fbpx

Perodua lancar Pakej Auto Rahmah untuk pemilik Axia, Bezza

perodua axia 2023 preview 46

BERSEMPENA dengan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, Perodua telah melancarkan pakej servis khas untuk pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan.

Menurut syarikat itu, pakej servis khas ini merupakan maklum balas kepada Pakej Auto Rahmah yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah program Payung Rahmah.

Selain membantu mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat, pakej servis khas ini juga bertujuan mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk musim perayaan ini.

Dikenali sebagai Perodua Auto Rahmah 2023, pakej tersebut menawarkan diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh.

Untuk melayakkan diri bagi kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023.

“Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza kami yang membantu memenuhi keperluan pemotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan kami. Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu.

“Ini lebih penting dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi kerana kebanyakan pemilik kenderaan merancang untuk melakukan perjalanan jauh untuk bersama keluarga tersayang. Kami mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang penuh keberkatan dan Hari Raya yang indah.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved