fbpx

Audi e-tron RS GT jentera terbaru Ken Block, sebuah sedan EV serba putih

audi e-tron rs gt ken block 06

SEBAGAI pelumba rali profesional dan salah seorang pengasas siri Gymkhana, sudah menjadi kebiasaan bagi Ken Block untuk menjinakkan jentera-jentera berkuasa tinggi yang bising dan dihiasi livery berwarna-warni.

Namun, agak ironi kerana untuk pemanduan harian, pemandu kelahiran Amerika Syarikat itu menggunakan sebuah kereta yang tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman iaitu Audi e-tron RS GT.

Ia merupakan tajaan Audi sebagai sebahagian daripada kerjasama antara syarikat itu dengan Block yang termeterai tahun lalu. Block telah pun memperlihatkan mainan terbaharunya itu menerusi video pertama siri Electric Fleet yang dimuat naik ke Youtube pada 1 Mac.

Jika sebelum ini warna hitam matte dan grafik Monster yang menyerlah menjadi pilihan Block, e-tron RS GT ini diberikan penampilan yang lebih ringkas dengan warna putih matte dengan sedikit trim hitam, secara tidak langsung membuatkannya kelihatan tidak ubah seperti Storm Trooper dari francais Star Wars.

Selari dengan citarasanya, Block memilih untuk menggunakan rim keluaran Rotiform dengan reka bentuk berbeza untuk bahagian hadapan dan belakang. Ia dipilih oleh sebahagian daripada 6.8 juta pengikutnya di Instagram.

Untuk bahagian belakang, rekaan NGO enam batang muncul sebagai rim paling popular manakala untuk hadapan, rekaan Aerodisc menjadi pilihan kebanyakan peminat Block. Kedua-duanya dibalut tayar Toyo Sport untuk kegunaan harian namun untuk beraksi di lereng gunung, Block menggunakan tayar semua musim Toyo Celsius.

Kotak bumbung atau carrier itu merupakan aksesori rasmi Audi yang digunakan oleh Block untuk membawa papan salji dan butnya.

Dari segi mekanikal, e-tron RS GT milik Block ini sama sahaja dengan versi standard yang boleh didapati di pasaran. Ia dipacu oleh sepasang motor elektrik yang diletakkan pada gandar hadapan dan belakang. Motor elektrik hadapan menjana 238PS, manakala unit yang di belakang pula menghasilkan 456PS.

Gandingan ini memberikan output keseluruhan berjumlah 598PS dan 830Nm, namun terdapat fungsi Overboost yang boleh meningkatkan kuasa tersebut kepada 646PS untuk beberapa saat.

Atas kertas, e-tron RS GT dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250km/j. Namun, kehadiran carrier tersebut mungkin sedikit menjejaskan prestasi pecutan serta jarak pemanduannya, yang sepatutnya mencecah 487km dengan satu cas penuh.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved