Audi e-tron GT akan dipamer di Pavilion KL hingga hujung minggu ini


ANDA peminat Audi atau kereta elektrik (EV)? Barisan Audi e-tron akan dipamerkan di Pavilion Kuala Lumpur, jadi anda boleh lihat dengan lebih dekat lagi kereta yang memenangi World Performance Car of the Year 2022 ini.
Audi e-tron GT quattro dan RS e-tron GT akan ditayangkan di Centre Court, tingkat 2 di pusat beli belah itu, dari 14 hingga 20 Ogos (Ahad) ini.
e-tron GT telah dibuka tempahannya pada Februari lepas, variannya terdiri daripada e-tron GT quattro, e-tron GT quattro dengan Dynamic Package dan RS e-tron GT. Harga adalah seperti berikut:
- e-tron GT quattro – RM587,990
- e-tron GT quattro dengan Dynamic Package – RM661,990
- RS e-tron GT – RM787,990
Dengan dua motor elektrik di gandar depan dan belakang, Audi RS e-tron GT mempunyai output berjumlah 590hp dan 830Nm tork. Dan apabila dalam mod Boost, output dilonjakkan menjadi 637hp.
Secara efektifnya, dengan dua motor elektrik, Audi RS e-tron GT ini merupakan kereta AWD. Ini membolehkannya memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 3.3 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j.
Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium 85kW dan dengan caj penuh, e-tron GT ini boleh dipandu sehingga 487km. Ia menyokong pengecasan pantas DC 800volt, membolehkan ia dicaj dari 5 hingga 80 peratus dalam hanya 22.5 minit. Pengecasan AC Type 2 disokong sehingga 22kW.
Model e-tron GT standard juga mendapat konfigurasi dua motor. Output bagi model ini adalah 469hp dan 630Nm tork (523hp dalam mod Boost). Pecutan 0-100 bagi e-tron GT ini ialah 4.1 saat, dengan kelajuan maksima sedikit rendah, pada 245km/j.
Jangan lupa untuk singgah ke Pavilion Kuala Lumpur nanti untuk melihat sendiri sedan EV berprestasi tinggi ini!

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.