Chery Tiggo 7 Pro mesra poket tetapi cukup lengkap – Pandu Uji
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/20220119_KIA0618-90x90.jpg)
![Chery Tiggo 7 Pro pandu uji 02](https://engear.tv/wp-content/uploads/2024/12/Chery-Tiggo-7-Pro-pandu-uji-02.jpg)
Tiggo 7 Pro merupakan model keempat yang dilancarkan oleh Chery Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5.
Seperti tiga model yang hadir sebelumnya, Tiggo 7 Pro dilihat mempunyai peranan besar dalam usaha Chery untuk memperkukuhkan kehadiran jenamanya di negara ini buat kali kedua.
Ini kerana ia bersaing dalam segmen yang cukup sengit iaitu SUV segmen C, bersama-sama dengan jenama-jenama yang lebih kukuh seperti Proton dengan X70 dan Honda dengan CR-V yang cukup popular.
Sebagai pendatang baharu, Tiggo 7 Pro berdepan cabaran besar kerana pesaing-pesaing terdekatnya diakui memang hebat-hebat belaka namun penulis mendapati SUV dari China ini terbukti mampu memberikan saingan sengit dalam segmennya.
Maksud penulis, dengan harga bawah RM130,000, Tiggo 7 Pro menawarkan nilai hebat terutamanya dari segi kelengkapan, prestasi dan keselamatan. Ia adalah alternatif yang cukup berbaloi bagi mereka yang tidak mahu berbelanja terlalu tinggi.
Penampilan Tiggo 7 Pro tidaklah terlalu menonjol jika dibandingkan dengan X70 2025 atau CR-V tetapi ia masih kelihatan cukup bergaya dengan imej matang dan segak yang sesuai untuk golongan profesional.
Seperti yang dikatakan, model ini tidak flashy tetapi ia mampu menarik perhatian dengan perincian seperti kemasan berlian ala Mercedes-Benz pada gril, lampu belakang melintang penuh dan kemasan berwarna biru pada bampar hadapan.
Ia memakai rim aloi berukuran 18 inci dengan rekaan yang cantik. Terselindung di sebaliknya adalah angkup brek berwarna merah – sesuatu yang agak janggal untuk SUV keluarga seperti ini namun mereka yang berjiwa sporty mungkin menyukainya.
Dari segi saiz, ia mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm. Ini menjadikannya lebih pendek berbanding X70 dan CR-V tetapi lebih tinggi berbanding kedua-dua model tersebut.
Sementara itu, dengan ukuran 2,670 mm, tapak rodanya sama panjang dengan tapak roda X70 tetapi 30 mm lebih pendek berbanding tapak roda CR-V.
Walaupun lebih kecil daripada pesaingnya, ruang kabin Tiggo 7 Pro dirasakan cukup besar dan luas untuk lima sekeluarga. Gabungan bahan yang digunakan pula tidak rasa murah dan membuatkan tanda harganya nampak cukup berbaloi.
Anda akan menemui upholsteri kulit (bukan tulen) membaluti sebahagian besar papan pemuka, tempat duduk dan stereng, serta sedikit trim kayu dan perincian aluminium dan hitam berkilat.
Apa yang menarik, papan pemukanya juga dihiasi dengan kemasan gentian karbon palsu, sekali gus melengkapkan imej sporty yang dicetuskan oleh angkup brek merah tadi.
Dari segi kelengkapan, boleh dikatakan pembeli mendapat segalanya yang sepatutnya ada untuk kenderaan dalam pasaran ini.
Sebagai contoh, sistem infohibur dan semua maklumat penting kenderaan boleh diakses menerusi paparan besar berukuran 24.6 inci. Ia sebenarnya merangkumi dua paparan berasingan, masing-masing sebesar 12.3 inci.
Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.
Sementara itu, ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, pelarasan kuasa enam hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan Keyless Entry dengan Walk-Away Auto Lock memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu dan penumpang.
Jangan terpedaya dengan ukuran badannya yang agak kecil kerana Tiggo 7 Pro cukup luas untuk dijadikan sebagai kereta keluarga.
