Persis R1M, Yamaha perkenal R15M dengan fungsi quickshifter

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Yamaha memperkenalkan model baharu YZF-R15M yang kelihatan lebih ‘garang’.

Terdapat beberapa penambahbaikan bagi model supersport ini terutama membabitkan ciri dalaman pada bahagian enjin.

Model ini masih hadir dengan enjin berkapasiti 155cc sejukan cecair dengan teknologi Variable Valve Actuation atau VVA.

Enjin ini mampu menghasilkan 18.3 kuasa kuda dan 14.1 Nm.

Bagaimanapun, apa yang menarik kali ini Yamaha mula memperkenalkan sistem quickshifter yang mana kebiasaannya digunakan oleh motosikal jenis superbike.

Selain itu, aspek tunggangan juga telah ditambah baik dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik (USD).

Berikut antara ciri lain boleh didapati pada YZF-R15M:

  • Kawalan cengkaman
  • Brek cakera depan / belakang ABS dua saluran
  • Lampu diod pemancar cahaya (LED)
  • Lampu nyalaan siang LED berkembar
  • Foto ihsan Yamaha

    Model YZF-R15M juga didatangkan dengan paparan LCD yang boleh dioperasikan menerusi butang pada bar hendal.

    Pada masa sama, ia juga didatangkan dengan sokongan aplikasi peranti pintar Y-Connect menerusi sambungan Bluetooth.

    Yamaha MT-25 2021 dilancar, dua warna baharu, RM21,500

    SERENTAK dengan kemaskini MT-15, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut memperkenalkan MT-25. Untuk 2021, jentera hyper naked ini hadir dengan dua warna baharu iaitu Yamaha Blue dan Storm Fluo.

    Seperti adiknya yang lebih kecil, harga cadangan untuk Yamaha MT-25 juga tidak berubah, iaitu RM21,500 (tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans). Setiap pembelian juga akan menerima pengunci cakera Yamaha bernilai RM100.

    Naked itu menggunakan enjin 249cc yang menyalurkan 35.5hp pada 12,000rpm dengan tork mencecah 23.6Nm pada 10,000rpm.

    Kuasa itu disalurkan ke transmisi 6-kelajuan dan mempunyai berat basah sehingga 169kg. Ia menggunakan kerangka jenis Diamond yang mana sistem suspensi hadapan menggunakan fork terbalik.

    Bagi kuasa hentiannya, ia dilengkapi dengan cakera brek bagi hadapan dan belakang. Selain itu, MT-25 menggunakan rim 17 inci padanan tayar 110/70R17 bahagian hadapan, manakala belakang bersaiz 140/70R17.

    Bagi memberi jarak tunggangan lebih jauh, jentera itu didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

    Yamaha MT-25 ini akan mula berada di pengedar Yamaha bermula hari ini.

    Penyangak ‘kebas’ Yamaha Y15 di Batu Caves diburu

    TINDAKAN empat penyangak mencuri sebuah motosikal di Batu Caves, Selangor tular di media sosial baru-baru ini.

    Insiden dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu dimuatnaik pengendali akaun MyWatch di Twitter.

    Menerusi rakaman disiarkan, kelihatan empat lelaki sedang mencuri sebuah motosikal berwarna hijau jenis Yamaha Y15.

    Apa yang mengejutkan kesemua ‘penyangak’ terlibat hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk melarikan motosikal terbabit.

    “Sebuah motosikal Yamaha Y15 telah dicuri di sekitar Batu Caves Centrepoint pada pukul empat pagi tadi (kelmarin).

    “Aktiviti jenayah itu dipercayai melibatkan empat suspek dan dilakukan kurang daripada lima minit,” memetik kapsyen dimuatnaik MyWatch.

    Setakat berita ini ditulis, video rakaman itu telah ditonton lebih 10,000 tontonan dengan diulang kicau sebanyak 400 kali.

    Kebanyakan pengguna media sosial mengutuk tindakan empat penyangak terbabit yang disifatkan sebagai rakyat tidak bertanggungjawab.

    Mereka berharap kesemua individu terlibat dalam kes kecurian terbabit segera ditahan pihak berkuasa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

    Yamaha Y15 antara model paling popular dalam kalangan peminat motosikal di Malaysia. – Foto ihsan Yamaha

    Motosikal jenis Yamaha Y15 antara yang popular setakat ini di Malaysia dan oleh kerana itu, ia sering menjadi ‘target’ kepada golongan penyangak.

    Modus operandi sering dilakukan adalah dengan meleraikan komponen motosikal untuk dijual di ‘pasaran gelap’.

    Untuk rekod, sebuah motosikal model Yamaha Y15 boleh mencecah RM8,200 di pasaran Malaysia.

    Vinales bebas atur masa depan, Yamaha tamatkan kontrak serta-merta

    YAMAHA secara rasmi menamatkan kontrak bersama pelumbanya Maverick Vinales berkuatkuasa serta-merta.

    Keputusan itu hadir selepas Yamaha memutuskan tidak menggunakan khidmat Vinales pada perlumbaan British Grand Prix MotoGP pada 26 sehingga 29 Ogos ini.

    Tindakan Yamaha itu sememangnya sudah dijangka walaupun Vinales membuat keputusan menamatkan kontrak setahun lebih awal yang berakhir hujung musim ini.

    “Di Assen kami telah capai kata sepakat bahawa kontrak akan ditamatkan setahun lebih awal iaitu pada hujung musim ini.

    “Bagaimanapun, amat mengecewakan perlumbaan tidak berlaku dengan baik di GP Styria dan lebih baik kedua pihak (Vinales) tamatkan perjanjian lebih awal.

    “Ia juga bagus untuk Vinales menentukan haluannya tanpa sebarang kekangan dan terus fokus mencorak kerjayanya,” kata Pengarah Urusan Yamaha Moto Racing, Lin Jarvis.

    Maverick Vinales pelumba paling kontroversi pada musim ini. – Foto ihsan Wikipedia

    Konflik Yamaha dan Vinales bukan lagi rahsia apabila pelumba itu disering meluahkan rasa kecewa dengan pasukan diwakilinya.

    Pada perlumbaan Styria, Vinales dilihat cuba melakukan kerosakan pada jenteranya sekaligus mengundang bahaya.

    Susulan insiden itu, Vinales yang pada mulanya ‘mengunci’ mulut meluahkan rasa kesal dan memohon maaf kepada Yamaha.

    Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui tindakan dilakukan kerana sukar untuk membendung kekecewaan terhadap pasukannya.

    Maverick Vinales ketika di MotoGP TT Assen yang merupakan perlumbaan terakhirnya bersama pasukan Monster Energy Yamaha. – Foto ihsan Malay Mail

    Terdahulu, Vinales dalam satu kenyataan mengambil maklum mengenai keputusan terbaharu Yamaha.

    Vinales mengucapkan terima kasih kepada Yamaha di atas peluang diberikan selama ini selain mendoakan agar pasukan diwakilinya sejak 2017 terus berjaya dalam MotoGP.

    “Terima kasih kepada Yamaha untuk tempoh lebih empat tahun ini dan segala kejayaan pernah tercipta akan terus dikenang.

    “Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mendoakan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.

    Gaya retro moden Yamaha FZ-X yang ‘mencairkan’

    YAMAHA India terus mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara itu dengan pengenalan model terbaharu FZ-X.

    Berada dalam ‘keluarga’ naked bike, FZ-X memiliki gaya retro sama seperti model XSR 155.

    FZ-X didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara berkapasiti 149 cc.

    Sama seperti model FZS-FI, ia juga dikatakan dapat menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Bagaimanapun, FZ-X hanya mempunyai transmisi lima kelajuan dan tidak didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA).

    Memiliki look and feel retro, FZ-X masih mempunyai beberapa sentuhan moden.

    Ia termasuk penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan DRL, brek ABS serta panel meter LCD yang mempunyai sistem Y-Connect.

    Secara tidak langsung, ia dapat disambungkan kepada telefon pintar dan memaparkan fungsi seperti penggunaan bahan api, waktu servis serta notifikasi mesej atau panggilan.

    Model Yamaha FZ-X mempunyai rekaan retro yang ‘disulami’ teknologi moden. – Foto ihsan Facebook/Maxabout.com

    Berikut antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada FZ-X:

    • Tangki bahan api 10 liter
    • Fork teleskopik 41 mm
    • Monoshock di belakang
    • Tempat dengan ketinggian 810 mm bagi penunggang utama
    • Berat keseluruhan 139 kilogram
    • Brek cakera depan dan belakang
    • Rim 17 inci

    Setakat ini, harga model FZ-X di pasaran India sekitar Rs1,19,800 atau bersamaan RM6,702.

    Namun, persoalan paling penting yang perlu dijawab adalah, “adakah model ini akan memasuki pasaran Malaysia?”

    Itu kita kena tunggu dan lihat ya!

    Modifikasi ‘wajib’ Yamaha R15 jadi lebih ‘mantul’

    KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.

    Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

    Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.

    Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.

    Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.

    Ekzos

    Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.

    Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.

    Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.

    Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.

    Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.

    ECU

    Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.

    Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.

    Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.

    Monoshock

    Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.

    Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.

    Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.

    Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!

    Tayar

    Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.

    Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.

    Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.

    Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.

    ‘Sunat ekor’

    ‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.

    Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.

    Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.

    Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.

    Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.

    Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!