DUKE jadi lebuh raya kedua untuk sistem pembayaran tol terbuka

LEBUHRAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol bermula September 2023 ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata persetujuan yang dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya dan DUKE menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12.

Katanya lebuh raya terlibat termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Beliau memaklumkan Lebuhraya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuhraya di dalam negara.

“Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya.

Nanta berkata pada ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *