fbpx

KTM 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200 dilancarkan di Malaysia

359619_MY21 KTM 890 ADVENTURE_ Action_MY21

Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd menghangatkan pasaran motosikal tempatan dengan pelancaran tiga model KTM baharu untuk tahun 2022 iaitu 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200. Ketiga-tiga model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar jenama itu bermula September depan.

KTM 890 Duke R (RM75,800)

Diberi jolokan ‘The Super Scalpel’, 890 Duke R dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris bersesaran 889 cc yang telah ditala bagi menjana 121 hp dan 99 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac PASC ‘antihopping’,

Untuk sistem suspensi, jentera ini menggunakan fork dan penyerap hentak monoshock jenis WP Apex pada bahagian depan dan belakang. Sistem brek pula merangkumi angkup Brembo Stylema monobloc yang menggigit cakera berukuran 320 mm.

Kawalan elektronik dibekalkan menerusi empat mod tunggangan (Sport, Street, Rain dan Track), ABS dwi-saluran, Cornering ABS serta Traction Control. Slip Regulation pula ditawarkan sebagai opsyen.

KTM 890 Adventure (RM96,800)

Motosikal pengembaraan ini berkongsi ‘nadi’ yang sama dengan 890 Duke R namun jumlah kuasanya dikurangkan sebanyak 18 hp kepada 103 hp. Bagaimanapun, tork menyaksikan peningkatan kecil iaitu dari 99 Nm kepada 100 Nm.

Selain enjin, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi WP Apex yang sama namun fork dan monoshock tersebut mempunyai jarak pergerakan (travel) yang lebih panjang iaitu 200 mm. Tiada angkup brek Brembo Stylema di sini tetapi ABS dwi-saluran dikekalkan.

Penambahan turut diberikan pada sistem elektronik di mana 890 Adventure mendapat ciri mod tunggangan Off-Road dan Off-Road ABS. Terdapat juga mod Rally namun ia hanya boleh dipesan sebagai ciri tambahan.

KTM RC 200 (RM15,888)

Untuk model 2022, jentera supersport berkapasiti kecil ini diberikan beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, aerodinamik dan mekanikal.

Dibantu oleh kotak udara yang 40% lebih besar, enjin 200 cc silinder tunggal yang digunakan oleh RC 200 kini mampu menghasilkan 25 hp dan 19.5 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Disebalik fairing yang direka mengikut acuan jentera lumba RC16, model ini mempunyai kerangka baharu yang lebih ringan berbanding sebelum ini dengan perbezaan sebanyak 1.5 kg. Bukan itu sahaja, rimnya juga 3.4 kg lebih ringan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved