Nissan GT-R 2021 dengan T-Spec, bukan baharu sepenuhnya

RUPA-rupanya Nissan GT-R baharu 2021 yang dikatakan cumalah varian T-Spec, dan bukan baharu sepenuhnya. Sebenarnya jika anda mengikuti perkembangan industri automotif, anda pasti dapat mengagak perkara ini.

Ini kerana tidak mungkin Nissan akan menghasilkan GT-R generasi baharu (R36?) memandangkan pembangunan jentera sports sebegini memerlukan belanja besar tetapi mempunyai jumlah pembeli niche.

Ini ditambah dengan pengenalan jentera sports Nissan Z baru-baru ini, agak mustahil untuk Nissan menawarkan dua model sports dengan prestasi hampir sama dalam satu masa.

Apa pun, memandangkan berita kali ini mengenai GT-R iaitu satu nama ikonik dan penting, mari kita lihatkan apa yang baharu.

Setelah 14 tahun dalam pasaran, Nissan memperkenalkan GT-R T-Spec untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) yang hadir dengan warna Millennium Jade. Bagi peminat tegar GT-R dan Skyline, anda pasti tahu bahawa warna ini suatu yang istimewa, kali terakhir ia diberikan pada R34 V-Spec II Nür, antara model paling rare.

Warna ini juga tidak pernah ditawarkan untuk pasaran Amerika Utara, jadi ini kali pertama Millennium Jade dibawa secara rasmi. Selain itu, terdapat pilihan warna Midnight Purple, yang juga pernah diberikan pada R34 V-Spec.

Apa lagi yang baharu? GT-R 2021 mendapat fender depan lebih lebar dari Track Edition serta spoiler belakang gentian karbon, rim aluminium Rays berwarna emas dan brek karbon-seramik.

Saluran udara untuk brek dari GT-R Nismo turut diberikan, selain corong udara hitam pada hud, dan banyak lencana T-Spec di luar dan dalam.

Bercakap mengenai dalam, GT-R 2021 dilengkapi kemasan kulit suede dan Alcantara dengan warna Mori Green baharu.

Tiada perubahan pada janaan kuasa, bermakna Nissan GT-R T-Spec dipacu enjin 3.8-liter twin-turbo V6 yang mampu mengeluarkan 565hp dan kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 6-kelajuan.

Nissan berkata GT-R T-Spec ditawarkan di atas GT-R Premium, tetapi mereka tidak mendedahkan berapa unit akan dihasilkan. Kita boleh jangkakan ia akan menjadi model terhad juga, dengan harga bermula dari USD138,490 (RM576,395) di AS.

“Sawadikap” Nissan Terra facelift, padat ciri keselamatan baharu

KENDERAAN utiliti sukan SUV keluaran Nissan iaitu Nissan Terra mendapat suntikan baharu di pasaran negara jiran, Thailand.

Setelah lebih tiga tahun dipasarkan di negara ‘Gajah Putih’ itu, terdapat beberapa ciri dipertingkatkan bagi model ini.

Ciri-ciri baharu meliputi gril V-motion lebih besar, lampu utama dengan kecerahan sehingga 34 peratus dan corong fender hadapan.

Selain itu, terdapat pembaharuan pada lampu belakang dan bampar yang diletakkan reflektor lebih lebar.

Foto ihsan Nissan

Enjin Nissan Terra baharu

Nissan Terra ini menggunakan enjin unit YS23DDTT 2.3 liter pengecas turbo-berkembar diesel.

Ia dapat menghasilkan kuasa 190 PS pada 3,750 rpm dan tork 450 Nm antara 1,500 dan 2,500 rpm.

Kotak gear automatik tujuh-kelajuan digunakan dengan VL turut ditawarkan dengan pacuan semua-roda dan locking rear differential.

Interior dalaman Nissan Terra

Bahagian kabin telah dipertingkatkan yang mana ia telah diinspirasikan dari model Almera.

Nissan kali ini kali ini juga menampilkan brek parkir elektronik yang menggantikan brek tangan konvensional.

Apa yang menarik, Nissan Terra dilengkapi cermin hadapan diperbuat daripada kaca akustik bagi mengurangkan bunyi bising dalam kabin.

Berikut antara ciri lain terdapat pada Nissan Terra:-

• Skrin sesentuh sembilan-inci dengan sistem NissanConnect
• Sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara
• Monitor belakang boleh diterbalikkan ke bawah bersaiz 11-inci dengan HDMI
• Cermin pandang belakang digital
• Pengecas tanpa wayar Qi 15-watt
• Lima port USB termasuk USB-C
• Pintu belakang bebas tangan
• Sistem Nissan 360-Degree Safety Shield
• Sistem pemantauan titik buta
• Sistem kemera 360 darjah dengan Pengesan Objek Bergerak (MOD)
• Enam beg udara

Foto ihsan Nissan

Terdapat empat warna ditawarkan iaitu White Pearl, Brilliant Silver, Black Star dan Twilight Gray.

Varian VL pula mempunyai dua tambahan pilihan warna iaitu Forged Copper dan Coulis Red.

Harga Nissan Terra E2WD bermula 1,199,000 baht (RM152,300) sehingga 1,499,000 baht (RM190,400) bagi varian VL 4WD.

Nissan Z 2023 rasmi dilancar – 400hp, manual 6-kelajuan, dua pilihan varian

SELEPAS lebih sedekad pelancaran 370Z, Nissan kini mendedahkan penggantinya. Salam perkenalan, Nissan Z 2023 coupe. Tiada nombor seperti 350Z dan 370Z, hanya Z kali ini. Dan kereta sports ini sememangnya dinanti-nantikan.

Nissan Z 2023 ini hadir dalam dua pilihan; Sport dan Performance serta pilihan Proto Spec yang mengambil ispirasi dari konsep tahun lepas.

Menurut Nissan, Z 2023 ini ialah model serba baharu sepenuhnya, tetapi ia sebenarnya masih menggunakan casis Z34 yang menjadi pelantar kepada 370Z. Cuma ia telah dirombak secara besar-besaran luar dan dalam.

Apa pun, Nissan Z ini diberikan rupa kontemporari tetapi masih mengekalkan elemen klasik sebuah Fairlady. Nissan Z 2023 mendapat muncung depan tajam, gril bersegi, dan lampu LED rekaan retro.

Di belakang, lampunya juga mengambil rekaan retro, iaitu dari 300ZX. Terdapat panel hitam melintang yang mengandungi lampu belakang LED, diffuser hitam berkilat, dan ekzos berkembar. Model Performance ditambah dengan spoiler ringkas.

Model Sport hadir dengan rim 18-inci manakala Performance diberikan 19-inci dari Z Proto. Nissan menawarkan sembilan pilihan warna; enam darinya dengan kemasan dua-tona bumbung hitam, dan tiga lagi dengan satu-tona warna badan.

Prestasi dibekalkan oleh enjin 3.0-liter V6 twin-turbo yang menjana 400hp dan 475Nm tork, dihantar ke roda belakang. Output ini adalah 68hp dan 108Nm lebih dari 370Z. Nissan tidak mendedahkan sebarang angka pecutan 0-100, tetapi mereka berkata model baharu ini memecut 15 peratus lebih pantas dari sebelumnya.

Menariknya, kotak gear utama ialah manual 6-kelajuan berserta klac prestasi tinggi, fungsi rev-matching dan Launch Control. Sementara itu, kotak gear alternatif automatik 9-kelajuan juga mendapat Launch Control dan LSD (limited-slip differential).

Kabin Nissan Z memberi kombinasi teknologi moden dan keselesaan dengan elemen klasik. Tempat duduk bucket mirip GT-R, dan kemasan fabrik hitam atau kulit boleh didapati untuk model Performance.

Konsol tengah menampilkan kluster meter analog untuk boost turbo, kelajuan turbin, dan voltmeter. Terdapat paparan digital bersaiz 8-inci dengan skrin sesentuh, dan model Performance diberikan skrin lebih besar iaitu 9-inci.

Walaupun pelantar Nissan Z ini diambil dari 370Z, penambahbaikan dilakukan termasuklah menambah ketegaran struktur, mengolah semula suspensi, menambah stereng kuasa elektronik yang Nissan janjikan “mempunyai rasa mekanikal”, dan tayar depan lebih lebar.

Model Sport dengan rim 18-inci mendapat tayar Yokohama Advan Sport bersaiz 245/45, manakala model Performance dengan rim 19-inci diberikan tayar Bridgestone Potenza S007 255/40 depan, 275/35 di belakang.

Ciri keselamatan tidak dilupakan, dimana Nissan Z mendapat teknologi seperti Automatic Emergency Braking, Blind-spot Warning, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, dan Rear Cross Traffic Alert.

Nissan Z ini akan mula dijual awal tahun depan, dengan harga jangkaan sekitar USD40,000 (RM169,340).

Skyline GT-R R34 ini lebih mahal daripada Ferrari F8 N-Largo!

Adakah anda masih ingat akan model Nissan Skyline GT-R R34?

Ya, sebuah model Skyline yang telah berusia hampir 20 tahun.

Apa yang menarik baru-baru ini sebuah Nissan Skyline GT-R R34 dengan spesifikasi V-Spec II Nur ingin dijual oleh Yahoo Auction.

Berdasarkan kenyataan Yahoo Auction, kenderaan itu dikatakan belum didaftarkan malah, jarak perbatuannya hanya kurang 10 kilometer!

Untuk rekod, model V-Spec II Nur merupakan salah satu daripada 718 unit pernah dihasilkan dan daripada jumlah itu, hanya 159 unit dicat warna putih.

R34 GT-R V-Spec II ini dikatakan masih belum didaftarkan walau telah dihasilkan lebih 20 tahun lalu. – Foto ihsan Yahoo Auction

Selain itu, model ini didatangkan dengan enjin perlumbaan RB26DETT.

Antara penambahbaikan yang telah dibuat termasuk:

  • Aci engkol lebih seimbang
  • Saluran air dan udara lebih baik
  • Omboh yang dinaiktaraf
  • Unit pengecas turbo baharu
  • Aci sesondol yang dinaiktaraf

Yahoo Auction memaklumkan harga bidaan bagi Nissan Skyline GT-R R34 tersebut bermula dari 50,000,000 yen atau bersamaan RM1.87 juta!

Apa kata anda?

Kenali ciri menarik Nissan Navara 2021

MINGGU lalu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan pengenalan Nissan Navara baharu di pasaran negara ini.

Model yang tidak asing lagi di Malaysia, Nissan Navara baharu mempunyai beberapa keistimewaan ditampilkan khas untuk pengguna jalan raya.

Ditampilkan dengan lima varian, jom kita teliti satu persatu keunikan Nissan Navara Baharu!

Salah sebuah model kenderaan keluaran syarikat Nissan. - Foto oleh Tan Chong Group

Nissan Navara Baharu: Lasak, gaya dan pintar

Terdapat enam varian bagi Nissan Navara Baharu kali ini iaitu 2.5L PRO-4X Auto, 2.5L VL Auto, 2.5L V Auto, 2.5L SE Auto, 2.5L SE Manual dan 2.5L Single Cab Manual.

ETCM menerusi satu kenyataan media mengumumkan harga bagi model Nissan Navara Baharu bermula serendah RM91,900 hingga RM142,200.

Antara ciri menarik terdapat pada model Nissan Navara kali ini termasuk penggunaan dua enjin output berbeza.

Pelanggan boleh membuat pilihan untuk menggunakan:-

  • Enjin Turbo-diesel YD25 4-silinder sebaris DOHC dengan output tinggi yang dipadankan bersama Transmisi Auto tujuh kelajuan dan Mode Manual atau;
  • Enjin Turbo-diesel YD25 4-silinder sebaris DOHC dengan output sederhana, dipadankan bersama Transmisi Manual enam kelajuan

Nissan Navara Baharu (kecuali Single Cab) dilengkapi suspensi belakang jenis Multilink dengan Dual-Rate Coil Springs (Rear Multilink Suspension with Dual-Rate Coil Springs bagi mengurangkan pergerakan badan kenderaan.

Selain itu, Sistem Electronic Locking Rear Differential baharu pula berfungsi mengunci kedua-dua roda belakang untuk membolehkannya berpusing pada kelajuan sama jika tersekat di laluan berpasir atau berlumpur.

Ciri Tailgate Assist turut disediakan bagi memudahkan pintu ruang kargo belakang dibuka dan ditutup.

EnGear juga tertarik dengan penggunaan Kaca Laminasi Akustik yang dapat menyingkirkan bunyi pada cermin utama dan cermin tingkap hadapan.

Ruang dalam premium menambah keyakinan pemanduan.

Ciri keselamatan Nissan Navara Baharu

Tidak dinafikan Nissan Navara Baharu dilengkapi ciri keselamatan tinggi.

Amat berbaloi dengan harga ditawarkan, model ini dilengkapi sistem keselamatan tinggi seperti:-

  • Vehicle Dynamic Control
  • Traction Control System
  • Active Brake Limited Slip Differential
  • Hill Start Assist
  • Hill Descent Control
  • Anti-Lock Braking System
  • Electronic Brake Distribution
  • Brake Assist

Berbaloi atau tidak?

Pada pandangan EnGear, ciri-ciri terdapat pada Nissan Navara Baharu agak menarik dan bersesuaian dengan harga ditawarkan.

Namun, tidak adil jika EnGear memberi review menyeluruh selagi belum memandu uji Mother Trucker ini.

Justeru, nantikan artikel seterusnya pengalaman EnGear ‘menguji’ jentera terbaharu Nissan ini di masa akan datang.

Bagaimanapun, tahniah Nissan untuk pengenalan model baharu Navara 2021!