fbpx

Sime Darby Motors buka pusat baiki & cat badan di Pulau Pinang

Pusat badan & cat Sime Darby Motors 01

SIME Darby Motors baru-baru ini telah melancarkan pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan berpusat di Pulau Pinang.

Menurut syarikat itu, pelancaran ini merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti untuk pelanggannya di wilayah Utara.

Untuk pengetahuan anda, Sime Darby Motors terlibat dalam penjualan runcit kenderaan BMW, MINI, Motorrad, BYD, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Ia juga menjual kenderaan terpakai menerusi Sime Darby Auto Selection.

Syarikat itu telah melabur sebanyak RM3 juta dalam pembangunan pusat servis berkeluasan kira-kira 20,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan teknologi dan peralatan canggih ini.

Ia menyediakan pelbagai kemudahan seperti empat ruang kerja mekanikal dengan alat pengangkat, termasuk satu ruang kegunaan berat (kerja membaiki badan), satu ruang perataan kering, satu ruang persediaan dan satu ruang khas penyemburan.

Pusat servis ini dikatakan boleh menyelenggara dan membaiki sehingga 80 unit kenderaan yang memerlukan kerja pembaikan badan dalam sebulan.

“Dengan kemudahan baharu ini, aliran kerja untuk kerja-kerja pembaikan dan baik pulih akan diselaraskan bagi semua jenama Sime Darby Motors bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan mematuhi piawaian kualiti terperinci jenama.

“Aliran kerja baharu ini juga akan mempercepatkan kerja pembaikan dan baik pulih, lantas mengurangkan tempoh pelanggan kami tidak dapat menggunakan kenderaan mereka,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, Hong Kong & Macau.

Tambah Jeffrey, kemudahan baharu ini mempunyai kelengkapan sewajarnya untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk khidmat servis asas, pembaikan kemalangan, kerja cat dan juga penyediaan dokumen yang diperlukan untuk tuntutan insurans.

Pusat membaiki dan mengecat badan kenderaan berpusat Sime Darby Motors beralamat di 191, Jalan Sungai Pinang, 10150 Georgetown, Pulau Pinang. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 04-2020388.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved