Pelumba muda Naquib Azlan dan Amer Harris yang mewakili pasukan Wing Hin Motorsports telah berjaya meraih kedudukan kedua dalam perlumbaan Thailand Super Series kelas GT4, biarpun membuat kemunculan kali pertama dalam siri tersebut.
Jentera Toyota GR Supra GT4 yang digunakan oleh dua pelumba itu merupakan antara yang terpantas di kalangan empat GR Supra GT4 dalam kelas tersebut.
Pasangan pelumba Naquib dan Amer berjaya menghabiskan perlumbaan satu jam dengan perbezaan 4.5 saat di belakang juara Mercedes-AMG GT dan mengalahkan dua jentera Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport.
Menurut Naquib, “mendapat tempat kedua masih lagi merupakan keputusan yang kuat buat kami berdua serta pasukan. Masih banyak lagi potensi yang perlu diteroka pada jentera baru ini, namun kami gembira dapat mencari garis dasar yang baik untuk bermula, dan berjaya mendapat kedudukan podium di tanah air, Malaysia.
“Matlamat kami adalah untuk mencapai kedudukan teratas, dan kami berhasrat untuk ke arah itu secara beransur-ansur.
Daripada dua perlumbaan pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, satu daripadanya terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca basah yang ekstrem.
Pusingan 4 Thailand Super Series akan kembali dianjurkan di Malaysia pada 6-8 September ini dengan tiga perlumbaan dijadualkan pada hujung minggu tersebut.
Menurut Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh berkata, “ini merupakan perlumbaan pertama yang kami sertai, dan masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, serta data yang boleh dikumpul dan dinilai.
“Kedua-dua pelumba kami percaya mereka mampu berikan yang lebih baik. Kami berharap agar dapat kembali lebih kuat dalam tiga perlumbaan seterusnya.
Wing Hin Motorsports yang sebelum ini pernah memenangi Sepang 1000KM Endurance Race turut bertanding dalam kelas Super Compact Thailand Super Series.
Peralihan kepada kelas perlumbaan GT4 bukan sahaja selari dengan matlamat untuk bersaing pada tahap yang lebih tinggi, malah ia juga mampu membantu membangun dan menyediakan peluang kepada pelumba muda Malaysia untuk bersinar di peringkat antarabangsa.
UMW Toyota Motor (UMWT) mencapai prestasi jualan yang kukuh pada Julai tahun ini dengan lebih 9,000 unit terjual.
Menurut syarikat itu, pencapaian terbaru ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan setakat tahun ini (Januari hingga Julai) kepada lebih 55,800 unit.
Menggunakan momentum ini, UMWT telah memperluas barisan Lexus menerusi pengenalan dua model menarik bulan lalu iaitu Lexus RZ 450e, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama, dan SUV hibrid entry-level iaitu Lexus LBX.
Menerusi pelancaran tersebut, UMWT memperdalam fokus mereka dengan kempen “More than Electric” dan menyerlahkan dedikasinya terhadap strategi elektrifikasi yang luas yang merangkumi kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya.
Melalui inisiatif ini, Lexus Malaysia mentakrifkan semula kemewahan dengan fokus ke arah masa depan yang mampan dan elektrik.
Datuk Ravindran K., Presiden UMWT berkata prestasi jualan pada Julai adalah bukti pendekatan strategiknya dan kepercayaan yang diberikan pelanggan kepada jenama itu.
“Kami komited untuk berterusan memberikan nilai luar biasa dan penyelesaian mobiliti inovatif yang memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan pengalaman pembelian, UMWT memperkenalkan promosi “Discover Merdeka Exclusives” untuk bulan Ogos 2024.
Pelanggan boleh menikmati pelbagai penjimatan, termasuk promosi bernilai sehingga RM8,000 untuk Corolla Cross Hybrid Electric, dengan ansuran bulan bermula dari RM1,058.
Selain itu, program Toyota Service Savers menawarkan ansuran bulan bermula serendah RM31.
UMWT juga akan meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dengan acara bertemakan patriotik Merdeka Showroom Weekender pada 17 dan 18 Ogos, di semua bilik pameran Toyota di seluruh negara.
JIKA anda membesar pada lewat 90-an dan awal 2000, anda pasti pernah ternampak Fiat Ulysse. Ia salah satu MPV saiz sederhana yang popular di negara kita pada masa itu selain Toyota Estima, Nissan Serena, dan Honda Odyssey.
Penulis sendiri masih ingat di taman perumahan tempat penulis membesar dahulu ada satu keluarga ini memiliki Fiat Ulysse berwarna biru.
Penulis cukup tertarik dengan rekaan unik padanya, sebagai contoh rak bumbungnya sedikit berbeza dari model-model pesaingnya. Ia mempunyai dua bar melintang berwarna perak, tidak seperti kelaziman yang mempunyai dua rel hitam memanjang dari depan ke belakang. Mungkin ini reka bentuk Eropah.
MPV citarasa Eropah
Fiat Ulysse sebenarnya mempunyai beberapa generasi, tetapi yang kita hendak sembang hari ini ialah generasi pertama yang dikeluarkan dari 1994 hingga 2002.
Ulysse direka untuk menggabungkan praktikaliti sebuah wagon dan keselesaan sebuah sedan. Ia mempunyai bentuk bersegi, cermin depan yang besar, dan dua pintu belakang gelungsur. Menariknya, rel gelungsur ini disorok, memberikan permukaan kemas di bahagian sisi.
Pintu but belakang juga cukup besar dengan ‘bibir’ yang rendah untuk memudahkan barangan dimasukkan atau dikeluarkan.
Ia mempunyai stereng berkuasa, sistem ABS pada beberapa varian, dan tempat duduk pemandu yang sedikit tinggi untuk kemudahan pengendalian.
Ruang dalaman direka untuk ruang dan praktikal. Konsol tengah dengan bentuk seperti pulau yang menempatkan kawalan pendingin hawa dan tombol gear. Posisi tombol gear ini juga ditempatkan di sini agar pemandu dapat meminimakan pergerakan tangan semasa memandu.
Pilihan enjin petrol dan diesel
Fiat Ulysse didatangkan dengan enjin petrol (1.8, 2.0, dan 2.0 turbo) dan diesel (1.9 turbo, 2.0, dan 2.1 turbo). Tetapi mengikut kajian ringkas penulis, Ulysse yang memasuki pasaran Malaysia pernah ditawarkan dengan 2.0-liter petrol dan 1.9-liter diesel turbo.
Faceflit pada 1999
Pada 1999, pasaran minivan/MPV di Eropah semakin perlahan, tetapi trend ini masih rancak di Asia dan Malaysia. Jadi, model facelift diteruskan pada 1999.
Muka depan Ulysse diperbaharui dengan permukaan yang lebih melengkung dan lembut, tiada lagi muka rata dan lampu depan petak seperti Iswara.
Lampu depannya yang sedikit gelap atau smoked, ciri ini juga ada pada model-model Fiat yang lain pada masa itu. Gril juga diubah dengan logo Fiat lebih kecil di tengah.
Kemudian cladding di sekeliling badan diubah dengan warna badan, nampak lebih premium berbanding cladding kelabu sebelumnya.
Bahagian dalam tidak banyak berubah berbanding keluaran sebelumnya, walaupun terdapat penggunaan bahan-bahan lebih baik dan rekaan tulisan lebih menarik dalam kluster instrumen.
Sama seperti sebelumnya, Ulysse masih mampu menempatkan tujuh penumpang dengan dua pintu depan dan dua pintu gelungsur belakang.
Enjin 2.0-liter diesel turbo mula ditawarkan pada model facelift pada Januari 2001 hasil pembangunan bersama rakan-rakan niaga Fiat.
Ada kembar Citroen dan Peugeot
Tetapi tahukah anda, Fiat Ulysse mempunyai kembar dari Citroen dan Peugeot? Kembar-kembar Ulysse adalah Citroen Evasion dan Peugeot 806, kesemua Eurovan ini mempunyai perbezaan yang sangat minima.
Harus diketahui ini bukanlah disebabkan rebadge seperti Proton Wira yang diambil dari Mitsubishi Lancer, tetapi lebih kepada model yang dibangunkan bersama. Sebagai contoh Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize atau Toyota GR86/Subaru BRZ.
Citroen Evasion dan Peugeot 806 juga pernah ditawarkan untuk pasaran Malaysia, penulis masih ingat pernah ternampak model-model ini dan hairan apabila melihat ianya bukan Fiat. Pada masa itu belum faham konsep rebadge dan pembangunan bersama.
Di pasaran Eropah, ada kembar tambahan, iaitu Citroen Synergie dan Lancia Zeta. Tak habis lagi rupanya!
Pernah popular di pasaran terpakai Malaysia
Selepas tamat pengeluarannya, Fiat Ulysse ini mula membanjiri pasaran kenderaan terpakai. Apabila penggunaan internet mula meluas, Fiat Ulysse juga menjadi antara MPV yang dicari di laman web seperti Mudah.my.
Sudah tentu, memandangkan ia model jenama Eropah, harganya susut agak drastik. Ada yang dijual pada harga sekitar RM7,000, malah ada yang dijual bawah RM5,000. Bayangkan jika ini MPV jenama Jepun, mesti harganya kekal pada julat RM15,000 hingga RM20,000.
Tetapi pemilik sebelumnya pasti golongan berkemampuan yang tidak begitu terkesan dengan susut nilai kenderaan ini.
Pemilik baharu pula jenis yang berani meminang janda-janda Eropah yang masih cantik dan sedap dipandu, cuma dibayangi kos penyelenggaraan yang boleh membuatkan anda demam.
Jika pemilik itu kenal bengkel pakar jenama Continental, sepatutnya tiada masalah besar.
Semakan gaji perkhidmatan awam yang akan datang bakal menguntungkan sektor automobil kerana 1.5 juta penjawat awam akan mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dan lebih mudah menerima kelulusan bank, kata AmInvestment Bank.
Oleh itu, bank pelaburan itu telah menyemak ke atas jumlah volum industri (TIV ) pada 2024 kepada 750,000 berbanding 740,000 sebelum ini.
“Gaji yang lebih tinggi secara automatik bermakna nisbah keberhutangan yang lebih baik dan kami percaya pembiaya pinjaman kereta dengan senang hati akan meluluskan pemohon pinjaman baharu.
“Kami yakin Perodua serta Proton akan menikmati permintaan yang lebih besar memandangkan mereka merupakan jenama paling popular dalam kalangan penjawat awam,” katanya menerusi laporan kemas kini sektor tersebut hari ini, sambil menambah jenama lain mungkin tidak terlalu terkesan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa gaji penjawat awam akan dinaikkan sebanyak 15 peratus kepada 43 peratus menjelang penghujung tahun 2024. Butiran akhir akan diumumkan menjelang 16 Ogos depan.
AmInvestment Bank berkata penerima manfaat utama ialah MBM Resources (yang memiliki 20 peratus dalam Perodua), Sime Darby (yang menguasai Perodua sebanyak 38 peratus) dan DRB HICOM yang mempunyai 50 peratus kepentingan dalam Proton.
Ia juga menaikkan unjuran pendapatan MBM Resources bagi tahun kewangan 2024 kepada tahun kewangan 2026 masing-masing sebanyak 3.0 peratus, 5.2 peratus dan 3.7 peratus, berdasarkan jangkaan semakan gaji kakitangan awam yang bakal melonjakkan jualan kereta terutama bagi segmen kereta mampu milik iaitu model Perodua Axia dan Bezza.
Bank telah mengekalkan saranan “Neutral” pada sektor itu tetapi dengan kecenderungan menaik.
SELEPAS melancarkan pusat pergudangan bahagian baru (RPC) di Sarawak pada tahun lalu, Proton kini membuka satu lagi kemudahan serupa, kali ini di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut pengeluar kereta nasional itu, pembukaan RPC baharu ini mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30% berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran daripada Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) serta alat ganti yang diperoleh melalui penghantaran terus dari luar negara.
Proton juga berkata RPC baharu ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negeri Sabah yang merupakan negeri ketiga tertinggi untuk penjualan kenderaan Proton di Malaysia.
Terletak di kawasan komersial di Inanam, RPC terbaru itu mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki persegi, iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya. Ia boleh menerima sebanyak enam kontena alat ganti di lokasi secara serentak berbanding dengan dua kontena sebelum ini.
Kemudahan ini kini boleh memproses purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama tiga bulan. Dengan lebih banyak ruang penyimpanan untuk alat ganti, masa penghantaran ke pengedar dan pelanggan dapat dikurangkan.
Dengan dua RPC di Malaysia Timur, Proton boleh mengendalikan sehingga 28 kontena dari Malaysia Barat dan luar negara setiap bulan, meningkat daripada 24 kontena sebulan sebelum ini.
PPCSB juga telah melancarkan sistem pengurusan gudang (WMS) baru di semua lokasi awal tahun ini. Ia membolehkan kapasiti penghantaran harian di RPC terbaru meningkat sebanyak 66% kepada 300 baris pada bulan Julai daripada 180 baris sebelumnya, dengan kapasiti maksimum 400 baris dijangka dicapai menjelang September.
Ruang tambahan membolehkan pengagihan 8,500 bakul untuk menyimpan alat ganti, meningkat dari 5,000 bakul di fasiliti sebelumnya. Hasilnya, nilai stok dijangka meningkat sebanyak 1.5 kali ganda kepada RM9 juta menjelang Disember 2024, meningkat daripada RM5.8 juta setahun sebelumnya.
Dalam pada itu, Proton berkata pegangan pasarannya di Sabah telah meningkat secara berterusan daripada 10% pada 2018 kepada 25.9% pada 2023 dan kini berada pada 27.4% setakat ini untuk tahun 2024.
Pada tahun 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang 15.8% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat. Model paling laris adalah Proton Saga dengan 13, 700 unit, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan Proton X50 dengan 2,955 unit.
CHERY Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV kompak mereka, Omoda 5 telah mendapat penarafan 5-bintang dalam penilaian New Car Assessment Programme for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP).
Penilaian ASEAN NCAP terkini merangkumi empat aspek utama iaitu Adult Occupant Protection (AOP) meliputi 40 mata, dan Child Occupant Protection (COP), Safety Assist Technology (SA), serta Motorcyclist Safety (MS) masing-masing menyumbang 20 mata.
Chery Omoda 5 mendapat 88.64 mata keseluruhan, melayakkannya menerima penarafan 5-bintang.
Pemarkahan terperinci adalah seperti berikut:
Adult Occupant Protection (AOP): 36.77 mata
Child Occupant Protection (COP): 17.36 mata
Safety Assist (SA): 19.51 mata
Motorcyclist Safety (MS): 15.00 mata
Chery Omoda 5 juga cemerlang untuk ujian Frontal Impact, Side Test Impact, Pedestrian Protection Test, dan Blind Spot Detection Assessment.
“Mencapai penarafan ASEAN NCAP ialah bukti kepada komitmen berterusan kami terhadap keselamatan, inovasi, dan paling penting kepada pelanggan kami,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.
“Penarafan ini bukan sekadar lencana kebanggaan, ianya janji untuk pelanggan kami bahawa Omoda 5 dibina dengan keselamatan sebagai keutamaan tertinggi.”
Pusingan pertama musim ketujuh Toyota Gazoo Racing Vios Challenge yang baru sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu mempunyai ‘ramuan’ yang mencukupi untuk menghasilkan perlumbaan hujung minggu yang lebih dramatik.
Selain daripada debut jentera lumba Vios generasi baharu buat pertama kali, ia juga turut menjadi medan perlumbaan dengan keadaan cuaca basah dan kering, pertembungan adik beradik, penyertaan pelumba antarabangsa buat pertama kali dan kebangkitan dominasi pelumba muda.
Pusingan pertama menyaksikan sejumlah 33 buah jentera bertempur menggunakan format perlumbaan satu jam yang mencabar dan berbeza berbanding musim terdahulu di mana pelumba hanya perlu melakukan perlumbaan pecut dalam tempoh yang lebih singkat.
Kelas Super Sporting menyaksikan pelumba Axle Sports, Naquib Azlan muncul sebagai juara keseluruhan untuk pusingan pertama, membawa pulang hadiah RM16,000.
Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing berada di tempat kedua dan Tengku Djan Ley (TD Racing) di tempat ketiga.
Dalam Kelas Sporting untuk pelumba amatur, Kenneth Koh dari PCM Group Racing Team muncul sebagai juara keseluruhan setelah memperbaiki kedudukan pada perlumbaan kedua.
Shafiq Shamsudin (Race Rally KL) yang muncul juara pada perlumbaan pertama nampaknya bertukar kedudukan dengan Kenneth Koh pada perlumbaan kedua, sekaligus meraih tempat kedua secara keseluruhan.
Sementara Teo Hong Zhou (BAE Racing by ES Yang) berada di tempat ketiga, setelah meraih kedudukan keempat pada perlumbaan pertama dan kedudukan kedua pada perlumbaan kedua.
Kelas Rookie yang menampilkan barisan pelumba muda menghasilkan keputusan perlumbaan kedua yang sama seperti perlumbaan pertama, di mana pelumba go kart pro Adam Mikail meraih tempat pertama dua kali berturut-turut sepanjang hujung minggu yang lalu.
Prestasi Adam dilihat melangkaui jangkaan sebagai pendatang baharu, memandangkan beliau dapat menghabiskan perlumbaan lebih awal berbanding pemenang kelas Sporting, dengan kedudukan di tangga kesepuluh secara keseluruhan dalam grid 33 buah kereta.
Musim ketujuh Toyota Gazoo Racing Vios Challenge turut menyaksikan penyertaan tiga pelumba muda, iaitu pro karter Audrey Leong (17 tahun), pelumba simulasi Raja Amirul (21 tahun) dan recreational karter Kingston Tan (19 tahun).
Pusingan kedua Vios Challenge akan berlangsung pada 27 hingga 29 September ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Perkataan rebadge mempunyai konotasi yang cukup buruk dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Bagi golongan ini, rebadging atau pelencanaan semula adalah satu amalan hina yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana syarikat yang mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan terkemuka.
Tetapi mereka tidak tahu bahawa rebadge mempunyai kelebihan tertentu yang boleh membantu syarikat itu berkembang dalam peringkat awal perniagaannya.
Kelebihan utama rebadge adalah ia membantu syarikat menjimatkan kos R&D. Membangunkan sesebuah kenderaan dari awal menelan belanja yang amat tinggi dan tidak semua jenama, terutamanya yang baharu, berani berbuat demikian kerana tidak mahu berdepan risiko kerugian besar.
Jadi melalui proses rebadge, syarikat bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan R&D, malah dapat menjual produk mereka pada harga lebih mampu milik untuk pasaran sasaran mereka.
Bagi Proton, inilah jalan yang telah diambil sejak mula ditubuhkan pada 1983. Dengan Mitsubishi sebagai rakan teknikalnya pasa masa itu, pengeluar kenderaan nasional itu akhirnya melancarkan kereta pertamanya iaitu Proton Saga dua tahun selepas penubuhannya.
Sedar tak sedar, rupanya sudah hampir 40 tahun berlalu sejak kereta pertama Proton itu diperkenalkan. Hari ini, Proton secara teknikalnya masih lagi rebadge kereta dari pengeluar lain cuma penglibatannya dalam keseluruhan proses lebih mendalam.
Bagi mengimbas semula kenangan, jom lihat tujuh kereta rebadge Proton yang paling ikonik pernah ditawarkan:
Saga
Kereta yang memulakan segala-galanya buat Proton. Dilancarkan oleh Tun Mahathir, Saga dibina berasaskan Mitsubishi Lancer Fiore dan dijual sehingga 1992 sebelum digantikan oleh Saga Iswara. Ia kini dalam generasi ketiga yang dibangunkan menggunakan platform Proton sendiri.
Wira
Wira merupakan model rebadge kedua dari Proton yang dikeluarkan selama 16 tahun dari 1993 hingga 2009. Dibangunkan berdasarkan Lancer tahun 1991, ia boleh didapati dalam bentuk sedan empat pintu atau hatchback lima pintu yang dikenali sebagai Aeroback. Ia mempunyai beberapa versi menarik seperti 1.8 EXI Limited (C99) dan Sembilu.
Satria
Model generasi pertama Satria dikeluarkan dari 1994 hingga 2006 dengan menggunakan Mitsubishi Mirage Cyborg sebagai asas. Hatchback ini telah melahirkan dua model berprestasi yang ditala oleh Lotus iaitu Satria GTi dan Satria R3. Ia digantikan oleh Satria Neo yang dijual sehingga 2015.
Putra
Foto: Wikipedia
Siapa sangka, jenama yang baru bertapak sudah berani menghasilkan coupe? Dibina menggunakan asas Mitsubishi Mirage Asti, Putra hanya boleh didapati dengan enjin 1.8L 4G93P yang turut digunakan oleh Wira 1.8 EXI Limited dan Satria GTi.
Arena
Foto: wheel-size.my
Juga dikenali sebagai Jumbuck di pasaran luar negara, Arena secara asasnya adalah Wira yang telah dipotong dan disambungkan dengan ruang kargo seperti trak pikap. Ia boleh didapati dalam tiga varian iaitu Freestyle, Sportdeck dan Fastback, setiap satu dengan spesifikasi berbeza bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.
Juara
Foto: Facebook ProtonPro
Satu lagi model rebadge yang dihasilkan dengan kerjasama Mitsubishi, Juara merupakan van mikro yang menggunakan Mitsubishi Town Box Wide sebagai asas. Ia dipasarkan sebagai kenderaan gaya hidup namun sambutan yang diterima hambar menyebabkan Proton menghentikan jualannya pada 2004, iaitu hanya tiga tahun selepas dilancarkan.
X70
Dilancarkan pada penghujung 2018, X70 merupakan model penting dalam lembaran sejarah Proton kerana ia merupakan produk pertama yang terhasil selepas penggabungan dengan Geely, serta SUV pertama bagi Proton. Ia dilihat sebagai model yang bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan pelanggan terhadap pengeluar kenderaan nasional itu.
JAECOO Malaysia secara rasminya telah menyerahkan 500 unit Jaecoo J7 yang pertama kepada para wakil pengedar.
Syarikat itu berkata, ia telah bekerja keras sepanjang tempoh tujuh bulan lepas untuk memantapkan ekosistem dan rangkaian kendiri, dan akhirnya menjayakan pelancaran rasmi SUV itu pada pertengahan Julai lalu.
Tiga minggu selepas pelancaran, jenama kini memenuhi janjinya untuk menyerahkan kelompok pertama SUV J7 pada suku ketiga tahun ini, iaitu dalam tempoh masa yang dijadualkan.
“Kami amat teruja untuk menyerahkan 500 unit pertama SUV J7 kami dan sudah tentu seronok untuk memberi peluang kepada pelanggan memandu SUV kegunaan lasak premium terhangat di Malaysia,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
500 unit J7 yang diserah kepada wakil pengedar merupakan varian pacuan semua roda (AWD). Manakala, kelompok J7 seterusnya yang akan diserahkan pada bulan September kelak akan terdiri daripada varian pacuan dua roda (2WD).
Jaecoo J7 dijual pada harga RM148,800 bagi varian AWD, dan RM138,800 bagi 2WD, meletakkannya sebagai pencabar utama dalam kategori SUV segmen C, iaitu sebagai sebuah jenama mewah yang mampu dimiliki.
“Tumpuan kami ialah untuk mengekalkan momentum kukuh bagi memenuhi pesanan yang dibuat untuk J7 pada bulan-bulan akan datang. Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa rangkaian kami bersedia untuk membawakan pengalaman pelanggan premium yang berpegang kepada falsafah jenama “From Classic, Beyond Classic” Jaecoo, dari saat penyerahan kenderaan kepada perkhidmatan lepas jualan,” kata Naib Persiden JAECOO Malaysia, Emily Lek.
Kedua-dua varian Jaecoo J7 disediakan dengan waranti tujuh tahun/150,000 km, sebagai bukti keyakinan jenama tersebut terhadap inovasi dan kualitinya.
Para pelanggan disokong oleh rangkaian pengedar yang meliputi 35 lokasi di seluruh negara, sebuah kilang pengeluaran terkhusus dan gudang alat ganti tulen Jaecoo, untuk memastikan sokongan lepas jualan yang pantas dan lancar.
SEPERTI industri-industri lain, industri automotif telah mendapat banyak manfaat daripada kemajuan teknologi. Dari dahulu hingga ke hari ini, kepelbagaian inovasi yang dibawa ke hadapan oleh para pengeluar telah menjadikan pemanduan semakin efisien, seronok dan selamat.
Namun ketika syarikat-syarikat kereta berlumba-lumba memperkenalkan teknologi terkini kepada pengguna, tidak dinafikan ada di antara rekaan yang dihasilkan tidak membawa sebarang kelebihan kepada pemanduan, malah menyusahkan serta mengganggu tumpuan pemandu.
Pada pendapat penulis, ini adalah tujuh ciri kereta yang paling tidak berguna:
Integrasi aplikasi pemesejan
Sistem seperti Apple CarPlay dan Android Auto sangat berguna jika anda inginkan akses cepat ke aplikasi navigasi seperti Waze dan penstriman muzik seperti Spotify. Tetapi fungsinya tidak terhad setakat itu sahaja – ia juga boleh membaca dan membalas mesej yang anda terima dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram menerusi arahan suara. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.
Arahan suara
Fungsi arahan suara direka untuk membantu pemandu mengawal fungsi-fungsi tertentu kereta tanpa perlu menggunakan tangan. Bunyi macam bagus tetapi berdasarkan pengalaman penulis, ada sistem arahan suara yang sukar mengenal pasti dialek Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pemandu Malaysia, jadi keseluruhan proses menjadi lebih rumit dan akhirnya, pemandu tidak dapat menumpukan perhatian.
Kawalan gestur
Ini satu lagi ciri yang tidak ada kegunaan sebenar selain menjejaskan tumpuan pemandu di jalan raya. Fungsi sistem ini sama sahaja dengan arahan suara tetapi ia tidak menggunakan suara, sebaliknya pergerakan tangan untuk melakukan kerja-kerja mudah seperti menguatkan atau memperlahankan radio atau menerima panggilan. Apa salahnya guna butang dan tombol yang dah disediakan?
Meter daya G
G-Force (G untuk graviti) ialah ukuran pecutan, yang dicipta apabila objek memecut, memperlahankan atau menukar arah. Di dalam pesawat, meter daya G penting supaya juruterbang tahu yang mereka tidak melangkaui batasan semasa membuat penerbangan. Di dalam kereta? Ia hanya digunakan untuk menunjuk-nunjuk sama sesi track day.
Pengecas tanpa wayar
Kebanyakan, kalau bukan semua, kenderaan masa kini didatangkan dengan port pengecas USB Type A dan Type C bagi membolehkan penumpang mengecas peranti mereka ketika berada di dalam kereta. Kabel sudah cukup baik untuk pengecasan namun kabin boleh menjadi agak berselerak. Oleh itu, pengeluar mula meletakkan pengecas tanpa wayar di dalam kabin. Bagus cuma ia mengambil masa yang lama untuk mengecas dan selalunya, telefon akan menjadi panas.
Auto Start/Stop
Foto: bestride.com
Sistem ini direka khas untuk menjimatkan penggunaan bahan api namun cara ia beroperasi sangat mengganggu pemanduan, terutamanya ketika memandu di dalam trafik yang agak sesak. Malah, perkara pertama yang penulis lakukan apabila mengambil kereta pandu uji adalah dengan memadamkan fungsi ini. Berapa banyak sangat petrol yang dapat dijimatkan dengan sistem ini? Belum lagi sentuh bab wear and tear.
Pendingin hawa yang boleh dikawal menerusi skrin sentuh
Semakin lama, jumlah butang dan tombol fizikal yang digunakan di dalam kereta semakin berkurangan. Semua fungsi kini disepadukan di dalam sistem infohibur dan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh. Pendekatan ini memang berkesan dalam menghasilkan kabin yang lebih kemas tetapi sebagai pemandu, fungsi-fungsi tertentu seperti pendingin hawa masih memerlukan kawalan secara fizikal bagi membolehkan kami mengekalkan tumpuan di jalan raya.
VOLVO Car Malaysia (VCM) nampaknya akan melancarkan EX30 tidak lama lagi. Tempahan telah dibuka, dan anda yang berminat boleh mula mendaftar di laman khas baru dibuka.
Volvo EX30 ialah kenderaan elektrik (EV) kompak generasi baharu dari pengeluar Sweden itu. Ia mempunyai ukuran 4,223mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dan jarak roda 2,650mm.
Bergantung kepada varian, SUV ini dibekalkan dengan bateri nikel manganese kobalt (NMC) berkapasiti 69kWh. Ia boleh dicas menggunakan AC 11kWh (7.5 jam) atau DC 153kW (26.5 minit dari 10 hingga 80 peratus).
Belum dapat dipastikan lagi varian mana yang pasaran Malaysia akan dapat, tetapi EX30 didatangkan dengan tiga pilihan konfigurasi motor.
Core Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range masing-masing dengan satu motor elektrik di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm, dan jarak pemanduan 480km.
Varian lebih tinggi ialah Ultra Twin Motor Performance dengan dua motor elektrik, dan output 422hp dan 543Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, iaitu 460km mengikut kitaran WLTP.
Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.
EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.
Berminat dengan SUV elektrik terbaharu Volvo? Anda boleh daftarkan minat di pautan ini.
Motosikal baharu dengan kapasiti enjin 150cc dan ke atas yang dijual di negara ini mestilah dilengkapi dengan Anti-lock Braking System (ABS) bermula 1 Januari 2025. Perkara ini dinyatakan oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS).
Menurut laporan oleh The Star, keperluan mandatori itu susulan kajian dua tahun oleh Kementerian Pengangkutan bagi menangani pertambahan kematian membabitkan motosikal.
“ABS mampu mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan motosikal sehingga 30 peratus. Ia membantu mengelakkan tergelincir supaya penunggang tidak hilang kawalan motosikal,” kata pengerusi MIROS, Dr Wong Shaw Voon.
Ditanya sama ada ABS boleh di-retrofit pada motosikal lama yang dibeli sebelum 1 Januari 2025, katanya ia bergantung kepada model.
Wong memberi peringatan kepada pemilik motosikal supaya tidak memasang ABS sekiranya ia tidak boleh dibuat.
Sistem ini menggunakan pengesan pada kedua-dua tayar untuk menentukan kelajuan roda dan memastikan roda tidak terkunci, dan pengesan ini bertindak 10 kali sesaat.
Ini meningkatkan kestabilan motosikal dan membenarkan penunggang mengawal dengan lebih baik jika tayar tidak tergelincir.
Pada masa ini, ABS hanya ditawarkan pada motosikal berkapasiti lebih besar seperti 400cc dan ke atas. Tetapi, terdapat juga motosikal antara 160cc hingga 200cc dilengkapi ABS.
Menurut angka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dijangkakan berlaku satu kematian setiap dua jam disebabkan oleh kemalangan motosikal di Malaysia.
Pada 2022, 6,080 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya seluruh negara. Tahun lepas, angka meningkat menjadi 6,443.
Pakar psikologi Malaysia Traffic and Road Safety, Prof Dr Rozmi Ismali menggariskan kenaikan kemalangan motosikal yang drastik dalam kalangan penghantar makanan sejak 2020.
“Kebanyakan mereka baru menamatkan sekolah, cari paling cepat mencari pendapatan pada masa ini ialah dengan menjadi penunggang penghantar makanan.
“Disebabkan masih muda, mereka cenderung menunggang laju dan melanggar undang-undang jalan raya kerana mahu membuat lebih banyak penghantaran dalam sehari,” katanya.
Rozmi mencadangkan penunggang penghantar makanan diberikan latihan keselamatan jalan raya tambahan.
Katanya, modul latihan sebegini mampu meliputi aspek mental dan emosional untuk menjadi penunggang motosikal yang lebih baik.
“Insentif juga boleh diberikan kepada syarikat-syarikat penghantaran dengan rekod keselamatan yang baik dari kalangan penunggang mereka,” tambahnya.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan model edisi istimewa Golf GTI Edition 50 yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-50 hatchback itu.
Ia dijual pada harga cadangan (RRP) RM267,990. Harga RRP itu termasuk Pakej Jaminan Volkswagen yang memberikan pemilik penyelenggaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
GTI Edition 50 boleh dibezakan dengan versi standard menerusi kit badan Oettinger, rim Pretoria 18 inci, perumah cermin sisi berwarna hitam, emblem eksklusif Edition 50 dan kemasan sisi sporty yang diinspirasikan daripada honeycomb signatur GTI.
Penampilan luarannya disempurnakan dengan filem penapis haba “Edition 50 VW” dan emblem “50” pada tiang B. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Oryx White dan Moonstone Grey.
Emblem itu juga boleh ditemui pada bahagian tengah stereng, bersama-sama dengan plat sisi aluminium dan karpet “Edition 50” pada bahagian depan.
Tiada sebarang perubahan pada trenkuasa. Enjin turbo 2.0-liter TSI yang dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan itu masih menghasilkan 245 PS dan 370 Nm tork.
Dari segi kelengkapan, GTI Edition 50 didatangkan standard dengan sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt dengan 10 unit pembesar suara, skrin sentuh Discovery Media 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital 10.25 inci.
Aspek keselamatan disokong oleh teknologi IQ.DRIVE dan sistem bantuan pemandu termaju seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan paparan head-up.
GTI diperkenalkan buat pertama kali pada acara Frankfurt Motor Show 1975. Selepas hampir lima dekad dan lapan generasi kemudian, nama GTI terus mengekalkan posisinya selaku hatchback paling diminati di seluruh dunia.
GTI Edition 50 akan dipamerkan dalam acara Golf Fan Fest yang diadakan pada 24 Ogos 2024 bertempat di North Paddock Litar Antarabangsa Sepang. Ia juga boleh dilihat secara dekat di pengedar-pengedar Volkswagen bermula 17 Ogos 2024.
EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan JomCharge, dan Gentari menjadi pihak pertama menerima lesen untuk pemasangan sistem pengecas EV awam di Sabah dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Lesen ECoS adalah setara dengan lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Semenanjung Malaysia dan adalah penting dalam memastikan pemasangan selamat yang mematuhi piawaian keselamatan untuk melindungi penggunaan awam.
EVC dan Gentari juga merupakan pengendali poin pengecas pertama di Semenanjung Malaysia yang dilesenkan oleh ST.
ECoS ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sejak 10 Januari 2023. Ia beroperasi sebagai pengawal selia rasmi bagi sektor tenaga dalam portfolio Ketua Menteri.
Matlamat utama ECoS adalah untuk memastikan tenaga yang selamat, mampan, mampu milik dan boleh diakses untuk negeri Sabah.
It memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga Sabah, mempromosikan amalan tenaga yang bertanggungjawab, dan menjaga kepentingan kedua-dua pengguna dan alam sekitar.
Sebelum majlis penyerahan lesen, ECoS telah menganjurkan sesi taklimat yang dihadiri oleh wakil daripada Bomba, pihak berkuasa tempatan, kontraktor pemasangan dan pengendali titik pengecasan EV (CPO).
“Gentari komited terhadap menyokong peralihan mobiliti hijau di seluruh Malaysia. Menjadi CPO pertama yang dilesenkan di Sabah dengan kerjasama EVC menggariskan fokus Gentari terhadap keselamatan, kebolehpercayaan dan tumpuan pelanggan dalam operasi kami,” kata Ketua Pegawai Operasi Gentari, Haikal Zubir.
“Kami amat berbesar hati untuk menjadi antara CPO yang pertama bersama Gentari untuk menerima lesen daripada ECoS. Keselamatan awam semasa mengecas sentiasa amat penting kepada kami dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan ECoS dalam memastikan perkara ini,” kata Pengarah Urusan EVC, Ir Lee Yuen How.
Dengan bilangan EV yang terus berkembang di Sabah, EVC dan Gentari komited untuk menyokong infrastruktur pengecasan EV Sabah yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut.
Ini selaras dengan agenda tenaga lestari sebagai inisiatif strategik yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju & Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 dan juga selaras dengan sasaran kerajaan persekutuan untuk mencapai 10,000 pengecas awam menjelang 2025.
Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.
“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.
“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.
Pada 20 Julai, 2023, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.
Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.
Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan penggantian kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) melibatkan kamera sedia ada secara berfasa di lokasi yang telah diwartakan, kata Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli.
Dalam kenyataan hari ini, Aedy Fadly memaklumkan penggantian kamera AwAS berkenaan adalah selaras dengan penambahbaikan sistem kamera AwAS sedia ada selari dengan perubahan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera itu beroperasi dengan lebih baik.
“Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan besar dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal,” kata JPJ.
Beliau berkata pengoperasian kamera AwAS juga untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Justeru, JPJ menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya.
“Jabatan ini juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, seterusnya berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
Mdua Motor Sdn Bhd (KOVE Malaysia) mengumumkan penyertaan pasukan KOVE Malaysia Racing Team dalam acara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 di Thailand untuk tahun ini.
Ia merupakan satu penghormatan yang istimewa memandangkan KOVE Malaysia Racing Team merupakan satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam acara AXCR yang berprestij ini.
Pasukan itu akan diwakili oleh pelumba Hazim Hayazi yang sebelum ini pernah mencapai beberapa kejayaan penting termasuklah juara Kelas C GIVI Rimba Raid 2023, juara ‘King of Royal Rumble’ dalam Royal Rumble Hard Enduro Rider 2023, tempat ketiga WRC Orange Enduro 2023 (Kategori Terbuka) dan tempat keempat Gamuda Gardens Advenduro-X 2024 (Kelas C).
Hazim akan menunggang jentera KOVE 450 Rally yang dilengkapi dengan sistem navigasi ‘roadbook’, serta kit perlumbaan yang mirip kepada perlumbaan Dakar Rally.
Beliau akan disokong oleh dua orang juruteknik muda berpengalaman dari bahagian teknikal dan logistik KOVE Racing Team.
AXCR 2024 menjanjikan perjalanan lebih 2,000 km yang mencabar dan mendebarkan dari Surat Thani ke Kanchanaburi, di mana ia akan berlangsung selama enam hari bermula 12 hingga 17 Ogos ini.
KOVE Malaysia akan menggunakan AXCR 2024 sebagai medan untuk membuktikan ketahanan dan prestasi motosikal KOVE dalam pelbagai keadaan persekitaran, dan menguji keupayaan luar biasa jentera KOVE 450 Rally.
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan ketibaan model edisi terhad Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ Limited Edition ke pasaran tempatan.
Oleh kerana ia model edisi terhad, hanya 10 unit yang akan ditawarkan di Malaysia, dengan setiap satu dijual pada harga RM558,888. Tempahan boleh dibuat menerusi bilik pameran dalam talian Mercedes-Benz Store.
Pertama sekali, A45 S Limited Edition boleh dibezakan dengan versi standard menerusi warna AMG Green Hell Magno yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2018 menerusi Mercedes-AMG GT R.
Warna itu dipadankan dengan jalur berwarna kuning pada bahagian badan dan rim, serta logo AMG pada bonet dan ’45 S’ pada pintu. Ia menggunakan rim aloi AMG tujuh jejari berukuran 19 inci yang ditawarkan khas untuk model Limited Edition.
Tersorok di sebalik rim itu adalah angkup brek AMG High Performance dalam warna hitam berkilat dengan logo AMG berwarna putih.
Turut disertakan adalah penutup tangki bahan api dengan logo AMG dan lampu selamat datang yang akan memancarkan logo AMG ke tanah apabila pintu dibuka.
Selain itu, ia didatangkan dengan tiga pakej iaitu AMG Night Package, AMG Night Package II dan AMG Aerodynamics Package.
AMG Night Package merangkumi elemen berwarna hitam dan hitam berkilat seperti splitter depan, cermin sisi dan beltline, manakala AMG Night Package II pula membawakan kemasan hitam pada radiator, trim krom hitam pada fender depan, tailgate, logo bintang Mercedes, pemegang pintu dan rim.
AMG Aerodynamics Package, seperti namanya, merangkumi komponen aerodinamik termasuk spoiler belakang AMG.
Di dalam, anda akan menemui tempat duduk AMG Performance yang dibalut upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Microcut. Seperti bahagian luaran, jalur kuning turut digunakan untuk menghiasi kerusi, panel pintu dan panel instrumen.
Selain itu, terdapat juga stereng AMG Performance dengan balutan kulit nappa/Microcut, label ’45 S’ pada perehat kepala, trim aluminium dengan corak AMG dan tulisan ‘AMG’ berwarna kuning, karpet AMG dan logo AMG bercahaya pada bendul pintu.
A45 S Limited Edition dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 421 hp pada 6,750 rpm dan 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm.
Dengan transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia boleh memecut dari 0 higgga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.
UMW Toyota Motor mengumumkan kemunculan semula siri perlumbaan Vios Challenge untuk musim ketujuh yang akan bermula pada hujung minggu ini, membawakan hadiah bernilai RM630,000 secara keseluruhan.
Untuk tahun ini, Vios Challenge akan menampilkan sehingga tiga pusingan dan enam perlumbaan individu yang akan mengambil tempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Pusingan pertama Toyota Vios Challenge akan berlangsung 9-11 Ogos ini serentak dengan penganjuran Siri Kejohanan Malaysia (MCS), sementara pusingan kedua pula pada 27-29 September ini. Kedua-dua pusingan ini akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube.
Sementara pusingan akhir akan berlangsung pada 3-5 Januari 2025 di mana ia akan dibuka kepada umum dengan pelbagai tarikan dan program dirancang untuk memeriahkan lagi suasana.
Vios Challenge musim ketujuh akan menampilkan tiga kelas utama, iaitu Kelas Sporting, Kelas Super Sporting dan Kelas Rookie.
Antara yang bakal mencuri tumpuan dalam Kelas Super Sporting ialah kemunculan juara tiga kali Tengku Djan Ley, Mitchell Cheah, Eddie Lew, William Ho, Tom Goh, dan Freddie Ang.
Selain itu, Kelas Super Sporting bakal menyaksikan penyertaan pelumba muda seperti Putera Adam, adik beradik Naquib dan Nabil Azlan, Bradley Benedict, Ady Rahimy serta Aman Nagdev dari India.
Kelas Sporting pula menyenaraikan nama-nama seperti Dato’ Dr Ken Foo, Kenneth Koh, Dannies Ng, Shafiq Samsudin, Ricky Tan, Lim Chung Beng, serta pelumba muda Elson Yew, Amirul Haikal, Timothy Yeo dan Ashen Arumugam.
Kelas ini juga bakal menampilkan pelumba luar, iaitu Panithan Rakpaibulsombut dari Thailand serta Daniel Inosuke Ooi dari Singapura.
Sementara TGR Rookies pula akan menampilkan barisan 24 orang pelumba muda yang baru sahaja menamatkan program GAZOO Racing Young Talent Development Program.
Antara nama-nama yang bakal mencuri tumpuan termasuklah pelumba gokart Brandon Ho (22 tahun), Adam Mikail (18 tahun), Amirul Afiq (22 tahun), Audrey Leong (17 tahun), Kingston Tan (19 tahun) serta pelumba simulasi Raja Amirul (21 tahun).
Musim ketujuh Vios Challenge akan menjadi pentas utama bagi jentera lumba Toyota Vios generasi terkini menunjukkan kehebatannya.
Ia masih lagi mengekalkan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, namun dengan platform dan casis yang lebih stabil, dan aspek aerodinamik yang telah disemak semula untuk membolehkannya mencatatkan pusingan masa terpantas.
PROTON mencatatkan permulaan yang kukuh bagi separuh kedua tahun ini dengan jualan mencecah 15,103 unit kenderaan pada bulan Julai (domestik dan eksport).
Angka tersebut adalah yang tertinggi sejak September 2022 dan bersamaan peningkatan sebanyak 37.3% berbanding bulan Jun.
Menurut Proton lagi, jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit, membolehkannya mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam carta jualan automotif.
Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan tersebut dianggarkan sebanyak 73,761 unit, meningkat sebanyak 27.1% berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada bulan Julai telah meningkat kepada 20.5%.
Pertumbuhan jualan Proton pada bulan Julai diterajui oleh Proton Saga dengan 7,855 unit terjual, pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013.
Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, yang merupakan 8.8% lebih tinggi daripada jualan pada tahun 2023.
Model-model lain dari Proton juga mencapai keputusan yang cemerlang. X50 mencatat jualan terbaiknya tahun ini dengan jualan sebanyak 2,585 unit pada Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit.
Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya untuk tahun 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit.
S70 pula mencatat 1,636 unit jualan pada bulan Julai dan mempunyai jumlah kumulatif YTD sebanyak 12,550 unit.
“Julai telah menjadi bulan jualan terbaik untuk Proton pada tahun 2024 setakat ini, menetapkan arah bagi separuh kedua tahun 2024 yang produktif.
“Proton sedang merangka banyak rancangan yang akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dimulakan dengan pelancaran Proton X70 2025 pada bulan Ogos. Pada masa yang sama, kerja asas untuk pelancaran model EV pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan untuk pelancaran EV pertama Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif , Proton Edar.