Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo J7 dipertonton dengan versi PHEV – 347PS, 525Nm!

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif di Malaysia, anda akan ketahui bahawa Jaecoo J7 telah dipertonton, malah telah dibuka tempahannya. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara RM150k hingga RM160k.

Terkini, sub-jenama di bawah Chery ini memperkenalkan pula versi PHEV (plug-in hybrid), ditayangkan di Auto China 2024 di Beijing. Ia nampak hampir serupa dengan versi petrol, tetapi sudah tentu mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi.

Ia oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi petrol yang dikatakan versi spesifik untuk hibrid. Enjin ini digandingkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan motor elektrik di depan, memberikan J7 PHEV output keseluruhan sebanyak 347PS dan 525Nm tork.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 biasa mempunyai enjin 1.6-liter TGDi dengan 197PS dan 290Nm tork.

J7 PHEV ini juga mampu dipandu dalam mod EV sehingga 88km. Penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.9 liter/100km. Menurut Jaecoo, ini memberikan kemampuan J7 PHEV untuk dipandu sehingga 1,200km untuk setiap tangki.

Menariknya, J7 PHEV ini boleh dicas menggunakan DC. Walaupun tidak didedahkan berapa lama tempoh untuk pengecasan, ia pastinya boleh dibuat dalam tempoh masa yang singkat.

Satu ciri pada J7 PHEV ini ialah fungsi V2L, iaitu kemampuan mengecas perkakasan luaran. Fungsi ini juga terdapat pada Chery Omoda E5.

Dari segi rupa luaran, Jaecoo J7 PHEV boleh dibezakan dari rim 19-inci aero, flap penutup tempat pengecasan di sisi kanan, dan ketiadaan ekzos di belakang. Ciri standard juga adalah pemegang pintu retractable.

Belum dapat dipastikan sama ada Jaecoo J7 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami rasa ia pastinya akan memberikan pilihan menarik untuk kita. Apa pendapat anda dengan spesifikasi J7 PHEV ini?

Jaecoo J7 – pendaftaran minat dibuka, harga anggaran dari RM150k

JAECOO Malaysia mengumumkan bahawa pendaftaran minat untuk Jaecoo J7 akan dibuka bermula 10 April 2024. Pendaftaran boleh dilakukan di siri jelajah Jaecoo Premier Experience di pusat beli-belah 1Utama (Tingkat LG, Highstreet) atau melalui laman web syarikat itu.

Menurut Jaecoo Malaysia, J7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (2WD) dengan harga anggaran RM150,000 dan pacuan semua roda (AWD) dengan harga anggaran RM160,000.

Terdapat empat warna luaran untuk dipilih iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan Model Green.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 1.6-liter turbo petrol yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, berserta transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Sebagai sebuah SUV, J7 mempunyai jarak kelegaan tanah 200 mm dengan kemampuan meranduk air sedalam 600 mm. Ia juga mampu menunda sehingga 1,300 kg dan rak bumbungnya boleh menampung sehingga 75 kg.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen 14.8-inci, sistem pendingin hawa dwi-zon, dan bumbung panoramik.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping, Curve Speed Assistance, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, dan Parking Assistance.

Tarikh pelancaran rasmi Jaecoo J7 masih belum diumumkan namun menurut Jaecoo Malaysia, penyerahan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Bukan itu sahaja, syarikat itu turut menyatakan bahawa pelanggan boleh mula memandu uji J7 bermula Mei depan.

Jaecoo J7, SUV premium uji kemampuan off-road di M4TREC

Baru-baru ini, Jaecoo J7 telah menguji kemampuan off-roadnya di M4TREC 4WD Training and Experience Centre. Menurut Jaecoo, SUV premium mereka itu mendapat pujian dari pihak M4TREC atas keupayannya melalui halangan off-road yang sukar.

Jaecoo J7 telah dipertontonkan baru-baru ini dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua nanti.

M4TREC sering menjadi lokasi ujian bagi peminat dan penggiat pacuan empat-roda (4WD) negara ini. Dengan iklim Malaysia yang panas dan sering hujan, pastinya menjadi pelengkap kepada cabaran di M4TREC.

Jaecoo J7 dilengkapi dengan enjin 1.6-liter TGDI, dengan output maksima 197hp dan 290Nm tork. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan dwi-klac dan mempunyai pilihan pacuan roda-depan dan semua-roda (AWD).

Untuk memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap J7, para pelatih pakar M4TREC telah menetapkan pelbagai halangan mencabar semasa ujian, termasuk ujian “roller ramp”, ujian artikulasi, lintasan bukit (ridge crossing), dan turunan cerun.

J7 menunjukkan kebolehannya mengatasi keadaan jalan yang sukar serta ketahanan impak, dengan mudah menakluk halangan yang pelbagai. Ini dibantu dengan sistem All Road Drive Intelligent System (ARDIS) yang mengawal agihan kuasa sepantas 0.1 saat.

“Keupayaan off-road J7 yang luar biasa telah mengejutkan kami, ditunjukkan melalui navigasinya yang lancar melalui medan yang kasar dan mencabar di M4TREC,” kata seorang instruktur bertauliah M4TREC.

Jaecoo J8 buat kemunculan di Malaysia! SUV premium dengan 245hp, konfigurasi 2 dan 3 baris tempat duduk

SELAIN dari mempertontonkan J7 untuk para media, Jaecoo Malaysia juga menggunakan peluang ini bagi mendedahkan Jaecoo J8, model yang lebih besar dan mewah dari jenama di bawah Chery ini.

Unit yang dipaparkan ini masih dengan stereng kiri, jadi spesifikasinya belum 100 peratus muktamad. Tetapi apa yang kita boleh tahu, ia akan dilancarkan tahun ini juga, mungkin suku keempat.

Saiz J8 lebih besar berbanding J7, dengan ukuran 4,820mm panjang 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan jarak roda 2,820mm.

Spesifikasi yang dapat dilihat pada unit ini adalah rim aloi 20-inci, lampu LED sepenuhnya, sistem audio Sony, bumbung kaca panoramik yang besar, dan pintu but berkuasa.

Menariknya, gaya dan rasa premium dalam kabin Jaecoo J8 ini mengingatkan kami terhadap jenama Jerman. Ini dapat dilihat pada jahitan tempat duduk kulit, rekaan konsol tengah, paparan 12.3-inci berkembar untuk infotainmen dan instrumen, dan lampu ambien.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang negatif. Ia satu pujian sebenarnya untuk Jaecoo kerana membawakan ciri premium pada harga yang lebih rendah. SUV ini juga boleh didapati dengan konfigurasi dua atau tiga baris tempat duduk.

Untuk sistem janaan kuasa, ia mendapat enjin 2.0-liter turbo petrol yang menjana 245hp dan 385Nm tork. Output disalurkan ke jalan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan pilihan pacuan dua-roda atau semua-roda.

Setakat ini, apa pendapat anda mengenai Jaecoo J8? Berapakah harga anggaran SUV ini sebaik dilancarkan nanti, lebih atau kurang dari RM200,000?

Jaecoo J7 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-C gaya premium, boleh cabar CR-V dan CX-5?

JAECOO Malaysia hari ini telah mempertontonkan SUV pertama taruhan mereka untuk Malaysia, iaitu Jaecoo J7. Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah jenama di bawah Chery, dan SUV ini merupakan model segmen-C yang diposisikan sebagai off-road premium.

Dari beberapa sudut dan aspek, Jaecoo J7 ini memang nampak lebih premium berbanding pesaing-pesaingnya seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V. Jaecoo J7 dijangka dilancarkan secara rasmi sekitar suku kedua 2024.

J7 dikuasakan oleh enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 197hp dan 290Nm tork, digandingkan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Terdapat dua pilihan varian iaitu model pacuan roda-depan dan pacuan semua-roda AWD.

Jaecoo J7 mempunyai jarak kelegaan tanah 200mm dengan kemampuan meranduk air sedalam 600mm. Ia juga mampu menunda sehingga 1,300kg dan rak bumbungnya boleh menampung sehingga 75kg.

Kelengkapan standard Jaecoo J7 termasuklah lampu LED berlapis, DRL LED, rim Aurora 19-inci, tempat duduk balutan kulit, lampu ambien 64 warna, tujuh mod pemanduan, dan pengecas tanpa-wayar 50W.

Ciri lain pula seperti paparan head-up display, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen 14.8-inci, tempat duduk dengan rongga pendingin hawa, sistem pendingin hawa dwi-zon, dan bumbung panoramik.

Ciri keselamatan juga cukup padat, seperti Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping, Curve Speed Assistance, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, dan Parking Assistance.

Harga belum diumumkan, tetapi menurut Jaecoo, harga SUV ini akan berada sekitar Chery Tiggo 8 Pro yang berharga RM159,800. Mampukah ia menyaingi pemain-pemain sedia ada dalam pasaran di Malaysia?

Oh ya, Jaecoo J7 juga akan terus dipasang secara tempatan (CKD) dari awal. Menarik?

Dua unit Jaecoo J7 tiba di Malaysia! Pelancaran tidak lama lagi?

INI satu berita hangat, tuan-tuan dan puan-puan, kerana jenama Jaecoo telah tiba di Malaysia. Malah, dua unit Jaecoo J7 AWD kini berada di negara ini untuk ujian jalan raya dan piawaian.

Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah salah satu jenama di bawah payung Chery, seperti Omoda. Kami pun telah membuat sedikit laporan dan pengenalan mengenai Jaecoo semasa di China beberapa bulan lepas.

Jaecoo Malaysia kini giat menjalankan pratonton eksklusif kepada wakil pengedar sah dan pelabur berpotensi menjelang pembukaan bilik pameran. Ia bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia tahun depan.

Selain itu, laman rasmi Facebook Jaecoo Malaysia juga telah ditubuhkan, jadi anda boleh lawatinya untuk sebarang maklumat dan kemas kini dari jenama itu. Mungkin group dan forum Jaecoo juga akan tumbuh bagai cendawan tak lama lagi.

Laman web rasmi pula dijangka siap pada Januari 2024. Sementara itu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web global Jaecoo.

Jaecoo J7 ialah model segmen-C lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Ia akan berada dalam segmen yang sama dengan model seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V.

Tidak seperti unit yang kami lihat di Wuhu, China yang merupakan model pacuan roda-depan, unit yang tiba di Malaysia kedua-duanya adalah model AWD.

Belum ada perincian enjin, tetapi menurut laman web rasmi Jaecoo, model J7 AWD dikuasakan enjin 1.6-liter turbo dengan 194hp dan 290Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Prestasi 0-100km/j adalah dalam 8 saat, manakala kecekapan penggunaan bahan api adalah sekitar 7.48L/100km.

Ciri lain pada Jaecoo J7 termasuklah lampu LED, skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, 10 beg udara, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Apa pendapat anda mengenai Jaecoo J7 dan jenama ini secara amnya? Teruja untuk ia dilancarkan?