Laku keras, Xiaomi SU7 habis terjual dalam tempoh 24 jam, tempoh menunggu 7 bulan!

24 jam selepas dilancarkan, kereta elektrik pertama Xiaomi ternyata menerima sambutan yang cukup memberangsangkan di China.

Menurut laporan daripada CarNewsChina, Xiaomi telah menerima sebanyak 88,898 tempahan dalam tempoh masa yang dinyatakan.

Malah, pengeluar itu turut memaklumkan tempoh menunggu mampu mencecah sehingga lima bulan untuk dua varian paling rendah, atau sehingga tujuh bulan untuk varian AWD Max.

 

 

Menurut informasi daripada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MITT) China, Xiaomi melantik Beijing Automotive Industry Holding Co (BAIC) sebagai pemasang model SU7.

Kilang baharu yang terletak di Beijing itu mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 unit untuk fasa pertama, dan boleh meningkat kepada 300,000 unit untuk fasa kedua.

Disebabkan kilang pemasangan yang terletak di Beijing masih lagi belum mencapai kapasiti pengeluaran penuh, Xiaomi hanya dapat menghasilkan kira-kira 100,000 unit kenderaan sepanjang tahun ini.

 

 

Terdapat kemungkinan besar angka tempahan yang diterima mampu melonjak kepada lebih 100,000 unit dalam tempoh 48 jam selepas pelancaran.

Ini membawa maksud, hampir kesemua slot pemasangan yang diperuntukkan untuk model tahun 2024 telah pun habis terjual!

Spesifikasi ringkas sedan elektrik Xiaomi SU7 boleh dibaca pada pautan dibawah:

Xiaomi SU7 rasmi di China, dari RM141k, lebih murah banding Tesla Model 3

 

Xiaomi SU7 rasmi di China, dari RM141k, lebih murah banding Tesla Model 3

Gergasi elektronik China, Xiaomi baharu sahaja melancarkan sedan elektrik pertamanya, Xiaomi SU7 untuk pasaran China.

Sedan elektrik yang mampu memberikan saingan kepada BYD Seal, Xpeng P7i atau Nio ET5 itu dijual pada harga bermula dari 215,900 yuan (RM141,431) – 299,900 yuan (RM196,460).

Dibina menggunakan platform Modena, Xiaomi SU7 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi 1,455 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Ciri lain termasuklah sistem suspensi udara, radius putaran sekecil 5.7 meter, serta rekaan badan yang aerodinamik, di mana Xiaomi mendakwa SU7 mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.195 Cd – paling rendah untuk mana-mana kereta produksi dalam dunia.

 

 

Secara standard, ia menawarkan ruang kargo sebesar 517 liter, ruang frunk sebesar 105 liter, serta terdapat peti sejuk sebesar 4.6 liter yang mampu memuatkan sehingga enam tin minuman.

Tiga varian ditawarkan buat masa ini, iaitu versi Standard, Pro dan Max.

Versi asas SU7 Standard dilengkapi dengan motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang berkuasa 295 hp/400 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 5.28 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

 

 

Dipadankan dengan senibina elektrik 400 voltan dan pek bateri LPF 73.6 kWh daripada BYD, SU7 ini mampu bergerak sejauh 700 km untuk sekali cas penuh.

Pengecasan selama 15 minit pula membolehkan SU7 ini menambah jarak sejauh 350 km.

Sementara SU7 Pro pula dibekalkan dengan pek bateri CATL berkapasiti 94.3 kWh, di mana jarak gerak meningkat kepada 830 km (data CLTC).

 

 

Versi paling berkuasa SU7 Max Performance pula membawakan tetapan dua motor elektrik berkuasa 663 hp/838 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j sepantas 2.78 saat sebelum mencecah kelajuan tertinggi 265 km/j.

Pek bateri Qilin CATL berkapasiti 101 kWh pula membolehkan sedan pantas ini bergerak sejauh 800 km untuk sekali cas.

Senibina elektrik 800-voltan yang lebih moden menyokong pengecasan pantas selama 15 minit yang dapat menambah jarak sehingga 510 km.

Menurut Xiaomi, SU7 ini bakal ditawarkan dengan dua opsyen sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), terdiri daripada Xiaomi Pilot Pro dengan cip pemprosesan Nvidia Drive Orin, serta Xiaomi Pilot Max dengan dua cip pemprosesan Nvidia Drive Orin yang disokong dengan keupayaan LIDAR.

 

 

Susun atur ruang kabin Xiaomi SU7 merupakan antara rekaan yang terkemas pernah wujud untuk sebuah kereta buatan China.

Terdapat roda stereng dengan butang kawalan rotari berkembar seakan Porsche, skrin tengah bersaiz 16.1 inci, skrin paparan head-up, serta penggunaan skema warna dua tona.

Selain itu, Xiaomi turut menawarkan sehingga empat pilihan warna menarik untuk upholsteri kulit Nappa.

Menurut laman CarNewsChina, dalam tempoh empat minit selepas pelancaran Xiaomi dilapor telah menerima kira-kira 10,000 unit tempahan, dan dalam masa 27 minit sahaja tempahan sudah pun mencecah 50,000 unit!

 

Xiaomi SU7 diperkenalkan secara rasmi – 673 PS, 0-100 km/j dalam 2.78s, jarak pandu 800 km

ANDA mungkin tahu bahawa ada beberapa pengeluar telefon pintar yang sedang merancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan EV.

Salah satunya adalah Xiaomi, yang baru sahaja memperkenalkan EV pertamanya iaitu SU7. Ia digelar sebagai “sedan eko-teknologi berprestasi tinggi bersaiz penuh”.

Bercakap tentang saiz, ukuran dimensi SU7 adalah 4,997 mm panjang, 1,963 mm lebar, 1,440 mm tinggi dan 3,000 mm untuk jarak roda. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Porsche Taycan dan Tesla Model S.

Model ini dibina berdasarkan platform Modena yang menawarkan senibina 400 volt dan 800 volt, dengan tiga pilihan motor elektrik iaitu HyperEngine V6, V6s dan V8s.

Untuk rekaan bahagian luaran SU7, Xiaomi menggunakan khidmat bekas pereka BMW, Chris Bangle yang bertindak sebagai perunding bagi projek ini.

Hasilnya, EV tersebut mempunyai kadar pekali seretan 0.195, menjadikannya antara kereta yang paling aerodinamik dalam pasaran.

Di dalam, pengeluar telefon pintar dari China itu menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi untuk melengkapkan SU7 dengan gajet terkini.

Ini termasuk skrin sentuh tengah berukuran 16.1 inci dan sistem pemanduan autonomi pintar yang merangkumi satu LiDAR, 11 kamera, tiga radar dan 12 radar ultrasonik.

SU7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan Max. Varian asas dikuasakan oleh HyperEngine V6 dengan 299 PS dan 400 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.28 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Varian ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 73.6 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 668 km.

Sementara itu, SU7 Max mempunyai HyperEngine V8s dengan sepasang motor elektrik yang menjana 673 PS dan 838 Nm. Ia memerlukan hanya 2.78 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 265 km/j.

Dengan bateri 101 kWj, ia boleh dipandu sejauh 800 km dengan satu cas penuh. Oleh kerana varian ini menggunakan senibina 800 volt, ia boleh mendapatkan semula jarak pandu 220 km dalam hanya lima minit atau 390 km dalam 10 minit.

EV pertama Xiaomi mampu gerak sejauh 800 km!

Pengeluar peranti pintar China, Xiaomi dijangka akan melancarkan model kereta elektrik pertama SU7 dalam masa terdekat.

Berdasarkan info daripada laman CNEVPost, sedan coupe itu dikatakan mempunyai jarak gerak sejauh 800 km.

Xiaomi SU7 boleh didapati dengan dua saiz pek bateri, iaitu 73.6 kWh (BYD) dengan dua pilihan jarak pemanduan, iaitu sejauh 628 km dan 668 km, serta kapasiti 101 kWh (CATL) yang menawarkan jarak gerak 750 km dan 800 km.

Dari segi ukuran, Xiaomi SU7 merupakan sebuah model sedan saiz pertengahan dengan dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi, 1440 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Di pasaran China, saiz SU7 adalah jauh lebih besar berbanding sedan Tesla Model 3 dan Nio ET5.

Difahamkan terdapat tiga varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna, iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max.


Varian asas SU7 akan dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion phosphate yang dibekalkan oleh BYD, serta menampilkan motor elektrik tunggal.

Sementara dua lagi varian (SU7 Pro & Max) pula mendapat bateri lithium ternary-ion daripada CATL, di mana kedua-dua varian tersebut bakal menerima tetapan dua motor elektrik.

Dalam laporan yang sama, Xiaomi bakal melancarkan dua model tambahan menjelang tahun hadapan, selepas pelancaran SU7 yang lebih dikenali dengan kod dalaman Modenat.

Model kedua (kod dalaman Lemang) pula merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang sama seperti Modenat, sementara model ketiga (kod Kunlun) merupakan sebuah kenderaan hibrid.

 

Gambar kereta Xiaomi MS11 tertiris, rupa macam McLaren sedan!

ANDA pasti tahu Xiaomi, syarikat teknologi China yang cukup dikenali dengan telefon pintar dan peranti elektronik. Kini, mereka akan menghasilkan kereta pula, dengan pelancaran dijangka pada 2024.

Sedan elektrik itu telah muncul di beberapa lamab web dan saluran media sosial negara itu, termasuk di Weibo.

Xiaomi mula membentuk divisyen pembangunan kenderaan mereka pada 2021 dan membeli Deepmotion Tech iaitu syarikat teknologi pemanduan autonomi tidak lama selepas itu. Tidak lama selepas itu, mereka telah membina pula kilang pengeluaran EV.

Prototaip telah siap pada musim panas tahun lepas, dan kini, versi produksi kenderaan itu yang diberi nama MS11 telah muncul. Begitu cepat, bukan?

Secara keseluruhan, rekaan sedan ini agak kemas. Ia mempunyai rupa sportback seperti sedan-coupe, suatu rekaan yang sudah dijangka untuk kenderaan sebegini, memandangkan EV perlu aerodinamik.

Ciri sporti ditambah dengan liang-liang udara di fender depan dan belakang, serta terdapat juga brek Brembo berwarna kuning. Apa pun, salah satu sebab ia nampak agak cantik adalah kerana ia nampaknya ‘meminjam’ beberapa elemen dari rekaan kereta sports terkemuka.

Di depan, kita tak dapat nafikan terdapat pengaruh kuat dari McLaren melalui rekaan lampu dan bentuk bampar. Di belakang pula, bar lampu belakang panjang melintang cukup serupa dengan Aston Martin DBS. Rim pula boleh dikatakan menyerupai rim pada Lamborghini Huracan Evo.

Apa pun, elemen-elemen ini bukanlah seperti ditiru bulat-bulat. Di bahagian lain, terdapat pengesan Lidar pada bumbung serta pembuka pintu jenis flush, menunjukkan tahap teknologi yang agak tinggi.

Spesifikasi kuasa dan jarak pemanduan belum diumumkan. Tetapi laporan dari Car News China mengatakan kereta ini akan menggunakan bateri yang dibekalkan oleh CATL dan BYD, manakala motor elektrik dibina sendiri oleh Xiomi.

Sebaik dilancarkan nanti, ia berkemungkinan menjadi pesaing kepada Afeela, iaitu model kerjasama Sony dan Honda.