fbpx

McLaren Elva dapat sentuhan magis Novitec – 907 hp, 800 Nm

McLaren Elva Novitec 01

DENGAN 804 hp dan 800 Nm, McLaren Elva sebenarnya sebuah supercar yang sudah cukup mengujakan, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan bumbung dan cermin penghadang angin.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang Novitec daripada menaik tarafnya menjadi jentera roadster yang lebih ekstrem.

Bagi pemilik Elva yang dahagakan lebih banyak kuasa, tuner terkemuka dari Jerman itu menawarkan pakej naik taraf yang berupaya menaikkan output enjin 4.0 liter twin-turbo V8 itu kepada 907 hp!

Ini dicapai menerusi penggunaan modul N-Tronic yang mengandungi pemetaan semula untuk suntikan bahan api, pencucuhan dan kawalan tekanaan boost elektronik. Turut disertakan adalah sistem ekzos yang dikatakan boleh mengurangkan back pressure.

Apa yang menarik, pelanggan juga boleh memilih opsyen saduran emas untuk sistem ekzos tersebut bagi tujuan penebatan haba.

Dengan penambahbaikan ini, Elva talaan Novitec boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.7 saat, 0 hingga 200 km/j dalam kurang dari 4.0 saat, serta mencapai kelajuan maksimum melebihi 330 km/j.

Untuk perbandingan, Elva versi standard melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat dan 0-200 km/j dalam 6.8 saat, manakala kelajuan tertinggi yang boleh dicapai adalah 326 km/j.

Pelanggan yang mendapatkan kit Novitec ini juga boleh memperkemaskan penampilan jentera mereka dengan rim tempaan jenama Vossen. Berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, rim tersebut boleh didapati dalam 72 warna dan kemasan.

Tidak cukup dengan itu, Novitec turut menawarkan set spring yang mengurangkan ketinggian sebanyak 20 mm. Menurut syarikat itu, ia bukan sahaja membuatkan Elva tampil lebih agresif, malah memberikan ia pemanduan yang lebih dinamik.

Elva diperkenalkan buat pertama kali pada 2019 dengan harga kira-kira $1.69 juta (RM7.49 juta). McLaren pada awalnya merancang untuk menghasilkan 399 unit, namun jumlah tersebut dikurangkan kepada 249 unit dan seterusnya kepada 149 unit bagi mengekalkan keeksklusifannya.

Pada Februari tahun lalu, ia dilancarkan di pasaran Malaysia pada harga RM8.1 juta.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved