fbpx

Citroen My Ami Buggy laku keras – 50 unit habis terjual dalam 17 minit 28 saat

Copyright Maison Vignaux @ Continental Productions
Sumber gambar: Citroen

Nampaknya kenderaan elektrik (EV) kecil dengan penggayaan off-road ada daya tarikannya yang tersendiri di Eropah. Ini terbukti apabila kesemua 50 unit Citroen My Ami Buggy habis terjual dalam masa kurang 18 minit baru-baru ini.

Menurut Citroen, model edisi terhad yang dijual secara eksklusif secara dalam talian itu habis direbut pelanggan dalam masa 17 minit 28 saat. Dikatakan ada pelanggan yang berjaya menyelesaikan proses tempahan dan transaksi pembayaran dalam 2 minit 53 saat sahaja.

Pembeli terpantas itu akan menerima My Ami Buggy beliau yang telah siap dipersonalisasi dengan nombor dan nama pada Ogos depan. Apa yang menarik, penyerahan EV itu akan dilakukan di mana-mana lokasi yang beliau mahu.

My Ami Buggy mula menarik perhatian sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada Disember tahun lalu, dengan kira-kira 1,800 pelanggan menunjukkan minat untuk mendapatkan model unik itu.

Didatangkan dalam warna hijau gelap yang dipadankan dengan trim kuning cerah, My Ami Buggy tampil dengan elemen-elemen lasak seperti bull-bar, gril besi pada lampu depan dan tayar off-road. Ia juga dilengkapi dengan pintu jenis tubular, tirai matahari dan kusyen memori pada tempat duduk.

Ruang kabinnya kecil namun dengan adanya set bagasi yang direka khas, pemandu masih boleh membawa beberapa barangan penting untuk aktiviti mereka. Kabel pengecas pula diletakkan pada pemegang di dalam rangka pintu sebelah penumpang.

My Ami Buggy dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang menjana 8 hp (6 kW). Dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 5.5 kWh, ia dikatakan mampu bergerak sejauh 70 km dengan satu cas penuh.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved