Volvo EX30 kecil-kecil cili padi – Pandu Uji Ringkas

Dibangunkan menggunakan platform SEA milik Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, EX30 merupakan kenderaan Volvo yang paling kecil setakat ini.

Namun ia tidak boleh sekali-kali dipandang remeh kerana walaupun mempunyai saiz yang kompak, EX30 menawarkan semua yang pembeli dalam segmen ini inginkan – rupa, teknologi, praktikaliti dan sudah tentu, prestasi.

Terima kasih kepada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan semasa sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Volvo Car Malaysia baru-baru ini, kami berjaya mendapat gambaran jelas mengenai kemampuan sebenar EX30 dan kenapa ia sangat menarik.

Tetapi sebelum itu, mari kita lihat dulu bahagian luaran dan dalaman EV dari jenama Sweden ini. Dengan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, dan tinggi 1,555 mm, ia sebenarnya lebih kecil berbanding kedua-dua kembarnya iaitu #1 dan X.

Namun bagi penulis EX30 mempunyai perkadaran (proportion) yang cukup seimbang dan sporty, dengan overhang depan dan belakang yang sama panjang, tapak roda yang panjang (2,650 mm) dan rim yang besar.

Walaupun unit-unit pandu uji ini masih dibalut pelekat penyamaran, sekali pandang anda sudah tahu ia sebuah kereta Volvo terima kasih kepada lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul Thor yang menonjol. Sudah tentu, logo jenama itu juga terpampang jelas pada bahagian hadapan kereta ini.

Seperti yang boleh dijangka dari jenama ini, ruang dalaman EX30 tampil kemas dan rapi. Selari dengan konsep kelestarian, Volvo memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dan kitar semula di hampir setiap ceruk kabin kereta ini.

Selain butang cermin tingkap pada konsol tengah, anda tidak akan menemui sebarang butang fizikal di dalam EX30. Malah, panel instrumen digital pun tidak ada di dalam kereta ini. Semua fungsi serta maklumat seperti kelajuan kenderaan dan kedudukan gear perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.3 inci.

Pendekatan ini berkesan dalam menghasilkan ruang kabin yang minimalis namun mereka yang old school akan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Manakan tidaknya, untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box juga perlu dilakukan menerusi skrin sentuh berkenaan.

Tidak boleh dinafikan yang ruang dalaman EX30 memang kecil tetapi penulis tidak rasa kebanyakan pengguna akan mempunyai masalah untuk menyimpan barangan mereka.

Ini kerana Volvo telah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sebanyak mungkin ruang penyimpanan barang. Pertama sekali, Volvo menggunakan sound bar Harman Kardon yang diletakkan pada papan pemuka bagi memastikan terdapat ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Selain itu, pemegang cawan pada konsol tengah boleh digelongsorkan ke dalam manakala di bawahnya terdapat satu lagi ruang penyimpanan yang agak besar di mana anda boleh meletakkan barang-barang seperti dompet atau tas tangan.

Apa yang menarik, lantai ruang ini boleh dibuka untuk menghasilkan kompartmen yang lebih dalam. Terletak betul-betul di belakang kompartmen ini adalah bekas kecil yang boleh dikeluarkan.

Sekarang, berbalik kepada sesi pandu uji media yang dikatakan tadi. Dari ibu pejabat Volvo Malaysia di Petaling Jaya, kami bertolak ke lapangan terbang lama di Sungai Besi untuk dua aktiviti pemanduan yang menyeronokkan iaitu drag race dan slalom.

Aktiviti slalom bukanlah bukan benda baru untuk penulis tetapi kali ini ia sedikit berlainan kerana kami perlu melakukannya secara mengundur. Imej dari kamera yang cukup terang dan jelas banyak membantu penulis mengelak daripada terlanggar kon.

Seterusnya, aktiviti drag racing dengan Volvo V60 T8 berjaya merungkai kemampuan sebenar EX30 pada laluan lurus. Varian Ultra Twin Performance yang kami pandu mempunyai mod ‘rahsia’ yang perlu diaktifkan bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa maksimum 428 PS dan 543 Nm.

Dengan semudah itu sahaja, EX30 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat bagi mengalahkan wagon PHEV yang sebenarnya jauh lebih berkuasa itu.

Usai berlumba di Sungai Besi, kami bergerak ke Bamboo Hills untuk demonstrasi ciri Park Pilot Assist. Ciri ini cukup mudah untuk digunakan dan boleh mengesan ruang parkir kosong dengan serta merta. Anda hanya perlu memilih ruang yang dikehendaki dan kereta ini akan melakukan segalanya untuk anda.

Kemudian, kami ke Ikea Damansara untuk aktiviti yang lain dari yang lain iaitu membeli-belah. Setiap pasukan yang terdiri daripada enam media diberikan bajet bernilai RM2,000 untuk membeli sebanyak mungkin barang untuk dimuatkan ke dalam EX30.

Terima kasih kepada ruang but yang mempunyai kapasiti maksimum 904 liter (jika tempat duduk belakang dibaringkan), kompartmen di bawah lantai but sebesar 61 liter, dan frunk sebesar 7 liter, pasukan penulis berjaya menyumbat beberapa buah kerusi, tilam futon, bantal dan banyak lagi barangan lain tanpa sebarang masalah.

Aktiviti ini menunjukkan bahawa walaupun EX30 bersaiz kompak, ruang dalamannya yang cukup versatil dan sesuai digunakan untuk ke destinasi percutian hujung minggu di Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Dari Kuala Lumpur, kami kemudiannya menuju ke Janda Baik sebagai hentian terakhir sesi pandu uji ini. Perjalanan dari ibu kota ke pusat peranginan terkenal itu cukup seronok terutamanya ketika menyusuri Lebuhraya Karak memandangkan EX30 mempunyai pengendalian yang stabil dan mantap.

Walaupun dipandu dengan agresif sepanjang hari, ditambah pula dengan perlumbaan drag tersebut, penulis berjaya tiba ke Janda Baik dengan kuasa bateri berbaki sekitar 45%. Bayangkan jika ia dipandu dengan lebih cermat?

Untuk pengetahuan, varian Ultra Twin Performance didatangkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj yang menjanjikan jarak pandu sekitar 450 km berdasarkan kitaran WLTP.

Bateri berkenaan boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit menggunakan pengecas pantas DC 175 kW. Pengecasan AC 11 kW pula memerlukan kira-kira 7.5 jam untuk pengecasan penuh.

Konklusi

Untuk sebuah EV, Volvo EX30 menawarkan banyak kelebihan. Rekaan bahagian luaran dan dalamannya cukup moden dan sangat menarik perhatian tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan.

Bercakap tentang ruang dalaman, kekurangan butang fizikal mungkin akan membuatkan sesetengah pelanggan berfikir dua kali sebelum membelinya namun berdasarkan pengalaman penulis, semua fungsi dan ciri yang ada boleh diakses dengan mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit masa untuk belajar menggunakannya.

Bagi penulis, kekuatan utama model ini terletak pada prestasi dan praktikaliti, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

Program Volvo Iron Women sokong penglibatan wanita sebagai pemandu trak tugas berat

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan pemandu trak tugas berat yang mahir, Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) telah memperkenalkan inisiatif Volvo Iron Women di Malaysia.

Dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai rakan strategik, Volvo Trucks baru-baru ini meraikan kejayaan lima wanita menamatkan kursus dan kini ditauliahkan sepenuhnya sebagai pemandu trak tugas berat.

“Program Iron Women Volvo telah mencapai kejayaan besar di peringkat global dan kami teruja untuk menawarkan peluang menarik ini di Malaysia sebagai program perintis di rantau Asia Tenggara,” kata Naib Presiden Volvo Trucks International, Johan Selvén, di majlis penyampaian sijil Program Volvo Iron Women.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Yang Berhormat Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri, berkata dalam ucapannya, “Kerjasama KPWKM dengan Volvo Trucks menerusi inisiatif Iron Women memperlihatkan kepentingan kerjasama awam-swasta yang membawa impak besar. Saya percaya kita beransur-ansur melangkah maju untuk merapatkan jurang jantina di tempat kerja. Tahniah kepada graduan Iron Women yang menamatkan latihan dengan cemerlang.”

Nancy juga memberi pengiktirafan kepada Taipanco Sdn Bhd, yang bakal mengambil kumpulan graduan yang pertama ini untuk bekerja dan sekali gus menjadi antara segelintir peserta industri yang menyedari nilai pemandu trak tugas berat wanita sebagai aset berharga untuk mengendalikan angkatan kenderaan mereka.

KPWKM menambah bahawa ia akan memberikan sokongan dengan memberikan ilmu dan kemahiran kepada graduan Volvo Iron Women untuk menceburi industri yang dikuasai lelaki, terutamanya dengan matlamat untuk mengenal pasti dan menangani sebarang bentuk gangguan prasangka jantina dengan penuh yakin.

Antaranya termasuk menyokong program Volvo Iron Women selama dua tahun, kaunseling dan latihan untuk gangguan prasangka jantina dan menyediakan talian khas bagi pemandu wanita yang memerlukan kaunseling dan nasihat.

Kementerian juga akan membantu mengenal pasti dan mengesyorkan calon yang sesuai sebagai peserta. Dengan menyediakan sistem sokongan bagi wanita, pihak Kementerian berharap untuk menyediakan cara yang mudah dan selamat untuk lebih ramai wanita menceburi sektor ekonomi baharu, terutamanya yang lazimnya dikuasai oleh kaum lelaki.

“Setelah terlibat dalam industri logistik selama lebih dua dekad, kami melihat potensi besar dalam usaha memperkasakan dan melibatkan wanita untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat bagi pemandu trak mahir,” kata Pengarah Eksekutif Taipanco Sdn Bhd, Dato’ Nazari Akhbar.

Program Volvo Iron Women dirangka untuk mengasah kemahiran calon dari mula hingga akhir, bermula dengan kelas dan peperiksaan yang dikendalikan oleh institut memandu bertauliah untuk mendapatkan lesen Kelas E bagi memandu kenderaan berat.

Selepas menjalani penilaian kesihatan penuh, calon kemudian akan menghadiri ceramah tujuh jam dan menduduk peperiksaan teori (kos ditanggung majikan) bagi mendapatkan Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Lesen GDL dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kenderaan ringan, kenderaan berat (kejur) dan kenderaan bersendi. Program Volvo Iron Women di Malaysia memberi tumpuan kepada kenderaan bersendi.

Jadi yang pertama pandu Volvo EX30 pada 26-29 Sept ini

Volvo Car Malaysia menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memandu uji Volvo EX30 dalam acara Volvo EX30 Experience yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 September di KL Base, Sungai Besi.

Diadakan sejurus selepas pelancaran rasmi EX30 yang dijadualkan pada 25 September, acara tersebut menawarkan peluang kepada pelanggan untuk menjadi antara yang pertama untuk memandu SUV elektrik sepenuhnya yang terbaharu dari Volvo.

EX30 padat dengan teknologi dan menampilkan sistem bantuan parkir baharu, sistem Google Built-In, sistem Pilot Assist yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360° yang dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.

Bukan itu sahaja, EX30 juga merupakan kereta terpantas daripada Volvo dan mempunyai jejak karbon terendah daripada mana-mana kereta keluaran syarikat dari Sweden itu.

Pelanggan yang hadir ke Volvo EX30 Experience akan dapat: 

  • Memahami pelbagai idea kecil, inspirasi, pengiraan dan ujian yang dilakukan untuk memberikan impak besar dalam reka bentuk EX30. 
  • Melihat, menyentuh, mendengar, dan memandu sendiri EX30. 
  • Mempelajari teknologi canggih dan ciri keselamatan EX30 dalam satu sesi pemanduan kereta yang interaktif. 
  • Merasai sendiri pecutan pantas dan pengendalian dinamik EX30 di landasan lapangan terbang ikonik Sungai Besi. 
  • Menikmati pemanduan EX30 yang dilengkapi dengan reka bentuk yang mesra bandar
  • Nikmati layanan mesra Scandinavia yang diiringi oleh perunding berpengetahuan dari pengedar sah Volvo.

Volvo EX30 Experience akan berlangsung dari 10:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari dan slot adalah terhad berdasarkan siapa cepat dia dapat. Pendafataran boleh dibuat di https://forms.volvocarmalaysia.com/ex30

Pelanggan boleh membuat tempahan dalam talian untuk Volvo EX30 bermula 25 September.

 

Volvo XC90 facelift didedahkan secara rasmi, tawar jarak pandu lebih 800 km

Kali terakhir Volvo XC90 dikemas kini adalah sekitar 2019. Kini, lima tahun kemudian, SUV flagship itu mendapat satu lagi facelift yang menyaksikannya mengadaptasi elemen reka bentuk daripada model-model elektriknya.

Seperti yang boleh dilihat, XC90 mempunyai gril dan lampu LED baharu dengan signatur DRL yang lebih tajam. Bampar depan turut diberi sentuhan segar dengan liang udara menegak dan lubang ambilan udara yang lebih lebar.

Bentuk lampu belakang tidak berubah namun ia diberikan penampilan lebih bergaya menerusi corak baharu.

Untuk ruang dalaman, Volvo menjadikannya lebih praktikal hasil daripada maklum balas pemilik XC90 yang sedia ada. Konsol tengah kini mempunyai ruang storan dan pemegang cawan tambahan, manakala pengecas tanpa wayar ditempatkan di belakang terowong tengah.

Selain itu, XC90 mendapat skrin sentuh lebih besar berukuran 11.2 inci yang mempunyai gambar lebih tajam dan terang dengan ketumpatan piksel yang lebih tinggi sebanyak 21%.

Turut disertakan adalah sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity yang dikatakan dapat menghasilkan kualiti bunyi seakan dewan konsert atau kelab jazz.

XC90 akan terus ditawarkan dalam varian hibrid plug-in yang dikenali sebagai T8. Ia menggabungkan enjin petrol dan sebuah motor elektrik yang menawarkan jarak pandu sejauh lebih 800 km.

Volvo turut menawarkan varian mild hybrid petrol B5 dan B6 yang menampilkan bateri litium ion 48v dan starter/generator yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 15% dalam pemanduan dunia sebenar.

Untuk sistem suspensi pula, syarikat itu berkata setiap peredam individu kini dapat menyesuaikan secara mekanikal mengikut keadaan permukaan jalan semasa untuk meningkatkan keselesaan dan kestabilan.

Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem suspensi udara yang bekerja bersama sistem casis aktif yang berupaya memantau kereta, jalan dan pemandu 500 kali sesaat untuk memberikan pemanduan yang paling selesa.

Sistem suspensi ini boleh diturunkan sehingga 20 mm dan dinaikkan sehingga 40 mm, sekali gus memudahkan penumpang keluar masuk, menghasilkan aerodinamik lebih baik serta meningkatkan jarak lega tanah untuk pemanduan off-road.

Akhir sekali, Volvo turut menambah bahan penebat pada bahagian-bahagian tertentu bagi mengurangkan bunyi angin dan tayar di dalam kabin.

Volvo akui sasaran jadi jenama EV 2030 sukar dicapai

Tahukah anda, Volvo merupakan antara pengeluar automotif terawal di dunia yang mengumumkan strategi untuk menawarkan portfolio EV sepenuh masa menjelang 2030.

Malah, pada akhir Mei 2024, CEO-nya Jim Rowan menjelaskan sasaran tersebut masih lagi boleh dicapai, dan beliau turut yakin Volvo mampu akhiri jualan kenderaan berenjin pembakaran dalaman dalam tempoh masa lima tahun lagi.

Namun, dalam satu acara yang dianjurkan bersama pelabur pada lewat Julai lalu, CEO tersebut akhirnya mengakui “ia memerlukan masa bagi menghubungkan beberapa bahagian dalam dunia untuk mencapai elektrifikasi penuh.”

Dengan erti kata lain, sasaran awal untuk menjadi jenama EV tulen menjelang 2030 mungkin sukar untuk dicapai.

Melihatkan kepada perkembangan terkini, Volvo membuat keputusan untuk melaraskan kembali sasaran jualan, di mana pengeluar itu menyasarkan 90-100 peratus jualan terdiri daripada EV dan PHEV menjelang akhir dekad ini.

Sementara kenderaan hibrid yang tidak memerlukan port pengecasan pula akan kekal dijual untuk tempoh yang lebih lama berbanding jangkaan awal.

Pengeluar Sweden itu percaya beberapa faktor yang menyumbang kepada peralihan penggunaan EV yang kian perlahan, seperti pembangunan infrastruktur yang agak lembab, diikuti pengurangan insentif jualan EV serta pengenalan tarif baru untuk EV di sesetengah pasaran.

Selain Volvo, beberapa pengeluar utama dunia turut menyemak semula strategi elektrifikasi yang agresif, seperti Porsche, Mercedes-Benz, Bentley serta Ford.

Volvo EX30 kini dibuka tempahan – EV dengan 422hp, jarak pemanduan sehingga 480km

VOLVO Car Malaysia (VCM) nampaknya akan melancarkan EX30 tidak lama lagi. Tempahan telah dibuka, dan anda yang berminat boleh mula mendaftar di laman khas baru dibuka.

Volvo EX30 ialah kenderaan elektrik (EV) kompak generasi baharu dari pengeluar Sweden itu. Ia mempunyai ukuran 4,223mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dan jarak roda 2,650mm.

Bergantung kepada varian, SUV ini dibekalkan dengan bateri nikel manganese kobalt (NMC) berkapasiti 69kWh. Ia boleh dicas menggunakan AC 11kWh (7.5 jam) atau DC 153kW (26.5 minit dari 10 hingga 80 peratus).

Belum dapat dipastikan lagi varian mana yang pasaran Malaysia akan dapat, tetapi EX30 didatangkan dengan tiga pilihan konfigurasi motor.

Core Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range masing-masing dengan satu motor elektrik di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm, dan jarak pemanduan 480km.

Varian lebih tinggi ialah Ultra Twin Motor Performance dengan dua motor elektrik, dan output 422hp dan 543Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, iaitu 460km mengikut kitaran WLTP.

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

Berminat dengan SUV elektrik terbaharu Volvo? Anda boleh daftarkan minat di pautan ini.

Volvo Cars catat untung tertinggi untuk Q2 2024, jualan model EV meningkat 26 peratus

VOLVO Cars mengumumkan bahawa mereka mencatat SEK8.2 bilion (RM3.61 bilion) keuntungan untuk suku kedua 2024. Angka ini merupakan yang tertinggi dalam satu suku dan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Pencapaian ini adalah hasil dari fokus Volvo terhadap disiplin, kawalan kos dalaman, dan pertambahan kukuh jualan.

Jualan kenderaan global meningkat 15 peratus sepanjang suku kedua ini, dengan jumlah keseluruhan 205,400 unit.

48 peratus dari keseluruhan jualan Volvo Cars pada Q2 ini adalah dari kenderan plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV). Jualan EV khususnya meningkat sebanyak 26 peratus.

Volvo EX30

Permintaan tinggi ini adalah dari SUV kecil EX30 yang menjadi antara tiga model terlaris di Eropah. Sementara itu, XC60 terus menjadi PHEV paling laris di Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

”Kami mencatatkan prestasi suku kedua 2024 yang memberangsangkan, menunjukkan kebolehan kami memberikan nilai walaupun dalam keadaan ekonomi dan geopolitik kompleks,” kata Jim Rowan, Chief Executive Volvo Cars.

”Jenama dan nilai kami adalah berkisar dengan keselamatan dan kelestarian, selain pendekatan teknologi unik, terus selari dengan pelanggan,” tambahnya.

Melihat ke depan

Menurut Volvo, tarif dari EU yang memberi kesan kepada EV dari China akan turut memberi kesan kepada EX30.

Walaubagaimanapun, Volvo berkata mereka akan terus mengeluarkan EX30 di kilang Ghent, Belgium sebagai sebahagian dari strategi ”bina dimana kami jual”. Mereka merancang untuk memulakan pengeluaran EX30 di Ghent pada awal 2025.

Kita boleh jangkakan Volvo EX30 juga tiba ke Malaysia sekitar separuh masa pertama 2025 nanti.

Volvo XC60 Recharge T8 kemuncak teknologi hibrid – Pandu uji

VOLVO pada 2021 pernah berkata kereta mereka akan menjadi elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030. “No buts, no ifs”, orang putih kata. Tak ada tapi-tapi lagi. Dah nekad menghala ke arah itu.

Pada 2024 ini pun, sudah dapat dilihat inisiatif mereka untuk mencapai hala tuju itu. Semakin banyak model-model EV ditawarkan, dan ada model baharu yang terus EV tanpa sebarang model petrol.

Sebagai contoh model seperti XC90 dan XC40 ditawarkan dengan varian petrol dan hibrid, tetapi C40 hanya hadir dalam pilihan elektrik sepenuhnya. Begitu juga EX90 yang akan datang beberapa tahun lagi, langsung tiada penawaran enjin ICE (pembakaran dalaman).

Apa pun, untuk kali ini, kita ingin melihat Volvo XC60 Recharge T8 2024. XC60 merupakan SUV saiz pertengahan – di atas XC40 dan di bawah XC90 – dan Recharge T8 ialah penanda bahawa ianya versi plug-in hybrid (PHEV).

Dengan Volvo semakin ke arah elektrifikasi sepenuhnya dan kita melihat XC60 Recharge T8 2024, mungkinkah ini antara variasi terakhir hibrid mereka? Dan penulis dapat rasakan inilah kemuncak teknologi hibrid Volvo.

Nampak sama je, apa yang berbeza?

Ya, Volvo XC60 baharu ini nampak hampir serupa dengan versi sebelumnya kerana 2023 pun masih baharu. Jujur kata, terlalu sedikit perubahan kosmetik pada XC60 Recharge T8 ini, seolah-olah perbandingan iPhone 15 dengan iPhone 14 sahaja.

Ini pendekatan minimalis yang tidak menunjuk-nunjuk, sesuai sifat Volvo (dan pemilik mereka, mungkin). Tetapi perubahan sebegini pasti kurang disukai oleh kebanyakan pembeli biasa yang mahu mengumumkan kepada dunia bahawa mereka beli kereta terbaru.

Paling penting untuk 2024 adalah dari segi teknikal dimana sistem janaan kuasa XC60 ini ditambah baik. Bateri hibridnya kini lebih besar iaitu 19kWh dan mampu membekalkan pemanduan mod elektrik sehingga 81km.

Sistem pengecas bersepadunya menyokong sehingga 6.4kW, bermakna pengecasan penuh bateri dengan kabel luaran kini memerlukan tiga jam sahaja berbanding sebelumnya (lima jam).

Output keseluruhan dikekalkan pada 462hp dan 709Nm iaitu memasuki liga kereta sports, terima kasih kepada gabungan enjin petrol dan motor elektrik. Enjin itu sendiri menghasilkan 317hp dan 400Nm, manakala motor elektrik membekalkan tambahan 145hp dan 309Nm.

Secara keseluruhan, penulis sentiasa suka dengan rekaan dan pakej Volvo XC60 ini kerana ia di tengah-tengah. Tidak begitu kecil seperti XC40 dan tidak terlalu besar seperti XC90. Rupa juga cukup kemas, segak, dan menampakkan premium dan kelas.

Cuma unit pandu uji ini dengan warna Crystal White dan kabin kelabu sedikit membosankan. Jika anda beli sebarang model Volvo, ambillah warna selain putih, hitam, dan kelabu. XC60 2024 turut ditawarkan dengan Denim Blue dan Vapour Grey (baharu), mungkin warna-warna ini lebih menarik.

Seronok dipandu?

Anda pernah terfikir kenapa kereta seperti Rolls-Royce, Bentley, Range Rover Sport, atau Mercedes S-Class seronok dipandu walaupun berat? Kerana mendapat enjin berkuasa.

Walaupun tidak dipandu laju, enjin berkuasa pada badan berat menawarkan pengalaman pemanduan unik, begitu selesa untuk perjalanan jauh.

Beginilah juga pengalaman pemanduan Volvo XC60 Recharge T8, kuasa melebihi 400hp dan 700Nm bukanlah untuk ia menjadi lincah di selekoh, tetapi lebih kepada rasa premium, selesa dan empuk. Kuasa yang tinggi juga memberikan keyakinan sebagai contoh susur lebuh raya atau memotong.

Tetapi ini bukanlah bermakna XC60 PHEV ini tidak laju. Ia tetap mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.8 saat. Ya, lebih pantas dari kebanykana hot hatch. Jangan dilupa bahawa XC60 ini seberat 2,660kg ya…

Satu ‘masalah’ yang penulis hadapi sepanjang beberapa hari memandu Volvo XC60 baharu ini ialah kesukaran menghabiskan tangki minyaknya. Semasa mula mengambil kereta, bacaan komputer menjangkakan penulis akan dapat memandu 610km dengan tangki penuh dan bateri dicas penuh.

Tetapi selepas memandu 660km hujung minggu sekitar Kuala Lumpur dan hingga ke Sekinchan, penulis masih mempunyai baki 150km dalam tangki semasa memulangkan kereta ini kepada pihak Volvo Car Malaysia! Ini bermakna penulis mungkin dapat memandu sekurang-kurangnya 810km.

Penggunaan bahan api direkodkan pada 8.5 liter/100km, atau 11.8km per liter. Not bad untuk kereta berkuasa 400hp seberat 2.6 tan.

Membuatkan penulis merasa dunia ini tidak adil kerana orang yang mampu membeli kereta lebih RM350,000 mendapat penjimatan bahan api yang sama dengan pemandu Myvi, tetapi Volvo ini empat kali lebih berkuasa. Inilah teknologi namanya…

Maklumat-maklumat ini juga bermakna sistem hibrid pada Volvo XC60 Recharge T8 ini berkesan dalam memberikan imbangan antara kuasa, prestasi, dan penjimatan. Sistem hibrid ini mencukupkan kuasa di keadaan enjin memerlukan, dan tenaga kinetik kereta disalurkan semula ke dalam bateri untuk digunakan kemudian.

Dari aspek lain, impresi penulis terhadap Volvo XC60 masih sama iaitu ia kenderaan yang mudah dan selesa dipandu, baik untuk jarak dekat menguruskan aktiviti harian atau untuk perjalanan hujung minggu dengan keluarga.

Walaupun berat dan tidak lincah di selekoh, Volvo XC60 cukup stabil dan meyakinkan. Anda hanya perlu berikan input yang lembut dan lancar, pasti XC60 ini melalui jalan-jalan berliku dengan bersahaja tetapi pantas.

Oh ya, sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity harus diberikan pujian kerana menyumbang kepada muzik yang lunak sepanjang perjalanan anda. Antara yang terbaik dalam industri.

Berbaloi?

Volvo XC60 Recharge T8 2024 ini ditawarkan pada harga RM357,888 dan hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Adakah ianya pembelian berbaloi? Jika anda mahu sebuah SUV premium dengan kelas tersendiri, padat teknologi keselamatan terkini, selesa, menjimatkan, dan anda belum bersedia beralih kepada elektrifikasi sepenuhnya, ini antara model paling sesuai.

Tetapi jika anda mencari pengalaman pemanduan sporti dan lincah, mungkin boleh beralih ke model lain.

Apa pun, bagi penulis, XC60 Recharge T8 ini ialah kemuncak kepada teknologi hibrid Volvo sebelum enjin ICE tidak lagi ditawarkan di bilik pameran mereka. Dan kemuncak ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berjaya dan bermakna.

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 2024

Harga: RM357,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Permintaan pelanggan buatkan Volvo kembali jual wagon V60, V90 di UK

Salah satu berita sedih yang melanda peminat Volvo di UK pada tahun lepas ialah penamatan jualan bagi model-model wagon V60 dan V90 disebabkan jualan yang kurang memberangsangkan.

Namun, dalam perkembangan terbaharu, Volvo mengumumkan langkah untuk menjual semula dua model wagon di pasaran UK bermula bulan depan.

Menurut Volvo, mereka telah menerima permintaan yang amat menggalakkan bagi produk estate/station wagon untuk tempoh beberapa bulan ini, mendorong pengeluar itu untuk membawanya kembali ke pasaran.

 

 

Tempahan bagi model V60 dan V90 di pasaran UK akan dibuka pada bulan depan, di mana Volvo V60 boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0L hibrid ringan berkuasa 197 hp, atau versi PHEV berkuasa 455 hp.

Sementara V90 pula hanya ditawarkan secara ekslusif dalam versi PHEV dengan kuasa keseluruhan sekitar 350 hp.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Autocar, wakil Volvo menjelaskan, “kami telah menghentikan penjualan V60 dan V90 di UK Ogos lepas di tengah-tengah kejatuhan minat pelanggan terhadap kereta estate.

 

 

“Walaupun ia kekal sebagai sebuah trend jangka panjang, kami telah melihat peningkatan minat terhadap produk estate kami dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dan membuat keputusan untuk memperkenalkan kembali V60 dan V90 ke dalam portfolio produk UK.

“Dalam industri yang bergerak pantas, kami akan sentiasa menilai semula portfolio produk untuk memastikan kami mempunyai gabungan produk yang terbaik untuk pelanggan kami.

“Sebagai sebahagian daripada proses ini, adalah satu perkara biasa bagi kami untuk membuang produk tertentu, dan memperkenalkannya semula di kemudian hari.

 

Volvo S60 akan dihenti jualannya di AS, jualan sendu, beri laluan kepada EX90

VOLVO S60 di Amerika menjadi alternatif yang sepi kepada BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class. Kini sedan eksekutif itu tiba ke akhir hayatnya.

Volvo mengesahkan bahawa jualan S60 akan ditamatkan di Amerika Syarikat (AS) selepas 24 tahun, merangkumi tiga generasi.

“Selepas lima tahun Volvo Cars mengakhiri pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Caroline pada Jun 2024 untuk AS dan beberapa pasaran untuk memberi fokus kepada EX90 serba baharu,” jurucakap Volvo memberitahu Motor1.

Volvo S60 generasi ketiga mula dilancarkan sebagai model tahun 2019 dan dikeluarkan di fasiliti South Carolina. Beberapa varian ditawarkan sepanjang pengeluaran, dari versi asas T5 berkuasa 252hp hinggalah model prestasi Polestar Engineered.

Berbanding pesaing-pesaingnya, jualan Volvo S60 agak sendu di AS. Jualannya tidak pernah melebihi 20,000 unit setahun. Secara purata ia dijual sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun.

Sebagai perbandingan, BMW dan Mercedes masing-masing menjual 33,000 unit 3-Series dan C-Class tahun lepas.

Pada masa yang sama, penamatan Volvo S60 diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak keuntungan buat Volvo apabila mereka memperkenalkan EX90 nanti.

EX90 ialah SUV elektrik sepenuhnya (EV) tiga-baris pertama Volvo, dibekalkan dengan bateri 111kWh dengan output 496hp dan jarak pemanduan sehingga 480km.

Volvo FH16 Globetrotter 4×2 RC dari Tamiya ini akan buatkan peminat kereta pun geram

TAMIYA pakar dalam menghasilkan model kenderaan kawalan radio (RC) dengan perincian halus seperti model skala untuk hiasan. Begitu juga dengan model terbaharu dari siri trak skala 1/14 mereka, iaitu Volvo FH16 Globetrotter XL 750 4×2.

Trak sebenar yang mempunyai enjin 16.1-liter 6-silinder turbo sebaris dengan kuasa 750hp ini dihasilkan semula dalam bentuk model RC dengan badan yang realistik. Casisnya mendapat pelbagai komponen besi dan kotak gear dengan tiga-kelajuan.

Model FH16 ini berukuran 462mm panjang, 193mm lebar, dan 309mm tinggi dan seberat kira-kira 3.5kg. Ia juga dilengkapi dengan penyerap hentak aluminium dengan leaf spring.

Perincian pada cab (kepala kabin) termasuklah deflektor udara, gril stainless steel, lampu depan LED dengan lampu kabus, antena, set lampu LED bumbung, cermin sisi, kotak bateri dan tangki udara, serta coupler untuk menyambungkannya dengan treler.

 

Untuk lebih realistik lagi, anda boleh mendapatkan Tamiya Multi-Function Control Unit (dijual berasingan) yang menawarkan bunyi, lampu, dan gegaran.

Bunyi digital adalah direkodkan dari trak sebenar, berserta dengan hon udara dan bunyi pertukaran gear. Malah segala operasi lampu, signal, termasuk pertukaran gear 3-kelajuan juga boleh dibuat dari kawalan jauh.

Model RC Volvo FH16 Globetrotter ini boleh didapati di kedai-kedai dan pengedar rasmi Tamiya seluruh dunia.

Masalah perisian, 71,956 unit Volvo EX30 dipanggil semula beberapa hari selepas produksi EX90 bermula

Beberapa hari yang lepas, Volvo baharu sahaja memulakan produksi SUV elektrik Volvo EX90 di kilang Charleston, South Carolina.

Produksi SUV elektrik yang paling besar dalam keluarga Volvo itu berdepan isu kelewatan disebabkan oleh masalah berkaitan perisian yang cuba diselesaikan oleh Volvo setelah dua tahun diperkenalkan di peringkat global.

 

 

Ironinya, masalah yang sama kini menjejaskan lebih 70,000 unit SUV elektrik bersaiz paling kecil syarikat itu, Volvo EX30.

Menurut laporan Bloomberg, sebanyak 71,956 unit Volvo EX30 telah dipanggil semula untuk menyelesaikan masalah berkaitan perisian.

 

 

Difahamkan, terdapat kewujudan pepijat komputer yang mengakibatkan paparan meter kelajuan digital pada skrin infohibur tengah 12.3 inci  bertukar kepada mod ‘ujian’ apabila kereta dihidupkan.

Mujur masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah menerusi kemaskini over-the-air yang tidak memerlukan pemilik membawa kereta mereka ke pusat pengedar untuk diperiksa.

 

 

Volvo EX30 secara standard dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp/343 Nm, dengan pek bateri 49 kWh (jarak pemanduan 322 km) atau pek bateri 64 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 443 km.

Versi dua motor elektrik pula menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa setinggi 422 hp/543 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak sejauh 426 km.

Di Eropah, Volvo EX30 merupakan EV nombor tiga paling laris terjual di belakang Tesla Model Y dan Tesla Model 3.

 

Volvo EX90 akan mempunyai ciri pasport bateri, boleh semak ‘battery health’!

SUV elektrik Volvo EX90 telah pun dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun 2022, namun produksi model tersebut hanya akan bermula di South Carolina, Amerika Syarikat pada bulan ini.

Kelewatan produksi tersebut adalah disebabkan oleh kerumitan sistem LIDAR yang bakal dimuatkan pada Volvo EX90.

Namun, apa yang pasti, Volvo EX90 akan menjadi kereta pertama di dunia yang mempunyai sistem pasport bateri yang tersendiri.

 

 

Sistem dokumentasi ini akan merekodkan segala informasi penting berkenaan pek bateri yang dimuatkan, termasuklah asal-usul bahan mentah, komponen, kandungan bahan kitar semula, serta nilai jejak karbon secara keseluruhan.

Pasport ini juga akan merekodkan maklumat terkini berkenaan tahap kesihatan bateri untuk tempoh sehingga 15 tahun. Ini adalah penting bagi pelanggan dalam menentukan nilai semasa sesebuah EV, terutama apabila Volvo EX90 ini mula memasuki pasaran kenderaan terpakai.

 

 

Volvo mengambil masa lebih lima tahun untuk membangunkan sistem pasport ini menerusi kerjasama dengan syarikat pemula UK, Circulor, dengan jangkaan kos sekitar $10 (RM47) untuk setiap kenderaan.

Selain daripada Volvo EX90, pasport bateri ini akan diperluaskan penggunaannya kepada EV Volvo yang lain.

Menurut laporan Reuters, setiap EV yang dijual di Eropah akan diwajibkan untuk mempunyai pasport bateri bermula Februari 2027.

Volvo lancar bas EV pertama untuk Malaysia, Rapid KL jalankan operasi percubaan

VOLVO Buses, sebahagian daripada Volvo Group (Volvo) bersama Gemilang International Ltd (Gemilang), telah melancarkan bas elektrik sepenuhnya (EV).

Volvo BZL-GML Eco Range serba baharu itu merupakan bas elektrik bandar kelas premium yang berlantai rendah dengan dua pintu yang pertama dibina di dalam negara (CKD) oleh Volvo.

Pengeluar itu juga bekerjasama dengan Rapid Bus Sdn Bhd untuk pelaksanaan operasi percubaan Volvo BZL-GML Eco Range itu.

Percubaan itu akan bermula Julai 2024 depan dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun.

Sebuah bas Volvo elektrik ini akan beroperasi di Laluan 581 iaitu perjalanan Desa Tasik – LRT Bandar Tasik Selatan.

Casis dan komponen pacuan kuasa yang cekap tenaga daripada Volvo BZL telah dijurutera dan dibina berdasarkan standard tertinggi di kilang pengeluaran Volvo di Sweden.

Bas ini boleh membawa sehingga 91 orang penumpang dengan kapasiti 33 tempat duduk termasuklah kerusi keselamatan, kerusi untuk golongan tertentu, kerusi boleh lipat dan ruang penumpang berdiri.

Ia menampilkan rekaan lantai rata sepenuhnya dan rendah dari bahagian hadapan ke belakang, memberikan kestabilan dan akses lebih mudah kepada penumpang. Rangkaian pacuan berkuasa setinggi 540hp dengan tork elektrik serta merta.

Bas EV ini turut dilengkapi pelbagai teknologi brek termaju yang merangkumi brek cakera Volvo, Electronic Brake System (EBS), Anti-lock Braking System (ABS), Acceleration Slip Regulator (ASR), Brake Blending, Hill Assist System (HAS) dan Electronic Stability Control (ESC).

Sebagai tambahan, ciri-ciri keselamatan lain seperti amaran pelepasan, amaran pelanggaran, kamera 360 dan e-cermin untuk membantu pemandu akan ditawarkan sebagai pilihan.

Dalam keadaan kerosakan yang agak mustahil berlaku, sel bateri dan bahagian sekitarnya direka untuk ‘memadamkan dirinya sendiri’ dengan cara mengeluarkan agen menghapuskan suhu secara automatik supaya sel bateri berhampiran tidak rosak.

Ciri itu terbukti berkesan dalam ujian yang telah dijalankan berulang-ulang kali.

Bas elektrik Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan pengecasan yang fleksibel melalui perkakasan antara muka OppCharge untuk pengecasan berkuasa tinggi automatik dan soket pengecas CCS.

Storan tenaga diletakkan di atas bumbung, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada penumpang dan mengoptimumkan agihan berat.

Benda ngam dan tak ngam pasal Volvo XC40 B5 Ultimate – Pandu uji

BARU tidak semestinya lebih bagus. Anda pasti biasa dengar kata-kata ini, malah mungkin pernah mengalaminya. Tidak semestinya kereta. Perkara lain contohnya, telefon pintar terkini tidak lagi dibekalkan dengan kabel pengecas, anda perlu membelinya berasingan.

Gambar oleh: MacRumors

Contoh lain ialah kasut sneaker, kebanyakan hari ini menggunakan bahan sintetik yang terasa lebih murah padahal harga semakin meningkat. Ini semata-mata mahu menjadikan kasut itu lebih ‘hijau’ atau vegan, tidak membunuh haiwan untuk menghasilkannya.

Gambar oleh: adidas

Sneaker 10 tahun dahulu lebih sedap dipakai dengan bahan kulit premium. Nampak lebih berkualiti dan lebih tahan lama. Jauh kita menyimpang…

Dalam kes Volvo XC40 ini, seperti anda ketahui, ia bukanlah model baharu. Tetapi sebagai pengeluar premium, Volvo mengemas kini XC40 ini untuk 2024. Varian yang kami uji ialah Volvo XC40 B5 Ultimate; B5 bermaksud mild-hybrid manakala Ultimate mewakili trim kemasannya.

Jadi, adakah Volvo XC40 tidak begitu bagus berbanding model sebelumnya? Jom kita lihatkan beberapa perkara ‘ngam’ dan ‘kureng’ yang penulis jumpai semasa melaram dengannya untuk menyambut kedatangan Syawal.

Benda ngam

1. Reka bentuk bergaya

Untuk benda ngam pertama, penulis rasa semua setuju bahawa Volvo XC40 ini mempunyai penampilan cukup bergaya. Reka bentuknya dengan garisan-garisan lurus dan petak, walaupun sudah beberapa tahun, tetap nampak kemas.

Ini kerana Volvo menggunakan pendekatan minimalis dan elegan, maka mereka tidak perlu meletakkan elemen terlalu ‘wow’ pada XC40 ini. Cukup sekadar perincian biasa, ia cantik malah nampak mahal.

Seperti kita memakai sut pereka terkemuka seperti Armani Exchange atau Hugo Boss, anda tidak nampak tulisan jenama di mana-mana, tetapi anda boleh tahu ia mahal dan premium.

Bagi 2024, Volvo XC40 mendapat lampu depan projektor piksel baharu. Bagi penulis, tiada perbezaan ketara memandu pada waktu malam kerana lampu LED sebelum ini sudah cukup efektif. Cuma jika anda perasan, bentuk lampu depan kini lebih sepet di bahagian bawah mirip C40.

2. Tak memeningkan kepala

Volvo XC40 B5 ini sebuah SUV yang agak kompleks dengan enjin turbo, sistem hibrid, padat dengan teknologi keselamatan.

Tetapi Volvo berjaya ‘menyorok’ semua ini di sebalik skrin dan papan pemuka. Maka anda sebagai pemandu hanya nampak apa yang perlu sahaja, dan kawal perkara penting sahaja.

Sampaikan mod pemanduan pun anda tidak perlu pilih. Tiada mod Normal, Eco, atau Sport (walaupun Volvo boleh sediakan hanya dengan talaan perisian), mungkin Volvo berpendapat pemandu mereka masa kini tidak mahu pening dengan perkara-perkara sebegini.

Selain mod pemanduan biasa, hanya ada mod tambahan Off Road. Memandangkan SUV ini menggunakan pacuan semua-roda, ia boleh ditala untuk melalui permukaan tidak rata dengan lebih baik. Lain pada itu, anda hidupkan enjin, terus pandu sahaja.

3. Power ada, jimat pun ada

Varian B5 memberikan anda pakej enjin 2.0-liter petrol turbo dengan output 249hp dan 350Nm tork. Motor elektrik pula memberikan tujahan tambahan 11hp dan 40Nm, bermakna jumlah kuasa penuh XC40 B5 Ultimate ialah setinggi 260hp dan 390Nm tork.

Bukanlah angka yang begitu besar untuk standard hari ini, tetapi tentunya lebih dari mencukupi untuk sebuah SUV premium kompak dengan berat lebih 1.8 tan.

Dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan pacuan semua-roda, ini membolehkan XC40 B5 memecut ke 100km/j dalam masa 6.4 saat, cukup pantas sebenarnya. Cuma anda yang menaikinya tidak terasa begitu mengujakan kerana penghantaran kuasa begitu lancar serta kadar NVH yang begitu rendah. Dan ini bukanlah suatu perkara negatif.

Dalam masa yang sama, XC40 memberikan penjimatan cukup baik dengan 9.7 liter per 100km, bersamaan 10.3km/liter. Untuk sebuah SUV seberat ini dan berkuasa lebih 250hp, dikira menjimatkan, ditambah pula penulis banyak biarkan enjin kereta melahu semasa perayaan dengan musim panas.

Senang cerita, sistem hibrid pada XC40 B5 ini berkesan mencapai matlamatnya; menambah prestasi dan memberikan penjimatan.

4. Sangat praktikal – luas, banyak ruang simpanan

Seterusnya yang penulis suka bukanlah spesifik pada varian B5 Ultimate sahaja, tetapi untuk Volvo XC40 secara amnya. SUV ini sangat praktikal dengan banyak ruang simpanan.

Semasa mula dilancarkan kira-kira lima tahun dulu, penulis masih ingat bahawa Volvo berkata mereka mengkaji bagaimana pemandu-pemandu di bandar menggunakan kereta mereka, jadi XC40 direka untuk keperluan itu.

Maka sebab itu anda akan jumpa banyak ciri praktikal yang begitu membantu penggunaan harian anda, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Anda terkapai-kapai cari ruang simpanan di pintu, eh ada ruang besar di sini, sebagai contoh.

Tempat yang biasanya diletakkan pembesar suara dalam pintu menjadi lompong, nak sorok tablet besar pun boleh.

Begitu juga di konsol tengah, ada ruang simpanan cukup dalam. Kemudian ‘poket’ di belakang tempat duduk depan adalah jenis jaring, maka takkan terjadi situasi anda terjumpa resit tiga tahun lepas semasa membersihkan kereta. Nampak jelas barangan yang tersimpan di sini.

Boleh dikatakan Volvo XC40 ini menjadi perkakas atau rumah kedua yang anda selesa duduki, tidak seperti sebuah jentera mekanikal.

5. Senyap dan selesa

XC40 sama seperti model-model Volvo lain yang dijual hari ini, mempunyai kedapan bunyi sangat tinggi lantas memberikan tahap kesenyapan kabin yang begitu baik.

Talaan casis dan suspensi pula lebih ke arah keselesaan. Walaupun Volvo itu adalah versi T8 PHEV atau Recharge elektrik sepenuhnya (EV) dengan lebih 400hp dan 600Nm, ia tetap ditala untuk keselesaan. Segala pergerakan badan adalah lembut, terkawal, tenang, dan steady.

Begitu juga dengan XC40 B5 ini. Ia dilengkapi tayar Michelin e-Primacy bersaiz 235/50 R19 yang jika dilihat pada profil dengan rim, nampak sporti. Kombinasi ini memberikan had cengkaman sangat tinggi dan jika anda ikut rentak XC40 ini yang tenang, berikan input lancar dan terkawal, ia mampu mengambil selekoh kelajuan tinggi dengan cukup stabil.

Ibarat pesilat yang tangkas dan mampu memberi tumbukan laju, tetapi pada masa sama kekal tenang dengan lenggok jari dan lengan bagi mengawal pernafasan dan menyimpan tenaga untuk bertempur.

Kesenyapan dan keselesaan Volvo XC40 membuatkan penulis tidak kisah berada di dalamnya lebih tiga atau empat jam semasa dalam kesesakan teruk pulang berhari Raya.

@engear.tv 3 #Kereta #Raya – Part 1: #Volvo XC40. #Suv yang kecil lagi selamat ni adalah pilihan pertama kami! #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #realmeซูมให้ได้ซีน ♬ bounce (i just wanna dance) – фрози & joyful

Benda tak ngam

1. Tak boleh jadi ‘bos’ kepadanya

Perkara pertama penulis kurang berkenan, ialah anda tak boleh jadi ‘bos’ kepada XC40 ini. Macam mana pula tu? Tahap kawalan anda terhadap Volvo XC40 ini seakan dihadkan.

Sebagai contoh, kereta lain ada pelbagai mod pemanduan, yang ini hanya satu mod pemanduan normal, dan satu mod Off-Road, seperti dinyatakan di atas tadi. Jadi, kuranglah benda yang anda boleh kawal untuknya.

Ia boleh jadi benda positif dan negatif bergantung kepada jenis pemandu. Jika anda jenis yang mahu kereta auto semuanya ditentukan oleh komputer, maka ini positif. Tetapi jika anda seperti penulis yang lebih gemar melaras kawalan-kawalan dalam kenderaan sendiri, ini menjadi negatif.

2. Suka buat kepala sendiri

Volvo XC40 ini juga suka buat kepala sendiri. Memandangkan ia mempunyai sistem mild hybrid, motor elektrik membantu enjin di saat-saat enjin perlukan banyak kuasa seperti hendak mula bergerak atau semasa anda menekan pedal rapat ke lantai.

Dalam sesetengah keadaan melahu, enjin akan dimatikan secara automatik, hanya bateri yang kekal membekalkan kuasa kepada segala sistem kereta seperti panel meter, lampu, dan pendingin hawa. Masalahnya, jika dalam mod ini anda mahu keluar dari kereta, segala fungsi akan dimatikan terus.

“Eh bila pula aku matikan enjin?” Jika ia dalam mod menggunakan enjin petrol, tiada masalah, kereta kekal hidup. Ia hanya jadi isu semasa dalam mod elektrik.

Perkara ini sukar dijangka. Jika anda mahu keluar sebentar dari kereta dan tinggalkan penumpang di dalam, segala sistem dimatikan sebaik anda buka pintu, dan anda perlu menekan semula butang penghidup enjin. Sedikit leceh.

3. Ruang dalaman cepat nampak kotor

Ini mungkin perkara kecil, tetapi tetap melecehkan. Ruang dalaman Volvo XC40 ini mudah kotor. Bayangkan anda baru hantar ke car wash, dan sejam kemudian, skrin dan panel papan pemuka kembali bertompok.

Banyak fungsi kawalan dalam kereta ini menggunakan skrin, jadi anda banyak menyentuhnya. Maka, skrin menjadi tempat mengumpul cap jari tangan.

Di sekitar papan pemuka dan konsol tengah pula terdapat panel hitam berkilat, yang ini pula cepat mengumpul cap jari sekali pakej dengan habuk. Ada pemilik-pemilik yang penulis lihat sentiasa menyediakan kain microfibre khas untuk sentiasa mengelap permukaan-permukaan cepat kotor ini.

Atau mungkin pemilik kereta-kereta premium memang rajin menghantar kenderaan mereka untuk car wash dan detailing?

@amrl_hzmi Perangai kereta mat salleh 🙄💁🏻‍♂️ #volvo #xc40 #volvoxc40 #volvoc40 #volvomalaysia #volvocars #suv #malaysianreview #malaysia #ckd #hybrid #ev #evcar #hybridcar #fyp #foryoupage ♬ original sound – amrl_hzmi

Boleh beli?

Kesimpulannya, Volvo XC40 tetap sebuah kenderaan bandar yang sangat sesuai untuk keluarga kecil. Ia bergaya, seronok dipandu, mudah digunakan setiap hari, dan penulis sendiri memang sentiasa alami pengalaman positif setiap kali memandu XC40 walau apa varian sekali pun.

Warna Thunder Grey ini sahaja sudah cukup menarik untuk dilihat, suatu warna yang berbeza dari kebiasaan Volvo.

Jika dibandingkan dengan model-model pesaingnya dari jenama Jerman (BMW, Audi, Mercedes-Benz), UK (MINI), dan Jepun (Lexus), Volvo XC40 sesuai bagi anda yang mementingkan gaya elegan tidak terlalu menunjuk, praktikaliti, dan keselamatan.

Spesifikasi Volvo XC40 B5 Ultimate

Harga: RM268,888
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 263hp @ 5,500rpm
Tork: 390Nm @ 1,800rpm

Menangi percutian ke Sweden bernilai RM50,000 dengan pembelian model EV Volvo

ANDA sedang mencari kereta elektrik (EV) baharu? Apa kata anda cuba Volvo, mana tahu anda boleh memenangi percutian ke Sweden untuk dua orang bernilai sehingga RM50,000!

Ya, tawaran ini dibuat oleh Volvo Car Malaysia sempena Volvo Birthday Sale, dimana jenama Sweden itu menyambut ulang tahunnya yang ke-97 bulan ini.

Acara Volvo Birthday Sale ini akan dibuat minggu depan, dari 26 hingga 28 April 2024 bertempat di Sentul Depot. Ia juga akan diadakan di beberapa wakil pengedar terpilih Volvo seluruh negara serta Sabah dan Sarawak.

Seperti disebut tadi, pembelian kenderaan EV Volvo membolehkan anda memenangi percutian ke tempat kelahiran Volvo di Gothenburg, Sweden selain peluang melawat pusat pengalaman World of Volvo yang baru dibuka 14 April lepas.

Semasa acara Volvo Birthday Sale ini juga, anda juga boleh mendapat rebat RM15,000 dan beberapa tawaran lain untuk model C40 dan XC40 Recharge Pure Electric.

C40 Recharge Pure Electric terbaharu telah dikemas kini untuk 2024, dimana ia kini didatangkan dengan jarak pemanduan lebih jauh sehingga 550km (kitaran WLTP), pengecasan DC lebih pantas, lampu depan teknologi piksel, dan warna baharu Vapour Grey.

Model-model Volvo lain juga akan dibawa ke acara ini nanti, seperti barisan model PHEV (XC60, XC90, S60, S90, dan V60 Recharge). Tambahan lagi, barisan model Volvo SELEKT juga akan ditawarkan, iaitu kenderaan terpakai dengan jaminan dan pemeriksaan penuh oleh Volvo Car Malaysia.

Untuk menambah lagi tawaran kepada anda pelanggan dan bakal pelanggan, 97 pelanggan pertama yang membuat tempahan dalam tempoh tiga hari tersebut akan menerima Volvo Gift Box eksklusif semasa penyerahan kenderaan baharu.

Ini ialah Volvo XC90 diesel terakhir di dunia

Tidak seperti pengeluar automotif lain yang ragu-ragu dengan masa depan, Volvo menunaikan janji mereka tahun lepas dengan mengumumkan penamatan produksi kenderaan berenjin diesel baru-baru ini.

Model terakhir yang dilengkapi dengan enjin diesel itu ialah sebuah Volvo XC90 2.0L turbo berwarna biru yang dipasang di kilang Torslanda, Sweeden.

 

 

Difahamkan, sejak daripada tahun 1991 Volvo telah pun menghasilkan lebih daripada sembilan juta unit kenderaan berenjin diesel, di mana angka tersebut tidak termasuk rekod unit yang dipasang antara tahun 1979 hingga 1991.

Unit terakhir Volvo XC90 diesel itu tidak akan diserahkan kepada pelanggan, sebaliknya ia akan menjadi bahan pameran di muzium World of Volvo yang terletak di Gothenburg.

Di Eropah, majoriti kenderaan Volvo yang terjual di sana terdiri daripada model diesel, bahkan 95 peratus daripada jualan XC90 tahun 2008 adalah model diesel!

 

 

“Untuk jangka panjang, enjin diesel kami sangat terkenal dengan kebolehpercayaan dan kecekapan, dan ia merupakan satu pencapaian yang bermakna untuk kami dalam tempoh beberapa dekad.

“Jelas sekali, kejayaan kenderaan diesel kami memainkan peranan penting dalam evolusi kami menjadi jenama premium,” menurut Volvo.

Menjelang tahun 2030, Volvo akan menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya di mana kebanyakan kilang pemasangan kini sedang diubahsuai untuk menampung pengeluaran EV dan rangkaian kuasa bateri.

 

Volvo Safety Driving Experience beri peluang tangani situasi kecemasan, rasai sistem keselamatan termaju

JIKA ditanya apa yang anda fikirkan dengan Volvo, pastinya keselamatan. Pengeluar Sweden itu begitu sinonim dengan keselamatan dan berbangga dengannya.

Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia menganjurkan Volvo Safety Driving Experience yang pertama mereka di pangkalan udara pertama negara ini (bekas), di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Acara yang diadakan pada Sabtu beberapa minggu lepas itu menyaksikan lebih 240 pemilik dan peminat Volvo mempelajari kemahiran-kemahiran memandu melalui latihan seperti membrek, mengemudi stereng, dan menukar lorong dengan pantas.

Bagi kami pengamal media, tidaklah begitu asing dengan aktiviti sebegini, tetapi ia kali pertama dengan Volvo, jadi ia tetap sesuatu yang menarik untuk dilihat.

Aktiviti pemanduan pertama yang dibuat adalah menukar lorong ke kiri atau kanan diikuti dengan brek maksima sehingga kenderaan berhenti. Menggunakan Volvo C40 Recharge dan XC40 Recharge, aktiviti ini dilakukan pada kelajuan 60 atau 70km/j.

Walau pada kelajuan ini, dapat dilihat ia boleh terasa agresif untuk penumpang meskipun kereta kekal stabil. Bayangkan situasi kecemasa ini perlu dibuat semasa anda memandu pada kelajuan 110km/j di lebuh raya…

Seterusnya kami dibawa ke aktiviti membrek dengan jalan lurus dan sambil mengelak halangan. Di sini, dapat dilihat ABS membolehkan kereta masih boleh dikawal walaupun membrek dengan kuat.

Paling penting adalah kemampuan pemandu untuk bertindak balas dan fokus semasa pemanduan bagi mengurangkan risiko perlanggaran semasa situasi kecemasan.

Seterusnya kami dibawa ke demonstrasi sistem-sistem keselamatan yang ada pada model-model Volvo terkini.

Antaranya adalah Cross Traffic Alert yang memberi amaran kepada pemandu akan trafik di belakang semasa mahu mengundur keluar dari parker. Amaran yang diberi adalah tepat bergantung kepada arah dan jarak trafik itu.

Kami juga sempat mencuba sistem Pilot Assist dengan Volvo V60 yang membantu pemandu mengawal kelajuan dalam trafik berserta bantuan stereng.

@engear.tv #Volvo haritu jemput kita untuk join Safety Driving Experience untuk tambah ilmu memandu. #safety #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Paling penting, Pilot Assist juga mampu membrek secara automatik sekiranya trafik di depan semakin perlahan, dan ia melakukannya dengan lembut dan semulajadi, seperti pemandu sebenar. Ini pastinya dapat mengurangkan beban dan keletihan pemandu dalam situasi seharian.

Aktiviti terakhir adalah slalom course dan pecutan pada kelajuan tinggi. Di slalom, kami dapat merasai kelincahan Volvo S90, V60, XC60 dan XC90 dikemudi di laluan sempit dengan tangkas, tetapi dalam keadaan selamat.

Walaupun kebanyakan model-model ini mempunyai berat sekitar dua tan, ia masih stabil dan lincah malah mempunyai prestasi brek yang begitu meyakinkan.

Akhir sekali untuk aktiviti pemanduan kelajuan tinggi, kami diberi peluang memecut di landasan Lapangan Terbang Sungai Besi sepanjang 1.8km, cumanya kami bukan juruterbang yang hendak berlepas.

Sebaliknya kami memecut model-model Volvo plug-in hybrid ini hingga ke kelajuan maksima 180km/j dan terbukti kestabilan model-model ini apabila membrek dari kelajuan tinggi. Kelajuan maksima ini juga boleh dicapai begitu pantas, kira-kira 20 saat sahaja.

Secara keseluruhan, Volvo Safety Driving Experience memberikan peluang kepada peserta mengalami dan menguji sendiri kemampuan model-model Volvo dalam situasi yang membabitkan keselamatan. Semua peserta termasuk pengamal media juga diberikan sijil penyertaan.

Selain itu, di ruangan hangar, terdapat pameran semua barisan model-model Volvo, pameran oleh Pirelli iaitu penaja utama tayar, dan aktiviti-aktiviti untuk keluarga iaitu Småland untuk kanak-kanak, dan pameran oleh PURAS.

Volvo C40 Recharge Pure Electric 2024 kini dengan jarak pemanduan 550km, lampu matriks, harga kekal RM289k

VOLVO Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan SUV elektrik (EV) C40 mendapat penambah baikan bagi tahun 2024. Ia kini ditawarkan dengan jarak pemanduan lebih jauh iaitu sehingga 550km, dan lampu depan LED matriks.

Pek baterinya ditambah dari 78kWh menjadi 82kWh, dan dengan sistem penyejukan lebih baik, menambah 100km jarak pemanduan berbanding sebelumnya.

Bateri Volvo C40 2024 ini juga kini menyokong pengecasan DC sehingga 200kW (berbanding 150kW sebelumnya), bermakna tahap bateri dari 10 peratus boleh dicapai ke 80 peratus dalam masa 28minit sahaja.

Rangkaian kuasa juga telah ditambah baik. Berbanding dia motor dengan kuasa sama 150kW (204hp) depan dan belakang, C40 kini menampilkan sepasang motor dengan output berbeza.

Di depan mempunyai output 117kW (159hp) manakala di belakang 183kW (249hp). Jumlah kuasa masih sama iaitu 300kW (408hp).

Seperti disebut tadi, Volvo C40 2024 juga kini dilengkapi dengan lampu LED matriks untuk pencahayaan lebih baik. Ciri lain adalah rim 19-inci dan warna baharu Vapour Grey.

Dengan penambahan spesifikasi baharu ini, VCM mengekalkan harga C40 Recharge iaitu RM288,888 atas jalan tanpa insurans. Ini juga merangkumi jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri lapan-tahun atau 160,000km.

Terdapat juga pakej servis percuma lima-tahun atau 100,000km serta bantuan tepi jalan dengan tempoh sama.

Volvo XC40, C40 Recharge dinamakan semula sebagai EX40, EC40

VOLVO Cars telah mengumumkan penyelarasan nama bagi dua model elektrik keluarannya iaitu XC40 Recharge dan C40 Recharge, sejajar dengan transformasinya ke arah menjadi pengeluar EV sepenuhnya menjalang 2030.

Dengan penyelarasan ini, kedua-dua model berkenaan kini dikenali sebagai EX40 dan EC40, meletakkannya sebaris dengan model-model elektrik Volvo yang lain iaitu EX30, EX90 dan EM90.

Sementara itu, model-model hibrid plug-in seperti XC40 dan C40 tidak lagi akan menggunakan nama Recharge. Sebaliknya, kod T6 dan T8 akan digunakan untuk menunjukkan tahap kuasa yang berbeza.

Menurut Volvo, penyelarasan ini adalah bagi memudahkan pelanggan sedia dan baharu mereka untuk membezakan mana satu model elektrik dan mana satu model hibrid ketika membuat pembelian.

Pengeluar dari Sweden itu turut memperkenalkan pakej perisian Performance untuk EX40 dan EC40 varian Twin Motor. Selain meningkatkan kuasa sebanyak 25 kW (34 hp), pakej tersebut juga merangkumi pemetaan pedal unik untuk tindak balas yang lebih pantas dan mod Performance yang memberikan kuasa penuh sebanyak 325 kW (436 hp).

Bergantung kepada pasaran, pakej Performance ditawarkan secara opsyen untuk pelanggan yang membeli kereta Volvo baharu. Pemilik C40 dan XC40 Recharge model tahun 2024 juga boleh membeli dan memuat turun perisian tersebut.

Sementara itu, varian B5 bagi XC60 dan XC90 kini menggunakan kitaran pembakaran enjin yang lebih efisien yang dikatakan dapat mengurangkan pelepasan CO2 dan meningkatkan tahap kecekapan bahan api dari 2% hingga 4%.

Akhir sekali, Volvo turut memperkenalkan EX40, EC40 dan XC40 Black Edition yang menampilkan warna luaran Onyx Black, lencana dan rim aloi 20 inci dalam kemasan hitam berkilat, serta pilihan upholsteri Microtech atau tekstil.