Kasut sneaker kulit SP-MZD 2026 untuk pemanduan dan gaya!

Kasut Mazda Spingle SP-MZD 2026

Mazda Motor Corporation bersama pengeluar kasut Spingle Company, Ltd melancarkan siri produk kerjasama kedua iaitu kasut sneaker kulit SP-MZD.

Jualan kasut sneaker premium ini mula dibuka secara dalam talian melalui laman e-dagang rasmi pada 25 Mei 2026.

Kasut terbaru ini kesinambungan daripada kejayaan produk kerjasama pertama yang diperkenalkan pada tahun 2025.

Kerjasama ini lahir daripada persamaan falsafah kedua-dua syarikat daripada Hiroshima yang mementingkan kehalusan seni buatan tangan dan reka bentuk unik.

Kasut Spingle popular di kalangan pemilik Mazda kerana keselesaan serta reka bentuknya yang memudahkan urusan pemanduan.

Kasut Spingle popular di kalangan pemilik Mazda kerana keselesaan serta reka bentuknya yang memudahkan urusan pemanduan.

Di pihak Spingle pula, mereka tertarik dengan kecantikan garis reka bentuk melengkung yang menjadi identiti kenderaan Mazda.

Projek pembangunan kasut ini memakan masa selama kira-kira dua tahun melalui siri lawatan berkala ke kilang serta muzium reka bentuk kedua-dua belah pihak.

Bagi model siri kedua, konsep gabungan elemen dunia automotif dan fesyen kasut sukan dikekalkan tetapi diberikan nafas baharu dari aspek pemilihan warna dan bahan binaan.

Langkah ini juga sebahagian hala tuju Mazda menjelang 2030 yang menekankan falsafah reka bentuk berpusatkan manusia bagi menawarkan pengalaman harian serta pemanduan yang memberi inspirasi.

Reka Bentuk Fizikal dan Ergonomik Pemanduan

Reka bentuk luar kasut sneaker kulit SP-MZD diilhamkan daripada bentuk kenderaan Mazda

Reka bentuk luar kasut sneaker kulit SP-MZD ini diilhamkan secara langsung daripada bentuk kenderaan Mazda yang ringkas dan estetik.

Bentuk keseluruhan kasut ini direka mengikut kontur kaki manusia bagi menghasilkan profil melengkung yang kelihatan menarik dari pelbagai sudut pandangan.

Gaya visual ini menggabungkan ketelitian reka bentuk automotif Mazda dengan kehalusan hasil kerja tangan para tukang kasut Spingle.

Dari sudut teknikal fungsi pemanduan, kasut ini dilengkapi dengan reka bentuk tapak belakang yang dinaikkan secara khusus pada bahagian tumit kaki.

Ciri reka bentuk ergonomik ini untuk membantu pemandu melakukan pergerakan kaki lebih lancar dan tangkas semasa menukar kedudukan kaki antara pedal pendikit minyak dan brek.

Pilihan Warna Estetik CX-5 dan Kulit Kanggaru

SP-MZD 2026 membawakan pembaharuan estetik berbeza berbanding SP-MX5 2025.

Siri kedua SP-MZD membawakan pembaharuan estetik yang berbeza berbanding model pertama siri SP-MX5 2025 yang menggunakan skema warna terang.

Tema warna diubah kepada konsep yang lebih matang dan anggun melalui dua pilihan warna utama iaitu Sport Tan/Black dan Black/Black.

Warna Sport Tan merupakan tona warna kuning air moden yang turut digunakan pada SUV baharu Mazda CX-5 bagi menyerlahkan imej sofistikated.

Warna popular ini juga mempunyai portfolio sejarah apabila pernah ditawarkan pada model ikonik Mazda Roadster (MX-5) sebelum ini.

Bahagian atas SP-MZD diperbuat daripada kulit kanggaru.

Dari aspek bahan, bahagian atas kasut diperbuat daripada kulit kanggaru premium yang memiliki karakteristik ringan, lembut serta mempunyai tahap ketahanan tinggi.

Manakala pada bahagian sambungan antara badan kasut dan tapak bawah, kulit suede digunakan sebagai pengukuh.

Penggunaan suede membolehkan kasut tersebut mencapai tahap keanjalan yang tinggi serta mengekalkan rekaan tapak yang nipis.

Ia juga memberikan perlindungan tambahan pada bahagian sisi luar kasut. Ciri ini penting bagi memenuhi spesifikasi sebagai sebuah kasut pemanduan yang ideal.

Kotak Khas dan Harga Kasut SP-MZD

Kasut SP-MZD dijual pada harga 26,500 yen (RM659).

Setiap unit kasut sneaker kulit SP-MZD didatangkan dengan kotak khas yang memaparkan lakaran reka bentuk kasut yang dilukis sendiri oleh pereka bentuk Mazda.

Kotak ini menterjemahkan gabungan antara identiti seni buatan tangan Spingle dan perincian reka bentuk industri automotif.

SP-MZD ditawarkan dalam tujuh pilihan saiz uniseks bermula daripada s22.5 cm bersamaan gred XS sehingga saiz paling besar 28.5 cm bersamaan gred XL.

Di Jepun, kasut ini ditawarkan pada harga 26,500 yen (RM659).

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved