Royal Enfield Bullet 350 baharu kini di Malaysia – dari RM23,500

DIDI Group hari ini memperkenalkan Royal Enfield Bullet 350 baharu untuk pasaran Malaysia. Motosikal ikonik dengan nama yang cukup lama dalam sejarah permotoran dunia itu mendapat kira-kira 10 peratus komponen baharu sepenuhnya.

Ia dipacu enjin 349cc silinder tunggal sejukan cecair yang juga menjadi nadi kepada Meteor, Classic, dan Hunter. Enjin pada Bullet 350 ini menjana 20.2hp pada 6,100rpm dan 27Nm tork pada 4,000rpm.

Enjin ini turut dilengkapi dengan syaf pengimbang untuk mengurangkan gegaran. Transmisi ialah kotak gear 5-kelajuan.

Bullet 350 2024 ini hadir dengan casis yang diperkukuh untuk pengendalian dan ketahanan lebih baik. Fork depan kini bersaiz 41mm, manakala tayar belakang lebih lebar.

Motosikal ini menggunakan tayar 100/90R19 di depan dan 120/80/R18 di belakang. Sistem brek pula adalah cakera 300mm di depan, tetapi di belakang anda boleh pilih sama ada cakera atau dram.

Royal Enfield Bullet 350 turut dilengkapi dengan tempat duduk baharu, mudguard direka semula, tangki 13-liter, lampu depan ‘tiger eyes’, paparan LCD, dan soket pengecasan USB.

Bullet 350 ditawarkan dengan pakej Special Edition yang merangkumi dua pilihan, iaitu Special Edition berharga RM23,500 dan Gold Edition berharga RM23,900.

Special Edition mempunyai warna hitam atau maroon, manakala Gold Edition mempunyai tangki berwarna hitam dengan kemasan matte dan gloss khas, lengkap dengan lencana 3D emas.

Dalam acara yang sama, Didi Group juga memperkenalkan dua warna baharu untuk Super Meteor 650, iaitu Interstellar Grey dan Astral Green. Jentera ini hadir dengan harga RM37,900.

Royal Enfield Super Meteor 650 masuk pasaran Malaysia – Lima pilihan warna, tempahan dibuka

ROYAL Enfield memperkenalkan cruiser klasik terbaharu mereka, Super Meteor 650 di acara Art of Speed 2023 baru-baru ini.

Motosikal yang dinantikan peminat cruiser itu merupakan model ketiga yang mendapat nadi 648cc twin-parallel selepas Continental GT dan Interceptor.

Enjin 4-lejang sejukan udara ini menjana 47hp pada 7,250rpm dan 52.3Nm tork pada 5,650rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan klac basah multi-plat.

Jentera ini dibina pada bingkai steel tubular, dan mendapat suspensi teleskopik terbalik 43mm di depan dengan 120mm gerakan, manakala di belakang mendapat penyerap hentak berkembar dengan 101mm pergerakan.

Royal Enfield Super Meteor 650 mempunyai kelegaan tanah 135mm, jarak roda 1,500mm dan tinggi tempat duduk 740mm. Beratnya adalah 241kg termasuk bahan api 90 peratus dan bendalir, manakala tangkinya mempunyai kapasiti 15.7 liter.

Bagi sistem brek pula, Super Meteor 650 dibekalkan dengan cakera 320mm di depan dan 300mm di belakang, lengkap dengan ABS dwi-saluran.

Untuk menjadikannya selesa untuk tunggangan jarak jauh, motosikal ini dilengkapi dengan tempat duduk deluxe, perehat belakang untuk pembonceng, dan flyscreen depan.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, pelindung enjin, rim aloi, pemijak kaki, hendal tebal, dan lampu kabus LED.

Super Meteor 650 boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Astral Blue, Astral Black, Interstellar Green, Celestial Red, dan Celestial Blue. Tempahan kini dibuka, dan ia dijangka dilancar secara rasmi pada September depan.

Royal Enfield Hunter 350 dilancar dengan dua varian, bermula RM22k

ROYAL Enfield Hunter 350 dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia. Ia hadir dengan dua varian iaitu Metrol Dapper berharga RM22,000 dan Metro Rebel (RM22,200).

Hunter 350 direka untuk perjalanan tengah kota atau pinggir bandar dengan badan kompak tetapi tampil berkuasa. Ia dibina pada pelantar 350cc J-series yang digabungkan dengan casis Harris Performance yang lincah.

Royal Enfield dikuasakan oleh enjin 349cc silinder tunggal dengan suntikan bahan api elektronik dan penyejukan udara, menjana 20hp dan 27Nm tork. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 5-kelajuan.

Dari segi penampilan, Metro Dapper mendapat warna tersendiri manakala Metrol Rebel hadir dengan tangki dwi-tona.

Royal Enfield Hunter 350 mempunyai berat 181kg dengan cecair, dan tangki bahan api berkapasiti 13 liter. Ketinggian tempat duduk adalah 800mm, dengan jarak roda 1,370mm.

Hunter 350 juga didatangkan dengan rim aloi 110/70/17 di depan dan 140/70/17 di belakang, masing-masing dengan tayar tanpa-tiub.

Suspensi adalah teleskopik 41mm twin downtube di depan dan penyerap hentak Emulsion dengan preload boleh laras untuk belakang. Bagi sistem brek pula, Hunter 350 dilengkapi dengan cakera 300mm di depan dan 270mm di belakang.

Ciri lain pada motosikal ini termasuklah lampu LED belakang, kluster instrumen digital dan analog, dan soket pengecasan USB.

Pusat 3S Royal Enfield Penang kini dibuka

DI samping pelancaran MotoPlex Butterworth, Didi Group turut merasmikan pembukaan pusat 3S Royal Enfield yang bertempat di Pulau Pinang.

Beralamat di 1681 G1, Jalan Perusahaan, 13600 Perai, Pulau Pinang, ia merupakan pusat 3S Royal Enfield yang kedua di Malaysia dan yang ke-152 seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

Kemudahan terbaru itu menawarkan rangkaian lengkap motosikal, pakaian, aksesori serta alat ganti Royal Enfield di bawah satu bumbung untuk pelanggan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Bercakap ketika majlis pelancaran, pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata pihaknya telah mencapai pertumbuhan sebanyak 500 peratus bagi pendaftaran motosikal Royal Enfield pada 2022.

“Dengan hasrat untuk meluaskan lagi jangkauan, kami telah membuka kedai eksklusif kedua kami dan lima kedai pop-up dari selatan hingga utara Malaysia,” tambah beliau.

Rewi turut mengumumkan bahawa Royal Enfield akan membuka bilik pameran di Johor Bahru pada tahun ini, serta melancarkan model Hunter 350 pada 9 Mac dan Super Meteor 650 pada Julai.

Sementara itu, ketua perniagaan Asia Pasifik, Royal Enfield, Anuj Dua berkata, “Royal Enfield komited untuk menjadi peneraju global dalam segmen saiz pertengahan dan Asia Pasifik mempunyai kepentingan strategik yang besar.”

“Kami mempunyai lebih 1,000 pemilik Royal Enfield yang bangga dan komuniti yang bersemangat yang semakin meningkat dari hari ke hari,” katanya.

Royal Enfield Scram 411 dilancar di Malaysia, tiga varian, harga bermula RM26,900

ROYAL Enfield Scram 411 dilancarkan di pasaran Malaysia hari ini oleh pengedar rasminya di negara ini, Didi Group.

Rewi Hamid Bugo, pengerusi Didi Group berkata, “Scram 411 ialah model baharu sepenuhnya yang direka untuk tunggangan pelbagai fungsi untuk off-road dan bandar.

“Menggabungkan gaya dan genetik motosikal scrambler serta adventure, Scram 411 akan menawarkan pengalaman baharu kepada peminat.”

Seperti pada Namanya, Royal Enfield Scram 411 dipacu oleh enjin 411cc 4-lejang dengan suntikan bahan api. Enjin silinder tunggal dengan sejukan cecair ini mampu menjana 24.3hp pada 6,500rpm dan 32Nm tork dari 4,000 hingga 4,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear 5-kelajuan.

Sistem suspensi disokong oleh unit teleskopik 41mm dengan pergerakan 190mm di depan, manakala 180mm pergerakan di belakang. Kombinasi ini memberikan Scram 411 jarak kelegaan tanah sebanyak 200mm.

Scram 411 mendapat roda bersaiz 19-inci di depan dan 17-inci di belakang. Sistem brek pula terdiri dari cakera di depan dan belakang dengan ABS dwi-saluran.

Jentera ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Base – RM26,900
Mid – RM27,100
Premium – RM27,400

Ketiga-tiga varian ini hanya berbeza dari segi pilihan warna. Base menawarkan warna Graphite Yellow, Graphite Red, dan Graphite Blue dengan tangki kelabu.

Sementara itu Mid boleh didapati dengan warna Skyline Blue dan Blazing Black, digandingkan dengan stripe Royal Enfield.

Akhir sekali, varian tertinggi Premium ditawarkan dengan warna White Flame dan Silver Spirit.

Royal Enfield Hunter 350 diperkenalkan sebagai model roadster mampu milik

ROYAL Enfield telah memperkenalkan satu lagi model roadster dalam barisan mereka iaitu Hunter 350. Ia boleh didapati dalam dua versi iaitu Retro dan Metro. Retro hadir sebagai ‘Factory Series’, manakala Metro pula mempunyai dua varian di bawahnya iaitu ‘Dapper Series’ dan ‘Rebel Series’.

Dari segi penampilan, Hunter 350 hadir dengan penggayaan neo-retro dengan suntikan elemen baharu sambil mengekalkan DNA jenama Royal Enfield. Kedua-dua versi ditawarkan dengan pilihan warna dan livery yang berbeza, menjadi kombinasi keseluruhan sebanyak 23.

Lampu depan untuk kedua-dua versi adalah jenis halogen, manakala lampu belakang pula adalah jenis halogen untuk versi Retro dan LED untuk Metro. Lampu isyarat LED ditawarkan sebagai opsyen.

Seperti Classic 350 dan Meteor 350, model terbaharu ini dikuasakan oleh enjin J-Series 349 cc silinder tunggal. Ia menghasilkan 20.2 bhp pada 6,100 rpm dan 27 Nm pada 4,000 rpm. Dengan transmisi lima kelajuan, Hunter 350 dikatakan mampu mencapai redline 7,000 rpm dan memecut sehingga 114 km/j.

Sumber foto: bikedekho.com

Hunter 350 Retro dilengkapi dengan brek cakera depan dengan ABS dan brek gelendong belakang, manakala versi Metro pula mendapat brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran. Untuk roda pula, versi Retro didatangkan dengan rim jenis spoked manakala Retro dengan rim aloi berwarna hitam.

Berat keseluruhan roadster ini adalah sekitar 181 kg, menjadikan ia 14 kg lebih ringan berbanding Classic 350. Ini juga bermakna ia adalah yang paling ringan dan kecil berbanding mana-mana model dalam barisan Royal Enfield.

Jika dibandingkan dengan Classic 350 dan Meteor 350 yang berharga antara RM23,500 hingga RM24,300 di Malaysia, Hunter 350 mempunyai harga yang lebih mampu milik. Ia dijual pada harga bermula dari 149,900 rupee (RM8,418) untuk Hunter 350 Factory Series hingga 168,900 rupee (RM9,486) untuk versi Metro Rebel.

Royal Enfield 350 dilancar – Classic dan Meteor, dari RM23,500

DIDI Group baru-baru ini melancarkan Royal Enfield 350, hadir dengan dua varian iaitu Classic dan Meteor. Pelancaran itu dibuat bersempena dengan pembukaan Royal Enfield Petaling Jaya.

Kedua-dua motosikal Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350 secara dasarnya adalah sama, tetapi dapat dibezakan melalui penampilannya. Classic 350 seperti pada namanya membawakan gaya retro yang lebih klasik manakala Meteor 350 dengan gaya lebih moden.

Perbezaan utama adalah pada fender depan dan belakang, perumah lampu, penghadang angin depan, tempat duduk, tangki minyak, dan ekzos.

Classic 350 mendapat rim 19-inci di depan dan 18-inci di belakang, masing-masing dengan tayar 100/90 dan 120/80. Meteor 350 pula didatangkan dengan rim aluminium 19-inci di depan dan 17-inci di belakang, berserta tayar 100/90 dan 140/70.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 349cc satu-silinder dengan suntikan bahan api elektronik dan penyejukan udara. Unit ini menjana 20hp pada 6,100rpm dan 27Nm tork pada 4,000rpm, serta digandingkan dengan kotak gear 5-kelajuan.

Royal Enfield Classic 350 dijual pada harga RM23,500 hingga RM24,500 bergantung kepada warna dan aksesori. Sementara itu, Meteor 350 dijual dari RM24,300 hingga RM25,200.

Setiap pembelian juga hadir dengan jaminan (tanpa had perbatuan), bantuan tepi jalan serta servis percuma, kesemuanya selama tiga tahun.