadankan dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian depan dan lengan ayun pada bahagian belakang. Untuk brek pula, kedua-dua versi dilengkapi dengan cakera hidraulik tunggal dan gelendong.

Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, sistem Stop & Start, panel istrumen LCD, soket pengecas USB dan sistem kunci pintar.

Matt Grey

Turut disertakan adalah sistem Y-Connect yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar mereka untuk mendapatkan maklumat seperti status bateri, penggunaan bahan api dan sebagainya.

Yamaha TMAX Tech Max – RM75k, dipasang secara tempatan

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan skuter premium terbarunya iaitu Yamaha TMAX Tech Max. Model pemasangan tempatan ini dijual pada harga RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Menurut HLYM, 35 unit batch pertama TMAX Tech Max telah pun habis dijual dan diserahkan kepada pemilik masing-masing pada satu majlis yang diadakan pada Khamis. Apa yang menarik, 40 unit batch kedua yang dijangka memasuki fasa pemasangan pada November ini juga telah habis ditempah.

TMAX Tech Max dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi jenis V-belt automatik.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) untuk prestasi pendikit yang lebih lancar.

Bukan itu sahaja, sistem suspensi juga telah ditala semula untuk rim SpinForged Wheels (SFW) untuk tahap kestabilan yang lebih tinggi terutamanya ketika di selekoh. Rim 15 inci itu dibalut dengan tayar Bridgestone berukuran 120/70 di depan dan 120/60 di belakang.

Satu lagi ciri menarik adalah skrin TFT berukuran tujuh inci yang menawarkan tiga mod paparan. Ia juga boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link, membolehkan penunggang memainkan muzik dan menggunakan navigasi.

Ciri-ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, penutup tangki minyak pintar dan panel suis baharu yang boleh digunakan untuk menghidupkan dan mematikan enjin, mengunci bar hendal dan membuka pelana.

TMAX Tech Max boleh didapati dalam dua warna iaitu Dark Petrol dan Power Grey. 100 pembeli terawal akan mendapat set hadiah eksklusif sebagai tanda penghargaan dan setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera.

Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition dilancarkan – 5,000 unit sahaja, harga RM9,198

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) melakarkan satu lagi pencapaian penting menerusi pengeluaran motosikal ke-5 juta unit sejak penubuhannya pada 1979.

Menurut HLYM, pencapaian ini disumbangkan oleh peningkatan dalam aspek automasi serta pelaksanaan sistem termaju yang sekaligus meningkatkan keupayaan pengeluaran syarikat itu.

Bersempena dengan pencapaian penuh bersejarah ini, HLYM melancarkan model Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition pada satu majlis besar-besaran yang diadakan di DoubleTree by Hilton Hotel di I-City, Shah Alam, hari ini.

Terhad kepada 5,000 unit sahaja, model baharu itu tampil dengan livery Jalur Gemilang eksklusif untuk menandakan bahawa ia hanya akan dihasilkan di Malaysia. Seperti 135LC Fi versi standard yang dilancarkan awal tahun ini, ia juga dilengkapi dengan bakul premium Yamaha.

Namun sebagai model edisi terhad, 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition didatangkan dengan lencana nombor siri pengeluaran, sijil pengesahan ketulenan, kunci cakera dan jaket bomber sebagai hadiah eksklusif untuk setiap pembelian.

Tiada sebarang perubahan mekanikal, bermakna motosikal edisi terhad ini masih dikuasakan oleh enjin silinder tunggal SOHC 4-injap yang menjana 9.3 kW (12.4 hp) pada 8,000 rpm dan 12.2 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin bertaraf Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.

135LC Fi 5MRO Malaysia Edition dijual pada harga RM9,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan dijangka tiba di wakil pengedar HLYM yang sah di seluruh negara bermula pertengahan Oktober ini.

Yamaha MT-25 2022 terima warna Cyan Storm dan Icon Blue, harga RM22,998

SELAIN dari YZF-R25 dengan warna dan ciri baharu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini juga mengumumkan warna baharu untuk MT-25.

Motosikal ini dijual pada harga baharu RM22,998, sedikit peningkatan berbanding sebelum ini pada RM21,500.

Selain pada warna, spesifikasi lain pada MT-25 dikekalkan. Motosikal ini mempunyai dimensi 2,090mm panjang, 755mm lebar, dan 1,070mm tinggi.

Tempat duduknya pula setinggi 780mm, manakala kelegaan tanah adalah 160mm. MT-25 juga mempunyai berat 167kg dengan cecair, dan mempunyai kapasiti tangki bahan api sebanyak 14 liter.

MT-25 dikuasakan oleh unit 249cc dua-silinder 4-lejang dengan kuasa 35.4hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm tork pada 10,000rpm. Output dihantar melalui kotak gear 6-kelajuan dengan klac jenis basah.

Suspensi adalah jenis teleskopik inverted di depan dan swing arm di belakang, manakala sistem brek dibekalkan oleh cakera di depan dan belakang. Untuk tayar, MT-25 menggunakan saiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.

Motosikal sports terbaharu ini boleh didapati di seluruh negara bermula hari ini, dengan harga RM22,998 tanpa pendaftaran dan insurans.

Seperti biasa, setiap pembelian akan hadir dengan kunci cakera Yamaha berharga RM100.

Yamaha YZF-R25 kini dengan warna Orange Lynx dan Racing Blue, harga RM22,998

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan dua warna baharu untuk YZF-R25 iaitu Orange Lynx dan Racing Blue.

Harga bagi motosikal sports itu meningkat sedikit iaitu RM22,998 berbanding bawah RM20k sebelum ini. Walaubagaimanapun, anda juga akan mendapat beberapa ciri baharu.

YZF-R25 2022 kini menampilkan brek anti-kunci (ABS) dan lampu signal LED.

Tiada perubahan dari segi lain. Enjinnya masih menggunakan unit 249cc dua-silinder 4-lejang dengan kuasa 35.4hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm tork pada 10,000rpm.

Output dihantar melalui kotak gear 6-kelajuan dengan klac jenis basah.

Yamaha YZF-R25 mempunyai dimensi 2,090mm panjang, 730mm lebar, dan 1,140mm tinggi. Tempat duduknya pula setinggi 780mm, manakala kelegaan tanah adalah 160mm. R25 juga mempunyai berat 169kg dengan cecair.

Suspensi adalah jenis teleskopik di depan dan monocross di belakang, manakala sistem brek dibekalkan oleh cakera di depan dan belakang, dengan ABS seperti dinyatakan tadi.

Untuk tayar, YZF-R25 menggunakan saiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.

Motosikal sports terbaharu ini boleh didapati di seluruh negara bermula hari ini, dengan harga RM22,998 tanpa pendaftaran dan insurans.

Seperti biasa, setiap pembelian akan hadir dengan kunci cakera Yamaha berharga RM100.

Yamaha R1 GYTR – senjata litar dengan komponen WSBK

BAGI mereka yang tidak pernah mendengar GYTR, ia bermaksud Genuine Yamaha Technology Racing, sebuah divisyen yang bertanggungjawab menghasilkan aksesori prestasi menggunakan teknologi dan bahan-bahan terbaik.

Jentera yang anda lihat ini merupakan hasil tangan terbaharu divisyen itu yang berasaskan model Yamaha YZF-R1. Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi bahawa R1 bukanlah calang-calang motosikal, dengan beberapa kemenangan dalam WorldSBK, British Superbike dan banyak lagi kejohanan di seluruh dunia.

Dengan R1 GYTR, peminat kini boleh menyesuaikan jentera mereka dengan pelbagai aksesori buatan GYTR untuk beraksi di litar. Cuma perlu diingat, motosikal ini tidak dihomologasikan untuk jalan raya, bermakna pemilik hanya boleh menggunakannya di litar lumba.

R1 GYTR dipacu oleh enjin crossplane CP4 empat silinder bersesaran 998 cc yang digabungkan dengan ECU yang diprogramkan oleh GYTR untuk penghasilan tork yang lebih linear.

Selain itu, ia dilengkapi dengan 25 akesori GYTR, di samping muffler Akrapovic dan sistem link-pipe. Lain-lain aksesori termasuk:

  • set palam pencucuh AIS
  • set pelindung enjin
  • pendawaian kustom
  • GYTR ABS Emulator
  • suis On/Off GYTR
  • sprocket 15/42T 520
  • rantai perlumbaan GYTR R-Series 520
  • tayar BS R11
  • penutup tangki lumba GYTR
  • set kabel brek keluli tahan karat GYTR
  • angkup kustom
  • brek Brembo
  • bar hendal lumba
  • stopper stereng
  • pelindung sprocket belakang
  • pelindung tuil brek depan
  • kit lumba dalam warna Primer White
  • penghadang angin lumba
  • pelana lumba GYTR

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan R1 GYTR Pro yang didatangkan 400 komponen GYTR, menjadikan ia lebih hampir dengan motosikal lumba R1 WorldSBK.

Bagaimanapun, menurut Yamaha, R1 GYTR hanya boleh dibeli menerusi 17 wakil pengedar GYTR Pro Shop di sekitar Eropah. Harga masih belum diumumkan namun jualan dijangka bermula April tahun depan.

Harga jualan Yamaha XMAX 250 naik RM300 – kini RM22,298

PADA Mac lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha XMAX 250 yang dikemas kini dengan enjin dan beberapa ciri baharu. Kini, syarikat itu mengumumkan pula pilihan warna baharu untuk skuter maxi tersebut.

Untuk model tahun 2022, XMAX 250 boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu merah dan hijau matte. Ia menggantikan pilihan warna sebelum ini iaitu Icon Grey dan Power Grey.

Boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara bermula bulan ini, XMAX 250 dijual pada harga RM22,298 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Ini menunjukkan kenaikan sebanyak RM300 berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, dari segi mekanikal dan kelengkapan, tiada sebarang perubahan. XMAX 250 masih dikuasakan oleh enjin 250 cc silinder tunggal SOHC yang menjana 22.5 hp (16.8 kW) pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm pada 5,000 rpm.

Enjin yang melepasi piawaian emisi Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi jenis tali sawat-V automatik. Kapasiti tangki bahan api adalah 13 liter.

Selain itu, ia juga hadir dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, perumah lampu yang lebih gelap dengan efek ‘smoked’, bar hendal dan penghadang angin boleh laras, panel instrumen LCD, soket 12V dan kunci pintar dengan rekaan baharu.

Di bawah tempat duduk, terdapat ruang penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar.

Untuk sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan ABS bahagian depan dan belakang, serta sistem Traction Control.

 

Yamaha NMax kini dalam dua warna matte baharu – RM9,498

YAMAHA NMax generasi semasa, yang dilancarkan di Malaysia pada Disember 2020, kini diberikan penampilan lebih segar menerusi dua pilihan warna baharu iaitu Matte Green dengan rim berwarna emas dan Matte Blue dengan rim hitam.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), model tahun 2022 ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara mulai 19 Julai 2022.

Ia dijual pada harga RM9,498 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans), menunjukkan peningkatan sebanyak RM500 berbanding harga jualan sebelum ini iaitu RM8,998. Seperti biasa, setiap pembelian disertakan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

Selain pilihan warna baharu ini, spesifikasi NMax dilihat kekal seperti sebelum ini. Ini bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin SOHC 155 cc VVA (Variable Valve Actuation) yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,000 rpm.

Enjin tersebut dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api dan sistem penyejukan cecair, selain mempunyai sistem Stop & Go untuk penjimatan bahan api. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh tali sawat V-automatik.

NMax menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala sistem breknya terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS tidak disertakan pada model ini.

Kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu LED depan dan belakang, soket pengecas 12 V dan ruang penyimpanan berkapasiti 23.3 liter di bawah tempat duduk. Semua maklumat penting pula dipaparkan pada panel LCD.

Yamaha R15M dilancar – 155cc dengan 19hp, quickshifter, RM15k

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan YZF-R15M, sebuah motosikal sport dengan teknologi R1M dan M1.

Ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu Signature M dan Monster Energy Edition, dan harga cadangan RM14,998.

Yamaha R15M baharu ini dikuasakan oleh enjin 155cc yang mampu menjana 19hp pada 10,000rpm dan 14.7Nm tork pada 8,500rpm. Kuasa dihantar ke roda belakang melalui transmisi 6-kelajuan dengan quickshifter.

R15M juga dilengkapi dengan sistem traction control dan slipper clutch untuk memudahkan tunggangan dan penukaran gear.

Jentera ini mempunyai ukuran 1,990mm panjang, 725mm lebar, dan 1,135mm tinggi keseluruhan. Tinggi tempat duduknya ialah pada 815mm, manakala kelegaan tanah sebanyak 160mm. Yamaha R15M juga mempunyai berat 140kg serta kapasiti tangki bahan api 11 liter.

Sistem brek dibekalkan oleh cakera tunggal di depan dan belakang, dengan ABS dwi-saluran. Suspensi pula adalah fork terbalik Kayaba di depan, dengan monoshock tunggal di belakang.

Dari segi rupa, Yamaha R15M baharu ini mendapat rekaan fairing baharu dengan profil kurus, serta rekaan ‘buih’ cermin depan yang diinspirasikan dari M1. Terdapat juga lampu depan LED bersama paparan instrumen LCD berserta mod tunggangan Street dan Track.

HLYM juga mengumumkan bahawa R15M telah mendapat pengiktirafan lima-bintang dari Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) di bawah program Malaysian Motorcycle Assessment Programme MyMAP). Selain R15M, dua lagi model yang mendapat pengiktirafan sama adalah NVX dan NMAX.

Setiap pembelian R15M hadir dengan kotak hadiah misteri berserta kunci brek cakera.

Selain itu, setiap pembelian Yamaha R15M akan melayakkan anda untuk menyertai program keahlian M-RCU. Di bawah program ini, anda akan dapat menyertai aktiviti-aktiviti seperti track day, kursus advanced riding, dan konvoi MotoGP.

Yamaha MT-09 2022 dengan dua warna baharu, harga kekal RM55k

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan kehadiran dua warna baharu untuk MT-09 iaitu Cyan Storm dan Tech Black.

Harga cadangan dikekalkan pada RM54,998 (tanpa insurans can pendaftaran), namun tertakluk kepada perubahan.

Spesifikasi lain untuk motosikal ini juga tidak berubah, dimana ia dikuasakan oleh enjin 890cc 3-silinder sejukan cecair yang menjana 119hp pada 10,000rpm dan 93Nm tork pada 7,000rpm.

Enjin bertaraf Euro 5 ini digandingkan dengan klac multi-plate jenis basah dan transmisi 6-kelajuan.

Bahagian rekabentuk juga dikekalkan dengan lampu depan LED, DRL LED, dan dibina pada kerangka aluminium.

Terdapat paparan TFT bersaiz 3.5-inci untuk penunggang untuk pelbagai maklumat seperti kedudukan gear dan paparan ini boleh diubah menggunakan butang di bahagian kiri hendal.

Yamaha MT-09 mempunyai berat keseluruhan 189kg dan tempat duduk berketinggian 825mm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 14 liter.

MT-09 dilengkapi suspensi teleskopik di depan dengan lengan ayun untuk belakang. Untuk sistem brek, ia didatangkan dengan cakera 295mm berkembar di depan, serta cakera tunggal 245mm di belakang.

Seperti biasa untuk setiap pembelian MT-09, anda akan mendapat kunci cakera khas Yamaha bernilai RM100 secara percuma.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal, hanya 5,000 unit, RM11,688

HONG Leong Yamaha mengumumkan satu edisi khas untuk Y16ZR iaitu World GP 60th Anniversary. Hanya 5,000 unit akan dihasilkan dan ia akan hadir dengan beberapa aksesori seperti berikut:

Sijil penghargaan
Tumbler premium World GP 60th Anniversary
Pin edisi khas
Keychan premium

Kesemua aksesori ini juga akan diisi dalam kotak premium khas.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary ini tampil dengan livery ikonik merah putih untuk gaya sporti. Skema warna ini dipadankan pula dengan rim berwarna emas yang didatangkan dengan emblem 60th Anniversary.

Yamaha Y16ZR ini dikuasakan oleh enjin 155cc 4-silinder 4-lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Ia menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm. Output disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan.

Sama seperti model-model terkini, Y16ZR juga mendapat sistem klac Assist and Slipper untuk tunggangan dan penukaran gear lebih lancar terutamanya semasa downshifting.

Turut diperkenalkan ialah koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang juga boleh didapati di Genblu Online Shop untuk anda memadankan gaya dengan motosikal ini.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary dijual pada harga cadangan RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Anda boleh mula melihat motosikal ini di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara.

Seperti biasa, anda juga akan mendapat kunci brek cakera untuk setiap pembelian Yamaha Y16ZR ini.

Yamaha Y15ZR 2022 tampil dengan warna baharu, harga RM8,498

MODEL Yamaha Y15ZR hadir dengan varian baharu sekaligus menjadikan ia bertambah ‘garang’.

Semalam, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan varian baharu Yamaha Y15ZR dengan warna yang lebih ‘segar’.

Warna ditampilkan adalah hijau gelap disulami grafik hitam, biru, kelabu dan cyan.

Foto ihsan Yamaha

Bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan terhadap perincian lain termasuk komponen enjin (satu silinder SOHC penyejukan cecair 150cc).

Kotak gear juga masih sama iaitu lima kelajuan suntikan bahan api bagi menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

Foto ihsan Yamaha

Berikut antara ciri-ciri lain terdapat pada Yamaha Y15ZR 2022:

  • Meter jenis LCD digital
  • Lampu utama LED
  • Rim 17 inci
  • Fork teleskopik hadapan
  • Monoshock belakang
  • Pemula enjin elektrik
  • Passing light
  • Butang kill switch

Harga Yamaha Y15ZR 2022 ditetapkan bermula RM8,498 iaitu sedikit tinggi berbanding model sebelum ini iaitu RM8,168.

Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000km dan kunci cakera brek secara percuma.

XMax SP di pasaran Thailand, dilengkapi penyerap hentak Ohlins

VERSI baharu model XMax yang dikenali dengan nama XMax SP mula dipasarkan di pasaran negara jiran, Thailand.

Terdapat beberapa ciri menarik pada model ini antaranya termasuk penyerap hentak belakang boleh laras jenama Ohlins.

Apa yang menarik, Yamaha turut memberikan penyerap hentak asal jika pemilik berhasrat untuk menggunakannya kelak.

Foto ihsan Yamaha Thailand

Berdasarkan maklumat diterima, XMax dijual di pasaran Thailand menggunakan enjin 292cc dengan 27.6 kuasa kuda pada 7,250 rpm dan 29 Nm tork pada 5,750 rpm.

Model XMax SP didatangkan dengan warna kelabu manakala, rim diwarnakan dengan warna merah sekaligus menyerlahkan gaya ‘sporty’.

Foto ihsan Yamaha Thailand

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Yamaha XMax SP di Thailand:

  • Tangki bahan api 13 liter
  • Brek cakera ABS depan dan belakang
  • Sistem kawalan cengkaman
  • Lampu hadapan dan belakang LED
  • Soket 12V
  • Fork teleskopik

Sebuah Yamaha XMax SP dijual pada harga 209,000 baht atau RM26,332.

Yamaha 135LC dengan enjin FI baharu, tiga warna, RM7,798

YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.

Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.

Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.

Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.

Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.

Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.

Yamaha 135LC FI

Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.

Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.

Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.

Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.

135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).

Toyota bekerjasama dengan Yamaha hasilkan enjin V8 hidrogen, 444hp

TOYOTA telah bekerjasama dengan Yamaha bagi menghasilkan enjin pembakaran dalaman yang dikuasakan oleh gas hidrogen termampat.

Yamaha telah memilih asas enjin petrol 2UR-GSE yang diguna pakai oleh model produksi Lexus RC F 5.0-liter V8 bagi projek ini. Dengan menggunakan blok enjin yang sama, modifikasi dilakukan di bahagian penyuntik bahan api, kepala silinder dan manifold kemasukan.

Kombinasi enjin yang dilengkapi dengan sistem ekzos lapan-kepada-satu, menghasilkan kuasa 444hp, kurang 13hp dari enjin asal. Namun tork yang dihasilkan pula adalah 540Nm, lebih 20Nm berbanding versi petrol.

Apa yang menarik, Lexus RC F versi enjin petrol boleh diubah suai kepada versi hidrogen dengan perubahan minima. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan cagak enjin yang sama seperti versi petrol, hanya sedikit modifikasi diperlukan dari segi tempat simpanan bahan api hidrogen menggantikan tangki petrol yang sedia ada.

Menurut Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha, enjin baharu ini akan membuat pengguna berasa seronok untuk menggunakannya.

“Enjin hidrogen lebih mesra digunakan. Rata-rata yang sebelum ini berasa skeptikal, bertukar seronok setelah memandu uji kereta prototaip,” jelas Yamada. 

Projek ini merupakan sebahagian dari kolabrasi antara Kawasaki, Subaru, Toyota dan Mazda yang diumumkan pada November lalu untuk tujuan penyelidikan serta penggunaan sumber alternatif bagi enjin pembakaran dalaman secara karbon neutral.

Yamaha NVX 2021, skuter idaman untuk kaum wanita?

HAMPIR setahun keberadaan Yamaha NVX 2021 di pasaran Malaysia, permintaan terhadap model ini tidak kurang hebatnya.

Dijual pada harga RM8,998 sehingga RM10,998 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), NVX 2021 mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri.

Jadi, Apakah kelebihan NVX 2021 ini? Jom kita check it out!

Foto ihsan Yamaha

Sistem keyless ignition

Menarik mengenai NVX 2021, model ini mempunyai sistem keyless ignition.

Ini bermaksud, pengguna tidak perlu menggunakan kunci seperti kebanyakan motosikal lain sekaligus memberi sentuhan ‘moden’ dan canggih.

Foto ihsan Yamaha

Sistem Yamaha Y-Connect

Yamaha NVX 2021 juga didatangkan dengan dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan dengan sistem Y-Connect.

Y-Connect membolehkan motosikal disambung dengan aplikasi dalam telefon bimbit dan memberikan beberapa informasi penting.

Antara informasi diperoleh menerusi sistem Y-Connect termasuk maklumat tahap minyak enjin, peringatan waktu servis, kedudukan lokasi terakhir motosikal dan penggunaan bahan api.

Selain itu, ia juga memberikan notifikasi panggilan dan mesej yang dipaparkan di panel instrumen.

Foto ihsan Yamaha

Apa kelebihan lain NVX?

Yamaha NVX 2021 masih menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA.

Bagaimanapun, kuasa model baharu ini bertambah sedikit menjadi 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

Berikut kelebihan lain ada pada Yamaha NVX 2021:

  • Tangki 5.5 liter 
  • Brek hadapan jenis cakera
  • Brek belakang dram
  • Soket pengecas USB 
  • Fork teleskopik
  • Dua penyerap hentak di belakang

Sementara itu, versi ABS mendapat kelebihan brek ABS one-channel di hadapan, sistem start dan stop serta suspensi belakang dengan subtank.

Pada masa sama, Yamaha NVX 2021 sangat ringan dan pastinya sesuai untuk kegunaan kaum wanita.

Foto ihsan Yamaha

Untuk informasi lebih lanjut saksikan review yang telah kami sediakan

Chiow!

Yamaha XSR155 Zeus kustom di Thailand, 100 unit habis licin beberapa jam sahaja!

ADA sebab mengapa motosikal Yamaha XSR155 begitu digemari di pasaran-pasaran Asia seperti Thailand. Ia dijual pada harga yang mampu milik, mudah dikendalikan dan mungkin yang paling menarik untuk pembeli-pembeli daripada golongan muda, mempunyai potensi tinggi untuk dikustomkan.

Menyedari potensi yang ada pada model ini, Yamaha Thailand menjalinkan kerjasama dengan Zeus Custom, pembuat motosikal kustom yang cukup popular di negara itu, untuk menawarkan XSR155 edisi khas.

Hanya 100 unit akan dihasilkan dan menurut laporan, kesemuanya habis terjual dalam masa beberapa jam selepas pelancaran.

Sentuhan pakar-pakar dari Zeus Custom berjaya mengubah penampilan XSR155 dari sebuah motosikal standard kepada café racer retro yang bergaya.

Secara keseluruhannya, imej baharu model ini tidaklah keterlaluan namun cukup untuk membuatkan ia menonjol biarpun dikelilingi oleh jentera-jentera lain di jalan raya.

Bagi mendapatkan penampilan ini, bar hendal yang asal dibuang dan digantikan dengan bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah, manakala fender hadapan dan belakang dipotong.

Ini secara tidak langsung membuatkan motosikal ini kelihatan lebih kompak dan sporti pada masa yang sama.

Selain itu, Zeus Custom turut menggunakan unit baharu untuk lampu utama bagi memastikan ia berada pada ketinggian yang sama dengan bar hendal tersebut.

Sudah tentu, penampilannya sebagai sebuah café racer tidak akan lengkap tanpa kehadiran pelana nipis dengan tekstur ribbed serta balutan kulit hitam dan coklat.

Akhir sekali, bahagian-bahagian yang berwarna hitam seperti enjin, ekzos dan rim dipadankan dengan skema warna kelabu matte.

Logo Zeus Custom pada tangki minyak pula memberikan peringatan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya bahawa motosikal ini merupakan hasil tangan mereka yang pakar.

Bagaimanapun, sentuhan Zeus Custom terhad kepada aspek penampilan sahaja. Seperti versi standard, XSR155 edisi khas ini dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 155cc silinder tunggal dengan teknologi VVA yang menjana 19hp.

Ia juga kekal dengan fork teleskopik di hadapan, penyerap monoshock di belakang, brek cakera tunggal serta rim aloi berukuran 17-inci.

Harga XSR155 yang dikustomkan oleh Zeus Custom ini tidak dinyatakan, namun ia sudah pastinya lebih mahal jika dibandingkan dengan versi standard yang dijual pada harga 91,500 baht (kira-kira RM11,488).

Yamaha XSR900 2022 di pasaran pada April, harga RM43,000

DUNIA motosikal saban tahun tidak pernah sepi dengan kehadiran model-model baharu di seantero dunia.

Para pengeluar sering bersaing menghasilkan jentera terbaik dalam usaha menambat hati pelanggan.

Terbaharu, Yamaha tampil di pasaran dengan memperkenalkan model baharu untuk tahun 2022 yang bakal menjengah tidak lama lagi.

Model XSR900 telah diberi suntikan ‘segar’ sekaligus dijangka bakal menjadi jentera pilihan ramai.

Foto ihsan Yamaha

Mengapa?

Memiliki rekaan retro, XSR900 tidak kurang hebat dengan kuasa enjin luar biasa selain dilengkapi sistem elektronik menarik.

Jentera ini dikatakan tidak terlalu berat memandangkan kerangka badan diperbuat daripada aluminium menerusi teknik die-cast.

Jentera ini berkongsi genetik model MT-09, didatangkan dengan enjin tiga silinder CP3 890 cc (117 kuasa kuda dan 94 Nm).

Sementara itu, ia juga mempunyai pedal brek tempa, tempat pemijak kaki penumpang boleh disembunyikan dan unit lampu LED.

Foto ihsan Yamaha

Menambah keunikan jentera ini, ia juga memiliki skrin paparan TFT berwarna penuh 3.5 inci.

Oh ya…Yamaha turut memberi kelebihan lain kepada XSR900 yang mana ia juga dilengkapi sistem pendikit teknologi ride-by-wire dan quick-shifter!

Antara kelebihan lain XSR900 adalah unit pengukuran inersia (IMU), sistem kawalan wheelie serta gelongsor dan cornering ABS.

Foto ihsan Yamaha

Yamaha mengumumkan XSR900 2022 boleh didapati di pasaran bermula April dengan harga bermula sekitar RM43,000.

Yamaha TMax 560 baharu jengah pasaran Malaysia, harga RM72,888

BARU-BARU ini Hong Leong Yamaha (HLYM) telah melancarkan sebuah lagi jentera terbaharu di pasaran negara.

Mula diperkenalkan di peringkat global pada penghujung 2019, TMax 560 dibawakan dengan dua varian warna untuk pasaran Malaysia iaitu Tech Kamo dan Power Grey.

Model terbaharu kali ini, Yamaha membuat beberapa penambahbaikan terutama melibatkan bahagian enjin.

Foto ihsan Yamaha

Kapasiti enjin dipertingkatkan iaitu dari 530cc kepada 562cc dengan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Berdasarkan reka bentuk model kali ini, ternyata Yamaha telah memberi banyak sentuhan baharu termasuk bahagian lampu hadapan dan belakang.

Foto ihsan Yamaha

Selain itu, bahagian tempat duduk juga direka semula menjadikan jentera ini lebih ergonomik dan selesa.

Berikut antara ciri istimewa lain terdapat pada TMax 560:

      • Brek cakera berkembar 267 mm di hadapan

      • Brek cakera berkembar 267 mm di belakang

      • Rim 15 inci

      • Tangki bahan api 15 liter

      • Penghadang angin kawalan elektrik

      • Cruise control

      • Pemanas tangan dan tempat duduk

      • Suspensi belakang boleh laras

      • Fork berwarna emas

      • Dua pilihan mod tunggangan

      • Kawalan cengkaman dan brek ABS

    Foto ihsan Yamaha

    Setakat ini harga ditawarkan bagi seunit TMax adalah RM72,288 tidak termasuk insurans.

Persis R1M, Yamaha perkenal R15M dengan fungsi quickshifter

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Yamaha memperkenalkan model baharu YZF-R15M yang kelihatan lebih ‘garang’.

Terdapat beberapa penambahbaikan bagi model supersport ini terutama membabitkan ciri dalaman pada bahagian enjin.

Model ini masih hadir dengan enjin berkapasiti 155cc sejukan cecair dengan teknologi Variable Valve Actuation atau VVA.

Enjin ini mampu menghasilkan 18.3 kuasa kuda dan 14.1 Nm.

Bagaimanapun, apa yang menarik kali ini Yamaha mula memperkenalkan sistem quickshifter yang mana kebiasaannya digunakan oleh motosikal jenis superbike.

Selain itu, aspek tunggangan juga telah ditambah baik dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik (USD).

Berikut antara ciri lain boleh didapati pada YZF-R15M:

  • Kawalan cengkaman
  • Brek cakera depan / belakang ABS dua saluran
  • Lampu diod pemancar cahaya (LED)
  • Lampu nyalaan siang LED berkembar
  • Foto ihsan Yamaha

    Model YZF-R15M juga didatangkan dengan paparan LCD yang boleh dioperasikan menerusi butang pada bar hendal.

    Pada masa sama, ia juga didatangkan dengan sokongan aplikasi peranti pintar Y-Connect menerusi sambungan Bluetooth.