Tempat duduk belakang cukup besar, menawarkan sokongan peha yang mencukup dan tidak terlalu tegak. Bentuk badan konvensionalnya juga bermakna ruang kepala belakang luas dan sesuai untuk penumpang yang tinggi.
Ruang butnya, walaupun lebih kecil daripada but X70 dan CR-V dengan kapasiti 475 liter, sebenarnya masih cukup besar dan luas. Jika anda perlukan ruang yang lebih besar, lipat kerusi belakang dan anda akan mendapat ruang sebesar 1,672 liter.
Untuk sistem keselamatan pula, anda tidak perlu risau kerana Chery melengkapkan SUV ini dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti Autonomous Emergency Braking, Multi Collision Brake, Blind Spot Detection, Traffic Jam Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist dan pelbagai lagi.
Jika ini tidak mencukupi, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara serta sistem kamera 540 darjah lengkap dengan penanda bagi memudahkan lagi pemandu mengemudi di kawasan-kawasan sempit.
Biarpun berstatus kereta China, tiada soal dari segi kualiti kerana paparan daripada kamera cukup terang dan tajam, mengalahkan sesetengah SUV lain yang lebih mahal.
Reka bentuknya cukup segak, manakala kelengkapan yang disertakan lebih daripada mencukupi, tetapi bagaimanakah prestasi Tiggo 7 Pro di jalan raya?
Buka bonet dan anda tidak akan nampak apa-apa kerana enjin turbo 1.6-liter dan semua komponen berkaitan disembunyikan dengan baik oleh penutup plastik yang besar.
Enjin empat silinder itu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan oleh enjin-enjin tiga silinder Proton dan Honda pada X70 dan CR-V.
Dengan transmisi DCT tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, SUV ini dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.
Tidak dinafikan, gabungan enjin dan transmisi itu memberikan Tiggo 7 Pro kuasa pecutan yang agak kuat yang menjadikannya begitu seronok dipandu di lebuh raya yang terbentang luas.
Walau bagaimanapun, apabila memasuki jalan-jalan sibuk di dalam kawasan bandar, penulis mendapati trenkuasa ini kurang lancar dan ada kalanya ia tersengguk-sengguk sedikit ketika hendak mula bergerak.
Chery berkata trenkuasa ini mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7 l/100 km (14.2 km/l). Penulis mendapat bacaan sekitar 8.9 l/100 km (11.2 km/l) dengan pemanduan bercampur lebuh raya dan bandar. Boleh tahan juga untuk gaya pemanduan yang sedikit agresif.
Sistem suspensinya boleh dikatakan tipikal untuk sebuah kereta jenama China. Ia lembut dan selesa, manakala serapan hentakannya juga memuaskan, membuatkan penulis lebih yakin ketika melalui jalan kurang rata.
Namun begitu, kelembutan sistem suspensinya membuatkan Tiggo 7 Pro terasa sedikit goyah jika dipandu terlalu laju. Ia masih boleh mengendalikan selekoh dengan baik cuma jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut.
Dalam erti kata lain, penulis merasakan yang Tiggo 7 Pro lebih sesuai untuk pemanduan santai dan bersahaja, walaupun memiliki enjin yang berkuasa dan elemen-elemen reka bentuk agresif seperti angkup brek merah dan trim gentian karbon.
Konklusi
Jika anda sedang mencari sebuah SUV segmen C yang serba boleh, Chery Tiggo 7 Pro mungkin pilihan yang paling tepat.
Reka bentuknya bukanlah yang paling menonjol dalam segmennya namun model ini mampu menarik perhatian pembeli dengan senarai kelengkapan yang cukup panjang dan prestasi yang memuaskan.
Risau tentang selepas jualan? Bertenang kerana Chery Malaysia menawarkan waranti selama tujuh tahun/150,000 km, khidmat trak tunda percuma 24/7 dan pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo 7 Pro.
Spesifikasi Chery Tiggo 7 Pro
Harga: RM123,800
Enjin: Petrol turbo 1.6-liter, empat silinder
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 197 PS
Tork: 290 Nm
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/20220119_KIA0618-180x180.jpg)
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.