China mahu haramkan stereng ‘yoke’, wajibkan butang fizikal mulai 2027

China haramkan stereng yoke

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dilapor bakal melaksanakan dua standard keselamatan automotif baharu bermula tahun hadapan (2027).

Pelaksanaan ini dijangka akan memberikan kesan besar terhadap reka bentuk kenderaan moden, khususnya model EV yang hadir dengan ciri kokpit minimalis dan stereng ‘yoke’.

 

Tiada lagi stereng ala F1

Piawaian keselamatan nasional terbaharu berkaitan stereng (GB 11557-202X) yang telah diterbitkan itu bakal berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Ini kerana standard semasa (GB 1157-2011) telah digunakan sejak 2011 dan tidak lagi relevan dengan teknologi terkini.

Perubahan paling kritikal ialah tiada lagi pengecualian untuk ujian impak manusia di mana semua model wajib lulus ujian ini.

Standard terbaharu itu juga mewajibkan ujian pada 10 titik tertentu di rim stereng termasuk bahagian paling lemah dan kawasan tanpa sokongan.

Jadi agak mustahil bagi mana-mana stereng yoke yang tidak mempunyai bahagian atas untuk memenuhi standard baharu tersebut.

Daripada sudut pandang keselamatan pula, data menunjukkan 46 peratus kecederaan pemandu berpunca daripada mekanisme stereng.

Reka bentuk bulat tradisional memberikan kawasan serapan impak yang lebih besar, manakala stereng yoke pula meningkatkan risiko kecederaan sekunder.

Ramai pemandu juga melaporkan kesukaran untuk melakukan pusingan U dan parkir apabila menggunakan stereng yoke.

 

Wajibkan butang fizikal

Dalam perkembangan berkaitan, China turut memuktamadkan pindaan standard GB 4094-2016 yang akan mewajibkan butang fizikal untuk fungsi asas kenderaan bermula 1 Julai 2027.

Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap skrin infohibur yang semakin menguasai reka bentuk kokpit EV moden.

Antara fungsi yang diwajibkan mempunyai kawalan fizikal termasuklah:

  • lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, hon
  • penukaran gear PRND (larangan penukaran gear melalui skrin)
  • butang pengaktifan sistem bantuan pemandu (ADAS)
  • pengelap cermin, defroster/defogger, tingkap kuasa
  • sistem panggilan kecemasan, suis kuasa EV

Keperluan tambahan turut ditetapkan, seperti:

  • saiz butang minimum 10 mm x 10 mm
  • kedudukan tetap
  • boleh dikendalikan tanpa melihat
  • kekal berfungsi walaupun sistem kenderaan mengalami kegagalan

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved