fbpx

Kemalangan pertama di SUKE, pemandu Myvi didakwa berhenti untuk mengambil gambar

kemalangan suke

NAMPAKNYA, pantang ada jalan atau lebuh raya baharu di Malaysia ini, seolah-olah wajib pengguna jalan raya berhenti mengambil gambar, kemudian berlaku kemalangan.

Dan ya, kemalangan pertama telah berlaku di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE), hanya selepas dua hari lebuh raya itu dibuka.

Ia membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira jam 2:45 petang itu menyebabkan penunggang motosikal itu cedera.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan telah berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE dari arah Tol Bukit Teratai menghala Kuala Lumpur dengan tujuan untuk mengambil gambar,” katanya.

“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang sebelum melanggar kereta terbabit,” tambahnya.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Katanya, ini adalah kes kemalangan yang pertama berlaku di Lebuhraya SUKE sejak ia dibuka bermula 16 September lalu.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan,” ujar beliau.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

“Selain itu, tindakan individu sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Tindakan terbabit boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kemalangan jiwa,” tegasnya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved