Citroën C3 Aircross Marine Nationale sempena ulang tahun ke-400 Tentera Laut Perancis
Citroën memperkenalkan sebuah model konsep unik dikenali sebagai Citroën C3 Aircross Marine Nationale sempena ulang tahun ke-400 Marine Nationale atau Tentera Laut Perancis.
Model pameran (show car) itu dibangunkan menerusi kerjasama antara Citroën dan Marine Nationale.
Ia menggabungkan elemen SUV lasak dengan inspirasi daripada dunia maritim serta operasi ketenteraan laut.
Menurut Citroën, projek tersebut menjadi simbol kepada nilai yang dikongsi kedua-dua organisasi seperti semangat berpasukan, perlindungan dan komitmen kepada perkhidmatan awam.
Sementara itu, kepada yang tertanya mengenai perkembangan Citroën di pasaran tempatan, jenama di bawah Kumpulan Stellantis ini tidak lagi aktif namun mungkin ada sesuatu yang menarik.
SUV bergaya coupé, Citroën Basalt yang dipasang di India telah dilancarkan di Indonesia pada Julai 2025 dan terdahulu terdapat makluman yang mengatakan model ini bakal dibawa masuk ke Malaysia.
C3 Aircross Dipilih Sebagai Platform Konsep
Citroën memilih C3 Aircross sebagai asas pembangunan model konsep ini kerana karakter SUV yang praktikal dan serba guna.
SUV kompak itu mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang dalam panjang keseluruhan 4.40 meter.
Model ini ditawarkan dengan pelbagai pilihan rangkaian kuasa dan direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup aktif.
Melalui projek ini, Citroën mahu menunjukkan bagaimana sebuah SUV keluarga boleh diadaptasi untuk kegunaan yang lebih mencabar.
Rekaan Luaran Bertemakan Dunia Maritim
Bampar hadapan dan belakang direka semula bagi memberikan penampilan lebih kukuh dan tahan lasak.
Lampu kabus menerima penutup berjeriji yang diinspirasikan daripada lampu komunikasi kod Morse yang digunakan pelaut untuk berhubung antara kapal.
Arca roda yang lebih lebar pula menyerlahkan imej lebih sasa dan meningkatkan penampilan lasak model konsep tersebut.
C3 Aircross Marine Nationale menggunakan rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar knobbly selebar 275mm bagi membolehkan ia bergerak di pelbagai jenis permukaan.
Rak Bumbung Khas Untuk Peralatan Penyelam
Pada bahagian bumbung, Citroën memasang rak khas yang direka untuk membawa beg serta peralatan penyelam Tentera Laut Perancis.
Rak tersebut menampilkan corak herringbone yang merujuk kepada lencana pangkat anggota Marine Nationale seperti second master dan quartermaster.
Komponen itu turut menerima kemasan cat ultra tahan hentakan bagi menghadapi penggunaan dalam persekitaran mencabar.
Cangkuk tunda turut direka menyerupai cleat tambatan kapal, manakala tali berwarna Infra Red menggantikan Colour Clips standard Citroën.
Skema Warna Khas Sempena Ulang Tahun Ke-400
Bahagian badan menggunakan warna biru gelap yang diinspirasikan daripada lautan.
Bumbung pula menerima kemasan kelabu yang merujuk kepada warna badan kapal tentera laut.
Bahagian atas menggunakan warna kelabu cerah berkilat yang menggambarkan buih ombak di belakang kapal serta suasana langit pesisir pantai.
Sebagai identiti khas ulang tahun ke-400 Marine Nationale, Citroën memasang pelekat 400 years of the Marine nationale pada ambang pintu.
Tiang belakang pula dihiasi lambang bulat tiga warna Perancis bersama simbol sauh yang mengukuhkan identiti maritim model konsep tersebut.
Kabin Diinspirasikan Suasana Dalam Kapal Selam
Tema maritim diteruskan ke ruang dalaman menerusi penggunaan warna Infra Red pada logo Citroën dan bahagian tengah stereng.
Ketika waktu malam, kabin diterangi pencahayaan merah yang diinspirasikan daripada sistem lampu digunakan dalam kapal selam.
Sistem tersebut membantu kru mengekalkan orientasi siang dan malam ketika bertugas di bawah permukaan laut.
Fabrik kelabu cerah pada bahagian atas tempat duduk direka khas untuk memantulkan cahaya merah tersebut, sekali gus menghasilkan suasana kabin yang lebih imersif.
Kusyen tempat duduk turut menerima corak timbul bagi meningkatkan tahap keselesaan.
Logo 400 years diperbuat daripada PVC dipasang pada tempat duduk hadapan sebagai simbol sambutan ulang tahun Marine Nationale.
Papan pemuka pula menerima kemasan jalur biru, putih dan merah yang merujuk kepada warna bendera Perancis, sekali gus melengkapkan identiti eksklusif C3 Aircross Marine Nationale.



























