Volvo XC90 facelift didedahkan secara rasmi, tawar jarak pandu lebih 800 km
Kali terakhir Volvo XC90 dikemas kini adalah sekitar 2019. Kini, lima tahun kemudian, SUV flagship itu mendapat satu lagi facelift yang menyaksikannya mengadaptasi elemen reka bentuk daripada model-model elektriknya.
Seperti yang boleh dilihat, XC90 mempunyai gril dan lampu LED baharu dengan signatur DRL yang lebih tajam. Bampar depan turut diberi sentuhan segar dengan liang udara menegak dan lubang ambilan udara yang lebih lebar.
Bentuk lampu belakang tidak berubah namun ia diberikan penampilan lebih bergaya menerusi corak baharu.
Untuk ruang dalaman, Volvo menjadikannya lebih praktikal hasil daripada maklum balas pemilik XC90 yang sedia ada. Konsol tengah kini mempunyai ruang storan dan pemegang cawan tambahan, manakala pengecas tanpa wayar ditempatkan di belakang terowong tengah.
Selain itu, XC90 mendapat skrin sentuh lebih besar berukuran 11.2 inci yang mempunyai gambar lebih tajam dan terang dengan ketumpatan piksel yang lebih tinggi sebanyak 21%.
Turut disertakan adalah sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity yang dikatakan dapat menghasilkan kualiti bunyi seakan dewan konsert atau kelab jazz.
XC90 akan terus ditawarkan dalam varian hibrid plug-in yang dikenali sebagai T8. Ia menggabungkan enjin petrol dan sebuah motor elektrik yang menawarkan jarak pandu sejauh lebih 800 km.
Volvo turut menawarkan varian mild hybrid petrol B5 dan B6 yang menampilkan bateri litium ion 48v dan starter/generator yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 15% dalam pemanduan dunia sebenar.
Untuk sistem suspensi pula, syarikat itu berkata setiap peredam individu kini dapat menyesuaikan secara mekanikal mengikut keadaan permukaan jalan semasa untuk meningkatkan keselesaan dan kestabilan.
Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem suspensi udara yang bekerja bersama sistem casis aktif yang berupaya memantau kereta, jalan dan pemandu 500 kali sesaat untuk memberikan pemanduan yang paling selesa.
Sistem suspensi ini boleh diturunkan sehingga 20 mm dan dinaikkan sehingga 40 mm, sekali gus memudahkan penumpang keluar masuk, menghasilkan aerodinamik lebih baik serta meningkatkan jarak lega tanah untuk pemanduan off-road.
Akhir sekali, Volvo turut menambah bahan penebat pada bahagian-bahagian tertentu bagi mengurangkan bunyi angin dan tayar di dalam kabin.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.