fbpx

Ini harga untuk semua varian Audi e-tron GT – Dari RM588k

audi rs e-tron gt 11

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini turut melancarkan barisan e-tron GT, sedan prestasi tinggi yang menjadi World Performance Car of the Year 2022. Audi e-tron GT ditawarkan dalam tiga varian, dan menjadi sebahagian dari tujuh model e-tron yang dilancarkan pada acara yang sama.

e-tron GT telah dibuka tempahannya pada Februari lepas, jadi kali ini lebih kepada pengumuman harga. Varian e-tron GT terdiri daripada e-tron GT quattro, e-tron GT quattro dengan Dynamic Package dan RS e-tron GT. Harga adalah seperti berikut:

● e-tron GT quattro – RM587,990
● e-tron GT quattro dengan Dynamic Package – RM661,990
● RS e-tron GT – RM787,990

Dengan dua motor elektrik di gandar depan dan belakang, Audi RS e-tron GT mempunyai output berjumlah 590hp dan 830Nm tork. Dan apabila dalam mod Boost, output dilonjakkan menjadi 637hp.

Secara efektifnya, dengan dua motor elektrik, Audi RS e-tron GT ini merupakan kereta AWD. Ini membolehkannya memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 3.3 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium 85kW dan dengan caj penuh, e-tron GT ini boleh dipandu sehingga 487km. Ia menyokong pengecasan pantas DC 800volt, membolehkan ia dicaj dari 5 hingga 80 peratus dalam hanya 22.5 minit. Pengecasan AC Type 2 disokong sehingga 22kW.

Model e-tron GT standard juga mendapat konfigurasi dua motor. Output bagi model ini adalah 469hp dan 630Nm tork (523hp dalam mod Boost). Pecutan 0-100 bagi e-tron GT ini ialah 4.1 saat, dengan kelajuan maksima sedikit rendah, pada 245km/j.

Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter memberitahu maklum balas daripada pengedar dan pelanggan terhadap Audi e-tron adalah sangat menggalakkan.

“Ini merupakan penawaran produk terbesar Audi di Malaysia dan kami sangat teruja untuk menjadi negara pertama di rantau ini melancarkan Q8 e-tron,” katanya.

“Kenderaan mewah dan berprestasi tinggi ini sememangnya amat ditunggu-tunggu. Ia sudah bersedia untuk menawan hati serta imaginasi rakyat Malaysia yang mahukan pilihan mobiliti lebih mapan dan mesra alam.

“Bukan itu sahaja, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ini hanyalah satu permulaan. Ini kerana kami sudahpun berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model e-tron ke sini termasuklah flagship SQ8 dan Q6 e-tron yang akan membuat debut global hujung tahun ini.”

Momentum jualan EV di Malaysia dibantu oleh insentif kerajaan dan kerjasama industri untuk mencapai sasaran kerajaan mempunyai 1.5 juta EV di Malaysia menjelang tahun 2040.

Audi percaya peralihan kepada kenderaan elektrik akan berterusan kerana mobiliti elektro semakin mendapat perhatian pada masa depan.

Percuma Pengecas Kompak e-tron dan Kredit JomCharge bernilai RM1,000 untuk para pemilik e-tron

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, semua model didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.

Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel – pasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8 kW hingga 2.3 kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11 kW.

Pengecasan boleh ditetapkan kepada 100 dan 50 peratus kuasa pada unit pengecasan bagi mengelakkan berlakunya masalah terlebih beban kepada sistem elektrikal rumah.

Sebagai manfaat tambahan, pemilik juga akan menerima kredit JomCharge berjumlah RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah selama setahun.

Semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri 3/3 selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.

Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000km.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian model e-tron, sila kunjungi Audi Centre terdekat atau layari laman web www.audi.com.my.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved