fbpx

Mazda kembalikan semula enjin rotary dengan MX-30 e-Skyactiv R-EV

mx-30_e-skyactiv_r-ev_ext_5_s

JIKA anda masih ingat, hayat enjin rotary keluaran Mazda berakhir lebih sedekad lalu dengan model edisi terhad RX-8 Spirit R.

Kini, Mazda telah kembalikan semula enjin rotary menerusi MX-30 e-Skyactiv R-EV di Brussels Motor Show 2023. Bagaimanapun, enjin tersebut bukannya ditala untuk prestasi tetapi akan digunakan sebagai penambah jarak atau range extender bagi memberikan model itu jarak pemanduan yang lebih jauh berbanding versi elektrik.

Sebagai peringatan, MX-30 versi elektrik yang diperkenalkan pada 2019 menawarkan jarak pemanduan sekitar 199 km sahaja. Ia dilancarkan di Malaysia pada Jun 2022 dengan harga bermula RM198,780.

Berbalik kepada enjin MX-30 e-Skyactiv R-EV, ia bersesaran 830 cc dan mempunyai pancitan bahan api secara terus dengan nisbah mampatan 11.9:1. Ia menghasilkan 75 hp pada 4,700 rpm dan 116 Nm pada 4,000 rpm, namun kuasa dan tork tersebut sebenarnya tidak disalurkan ke roda.

Sebaliknya, roda dipacu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 167 hp (125 kW) dan 260 Nm. Enjin berkenaan ditugaskan untuk membekalkan kuasa kepada generator yang kemudiannya akan menjana tenaga bagi membolehkan MX-30 ini dipandu sejauh lebih 600 km.

Enjin tersebut mendapat bekalan bekalan petrol daripada tangki berkapasiti 50 liter, manakala tenaga untuk motor elektrik datang daripada bateri lithium-ion berkapasiti 17.8 kWh yang diterletak di bawah lantai. Menurut Mazda, tenaga yang dibekalkan cukup untuk memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 85 km.

Bateri tersebut memerlukan 1 jam 40 minit untuk pengecasan penuh menggunakan wallbox 11 kW. Untuk pengecasan dari 20 hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC 36 kW, ia mengambil masa selama 25 minit.

Dari segi prestasi, MX-30 e-Skyactiv R-EV boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 140 km/j. Lebih mengagumkan adalah kadar penggunaan bahan apinya iaitu 1 liter/100 km (kitaran WLTP) dan pelepasan CO2 serendah 21 g/km.

Sebagai permulaan, Mazda akan menawarkan model edisi khas Edition R yang menampilkan gabungan warna hitam dan Maroon Rouge Metallic yang diinspirasikan daripada R360 Coupe, serta logo berbentuk rotor pada karpet dan perehat kepala.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved