Honda Amerika Syarikat mula menawarkan jentera peronda dua roda Honda NT1100 Police untuk kegunaan pasukan penguatkuasa dan sudah boleh ditempah menerusi program Powersports Fleet/Government Purchase yang disediakan.
Dibina berdasarkan model sports touring NT1100 yang turut ditawarkan di pasaran Eropah, Honda NT1100 Police hadir dengan kelengkapan yang serupa seperti reraup pelindung, cermin penghadang angin boleh laras, tempat duduk yang selesa, serta sistem pencahayaan LED.
NT1100 Police juga boleh dilengkapi dengan bermacam jenis aksesori untuk tugas-tugas kepolisan yang boleh didapati menerusi vendor-vendor yang diiktiraf.
Antaranya ialah beg pannier, sistem pendawaian khas, kotak dokumen serta penutup tempat duduk belakang.
Honda NT1100 Police dilengkapi dengan enjin dua silinder selari 1,084 cc yang sama digunakan oleh model Africa Twin, namun telah diubahsuai supaya mampu mencecah kelajuan sehingga 200 km/j.
Kuasa 101 hp @ 8,500 rpm dan 104 Nm @ 6,000 rpm itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.
Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik Showa 43 mm jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link Showa, masing-masing menawarkan jarak pergerakan roda sejauh 139.7 mm.
Aspek pemberhentian pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor berkembar bersaiz 310 mm di hadapan, serta angkup omboh tunggal dan rotor bersaiz 256 mm di belakang yang dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.
Dengan berat sekitar 256.7 kg, NT1100 Police ini mempunyai kapasiti tangki sebesar 20.4 liter dan ketinggian pelana sekitar 820 mm.
Di Eropah, Suzuki Swift model tahun 2024 mendapat penarafan tiga bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).
Namun lain pula ceritanya di Australia apabila hatchback itu diberikan penarafan satu bintang sahaja dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) selepas prestasi buruk dalam ujian pelanggaran yang dijalankan oleh badan itu.
Swift generasi keempat itu mendapat 47% dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa, 59% dalam Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 76% dalam Perlindungan Pengguna Jalan Raya dan 54% dalam Bantuan Keselamatan.
Menurut ANCAP, Suzuki Australia sebelum ini telah menyatakan bahawa Swift yang dijual di Australia dan New Zealand berbeza secara fizikal dengan unit pasaran Eropah.
“Berbanding dengan penarafan tiga bintang yang dicapai oleh Swift yang dijual di Eropah, unit yang dijual di Australia dan New Zealand menunjukkan prestasi yang berbeza apabila diuji.
“Reka bentuk beberapa elemen struktur dan sekatan dalam Swift yang dijual dalam pasaran tempatan nampaknya tidak mempunyai keteguhan yang membawa kepada variasi dalam prestasi kemalangan,” kata Carla Hoorweg, ketua pegawai eksekutif ANCAP.
Laporan ANCAP berkata bahawa perbezaan prestasi antara Swift Australia/NZ dan Eropah boleh dilihat dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan full-width.
Ujian pelanggaran offset hadapan menunjukkan terdapat beban dada dan risiko kecederaan kaki yang lebih tinggi kepada pemandu, manakala dalam ujian pelanggaran full-width pula, ukuran mampatan dada penumpang belakang jauh lebih tinggi dan melebihi had yang dibenarkan.
Oleh itu, Swift diberikan penilaian Lemah (Poor) dan markah sifar untuk perlindungan dada, iaitu bahagian badan yang kritikal.
Selain itu, penilaian Lemah juga dicatatkan untuk kepala dan dada patung kanak-kanak dalam senario ujian pelanggaran hadapan (head-on) dan sisi. ANCAP berkata 59% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak adalah markah yang paling rendah setakat ini.
Swift merupakan model terbaru yang memasuki pasaran Australasian yang mempunyai penarafan keselamatan yang berbeza dengan model pasaran Eropah, selepas Honda Civic, CR-V dan ZR-V.
Radar Auto, satu lagi jenama yang bernaung di bawah Geely, telah melancarkan trak pikap elektrik yang dikenali sebagai King Kong di China.
Menggantikan model terdahulu iaitu RD6, Radar King Kong ditawarkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar untuk pacuan empat roda (4WD).
Versi motor tunggal mempunyai 245 PS dan 309 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat. Ia boleh didapati dengan bateri LFP berkapasiti 42 kWj, 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu CLTC dari 310 km hingga 605 km.
Sementara itu, versi motor elektrik berkembar pula menghasilkan kuasa sebanyak 381 PS dan 485 Nm, dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat. Terdapat tiga pilihan pek bateri iaitu 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak dari 330 km hingga 520 km.
Selain konfigurasi motor elektrik dan pilihan pek bateri yang pelbagai, King Kong menunjukkan versatilitinya dengan menawarkan jarak roda standard dan panjang.
Versi jarak roda standard mempunyai ukuran panjang 5,260 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,865 mm dengan jarak roda 3,120 mm. Versi jarak roda panjang pula berukuran 5,500 mm panjang dan jarak roda 3,310 mm.
Dari segi reka bentuk, King Kong kelihatan tidak terlalu jauh berbeza dengan RD6 dan masih mengekalkan penggayaan luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada Geely Haoyue iaitu kembar kepada Proton X90.
Di China, King Kong boleh didapati dalam tujuh tahap trim iaitu empat untuk versi motor tunggal dan tiga untuk 4WD.
Versi motor tunggal dijual pada harga antara 99,800 hingga 149,800 yuan (RM60,982-RM91,525), manakala versi 4WD pula berharga dari 119,800 hingga 159,800 yuan (RM73,196-RM97,635).
Sebagai perbandingan, harga RD6 sebelum ini bermula dari 136,800 hingga 209,800 yuan (RM83,590-RM128,196).
Jika anda merasakan Toyota Land Cruiser (dan Prado) terlalu besar untuk dimuatkan dalam garaj, usah risau kerana ESB Style kini membawakan elemen SUV off-road tersebut untuk minivan Toyota Roomy.
Pakej yang digelar sebagai ‘Landc Roomy’ itu meminjam beberapa elemen rekaan Land Cruiser, seperti contoh struktur jeriji yang besar dan lebar lengkap dengan bampar yang agresif.
Disebabkan limitasi ruang, agak sukar untuk memuatkan kesemua elemen Land Cruiser pada minivan ini.
Jadi, ESB Style hanya mengehadkan perubahan tersebut pada bahagian hadapan, namun untuk bampar belakang tetap diberikan sentuhan yang sporti, diikuti dengan rim keluli berwarna putih yang dibaluti tayar Toyo Open Country R/T.
Tidak ketinggalan, sistem gantungan telah ditinggikan 30 mm bagi membolehkan ‘Landc Roomy’ ini meredah laluan off-road ringan dengan lebih mudah.
Untuk ruang kabin pula, ESB Style menawarkan aksesori seperti “Fox Mat” boleh lipat di mana ia boleh mengubah ruang kabin Roomy menjadi sebuah van pekhemah.
Berikut merupakan senarai harga aksesori yang ditawarkan oleh ESB Style untuk panduan:
• Bampar hadapan – ¥100,000 (RM2,848)
• Bampar belakang – ¥60,000 (RM1,709)
• Kit suspensi – ¥50,000 (RM1,424)
• Set rim keluli – ¥60,000 (RM1,709)
• Fox Mat – ¥25,000 (RM712)
Di Jepun, Toyota Roomy bukanlah sebuah kei van, memandangkan ia didatangkan dengan dimensi yang lebih besar, dan dikuasakan pula oleh enjin tiga silinder sebaris 996 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 98 PS.
Versi aspirasi semula jadi pula hanya mampu menghasilkan kuasa setinggi 69 PS, namun anda boleh mendapatkan Toyota Roomy (atau Daihatsu Thor/Subaru Justy) dengan pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).
Sekali imbas, ini mungkin sekali model kei van terbaharu yang datang dari pasaran Jepun.
Namun, usah tertipu kerana logo yang terpampang itu menyatakan segalanya – ia adalah kenderaan komersial ringan (LCV) yang dihasilkan oleh SAIC-GM-Wuling.
Memfokuskan kepada praktikaliti dan pakej yang mampu milik, Sunshine EV sememangnya mengambil inspirasi daripada barisan model kei van buatan Jepun, dengan rekaan hidung pendek, roda yang kecil, pintu gelangsar kiri dan kanan, serta dimensi badan yang tinggi.
Jika dibandingkan ukuran dimensi, Sunshine EV mempunyai saiz yang besar sedikit berbanding kei van buatan Jepun, dengan ukuran sepanjang 3,685 mm, lebar 1,530 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,600 mm.
Dalam konfigurasi lima tempat duduk, Sunshine EV mampu menawarkan ruang kargo sebesar 527 liter, atau sehingga 1,117 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Untuk ruang kabin, ia membawakan kelengkapan yang serba asas, namun mementingkan aspek praktikaliti dan versatiliti untuk pelbagai jenis kegunaan.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, van kecil ini boleh diubah menjadi pelbagai jenis kedai bergerak, atau digunakan sebagai van pekhemah, atau dijadikan sebagai bengkel mini yang lengkap dengan perkakasan professional.
Dari segi kuasa, EV ini mendapat motor elektrik tunggal 40 hp dengan kelajuan tertinggi sekitar 100 km/j.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan pek bateri berkapasiti 17.6 kWh, atau pilihan kapasiti 26.5 kWh yang boleh ditukar menerusi jaringan penukaran bateri CATL.
Sunshine EV akan dilancarkan di pasaran China seawal tahun 2025, dengan harga jualan bermula sekitar 50,000 yuan (RM30,580).
China State Railway Group (China Railway) telah mendedahkan rekaan prototaip kereta api peluru komersial generasi seterusnya, yang mana menurut syarikat itu bakal menjadi kereta api terpantas di dunia.
Kereta api yang dikenali sebagai CR450 itu dikatakan mampu beroperasi pada kelajuan 400 km/j namun boleh mencapai kelajuan maksimum 450 km/j.
China Railway berkata, pendedahan prototaip itu merupakan kejayaan terkini dalam projek CR450 yang dilancarkan pada 2021 bagi membangunkan kereta api yang “lebih selamat, lebih mesra alam, lebih cekap tenaga dan lebih pintar.”
Kereta api baharu ini bakal menggantikan CR400 dalam siri kereta api laju Fuxing yang mampu beroperasi pada kelajuan 350 km/j.
Jika CR450 mula beroperasi seperti yang dijangkakan, ia boleh memendekkan masa perjalanan antara Beijing dan Shanghai dari empat jam setengah kepada tiga jam 18 minit.
Menurut laporan media tempatan, kereta api CR450 mempunyai berat keseluruhan sekitar 10 tan, menjadikan ia 10% lebih ringan berbanding kereta api terdahulu.
Penunjuk rintangan operasi dan penggunaan tenaga masing-masing telah dikurangkan sekitar 20%, manakala prestasi brek juga meningkat kira-kira 20%.
Langkah seterusnya adalah meletakkan prototaip itu dalam satu siri ujian dan penilaian untuk menilai prestasinya.
China Railway tidak menyatakan tarikh CR450 boleh mula beroperasi namun menurut laporan-laporan terdahulu, ia mungkin berlaku seawal awal tahun depan.
Jika krisis identiti merupakan jawapan yang anda cari, usah risau kerana syarikat penala dari Jepun yang satu ini sememangnya pakar dalam mengubah rupa paras model standard menjadi sesuatu yang lebih berbeza.
DAMD bakal membawakan beberapa model yang menarik pada acara pameran Tokyo Auto Salon 2025.
Salah satu daripadanya ialah Reverb, sebuah Honda WR-V (atau nama lainnya Honda Elevate) yang telah diberikan rupa paras seakan Jeep Cherokee XJ.
Bahagian hadapan Honda WR-V telah diubah sepenuhnya menampilkan unit lampu berbentuk segi empat serta jeriji enam-slot yang mengingatkan kita pada model klasik Cherokee.
Selain itu, bahagian sisi SUV ini telah diberikan decal seakan panel kayu yang wujud pada model station wagon vintaj Amerika, diikuti dengan panel plastik gerbang roda yang tidak bercat.
Melengkapi imej yang ranggi itu ialah set rim keluli berwarna hitam yang dibaluti tayar mud-terrain BFGoodrich.
Selain daripada WR-V, DAMD turut membawakan model-model berikut:
1. Stuart – Toyota Sienta dengan imej hadapan Mini Cooper
2. Rodney – Honda N-Box Custom yang tampil lebih sporti
3. Lucy – Daihatsu Taft dengan imej Daihatsu Rocky F300 90-an
Mazda MX-5, yang juga dikenali sebagai Roadster atau Miata, tidak syak lagi merupakan antara kereta paling ikonik dalam dunia automotif dengan lebih 1.2 juta unit terjual sejak diperkenalkan buat pertama kali pada 1989.
Bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-35, Mazda akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition.
Menurut Mazda, hanya 1,000 unit akan dihasilkan dan semuanya akan dijual di Jepun bermula Februari 2025. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan versi soft top atau hard top RF.
Apa yang menjadikan model ulang tahun ini lebih istimewa berbanding versi standard?
Untuk bahagian luaran, MX-5 35th Anniversary Edition tampil dalam warna Artisan Red Premium Metallic yang diaplikasikan menggunakan teknologi ‘Takuminuri’ bagi menonjolkan lagi garisan-garisan dan lengkungan badan MX-5.
Selain itu, ia didatangkan dengan bumbung berwarna beige, rim aloi 17 inci dan lencana ’35th Anniversary’ lengkap dengan nombor siri pengeluaran yang diletakkan berdekatan dengan tayar belakang.
Di dalam, terdapat upholsteri kulit Nappa berwarna tan yang dipadankan dengan karpet beige, serta cetakan timbul logo ’35th Anniversary’ pada perehat kepala.
Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Versi soft top menampilkan enjin 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 136 PS dan 152 Nm, dan transmisi manual enam kelajuan.
Sementara itu, versi RF pula dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder dengan 184 PS dan 205 Nm, dan boleh didapati dengan transmisi manual atau automatik.
Harga jualan bermula dari 3,753,200 yen (RM106,402) untuk versi soft top, 4,354,900 yen (RM123,460) untuk RF manual dan 4,382,400 yen (RM124,240) untuk RF automatik.
Apa akan jadi bila supercar yang paling cantik di dunia diberikan sentuhan magis oleh Liberty Walk?
Anda tidak perlu pun untuk membayangkan hasilnya, ini kerana penala terkenal Jepun itu sudah pun mendedahkan imej janaan komputer hasil kerja terbaharu mereka pada Lamborghini Miura.
Bakal didedahkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025, LB-Silhouette Works GT Lamborghini Miura itu tampil dengan rupa paras yang lebih agresif dan berani dalam masa yang sama.
Anda boleh melihat padanan kit badan agresif berserta dengan fender flare yang serba lebar, serta set rim aftermarket pada keempat-empat sudut gerbang roda.
Tidak ketinggalan, sayap bersaiz besar dan diffuser yang agresif pada bahagian belakang sebelum jentera ini dilayangkan dengan warna putih yang lengkap dengan liveri penaja serta logo Liberty Walk berwarna merah di bahagian sisi.
Buat masa ini, Liberty Walk tidak mendedahkan sebarang naik taraf yang dibuat pada enjin asal bentangan V12 4.0 liter berkuasa 345 hp/355 Nm pada Miura ini.
Kit badan yang khas untuk Lamborghini Miura ini akan mula dijual secara rasmi pada tahun hadapan, yang pasti harganya tidaklah semurah yang anda sangka.
Ini mungkin sekali salah sebuah contoh trak pikap yang sarat dengan bermacam-macam aksesori untuk kegunaan off-road yang boleh dijadikan sebagai panduan ubah suai.
Dihasilkan secara sekali oleh pihak Ineos Australia, Grenadier Quartermaster Kaiju (bermaksud raksasa dalam bahasa Jepun) akan digunakan untuk pelbagai acara promosi di seluruh negara itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Terdapat beberapa nama syarikat aksesori besar yang mengambil bahagian dalam melengkapkan trak pikap ini.
Seperti contoh, pihak Norweld menghasilkan struktur kanopi pada bahagian belakang yang diperbuat daripada aluminium ringan dan turut menyediakan tangki air sebesar 40 liter, laci storan, peti sejuk Bushman sebesar 130 liter dan tempat pemegang jerry can.
Pihak Recarc pula memasang unit penyongsang 2,000W dan bateri lithium 150 Ah yang mampu bertahan lebih 5,000 kitaran pengecasan.
Keempat-empat sudut tayar dipasangkan getah mud terrain BFGoodrich KM3, dibantu dengan sistem suspensi kustom termasuklah remote reservoir electric shocks daripada JMACX.
Selain sistem pencahayaan keliling, Ineos turut memastikan tangki bahan api sebesar 168 liter turut dipasangkan pada trak pikap ini.
Akhir sekali, terdapat beberapa aksesori yang ditawarkan sendiri oleh pihak Ineos seperti bull bar, rock slider, snorkel, bateri tambahan, dan tidak ketinggalan tangga akses.
Syarikat kenderaan elektrik dari China, Nio melancarkan sebuah lagi jenama EV baharu untuk menyaingi jenama-jenama EV mewah bersaiz kecil seperti smart dan Mini.
Jenama baharu yang dimaksudkan itu ialah Firefly, di mana ia bakal diposisikan di antara jenama Nio itu sendiri dan Onvo dari segi saiz, ciri dan harga yang ditawarkan.
Model pertama yang bakal menerjah pasaran Eropah, Amerika Latin dan Asia Tenggara ialah sebuah hatchback dengan elemen rekaan yang mengingatkan kita kepada Honda e yang telah dihentikan pengeluarannya itu.
Dihasilkan oleh bekas pereka BMW dan Ford, Kris Tomasson, hatchback Firefly ini menampilkan ciri yang agak unik, iaitu gugusan lampu utama LED depan dan belakang seakan lensa kamera iPhone.
Antara ciri lain termasuklah pemegang pintu yang tertanam, set rim enam jejari yang comel, serta plastik pelindung badan keliling yang disumberkan daripada bahan yang lestari.
EV urban ini menyediakan ruang kargo hadapan sebesar 92 liter dengan fungsi saliran air keluar, diikuti dengan ruang kargo yang mampu mencecah 1,250 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Dimensi keseluruhan hatchback elektrik Firefly ini tidak didedahkan, namun besar kemungkinan ia memiliki saiz yang hampir sama dengan model seperti BYD Dolphin dan Renault 5, dengan radius putaran 9.4 meter.
Nio juga mendakwa EV ini telah direka untuk mencapai penarafan lima bintang di dalam ujian Euro NCAP dan C-NCAP, dengan ciri keselamatan termasuklah sembilan beg udara sebagai kelengkapan standard.
Penggunaan bahan aluminium dan keluli berkekuatan tinggi yang merangkumi 83.4 peratus struktur badan, diikuti rasuk anti-pelanggaran berganda pada pintu hadapan sedikit sebanyak menyumbang kepada angka kekakuan kilasan yang terbaik di dalam kelasnya (35,700 Nm).
Buat masa ini, spesifikasi bateri dan motor elektrik Firefly masih lagi belum didedahkan, namun menurut Nio Firefly ini turut menyokong fungsi penukaran bateri.
Di pasaran China, Firefly sudah boleh ditempah pada harga bermula dari 148,800 yuan (RM91,085).
Menjelang akhir 2025, Nio mahukan jenama Firefly mendarat di 25 buah negara.
Perkataan “kereta sports” dan “praktikaliti” mungkin sangat sukar untuk diletakkan di dalam satu baris ayat yang sama.
Namun, itu mungkin sekali apa yang cuba dibuat oleh sekumpulan pelajar dari Nissan Automotive College untuk Tokyo Auto Salon 2025.
Projek ini dinamakan sebagai Z Lealia, gandingan antara perkataan “Lead” dan “Familia”, di mana Z Lealia direka sebagai sebuah sports wagon yang sesuai untuk seisi keluarga.
Kereta wagon yang sporti ini sebenarnya bukanlah berasal daripada platform tarik belakang Nissan Z, akan tetapi bergantung sepenuhnya kepada platform Nissan Stagea wagon generasi kedua.
Tengok dari sudut hadapan, kita dapat melihat muka hadapan Nissan Z yang berjaya diintegrasikan dengan kemas.
Namun, hasil kerja pada seksyen belakang wagon ini dilihat tidak begitu menjadi dengan dimensi fender yang terlebih lebar dan jurang panel yang wujud antara lampu belakang dan bampar belakang.
Kereta tersebut akhirnya dilayangkan dengan warna Ikazuchi Yellow, set rim aftermarket 19 inci, roda stereng daripada Nissan Z serta upholsteri kustom dua tona.
Pujian harus diberikan kepada pelajar kolej tersebut kerana berani menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain.
Selain daripada Z Wagon, terdapat dua lagi model ubahsuai, iaitu Nissan Neo Skyline dan Bluebird Kiwami yang dihasilkan oleh dua kumpulan pelajar yang berbeza.
Nissan Neo Skyline secara asasnya merupakan sebuah Skyline Coupe V35 dengan panel badan kustom yang diinspirasikan daripada model Skyline “Kenmeri” era 70-an.
Keseluruhan badan dilayangkan dengan warna Tomoaki Blue, diikuti dengan rim 18 inci dan kemasan warna dalaman dua tona.
Bluebird Kiwami (dari Aichi College) pula dibina berdasarkan Nissan Bluebird Maxima yang wujud 36 tahun lalu, menampilkan kit badan yang lebar dan berpetak.
Dalam masa yang sama, kumpulan pelajar tersebut berjaya mengekalkan ciri asal kereta tersebut termasuklah rekaan pintu tanpa bingkai dan kemasan dalaman mewah.
Ketiga-tiga kereta kustom ini akan dipamerkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025 yang akan berlangsung pada 10-12 Januari di Jepun.
Leapmotor mengumumkan varian baharu bagi SUV elektrik C10 yang bakal muncul di Brussels Motor Show 2025 yang akan berlangsung pada Januari hadapan.
Leapmotor C10 varian REEV (Range Extender Electric Vehicle) itu menjanjikan manfaat daripada kedua-dua kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman dengan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh dan kadar penjimatan bahan api yang baik.
C10 REEV ini menggandingkan motor elektrik berkuasa 215 PS dengan pek bateri sebesar 28.4 kWh yang hanya menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 145 km sahaja.
Dengan bantuan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai unit penambah jarak, C10 REEV ini boleh dipandu sejauh lebih 950 km untuk satu tangki bahan api penuh, dengan kadar penggunaan bahan api 0.4 liter untuk setiap 100 km.
Menurut Leapmotor, C10 REEV ini secara asasnya beroperasi sebagai sebuah EV untuk permulaan, namun apabila tenaga bateri semakin berkurangan, enjin tersebut akan dihidupkan untuk menjana kuasa elektrik dan mengecas bateri.
Pemilik juga boleh memilih untuk menggunakan pengecasan pantas DC 65 kW yang dapat menambah jarak sejauh 72.5 km dalam tempoh 18 minit sahaja.
Lebih banyak informasi berkenaan Leapmotor C10 REEV bakal diketahui menjelang acara Brussels Motor Show 2025 pada 10 hingga 19 Januari 2025.
Berminat dengan Leapmotor C10? Anda boleh baca ulasan pandu uji ringkas kami pada pautan INI.
Tinggal beberapa minggu sahaja sebelum acara Tokyo Auto Salon membuka tirainya di Jepun pada bulan depan.
Untuk itu, Mazda bakal mempamerkan beberapa model istimewa pada acara tersebut termasuklah sebuah model edisi khas yang dihasilkan oleh divisyen prestasi tinggi Mazda Spirit Racing.
Bagi mereka yang tidak mengetahui, Mazda Spirit Racing telah pun digunakan oleh pengeluar tersebut sejak tahun 2021 di dalam Super Taikyu Series Jepun dan direka untuk menggantikan peranan Mazdaspeed.
Konsep yang diperlihatkan awal tahun lalu
Berdasarkan gambar tunggal (gambar utama) yang dibekalkan, Mazda MX-5 talaan Mazda Spirit Racing itu dipadankan dengan splitter hadapan baharu, logo “R” pada jeriji hadapan, rim enam jejari hitam, angkup brek berwarna merah, dan spoiler lip belakang.
Tidak ketinggalan, terdapat aksen berwarna merah pada bahagian tengah bampar serta pada bahagian perumah cermin sisi, serta set decal yang diinspirasikan daripada perlumbaan.
Buat masa ini, Mazda tidak mendedahkan perincian naik taraf dari aspek mekanikal pada model istimewa tersebut.
Selain Mazda MX-5, Mazda juga akan mempamerkan dua model konsep perlumbaan, iaitu Mazda3 Bio Concept dan MX-5 Roadster CNF Concept, serta tidak ketinggalan SUV CX-5 yang dibina menerusi kerjasama dengan Toyo Tires.
Honda Motor Co. dan Nissan Motor Co. dalam satu kenyataan mengesahkan perbincangan yang sedang berlangsung untuk membentuk sebuah syarikat baharu yang bakal dimuktamadkan pada tahun 2026.
Menurut laporan Mainichi JP, langkah tersebut dilihat mampu mencipta kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia di belakang Toyota dan Volkswagen bagi melawan pengeluar kenderaan Amerika Syarikat dan China dalam segmen kenderaan elektrik.
Honda dan Nissan, masing-masing pengeluar kedua dan ketiga terbesar di Jepun berazam untuk memuktamadkan perbincangan pada bulan Jun tahun depan.
Sementara syarikat Mitsubishi Motors Corp akan membuat keputusan pada akhir bulan Januari 2025 sama ada untuk menyertai syarikat baharu itu ataupun tidak.
Dalam usaha untuk menjadi lebih kompetitif di dalam pasaran, Honda dan Nissan bersetuju untuk menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara bersama, menyeragamkan platform kenderaan dan perkongsian komponen untuk pelbagai segmen produk, selain mengoptimumkan sistem dan kemudahan pengeluaran sedia ada.
Gabungan antara Honda dan Nissan mampu menjadi kisah pembentukan semula terbesar yang berlaku di dalam industri automotif global selepas Fiat Chrysler Automobiles dan PSA bergabung menjadi Stellantis pada tahun 2021.
Golongan purist, alihkan pandangan anda sekarang kerana kami akan menunjukkan sebuah BMW 8 Series (E31) yang boleh mendatangkan kemurungan dan membuatkan anda tidak dapat tidur malam.
Ya, objek berwarna kuning radioaktif dengan empat roda dan kit badan yang cukup hodoh ini adalah sebuah 850i Coupe keluaran tahun 1990. Dan percaya atau tidak, ia boleh menjadi milik anda pada harga £14,995 (RM84,715) sahaja.
Walau bagaimanapun, laman web Signature Motor Company, di mana kereta ini diiklankan, tidak menyatakan sebarang perincian penting mengenai kereta ini seperti sejarah pemilikan mahu pun perbatuannya.
Menurut syarikat itu, ia merupakan 850i standard yang menampilkan enjin 5.0-liter V12 yang mampu menghasilkan 296 hp. Dikeluarkan dari 1990 hingga 1994, 850i ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual enam kelajuan. Unit ini adalah versi manual.
Tidak dinafikan lagi, enjin V12 dan transmisi manual adalah gandingan yang cukup menggoda bagi mana-mana peminat kenderaan namun untuk unit ini, kit badannya terlalu buruk dan boleh merosakkan penglihatan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Ini kerana rekaan bampar depan dan belakang, serta skirting sisi terlalu bersegi dan mempunyai terlalu banyak lubang. Menjadikan keadaan lebih buruk adalah spoiler belakang yang gedabak dan rim krom yang langsung tidak sepadan dengan bentuk kereta ini.
Nasib baiklah kereta ini masih boleh dikenal pasti menerusi gril kidney dan lampu pop-up pada bahagian depan. Dari belakang, anda pasti tidak dapat cam ini E31 kerana lampu asalnya telah digantikan dengan enam lampu berbentuk bulat yang dibeli dari kedai aksesori murahan.
Seperti yang dijangka, ruang dalamannya telah ‘dinodai’ dengan upholsteri kulit palsu berwarna hitam dan kuning, serta stereng dan tombol gear aftermarket. Sesiapa yang membeli kereta ini nampaknya perlu berbelanja besar untuk mengembalikannya kepada keadaan asal.
Sedar atau tidak, Hyundai Palisade kini sudah pun memasuki generasi baharu setelah kali pertama debut pada tahun 2018.
Tidak seperti model terdahulu, generasi kedua Hyundai Palisade 2025 tampil dengan rekaan yang lebih tegap tanpa garis-garis badan yang terlalu sibuk.
Dari segi dimensi, Hyundai Palisade 2025 kini sepanjang 5,060 mm (+65 mm), lebar 1,980 mm (+5 mm), tinggi 1,805 mm (+55 mm) dan jarak antara roda 2,970 mm (+70 mm).
Jika dilihat dari bahagian profil sisi, penambahan dimensi yang disebutkan itu tadi memberikan kesan di mana jarak gantungan hadapan menjadi lebih pendek, manakala jarak gantungan belakang menjadi lebih panjang.
Nampak seakan sebuah Range Rover.
Penampilan yang mewah itu disumbangkan lagi dengan struktur jeriji yang agak besar dan lebar, diikuti dengan gugusan lampu nyalaan siang LED gergasi yang turut bertindak sebagai lampu indikasi membelok yang boleh dilihat sebatu jauhnya.
Tema lampu berlapis itu diteruskan pada bahagian belakang namun tanpa kehadiran bar LED melintang seperti mana trend masa kini.
Untuk ruang kabin, Palisade membawakan susun atur yang jauh lebih mewah seakan sebuah kenderaan jenama Genesis.
Pada papan pemuka tersebut menempatkan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel tunggal melengkung, dihiasi dengan kemasan kayu, sistem pencahayaan ambien, roda stereng seakan model Range Rover dan gugusan butang kawalan untuk sistem infohibur dan suhu kabin.
Di Korea, Hyundai Palisade turut ditawarkan dalam versi sembilan tempat duduk, di mana tempat duduk ke-9 itu merupakan bangku kecil antara tempat duduk baris hadapan yang boleh diubah menjadi konsol tengah.
Sementara untuk pasaran lain, Palisade masih lagi tersedia dalam versi tujuh atau lapan tempat duduk.
Untuk versi 7-penumpang, tempat duduk baris kedua didatangkan dengan fungsi boleh laras (termasuklah baring dan lipat) berkuasa elektrik, pilihan fungsi urut dan ciri tilting walk-in untuk akses mudah kepada tempat duduk baris ketiga.
Ruang kargo juga boleh dimaksimumkan kepada 615 liter dengan hanya memposisikan tempat duduk baris ketiga sedikit ke hadapan.
Pemandu juga diberikan kebebasan untuk mengubah posisi dan sudut tempat duduk baris kedua dan ketiga menerusi menu dalam skrin infohibur.
Untuk makluman, Hyundai Palisade 2025 masih lagi mengekalkan platform unibodi yang sama seperti model terdahulu, namun telah dinaik taraf.
Biarpun platform yang sama, Hyundai Palisade baharu ini nampaknya tidak mengekalkan enjin bentangan V6 3.8 liter, sebaliknya menggantikan nadi tersebut dengan enjin empat silinder sebaris 2.5 liter turbo berkuasa 277 hp dan 422 Nm.
Versi hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter turbo, motor elektrik tunggal (72 hp/264 Nm) dan pek bateri lithium-ion 1.65 kWh pula mampu menjana kuasa setinggi 330 hp, dan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km!
Selain daripada enjin baharu, Hyundai Palisade merupakan SUV Hyundai pertama menampilkan ciri yang dinamakan sebagai Electronic Controlled Suspension (ECS).
Sistem ECS ini akan menggunakan data navigasi dan penderia untuk mengimbangi pergerakan kenderaan sepanjang perjalanan, sekaligus mengutamakan keselesaan penumpang yang lebih baik.
Tidak cukup dengan itu, Palisade baharu menawarkan ruang kabin yang lebih senyap dengan menggunakan kaca yang lebih tebal serta tambahan penebat bunyi di sekeliling tingkap.
Generasi kedua Hyundai Palisade 2025 mula dijual di pasaran Korea pada harga bermula dari ₩43,830,000 (RM135,724).
Toyota mengumumkan kemas kini terbaharu di mana Alphard/Vellfire model tahun 2025 kini mendapat opsyen enjin plug-in hybrid (PHEV).
Tetapan PHEV ini menggabungkan enjin 2.5 liter (A25A-FXS) dengan motor elektrik, serta bateri lithium-ion yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 73 km untuk sekali cas penuh.
Secara keseluruhan, sistem ini boleh menjana kuasa setinggi 306 PS.
Sama seperti kereta hibrid Toyota biasa, mod BEV akan diutamakan penggunaannya untuk mencapai kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah (16.7 km/liter atau 5.98 liter/100 km).
Menurut Toyota, pek bateri lithium-ion telah diposisikan dibawah lantai untuk memaksimumkan ruang kabin, dan dalam masa yang sama merendahkan lagi titik graviti sebanyak 35 mm berbanding model HEV.
Tempoh pengecasan bateri (sehingga 80 peratus) mengambil masa sekitar 38 minit sahaja.
Selain menawarkan pemanduan yang lebih senyap (dengan tambahan insulasi bunyi), lebih selesa dan kurang gegaran, Toyota juga turut memperkenalkan kawalan Smooth Stop yang menghalang kesan nose-dive semasa proses nyahpecutan dibuat untuk memastikan penumpang kekal selesa.
Model PHEV juga kini didatangkan dengan “My Room Mode” yang membolehkan pengguna menikmati ruang kabin yang selesa untuk bekerja, berehat atau melakukan aktiviti lain semasa sedang mengecas.
Selain daripada fungsi Vehicle-to-Load (V2L), kedua-dua Alphard/Vellfire PHEV turut dilengkapi dengan fungsi Vehicle-to-Home (V2H) untuk tujuan kecemasan, di mana satu tangki bahan api dan bateri cas penuh boleh menyalurkan tenaga selama 5.5 hari.
Antara penambahbaikan lain yang dibuat termasuklah sistem Digital Inner Mirror dan kamera perakam pemanduan depan dan belakang sebagai ciri standard untuk semua varian, diikuti sistem audio premium JBL dengan 15 pembesar suara dan sistem infohibur belakang 14 inci untuk trim Z dan Z Premier.
Toyota Auto Body juga turut menyediakan Alphard Spacious Lounge versi empat tempat duduk yang menawarkan ruang kaki yang lebih luas, serta dilengkapi pelbagai kemudahan yang serba mewah.
Di Jepun, harga jualan Alphard PHEV bermula dari JPY 10,650,000 (RM306,177) manakala Vellfire PHEV pula berharga dari JPY 10,850,000 (RM311,927)
Sejak kemunculan kereta pertama di dunia iaitu Benz-Patent Motorwagen pada 1886, industri automotif telah ‘melahirkan’ beribu-ribu inovasi atau ciptaan bagi menjadikan kereta sebagai satu mod pengangkutan yang lebih selamat, selesa dan canggih.
Berikut adalah 7 ciptaan terpenting dalam industri automotif:
Suntikan bahan api
Percaya atau tidak, teknologi suntikan bahan api atau fuel injection dalam bentuk paling asas sudah wujud selama kira-kira lebih 120 tahun. Henry Ford menggunakan sistem suntikan mekanikal pada kereta lumba ‘Sweepstakes’ pada 1901 dan sekitar 1920an, teknologi itu digunakan secara lebih meluas pada enjin diesel. Pada 1955, Mercedes-Benz memperkenalkan suntikan bahan api terus gasolin menerusi 300 SL. Dua tahun kemudian, Chevrolet memperkenalkan sistem suntikan port pada Bel Air dan Corvette.
Pengecas turbo
Peranti yang cukup popular dalam kalangan peminat kereta ini dicipta seorang jurutera Switzerland bernama Alfred Büchi pada 1905. Dia dikatakan mendapat idea itu ketika sedang mengkaji turbin wap. Apa yang menarik, teknologi ini digunakan oleh pesawat dalam Perang Dunia terlebih dahulu sebelum diaplikasikan secara meluas pada kereta. Kereta pertama yang menggunakan enjin turbo adalah Oldsmobile Jetfire Rocket dan Chevrolet Corvair Monza, kedua-duanya diperkenalkan pada 1962.
Cruise Control
Sistem yang direka oleh seorang jurutera yang buta iaitu Ralph Teetor pada tahun 1948. Idea ini tercetus akibat rasa bengang terhadap pemandunya yang gemar memecut dan memperlahankan kereta dinaiknya. Secara asasnya, Cruise Control membolehkan pemandu mengekalkan kelajuan kereta tanpa menggunakan pedal minyak. Kereta pertama yang didatangkan dengan sistem ini adalah Chrysler Imperial, yang menggelarnya sebagai Auto Pilot.
Brek anti-kunci (ABS)
ABS atau nama panjangnya Anti-lock Braking System menggunakan sensor untuk memantau kelajuan roda apabila pedal brek ditekan. Sekiranya ia mengesan tayar yang akan terkunci, ia akan mencengkam brek dan melepaskannya dalam kadar yang lebih laju daripada manusia. Ini bagi mengelakkan kereta daripada tergelincir serta membolehkan pemandu mengawal kereta.
Penukar bermangkin
Lebih dikenali sebagai catalytic converter, alat ini dipasang pada sistem ekzos kenderaan bagi menukarkan kandungan bahan toksik di dalam asap seperti karbon monoksida dan nitrogen oksida kepada carbon dioksida, nitrogen dan air yang lebih selamat. Ini dicapai menerusi reaksi kimia yang terjadi menerusi penggunaan mangkin seperti platinum yang tahan kakisan tetapi juga mahal. Sebab itulah alat ini selalu menjadi sasaran pencuri.
Beg udara
Beg udara mula dipatenkan untuk penggunaan automotif pada sekitar awal 1950an sebagai ciri keselamatan pasif yang hanya akan berfungsi apabila berlaku kemalangan. Bagaimanapun, penggunaannya tidak begitu meluas sehinggalah sekitar era 70an apabila GM menawarkan ciri berkenaan pada Chevy Impala yang dihasilkan untuk flit kerajaan. Kini, beg udara bukan sahaja keluar dari stereng dan papan pemuka, malah pada pintu, tiang dan bumbung.
Tali pinggang keledar
Mana-mana artikel mengenai ciri keselamatan kenderaan tidak akan lengkap tanpa menyebut alat ini. Tali pinggang keledar dalam bentuk terawalnya mula muncul pada pertengahan abad ke-19 namn versi tiga poin yang digunakan pada semua kereta hari ini dibangunkan dan disempurnakan oleh Nils Bohlins untuk Volvo, yang mula memperkenalkannya pada 1958. Menyedari kepentingan ciri ini, Volvo memberikan kebenaran kepada pengeluar-pengeluar kenderaan lain untuk menggunakannya secara percuma.
MAN Truck & Bus meraih satu lagi pencapaian dalam pengelektrikan pengangkutan barang menerusi penyerahan trak elektrik MAN pertama kepada Kumpulan Duvenbeck.
Traktor semitreler Ultra Low Liner eTGX, yang dibangunkan khas untuk keperluan volum pemuatan logistik automotif, bakal menjadikan keperluan logistik kilang Volkswagen lebih mesra iklim pada masa hadapan.
Selaras dengan surat hasrat (LOI) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, Duvenbeck bercadang untuk menggunakan sehingga 120 unit eTGX menjelang tahun 2026.
Duvenbeck akan menggunakan trak elektrik MAN di pelbagai kawasan di wilayah penghantaran barang Rhine-Ruhr dan BeNeLux sebagai sebahagian daripada keperluan logistik kilang VW.
“Dengan eTruck Ultra Low Liner, MAN telah membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan sempurna mengikut keperluan industri automotif. Tiada siri traktor semitreler elektrik lain yang dihasilkan yang boleh menarik treler dengan ketinggian dalaman tiga meter. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk pengangkutan dengan keperluan volum yang tinggi,” jelas Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan & Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus.
“Kami berbesar hati mempunyai dua rakan kongsi yang kukuh di sisi kami, Duvenbeck dan Volkswagen, untuk membawa inovasi ini ke jalan raya.”
Trak elektrik Ultra Low Liner MAN eTGX mempunyai dengan ketinggian semitreler 950 mm, jarak roda yang pendek iaitu 3.75 meter dan bateri yang mampu menawarkan jarak perjalanan sekitar 500 km.
Ini menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam logistik automotif, di mana volum beban maksimum sehingga tiga meter dalam ketinggian dalaman adalah lebih penting berbanding berat beban.
Dengan konsep bateri modularnya dengan pilihan empat, lima atau enam pek bateri dan tahap kuasa 449 dan 544 hp, trak ini oleh disesuaikan secara optimum untuk sebarang tugas pengangkutan.
Selain teknologi pengecasan CCS standard (sehingga 375 kW), ia juga boleh ditempah dengan piawaian MCS baharu dengan kuasa pengecasan sehingga satu megawatt, yang membolehkan pengecasan perantaraan yang lebih pantas semasa pemandu berhenti rehat.