fbpx

MOT pinda Akta 333, wujudkan tafsiran jelas bagi tangani isu Mat Rempit

mat rempit – malay mail

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi menangani isu mat rempit.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah, pindaan itu adalah bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di jalan raya.

Tambah beliau, ia bertujuan menjadi satu bentuk pencegahan kepada mereka yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram.

“Draf pindaan membabitkan Akta 333 ini dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.

“Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai tindakan paling berkesan boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya yang sentiasa mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa menjalankan operasi berterusan dengan agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarikat konsesi lebuh raya.

“Fokus utama adalah menahan dan mendakwa individu yang terbabit dalam aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya di jalan awam,” katanya.

Selain itu katanya, MOT melalui JPJ akan melaksanakan kerjasama berterusan bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

“Ia dalam mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi seperti penjualan dan pengubahsuaian ekzos paip, tayar sotong, tayar kecil, CDI (Capacitor Discharge Ignition), ECU (Electronic Control Unit) dan sebagainya,” katanya.

Hasbi berkata, antara tindakan lain diambil adalah dengan JPJ melakukan aktiviti penyitaan bagi kesalahan seperti ubahsuai motosikal yang ekstrem dan lumba haram.

“Pelupusan terhadap kenderaan yang disita atas alasan pengubahsuaian motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal yang lain.

“Hal ini kerana kebanyakan golongan mat rempit ini tidak gentar dengan tindakan sita yang dikenakan memandangkan mereka tahu segala barangan yang disita akan dipulangkan semula,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved