fbpx

Sah! R3 bakal tawar komponen prestasi untuk model Proton sedia ada

proton r3 corner 01

MUNGKIN inilah berita yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat dan pemilik Proton, kerana R3 dikatakan bakal menawarkan semula produk prestasi untuk model-model Proton.

Selepas Proton menjalinkan kerjasama dengan Geely, operasi R3 lebih tertumpu kepada pasukan dan aktiviti perlumbaan. Tiada lagi produk prestasi yang boleh dibeli pemilik Proton untuk kereta-kereta mereka yang dipandu di jalan raya.

Namun, perkara ini bakal berubah kerana anda mungkin dapat memiliki produk prestasi sebenar talaan Proton R3.

Seperti yang kita tahu, Proton pada tahun lepas telah melancarkan Saga R3 Limited Edition dan Iriz R3 Limited Edition namun pembaharuan pada kedua-dua model ini hanyalah bersifat kosmetik.

Temubual kami baru-baru ini bersama CEO Proton Global Sales (PGS), Lee Yeet Chuan dan CEO Proton Edar, Roslan Abdullah, kami berjaya merungkai serba sedikit mengenai hala tuju R3 selepas ini.

Dalam sesi semasa pelancaran R3 Premium Merchandise Partnership di Setia Gemilang Auto pada Sabtu lepas, R3 dilaporkan akan kembali seperti dulu, bukan sekadar operasi perlumbaan tanpa sebarang barangan prestasi untuk kereta anda.

“Kami berharap untuk memberikan kelengkapan prestasi untuk kereta hingga aksesori dan mungkin selepas itu penalaan – ini yang paling penting, prestasi enjin,” kata Yeet Chuan.

“Kami akan cuba memilih beberapa model dari Proton yang kami boleh ubah suai dan menjualnya kepada peminat R3.”

Roslan menambah: “Tahun lepas kita ada R3 Special Edition (Saga dan Iriz), ini lebih kepada kosmetik. Seperti disebut tadi, kami akan adakan model edisi khas yang lebih dari sekadar kosmetik.”

“Kami juga mahu menawarkan prestasi sebenar R3 yang boleh dipandu di jalan raya seperti pernah kami tawarkan sebelum ini.”

Roslan berkata, “Kami pada masa ini masih mengkaji, yang paling penting saya beritahu YC (Yeet Chuan) kita tak mahu model R3 tetapi bila dilihat pada geran hanya ditulis Proton Saga (contoh).”

“Jadi kami mahu hasilkan R3 yang ada dalam geran pendaftaran. Untuk melakukannya, akan ada banyak proses tambahan dan kami mahu menyeimbangkannya dengan harga.”

“Kami perlu jual pada harga yang betul dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa”, terang Roslan.

Bila ditanya mengenai keperluan yang mesti ada untuk membolehkan kereta itu mendapat nama R3 pada geran, Roslan berkata ia akan melibatkan proses seperti menambah varian baharu.

“Kita perlu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses Vehicle Type Approval (VTA).”

Tambah Roslan lagi, mereka masih mengkaji pilihan-pilihan yang ada sekiranya tidak mendapatkan nama R3 pada geran.

Berkenaan model, Roslan menjelaskan sebarang model boleh dijadikan R3. “Sebagai contoh sekarang kita ada Saga dan Iriz, kita akan mulakan dengan model-model ini.”

“Ada yang berkata kenapa tidak X50 dan X70? Ia satu cadangan yang baik, dan sudah tentu kami akan mengkaji akan peluang dan kemungkinan itu,” kata Roslan.

 

Walaubagaimanapun menurut Roslan, model talaan R3 ini juga tidak semestinya dihasilkan sebagai model produksi, sebaliknya mungkin menjadi prototaip untuk menilai minat dan penerimaan awam.

Dengan respon dari prototaip itu, R3 mungkin akan menawarkan servis talaan dan ubahsuai untuk kenderaan pelanggan tanpa dicatatkan pada geran.

Sebagai tambahan, Yeet Chuan pula mengesahkan bahawa R3 akan menawarkan produk-produk prestasi seperti suspensi, kit badan, pelekat kustom dan set rim dalam masa terdekat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved