fbpx

Kerajaan sebolehnya tidak mahu campur tangan harga lantai tambang e-hailing

e-hailing grab
Foto MalayMail

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya seboleh-bolehnya tidak mahu campur tangan  berhubung harga lantai tambang e-hailing, sebaliknya mahu ia ditentukan oleh kuasa pasaran.

Loke berkata pihaknya maklum mengenai gesaan persatuan pemandu e-hailing (EHO) yang mahu kerajaan campur tangan berhubung isu tambang itu termasuk penyeragaman kadar tambang antara bandar.

“Kita faham permintaan mereka supaya kerajaan menetapkan harga lantai untuk e-hailing.

“Setakat ini, cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada apa-apa keputusan,” katanya dalam sidang media.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan juga memahami harapan pemandu mengenai perkara berkenaan memandangkan pemandu tidak boleh memandu dengan kerugian selain terdapat kos operasi yang perlu ditanggung.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Tetapi kita perlu faham bahawa kalau ada harga lantai ditetapkan, harga tambang kepada pengguna mungkin akan lebih meningkat jadi ia merupakan pertimbangan yang perlu diambil kira.

“Jadi kita biarkan pasaran untuk tentukan harga dan ada harga dinamik antara EHO, pemandu dan penumpang,” katanya.

Sebelum ini EHO dilaporkan menggesa kerajaan melaksanakan kadar tambang lantai terhadap perkhidmatan pengangkutan itu bagi melindungi kebajikan pemandu.

Dilaporkan pemandu e-hailing kian terdesak kerana kadar tambang semakin tidak menentu ekoran persaingan dari beberapa pengusaha perkhidmatan itu.

Biarpun persaingan harga menguntungkan pengguna, ia sebaliknya membebankan pemandu e-hailing yang perlu menanggung kos minyak, tol, penyelenggaraan dan sebagainya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved