fbpx

Proton X90 tiada Apple CarPlay/Android Auto tapi tawar banyak ciri baharu

Proton X90 – Dr. Li and En Roslan

JIKA anda baca laporan kami mengenai prebiu Proton X90 yang diadakan baru-baru ini, anda mungkin akan perasan bahawa ciri Apple CarPlay dan Android Auto tidak disebut.

Ini sesuatu yang agak menghairankan memandangkan SUV tiga barisan tempat duduk itu dilengkapi dengan skrin infohibur 12.3 inci yang merupakan unit terbesar pernah ditawarkan pada model Proton setakat ini.

X90 akan guna sistem operasi Atlas seperti X50 dan X70

Malah, dengan paras harganya yang sudah tentu lebih tinggi berbanding X70 (jangkaan kami sekitar RM130,000 hingga RM165,000), pelanggan pastinya akan berasa kecewa dengan ketiadaan dua ciri tersebut.

Walau bagaimanapun, mereka yang berkira-kira untuk menempah X90 tidak perlu gusar kerana ia masih sebuah produk bertaraf premium yang sarat dengan ciri-ciri baharu yang tidak pernah ditawarkan pada mana-mana kereta Proton sebelum ini.

Antara ciri yang dimaksudkan adalah trenkuasa mild hybrid. Ia menampilkan gabungan 1.5-liter TGDi dan sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm.

Sistem EMS merangkumi enam komponen utama iaitu motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V, penukar DCDC, bateri litium-ion, sistem pengurusan bateri, sistem brek pemulihan dan sistem kawalan modul hibrid.

Selain itu, sistem bantuan pemandu (ADAS) yang terdapat pada X90 menampilkan tiga ciri baharu iaitu Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Traffic Sign Information. Secara keseluruhan, model ini mempunyai 14 ciri ADAS kesemuanya!

Seterusnya, X90 juga mempunyai ciri Nearby Auto Lock dan Walkaway Auto Lock. Dengan ciri ini, anda tidak lagi perlu menekan butang atau menyentuh pemegang pintu untuk membuka atau mengunci pintu.

Sebaliknya, anda hanya mendekati atau menjauhi kereta dan pintu akan dikunci atau dibuka secara automatik, dengan syarat kunci perlu berada pada anda. Mudah, bukan?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved