fbpx

KPDNHEP kesan individu jual kad Touch ‘n Go NFC lima kali ganda lebih mahal

touch n go nfc – lowyat
Gambar oleh: Lowyat.net

ANDA mungkin sedia maklum bahawa kad Touch ‘n Go dengan fungsi Near-Field Communication (NFC) sering kali kehabisan stok akibat permintaan yang tinggi.

Disebabkan hal ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjual kad tersebut pada harga berlipat kali ganda bagi mengaut keuntungan mudah.

Hal ini didedahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang berjaya mengesan penjualan Touch ‘n Go NFC pada harga lima kali ganda lebih mahal menerusi platform pasaran dalam talian.

Menurut Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi, siasatan awal pihaknya mendapati perbuatan itu dilakukan oleh seorang pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.

Alexander berkata, harga sekeping kad Touch ‘n Go NFC tanpa ada sebarang kredit di dalamnya adalah RM10. Dilancarkan pada April lalu, kad ini boleh ditambah nilai menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet dengan menyentuhnya pada bahagian belakang telefon pintar yang mempunyai ciri NFC.

“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada pihak terbabit antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

“Kegagalan pihak terbabit berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.

Tambah Alexander lagi, KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG yang dijangka berlangsung minggu ini.

“Pertemuan ini antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna,” tambah beliau.

Penjualan kad NFC mengundang polemik dalam kalangan pengguna apabila bekalan itu terhad di semua saluran sejak April lalu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved