Gangguan ETS: KTMB tawar pemulangan tambang penuh dan tuntutan insurans

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan susulan kejadian Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tergendala beberapa hari lepas.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah.

Tren KTMB. Gambar oleh KTMB

“Kesulitan itu amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta menghantar permohonan ke emel: callcenter@ktmb.com.my.”

“Penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau emel kepada support@goinsure.com.my,” katanya.

Mengulas lanjut, KTMB menjelaskan bahawa seperti dimaklumkan melalui kenyataan rasmi, gangguan disebabkan talian elektrik (alat talian atas) terputus membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

“Namun, kru tren bertugas sudah mengambil langkah membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.

“KTMB turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, lokomotif bantuan juga sudah dihantar tetapi gagal menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

“Selain itu, penumpang juga diberikan penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung isu perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Butterworth mengalami masalah teknikal dan terputus elektrik menyebabkannya terkandas dari sekitar jam 5 petang hingga hampir 8 malam.

KTM Malaysia buka tempahan KTM 890 SMT – RM10X,800

KTM 890 SMT bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi selepas pengumuman pembukaan tempahan telah pun dibuka baru-baru ini. 

Apa yang mencuri perhatian kami, hanya lapan unit – model CBU Austria – yang akan dipasarkan disini buat masa ini. 

Untuk rekod, KTM 890 SMT dipacu enjin parallel-twin 889cc LC8c yang sama diguna pakai pada KTM 890 Adventure. Meskipun begitu, 890 SMT lebih berkuasa dengan 105hp dan 100Nm.

KTM juga mereka semula bahagian tangki agar kedudukan penunggang lebih agresif sesuai dengan perwatakan 890 SMT. 

Selain itu, perbezaan utama dengan 890 Adventure adalah penghadang angin lebih rendah selain kehadiran ‘splash guard’ di depan. Seperti kebiasaan, pakej suspens merangkumi fork WP APEX yang dipadankan bersama rim 17”.

Menariknya, model ini hadir dengan mod khas termasuk untuk penggunaan di litar lumba. Juga disertakan adalah Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) selain dari panel meter TFT. 

KTM Brabus 1300 R Edition 23 ‘anak’ kacukan Austria-Jerman

BRABUS, satu nama besar dalam dunia talaan dan modifikasi kereta, dilihat semakin aktif dalam segmen dua roda menerusi kerjasamanya dengan pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM.

Tahun lalu, gandingan dua syarikat itu berjaya melahirkan motosikal edisi terhad 1300 R Edition. Tahun ini, mereka kembali bergabung untuk menghasilkan versi yang dinaik taraf yang dikenali secara rasmi sebagai 1300 R Edition 23.

KTM hanya akan menghasilkan 290 unit, dengan pecahan 145 unit untuk warna Superblack dan selebihnya untuk warna Stealth Grey.

Seperti versi asal, 1300 R Edition 23 dibina berasaskan KTM 1290 Super Duke EVO namun dengan beberapa komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan CNC.

Dari segi penampilan, ia tidak jauh berbeza dengan yang terdahulu tetapi versi baharu ini telah diberikan beberapa modifikasi termasuk trim gentian karbon pada lampu hadapan dan skup udara, serta cermin sisi yang diletakkan pada kedudukan lebih tinggi serta lebih lebar.

Selain itu, tempat duduk penunggang kini menampilkan corak jahitan Brabus “Crest” manakala tempat duduk pembonceng pula mendapat rekaan baharu. Melengkapi modifikasi ini adalah rim tempaan Brabus Monoblock Z berwarna Platinum Black.

Ciri-ciri yang dibawa dari edisi terdahulu termasuklah sistem ekzos slip-on, kerangka berwarna hitam, belly pan gentian karbon, triple clamp CNC, tuil dan tempat letak kaki CNC, serta panel instrumen bertemakan Brabus dengan animasi unik.

1300 R Edition masih dikuasakan oleh enjin 1,301 cc LC8 V-berkembar yang mampu menjana kuasa sebanyak 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm pada 8,000 rpm. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif APEX dan peredam stereng keluaran WP.

Harga jualan bermula dari 42,500 euro (~RM200,498). Kesemua 290 unit akan ditawarkan secara eksklusif menerusi portal pra-tempahan dalam talian yang akan dibuka bermula 16 Februari.

KTM X-Bow GT-XR – kereta lumba GT2 versi jalanan

RASANYA dah lama tak dengar pasal KTM X-Bow kan? Walaupun diperkenalkan buat pertama kali pada 2008, kereta sport ini masih lagi wujud dan kini, ia hadir dalam versi terbaharu yang dikenali sebagai X-Bow GT-XR.

Secara asasnya, GT-XR hampir serupa dengan kereta lumba GTX dan GT2 yang dihasilkan oleh syarikat itu cuma ia berstatus ‘road legal’, bermakna ia boleh dipandu di jalan raya.

Jentera ini dibangunkan menggunakan kerangka monocoque yang diperbuat daripada gentian karbon. Menurut KTM, penggunaan bahan ringan itu membolehkan mereka mengekalkan berat kering GT-XR pada sekitar 1,130 kg.

Seperti X-Bow GT2, model ini mempunyai kanopi yang akan mencondong ke depan apabila dibuka bagi memberikan akses ke ruang kabin. Menariknya, ia mempunyai fungsi ‘soft close’ seperti pintu kereta mewah.

X-Bow GT-XR dikuasakan oleh enjin turbo 2.5-liter lima silinder yang diperoleh daripada Audi. Ia menghasilkan 493 hp (500 PS) pada 6,350 rpm dan 581 Nm pada 5,550 rpm, jauh lebih tinggi berbanding Audi RS3 atau TT RS.

Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 280 km/j. Ia juga dilengkapi dengan Limited Slip Differential untuk pengagihan kuasa yang lebih optimum.

Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak boleh laras Sachs, manakala untuk brek pula, GT-XR menggunakan cakera keluli yang dipadankan dengan angkup lapan piston. Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan cakera seramik untuk prestasi brek yang lebih baik.

Bagi menjadikan ia kereta jalanan yang sesuai untuk pemanduan harian, KTM turut menyertakan tangki bahan api berkapasiti 96 liter (membolehkan kereta ini dipandu sejauh kira-kira 1,000 km) dan sistem stereng progresif. Sistem pengangkat hidraulik untuk gandar depan dan tayar ‘centre locking’ ditawarkan sebagai opsyen.

Ciri-ciri kemudahan dan keselesaan lain seperti pendingin hawa, cermin sisi digital, port pengecas USB-C dan sambungan Bluetooth turut disertakan. Malah, pelanggan juga boleh mendapatkan set bagasi kustom yang dihasilkan oleh Meindl.

Harga jualan X-Bow GT-XR bermula dari 284,900 Euro (RM1.28 juta) tidak termasuk opsyen. KTM mensasarkan untuk menghasilkan kira-kira 100 unit model ini setahun.

 

KTM 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200 dilancarkan di Malaysia

Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd menghangatkan pasaran motosikal tempatan dengan pelancaran tiga model KTM baharu untuk tahun 2022 iaitu 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200. Ketiga-tiga model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar jenama itu bermula September depan.

KTM 890 Duke R (RM75,800)

Diberi jolokan ‘The Super Scalpel’, 890 Duke R dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris bersesaran 889 cc yang telah ditala bagi menjana 121 hp dan 99 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac PASC ‘antihopping’,

Untuk sistem suspensi, jentera ini menggunakan fork dan penyerap hentak monoshock jenis WP Apex pada bahagian depan dan belakang. Sistem brek pula merangkumi angkup Brembo Stylema monobloc yang menggigit cakera berukuran 320 mm.

Kawalan elektronik dibekalkan menerusi empat mod tunggangan (Sport, Street, Rain dan Track), ABS dwi-saluran, Cornering ABS serta Traction Control. Slip Regulation pula ditawarkan sebagai opsyen.

KTM 890 Adventure (RM96,800)

Motosikal pengembaraan ini berkongsi ‘nadi’ yang sama dengan 890 Duke R namun jumlah kuasanya dikurangkan sebanyak 18 hp kepada 103 hp. Bagaimanapun, tork menyaksikan peningkatan kecil iaitu dari 99 Nm kepada 100 Nm.

Selain enjin, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi WP Apex yang sama namun fork dan monoshock tersebut mempunyai jarak pergerakan (travel) yang lebih panjang iaitu 200 mm. Tiada angkup brek Brembo Stylema di sini tetapi ABS dwi-saluran dikekalkan.

Penambahan turut diberikan pada sistem elektronik di mana 890 Adventure mendapat ciri mod tunggangan Off-Road dan Off-Road ABS. Terdapat juga mod Rally namun ia hanya boleh dipesan sebagai ciri tambahan.

KTM RC 200 (RM15,888)

Untuk model 2022, jentera supersport berkapasiti kecil ini diberikan beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, aerodinamik dan mekanikal.

Dibantu oleh kotak udara yang 40% lebih besar, enjin 200 cc silinder tunggal yang digunakan oleh RC 200 kini mampu menghasilkan 25 hp dan 19.5 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Disebalik fairing yang direka mengikut acuan jentera lumba RC16, model ini mempunyai kerangka baharu yang lebih ringan berbanding sebelum ini dengan perbezaan sebanyak 1.5 kg. Bukan itu sahaja, rimnya juga 3.4 kg lebih ringan.

KTM 1290 Super Adventure S 2021 tiba di Malaysia, harga RM132,900

KTM 1290 Super Adventure S 2021 selamat ‘mendarat’ di bumi Malaysia selepas diperkenalkan kepada umum pada Januari lalu.

Syarikat pengeluar KTM menyatakan model ini merupakan jentera adventure paling canggih pernah dihasilkan.

Terdapat beberapa penambahbaikan pada bahagian utama motosikal ini melibatkan sistem ergonomik dan elektronik.

Antara penambahbaikan dimaksudkan meliputi faktor pengendalian motosikal yang mana tempat duduk dan penghadang angin boleh dilaras mengikut keselesaan.

Panel TFT 7.0 inci juga disediakan agar penunggang dapat mengaplikasikan segala sistem sedia ada dengan mudah.

Sistem tercanggih yang pernah dihasilkan KTM. – Foto ihsan KTM

Model KTM 1290 Super Adventure S 2021 mempunyai beberapa mod tunggangan seperti “rain”, “street”, “sport”, “offroad” dan “rally”.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan teknologi Adaptive Cruise Control yang membolehkan penunggang memilih lima tetapan jarak antara kenderaan hadapan ketika di atas jalan raya.

Jentera ini masih menggunakan unit v-twin 1,301cc berkuasa 160 hp dan 138 Nm tork yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Bagaimanapun, jentera ini mempunyai berat lebih ringan berbanding model sebelumnya hasil penggunaan casing lebih nipis.

KTM mengutamakan keselesaan tunggangan bagi model ini. – Foto ihsan KTM

Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada KTM 1290 Super Adventure S 2021:

  • Suspensi semi aktif WP SAT
  • Steering damperWP
  • Cakera brek berkembar 320mm dengan angkup Brembo empat piston hadapan
  • Cakera 267mm belakang
  • Tyar Mitas Terra Force-R
  • Klac slipperPASC
  • Motorcycle Traction Control
  • Cornering ABS
  • Offroad ABS
  • Pemerhati tekanan angin tayar (TPMS)
  • Penunjuk arah automatic
  • KTM MyRide

Seunit KTM 1290 Super Adventure S 2021 boleh didapati pada harga RM132,900 tidak termasuk insurans.

KTM 1290 Super Adventure baharu sesuai digunakan untuk semua jenis permukaan jalan. – Foto ihsan KTM

Kesemua 100 unit KTM RC 8C habis terjual tak sampai 5 minit!

MASA yang diambil sebenarnya cuma 4 minit 32 saat. Ya, kesemua 100 unit KTM RC 8C habis dalam masa 4 minit 32 saat.

KTM melancarkan RC 8C 2022 awal bulan ini dan pengenalan superbike itu menandakan kembalinya jenama Austria itu dalam segmen motosikal middleweight.

Ianya model yang dinanti-nanti, malangnya jika anda mahu membelinya, sayang sekali semuanya habis dijual. Hanya 100 unit dikeluarkan.

Walaupun biasa untuk kita lihat motosikal atau kereta berprestasi tinggi dikeluarkan dalam unit terhad, jarang sekali kita lihat ia laku sebegitu cepat. Nampaknya jentera ini cipta rekod jualan dulu sebelum apa-apa rekod catatan masa di litar.

Tempahan dibuka secara online untuk KTM RC 8C, dan anda harus buat bayaran tepat pada masanya.

Superbike ini dibina di atas platform sama dengan 890 Duke R tetapi mendapat kemasan badan ala MotoGP yang diperbuat dari GRP (glass reinforced plastic) yang diperkukuh dengan Kevlar, lengkap dengan winglet aerodinamik.

Casisnya adalah bingkai 25CrMO4 dengan spesifikasi lumba yang dibina dengan tangan serta mempunyai mekanisma quick-release.

Kuasa ialah 126hp dan 101Nm tork, dibekalkan oleh enjin 889cc LC8 parallel-twin dari 890 Duke R. Enjin ini digandingkan dengan kota gear 6-kelajuan.

Dengan berat hanya 140kg, KTM RC 8C ini mempunyai nisbah kuasa-ke-berat yang tinggi, hampir 1:1. Jadi anda yang menunggang tidak perlu risau akan ditinggalkan oleh jentera 1-liter lain, RC 8C ini pasti mampu mengejar di litar.

Sebagai tambahan, 25 pembeli bertuah dari 100 orang tadi akan mendapat sesi track day dan tunjuk ajar dari ‘otai’ MotoGP, Mika Kallio dan Dani Pedrosa di Jerez pada Oktober ini.