fbpx

Ini maksud sebenar nama RNF Racing, bukan Razlan N Friends!

Datuk Razlan Razali antara individu bertanggungjawab membina pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT). - Foto ihsan Yamaha SRT
Datuk Razlan Razali (kanan) antara individu bertanggungjawab membina pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT). - Foto ihsan Yamaha SRT

SELEPAS pengumuman penjenamaan semula nama Sepang Racing Team (SRT) kepada RNF Racing bermula musim 2022, ramai berteka-teki maksud sebenar nama baharu itu.

Ezpeleta, CEO Dorna (kiri) bersama Razlan Razali. Sumber: Motorsport.com

Menurut prinsipal pasukan itu, Datuk Razlan Razali, sering me­ninggalkan keluarga tercinta mencetuskan inspirasi kepadanya untuk menggunakan nama tiga anaknya dalam entiti baharu MotoGP, RNF Racing MotoGP Team musim depan.

Jelas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, nama RNF satu bentuk penghormatan kepada keluarga dan tiga lagi anaknya.

“Apa maksud RNF? Ini satu penghormatan kepada keluarga dan anak-anak saya. Semua tahu, bila kita bekerja di MotoGP, kita banyak bergerak dan tiada di rumah,” katanya.

“Satu pengorbanan besar sebagai ayah kepada keluarga dan saya fikir ini masa yang sesuai untuk saya memberi penghormatan kepada anak-anak saya dengan menggunakan huruf nama mereka sebagai nama pasukan bagi tahun depan,” tambah Razlan.

Jadi, jelaslah maksud sebenar nama RNF Racing ini ya, bukan Razlan N Friends atau maksud lain seperti yang diperkatakan.

SRT beberapa hari lepas telah mengumumkan mereka akan dijenamakan semula menjadi RNF Racing menjelang 2022 dan akan terus bersaing dalam MotoGP hingga 2026.

Pasukan itu telah menyertai Moto3 sejak 2015 sebelum mara ke Moto2 pada 2017 dan MotoGP pada 2019.

Pengumuman ini ialah susulan dari pengesahan Petronas bahawa mereka tidak lagi menaja pasukan itu menjelang akhir musim 2021.

Berkenaan nama penunggang, Razlan berkata pelumba bagi tahun depan seperti yang diumumkan Yamaha iaitu Andrea Dovizioso manakala pelumba kedua masih dalam perbincangan.

“Dalam tempoh sebulan lagi saya akan umumkan rakan penaja utama yang baharu dan juga rakan lain yang akan menyertai saya bagi musim depan,” tambahnya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved