fbpx

Panigale V2 Bayliss, karya agung Ducati untuk penggemar setia!

Panigale V2 Bayliss antara jentera hebat pernah dihasilkan Ducati. - Foto ihsan Ducati
Panigale V2 Bayliss antara jentera hebat pernah dihasilkan Ducati. - Foto ihsan Ducati

NAMA Troy Bayliss pastinya tidak asing bagi kalangan peminat tegar Ducati atau Ducatisti.

Mempunyai rekod cemerlang dalam sukan perlumbaan, Bayliss tiga kali bergelar juara Superbike Dunia (WSBK) dengan 52 kemenangan dan 94 kali menaiki podium.

Apa lebih membanggakan, semua kejayaan dicapai ketika Bayliss mewakili pasukan Ducati.

Kini, selepas lebih 20 tahun Bayliss memenangi gelaran juara WSBK pertama, Ducati tampil memberi tribute paling bermakna kepada bekas pelumba kelahiran Australia itu.

Ducati telah memperkenalkan Panigale V2 “Bayliss 1st Championship 20th Anniversary” yang ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Tidak pasti berapa unit bakal dihasilkan namun, model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar rasmi Ducati seluruh dunia.

Rekaan Panigale V2 Bayliss

Panigale V2 Bayliss diinspirasikan daripada jentera lumba 996R.

Model 996R merupakan jentera yang membantu Bayliss merangkul kejuaraan pertamanya pada tahun 2001.

Berdasarkan foto didedahkan, Panigale V2 Bayliss didatangkan dengan gabungan tiga warna iaitu merah, hijau dan putih yang secara tidak langsung menggambarkan bendera Itali.

Ia juga menampilkan angka “21” yang merupakan nombor perlumbaan Bayliss dan logo syarikat petroleum Shell pada bahagian sisi.

Menjadikan model ini lebih eksklusif adalah tandatangan pelumba itu yang tersemat pada bahagian tangki serta nombor siri pengeluaran pada bahagian triple clamp.

Kehebatan jentera ini tidak terletak pada aspek kosmetik sahaja kerana ia juga didatangkan ‘jajan’ menarik seperti sistem suspensi Ohlins dan penyerap hentak TTX36.

Turut disertakan adalah peredam stereng yang boleh dikalibrasi sendiri oleh penunggang.

Kuasa lebih memukau

Ducati berjaya mengurangkan berat Panigale V2 Bayliss sebanyak 3 kilogram menerusi penggunaan bateri lithium-ion dan tempat duduk solo.

Sementara itu, Ducati turut menyertakan sport grips, ekzos gentian karbon serta titanium dan tempat duduk diperbuat daripada gabungan dua jenis material.

Model ini juga menerima bekalan kuasa daripada enjin Superquadro 955cc dua silinder yang menghasilkan 155 hp pada 10,750 rpm dan 104 Nm pada 9,000 rpm.

Pakej elektronik merangkumi Bosch ABS, Quickshifter, Traction Control, Wheelie Control, Engine Brake Control serta tiga mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Street.

Kesemua ciri ini boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Harga seunit Panigale V2 Bayliss di Amerika Syarikat adalah sekitar $21,000 ribu dollar atau RM88,860 mengikut kadar pertukaran semasa.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved