fbpx

KTM X-Bow GT-XR – kereta lumba GT2 versi jalanan

KTM X-Bow GT-XR 07

RASANYA dah lama tak dengar pasal KTM X-Bow kan? Walaupun diperkenalkan buat pertama kali pada 2008, kereta sport ini masih lagi wujud dan kini, ia hadir dalam versi terbaharu yang dikenali sebagai X-Bow GT-XR.

Secara asasnya, GT-XR hampir serupa dengan kereta lumba GTX dan GT2 yang dihasilkan oleh syarikat itu cuma ia berstatus ‘road legal’, bermakna ia boleh dipandu di jalan raya.

Jentera ini dibangunkan menggunakan kerangka monocoque yang diperbuat daripada gentian karbon. Menurut KTM, penggunaan bahan ringan itu membolehkan mereka mengekalkan berat kering GT-XR pada sekitar 1,130 kg.

Seperti X-Bow GT2, model ini mempunyai kanopi yang akan mencondong ke depan apabila dibuka bagi memberikan akses ke ruang kabin. Menariknya, ia mempunyai fungsi ‘soft close’ seperti pintu kereta mewah.

X-Bow GT-XR dikuasakan oleh enjin turbo 2.5-liter lima silinder yang diperoleh daripada Audi. Ia menghasilkan 493 hp (500 PS) pada 6,350 rpm dan 581 Nm pada 5,550 rpm, jauh lebih tinggi berbanding Audi RS3 atau TT RS.

Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 280 km/j. Ia juga dilengkapi dengan Limited Slip Differential untuk pengagihan kuasa yang lebih optimum.

Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak boleh laras Sachs, manakala untuk brek pula, GT-XR menggunakan cakera keluli yang dipadankan dengan angkup lapan piston. Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan cakera seramik untuk prestasi brek yang lebih baik.

Bagi menjadikan ia kereta jalanan yang sesuai untuk pemanduan harian, KTM turut menyertakan tangki bahan api berkapasiti 96 liter (membolehkan kereta ini dipandu sejauh kira-kira 1,000 km) dan sistem stereng progresif. Sistem pengangkat hidraulik untuk gandar depan dan tayar ‘centre locking’ ditawarkan sebagai opsyen.

Ciri-ciri kemudahan dan keselesaan lain seperti pendingin hawa, cermin sisi digital, port pengecas USB-C dan sambungan Bluetooth turut disertakan. Malah, pelanggan juga boleh mendapatkan set bagasi kustom yang dihasilkan oleh Meindl.

Harga jualan X-Bow GT-XR bermula dari 284,900 Euro (RM1.28 juta) tidak termasuk opsyen. KTM mensasarkan untuk menghasilkan kira-kira 100 unit model ini setahun.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved