Sebuah EV comel dilihat di Malaysia – Citroen Ami dengan 8hp dan 45km/j!

BAYANGKAN sebuah kereta comel dengan 6kW (8hp) dan kelajuan maksima 45km/j di jalan raya Malaysia. Dah macam skuter pula, bukan?

Tetapi sebuah kereta ini dilihat di Malaysia. Beberapa gambar dikongsi oleh pengguna Facebook bernama Shahril Khazali di forum paultan.org Automotive/Car Discussion Group.

Kereta ini ialah Citroen Ami dan ia memang kelihatan sangat comel! Rekaannya juga unik, dimana ramai netizen berkata rupa depan dan belakangnya hampir sama. Hanya dapat dibezakan dari warna lampu – merah bermaksud bahagian belakang.

Citroen Ami ialah sebuah kereta elektrik (EV) untuk kegunaan bandar dengan pek bateri lithium-ion 5.5kWh, dan jarak pemanduan 70km. Seperti disebut tadi, ia mempunyai output 8hp dan mampu mencapai kelajuan 45km/j.

Kami rasa ia lebih sesuai di bandar dengan jalan sempit dan penguatkuasaan had laju yang ketat seperti London dan Paris.

Tidak begitu sesuai dengan Kuala Lumpur yang mempunyai banyak lebuh raya, tambahan pula pengguna jalan raya negara ini ramai yang perasan hebat sehinggan menjadikan tanah air kita antara negara paling merbahayaa untuk dipandu.

Menurut perkongsian asal, gambar-gambar ini diambil di Jalan Duta dalam trafik yang bergerak perlahan. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana Citroen Ami ini berada di lebuh raya NKVE atau DASH.

Ami yang comel ini mempunyai ukuran 2,400mm panjang, 1,390mm lebar, dan berat hanya 485kg. Lebih ringan dari Perodua Kancil!

Citroen Ami juga dikasifikasikan sebagai quadricycle di Eropah, jadi ia tidak memerlukan lesen untuk dipandu, asalkan pemandunya berumur 16 tahun dan ke atas. Ia juga tidak mempunyai pendingin hawa.

Walaupun tidak begitu sesuai untuk digunakan di lebuh raya, penulis rasa pasti sangat cool untuk dipandu di kawasan perumahan, seperti menghantar anak ke sekolah, minum kopi hujung minggu, atau pergi membeli barang runcit.

Pergi masjid pun okay juga! Apa pendapat anda mengenai Citroen Ami ini di Malaysia?

Citroen My Ami Buggy kenderaan EV untuk golongan muda-mudi!

DIPERKENALKAN tahun lalu, Citroen Ami merupakan sebuah ‘quadricycle’ elektrik dengan dua tempat duduk yang dibangunkan sebagai solusi mobiliti untuk golongan muda di Eropah yang belum layak mendapatkan lesen memandu.

Apa yang anda lihat ini adalah versi lebih lasak yang dinamakan sebagai My Ami Buggy. Ia menampilkan elemen-elemen reka bentuk yang kebiasaanya terdapat pada jentera off-road seperti bull bar, gril besi pada lampu hadapan, tayar off-road dan kemasan plastik hitam di sekeliling gerbang roda.

Selain itu, kenderaan kecil molek ini juga mempunyai bar lampu LED dan rak pada bahagian bumbung di mana tayar simpanan diletakkan. Pintu yang asal pula telah digantikan dengan pintu tubular yang lebih kecil dan pintu ini menyimpan tirai yang boleh dinaikkan bagi melindungi penumpang daripada hujan atau sinaran matahari.

Di dalam, Citroen menggunakan tempat duduk Advanced Comfort baharu dengan kusyen memori yang lebih tebal iaitu dari 35mm kepada 70mm. Apa yang menarik, kusyen tersebut boleh dikeluarkan daripada rangkanya untuk digantikan dengan yang lain atau dibasuh.

Walaupun kabinnya sangat kecil, pengguna My Ami Buggy masih boleh membawa barangan dengan adanya set bagasi yang direka khas agar sesuai dengan ruang simpanan yang terdapat di dalam kenderaan ini.

Sebagai contoh, terdapat ‘bum bag’ yang dilekatkan pada magnet di tengah-tengah stereng dan boleh dipakai pada tali pinggang, serta ‘sailor’s bag’ yang mempunyai ruang simpanannya yang tersendiri di bawah papan pemuka. Kabel pengecas pula diletakkan pada pemegang di dalam rangka pintu sebelah penumpang.

Citroen tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai trenkuasa My Ami Buggy namun ia berkemungkinan mempunyai spesifikasi teknikal yang sama dengan Ami iaitu motor elektrik berkuasa 6kW dan pek bateri 5.5kWh.

Bagaimanapun, penggunaan tayar off-road mungkin menyebabkan My Ami Buggy lebih perlahan jika dibandingkan dengan Ami yang boleh mencapai kelajuan maksimum 45km. Jarak pemanduan juga dijangka terjejas dan kurang daripada 69km seperti yang boleh dicapai oleh Ami.

My Ami Buggy sebenarnya masih dalam fasa konsep dan setakat ini, Citroen tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menawarkannya di pasaran. Namun, jika ada permintaan, tidak mustahil ia dijual di Eropah di samping Ami.

Senarai model Citroen bawah RM40,000 untuk “si hati keras”

TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia ‘gerun’ apabila mendengar nama Citroen.

Jenama syarikat asal Perancis ini bukan sahaja ‘terkenal’ dengan harga kenderaan agak ‘kayangan’ malah, alat ganti juga didakwa sukar ditemui di pasaran negara ini.

Bagaimanapun, jangan bimbang atau gusar jika anda berminat memiliki kenderaan jenama Citroen.

Ini kerana walaupun kebanyakan harga kenderaan baharu jenama ini boleh dikatakan tinggi namun, ia tidak begitu mahal bagi unit terpakai.

Tak percaya

Berikut beberapa model Citroen yang Engear berjaya temui dengan harga kurang RM40,000!

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen Berlingo

Model ini merupakan antara produk paling unik yang pernah dihasilkan Citroen.

Sekali imbas ia kelihatan seperti sebuah van namun, apa yang membezakan ia mempunyai tingkap seperti kereta.

Mempunyai enjin 1.4 liter, Berlingo kebiasaannya digunakan sebagai kenderaan syarikat bagi membawa muatan ringan.

Menerusi pencarian Engear di laman Mudah.my, sebuah Berlingo boleh didapati serendah RM6,450 sahaja!

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen Evasion

Anda yang mempunyai keluarga besar mungkin boleh mendapatkan sebuah model Evasion.

Selain mempunyai ruang dalaman agak luas, ia juga didatangkan dengan enjin 2.0 liter (16 valve).

Setakat ini, sebuah Citroen Evasion terpakai tahun 2002 yang kami temui ditawarkan pada harga RM9,500.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen Xsara

Penghasilan Citroen Xsara bermula sejak tahun 1997 sehingga 2006.

Xsara antara produk Citroen paling laris seluruh dunia dengan lebih 3,364,000 unit telah dihasilkan.

Jika anda berminat memiliki sebuah Xsara second maka jangan risau kerana harganya boleh didapati di pasaran pada harga serendah RM15,000.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen C4 Grand Picasso

C4 Grand Picasso mempunyai tujuh empat duduk dengan tiga barisan kerusi.

Apa yang menarik dengan model ini adalah ia sangat kompak walaupun merupakan kenderaan multi purpose vehicle (MPV).

Harga bagi sebuah C4 Grand Picasso tahun 2010 adalah sekitar RM17,900.

Bagaimanapun, tidak mustahil masih ada pemilik menawarkan harga lebih rendah. Rajinkan diri anda untuk mencarinya ya!

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen DS4

Penghasilan model DS4 merupakan salah satu usaha Citroen kembali menyinar seperti zaman kegemilangannya sebelum ini.

DS4 dihasilkan dengan reka bentuk menarik selain didatangkan dengan enjin yang lebih berkuasa.

Model ini mempunyai dua versi enjin iaitu 1.6L atau 2.0L.

Di Malaysia, Engear berjaya menemui sebuah DS4 tahun 2013 pada harga RM29,999.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen C4

C4 keluaran Citroen ini mempunyai kelebihan tersendiri.

Ia merupakan sebuah kereta dalam segmen C dan sistem mekanikalnya sama dengan model Peugeot 308.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan bumbung panaromic roof.

Hasil pencarian Engear di Mudah.my berjaya menemui sebuah C4 berharga RM24,888.

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Citroen DS3

DS3 mempunyai reka bentuk menarik dan ramai menganggap ia lebih menawan berbanding model Mini Cooper.

Ia dihasilkan bermula tahun 2009 sehingga 2019.

Sebuah DS3 terpakai dianggarkan sekitar RM39,900.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kesemua model Citroen disenaraikan di atas sila saksikan video “Kereta Citroen Untuk Roy Bawah RM40k” di channel YouTube Engear.

Chiow!