fbpx

Citroen My Ami Buggy kenderaan EV untuk golongan muda-mudi!

citroen my ami buggy 02

DIPERKENALKAN tahun lalu, Citroen Ami merupakan sebuah ‘quadricycle’ elektrik dengan dua tempat duduk yang dibangunkan sebagai solusi mobiliti untuk golongan muda di Eropah yang belum layak mendapatkan lesen memandu.

Apa yang anda lihat ini adalah versi lebih lasak yang dinamakan sebagai My Ami Buggy. Ia menampilkan elemen-elemen reka bentuk yang kebiasaanya terdapat pada jentera off-road seperti bull bar, gril besi pada lampu hadapan, tayar off-road dan kemasan plastik hitam di sekeliling gerbang roda.

Selain itu, kenderaan kecil molek ini juga mempunyai bar lampu LED dan rak pada bahagian bumbung di mana tayar simpanan diletakkan. Pintu yang asal pula telah digantikan dengan pintu tubular yang lebih kecil dan pintu ini menyimpan tirai yang boleh dinaikkan bagi melindungi penumpang daripada hujan atau sinaran matahari.

Di dalam, Citroen menggunakan tempat duduk Advanced Comfort baharu dengan kusyen memori yang lebih tebal iaitu dari 35mm kepada 70mm. Apa yang menarik, kusyen tersebut boleh dikeluarkan daripada rangkanya untuk digantikan dengan yang lain atau dibasuh.

Walaupun kabinnya sangat kecil, pengguna My Ami Buggy masih boleh membawa barangan dengan adanya set bagasi yang direka khas agar sesuai dengan ruang simpanan yang terdapat di dalam kenderaan ini.

Sebagai contoh, terdapat ‘bum bag’ yang dilekatkan pada magnet di tengah-tengah stereng dan boleh dipakai pada tali pinggang, serta ‘sailor’s bag’ yang mempunyai ruang simpanannya yang tersendiri di bawah papan pemuka. Kabel pengecas pula diletakkan pada pemegang di dalam rangka pintu sebelah penumpang.

Citroen tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai trenkuasa My Ami Buggy namun ia berkemungkinan mempunyai spesifikasi teknikal yang sama dengan Ami iaitu motor elektrik berkuasa 6kW dan pek bateri 5.5kWh.

Bagaimanapun, penggunaan tayar off-road mungkin menyebabkan My Ami Buggy lebih perlahan jika dibandingkan dengan Ami yang boleh mencapai kelajuan maksimum 45km. Jarak pemanduan juga dijangka terjejas dan kurang daripada 69km seperti yang boleh dicapai oleh Ami.

My Ami Buggy sebenarnya masih dalam fasa konsep dan setakat ini, Citroen tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menawarkannya di pasaran. Namun, jika ada permintaan, tidak mustahil ia dijual di Eropah di samping Ami.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved