fbpx

PLUS keluarkan cadangan waktu perjalanan sempena PRU15

Foto ihsan Malay Mail
Foto ihsan Malay Mail

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya dari 17 hingga 21 November ini sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Oleh itu, PLUS telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung untuk mengundi pada 19 November ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 November hingga 18 November, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1:00 petang hingga 4:00 petang,” katanya.

Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 November hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” tambah beliau.

Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Sementara itu, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 November sehingga 21 November 2022.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

Selain itu, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari, serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol. Seramai 30 orang petugas di Pusat Pemantauan Trafik juga akan memantau pergerakan trafik serta mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

Syarikat itu juga akan menyediakan kren di lokasi-lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terlibat dengan kemalangan.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved